Air tangan ibu adalah yang paling dirindui sampai bila-bila. Sejak kecil, penulis dibesarkan dengan masakan ibu dan jarang sekali makan di luar. Seingat penulis, tidak pernah sepanjang zaman persekolahan dan tinggal bersama kerana makanan kami sekeluarga telah disediakan oleh emak sedangkan emak keluar bekerja seawal jam 6 pagi dan pulang menjelang asar. Walaupun makanan yang dihidangkan hanyalah sekadar nasi berlaukkan telur mata dan kicap. Kelazatannya terasa hingga kini. Sesekali emak tidak sihat dan kepenatan, namun makanan untuk anak-anaknya tidak pernah putus. Menjelang perayaan pula, emaklah yang paling sibuk menyediakan pelbagai juadah. Hingga kini, setiap kali balik ke kampung halaman, penulis ternanti-nanti masakannya. Setiap kali itu juga, emak akan membekalkan dengan makanan kegemaran untukku sekeluarga apabila kami berangkat pulang.
Dari perhatian penulis, masakan hasil dari air tangan emak menjadikan hubungan kekeluargaan kami rapat walaupun secara fizikalnya anak-anak telah duduk berjauhan. Untuk melukakan hati emak jauh sekali, malah berusaha menggembirakannya dengan kejayaan untuk dikongsi bersama. Tautan hati yang terjalin adalah berkat dari air tangan emak yang ikhlas menyediakan juadah untuk keluarga. Penulis berasa kagum dengan kesungguhan para isteri/ibu terdahulu khususnya dalam menyediakan makanan kerana ia sangat memberi kesan kepada keteguhan ikatan perkahwinan suami isteri dan pembentukan peribadi anak-anak.
Dewasa ini, para isteri/ibu terpaksa keluar bekerja bagi meringankan bebanan ekonomi rumahtangga yang semakin mencengkam kehidupan. Namun, dari sisi negatifnya, kebanyakan isteri/ibu bekerjaya kehilangan masa untuk menyediakan juadah untuk keluarga melainkan cuti hujung minggu. Bagi yang berkemampuan, mereka mengambil pembantu rumah untuk urus segala termasuk menyediakan juadah untuk keluarga. Sebaliknya, ada juga yang membungkus makanan atau memberi wang kepada anak-anak untuk membeli makanan di mana-mana kedai makan sendirian.
Hakikatnya, air tangan seorang isteri/ ibu sangat besar maknanya kepada seorang insan bergelar suami dan anak-anak. Ia bukan sekadar makanan untuk mengenyangkan perut yang kelaparan tetapi lebih daripada itu. Air tangan yang dimaksudkan ialah tentang kesungguhan, kecintaan, keceriaan dan ketulusan hati seorang isteri/ ibu kepada suami dan anak-anak. Sentuhan dari hati diiringi dengan ucapan basmallah, doa-doa ringkas yang baik dan zikir itulah yang menjadikan makanan yang dimasak oleh isteri/ ibu terasa sangat enak dan dirindui tidak terbandingkan dengan hotel mewah sekalipun.
Acapkali, isteri/ ibu bekerjaya terasa penat seharian di tempat kerja dan apabila pulang terpaksa pula bertungkus lumus di dapur. Maka membeli sahaja makanan menjadi alternatif selain menjimatkan masa. Sedangkan puteri Rasulullah s.a.w Fatimah Az-Zahra pun mengeluh dan menangis kepenatan menggiling tepung dan kerja rumah lainnya inikan pula kita manusia biasa. Maka Rasulullah s.a.w memujuk dengan menyampai pesanan kepada puterinya itu agar terus bersabar. Pesanan dan nasihat Rasulullah s.a.w sebenarnya menjadi inspirasi dan motivasi untuk kita supaya lelah yang dirasa dalam mengurus hal ehwal rumahtangga merupakan salah satu jalan menuju ke syurga.
Rasulullah s.a.w memujuk puterinya dengan berpesan,
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan manapun yang menggilingkan tepung untuk suami dan anak-anaknya, maka Allah S.W.T akan menuliskan suatu kebaikan dan menaikkan darjatnya dari setiap biji gandum yang digilingnya.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang menggilingkan gandum hingga ia berkeringat, maka Allah S.W.T akan menjauhkan dirinya dari neraka tujuh buah parit.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang meminyakkan rambut anaknya kemudian menyisir rambut mereka dan mencuci pakaian, nescaya Allah S.W.T akan mencatatkan pahala baginya seperti orang yang memberi makan kepada seribu orang yang lapar dan memberi pakaian kepada seribu orang yang telanjang.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang yang menghalangi hajat jiran tetangganya, maka Allah SWT akan menghalangi meminum air telaga Kautsar pada hari kiamat.
• Wahai Fatimah!, ketahuilah yang paling utama adalah bahawa redha suami adalah redha Allah S.W.T dan kemarahan suami merupakan kemarahan Allah S.W.T.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang sedang hamil akan dicatatkan kebaikan-kebaikan dan dihapuskan kejahatan darinya serta para malaikat akan beristigfar untuknya.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang hendak melahirkan anaknya, Allah S.W.T akan mencatatnya sebagai pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah SWT.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang telah melahirkan anaknya, maka dia terbebas dari dosa-dosa seperti keadaan pada hari dilahirkan oleh ibunya. Dan jika meninggal ia tidak menanggung dosa sedikit pun hingga kuburnya menjadi taman syurga bagi dirinya.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang melayani suaminya sehari semalam dengan baik, lemah lembut dan ikhlas maka Allah S.W.T akan mengampuni dosa-dosanya dan kelak akan mengenakan pakaian berwarna hijau di syurga dan memberikan kebaikan setiap helai bulu dan rambut yang ada di tubuhnya.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang tersenyum manis dan lembut dihadapan suaminya akan dipandang Allah S.W.T dengan pandangan penuh rahmat.
• Wahai Fatimah!, seorang perempuan yang menyiapkan tempat istirahat bagi suaminya dan menata hias rumah dengan baik hati dan sabar, maka malaikat akan menyeru, ”Teruslah beramal, Allah S.W.T. akan mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan akan datang.”
• Wahai Fatimah! seorang perempuan yang meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong kumisnya, serta mengguntingkan kukunya, maka Allah S.W.T akan memberinya minuman dari sungai-sungai syurga dan Allah S.W.T memudahkan saat sakaratul mautnya kemudian menjumpai kuburnya bagaikan taman-taman syurga. Selain itu, Allah S.W.T akan menyelamatkan dirinya dari api neraka dan selamatlah ia dari titian shirat.
Pesan-pesan Rasulullah s.a.w mengandungi daya penggerak yang menggetarkan nurani wanita untuk terus tersenyum melakukan tugas-tugas lazim sebagai isteri dan ibu walaupun dalam kepenatan. Antara tugas lazim seorang isteri/ ibu ialah memasak. Justeru, jangan sesekali mengabaikannya kerana air tangan yang mengalir dalam masakan yang disediakan mengandungi hikmah dan manfaat tertentu antaranya mengukuh jalinan cinta suami isteri, mengekalkan kebahagiaan keluarga, mengakrabkan hubungan ibu dan anak-anak dan membentuk peribadi anak-anak agar mudah mendengar kata dan taat.
Semoga dengan usaha-usaha para isteri/ ibu seperti memasak untuk membahagiakan suami dan anak-anak menjadi bakti untuk meraih syurgaNya. Bersyukurlah para isteri/ ibu jika masih berpeluang memasak untuk suami dan anak-anak kerana itulah momen yang akan dirindui sampai bila-bila sedangkan ramai yang mungkin tidak mampu untuk berbuat demikian dengan pelbagai sebab. Ingatlah, antara hikmah terbesar air tangan seorang isteri/ ibu ialah dapat mengukuh ikatan kekeluargaan untuk dikenangi oleh suami dan anak-anak agar sentiasa dekat di hati. Insha Allah dengan izin Allah.
0 comments:
Post a Comment