Pages

Monday 30 January 2017

BONGKAR!!! TEMPOH KRITIKAL PERKEMBANGAN MINDA KANAK-KANAK- Nur Akmar Binti Mohd Arif

Setiap anak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan dan asuhan terbaik seawal usia, terutama tiga tahun pertama, iaitu umur yang paling kritikal dalam perkembangan kanak-kanak yang akan memberikan kesan sehingga dewasa. Penyelidik Sains Neuro yang mengkaji otak kanak-kanak mengakui bahawa pembentukan kecerdasan bermula sejak kanak-kanak lahir dimana kajian perkembangan kanak-kanak menunjukkan bahawa sejak lahir, malah semasa dalam kandungan lagi kanak-kanak telah mampu belajar.


Menurut Bredekamp & Copple (1997), dalam tiga tahun pertama, kanak-kanak belajar atau gagal belajar cara untuk bergaul, cara melerai konflik, cara berinteraksi, cara memujuk dan cara meneroka dunia persekitarannya. Oleh itu, kanak-kanak perlu diberikan pengalaman pembelajaran dan rangsangan positif yang banyak dan kerap sejak lahir supaya hubungan sinaps yang terbentuk dalam otak menjadi kekal. Kajian Sains Neuro juga menunjukkan bahawa kebanyakan daripada hubungan sinaps yang akan kekal sepanjang hidup ialah yang dibina semasa tiga tahun pertama umur kanak-kanak.


Kajian-kajian dalam bidang neurosains (brains research) mendapati otak  kanak-kanak berkembang dengan cara tertentu daripada pengalaman dan  rangsangan yang diterima melalui deria-derianya. Contohnya, bayi baru lahir belajar mengenali ibu bapa, penjaga, pendidik atau pengasuhnya secara menghidu, melihat, mendengar, mengecam suara dan merasa kelembutan sentuhan mereka. Pengalaman melalui lima deria ini disimpan dalam bentuk hubungan sinaps dalam otaknya. Ini menunjukkan bahawa pengalaman awal kanak-kanak mempunyai impak yang besar kepada senibina otak kanak-kanak sehingga mereka dewasa kelak.



Kanak-kanak adalah insan yang fitrahnya sentiasa ingin bermain, meneroka dan belajar. Semenjak di dalam kandungan lagi, insan ini telah mulai belajar melalui  perasaan ibunya dan boleh merasai kesan-kesan daripada setiap  tindakan ibunya.  Selepas dilahirkan, kanak-kanak ini akan belajar dengan lebih cepat daripada orang lain seperti pendidik atau pengasuh di TASKA serta dunia persekitarannya.  Pembelajaran atau pengalaman awal ini yang akan membentuk sahsiah dan personalitinya kelak. Oleh itu, menjadi  tanggungjawab  ibu  bapa,  penjaga, pendidik dan pengasuh untuk menyediakan persekitaran dan pengalaman pembelajaran  dengan  penuh  kasih sayang baik di rumah mahupun di TASKA.


 
Penyelidikan telah membuktikan bahawa pembelajaran awal membantu kejayaan kanak-kanak di sekolah dan kehidupan masa hadapan mereka. Pembelajaran awal adalah penting dalam membantu anak-anak ini mencapai perkembangan yang menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. Hakikatnya, kanak-kanak pada usia 1 hingga 4 tahun sudah boleh  didedahkan kepada proses pembelajaran peringkat awal yang mampu memberi kesan positif kepada tumbesarannya kerana pada usia ini otak kanak-kanak adalah seperti span yang mampu menyerap apa sahaja dengan cepat daripada persekitarannya.



Kajian perkembangan kanak-kanak menunjukkan bahawa 90 peratus daripada perkembangan otak secara optimum berlaku sebelum kanak-kanak mencapai umur lima tahun kerana sejak kelahiran hingga berumur dua tahun, kanak-kanak itu mengalami perkembangan kognitif yang pesat. Oleh itu, cara terbaik untuk membentuk hubungan otak kanak-kanak kecil adalah dengan memberikan persekitaran yang selamat dan menarik untuk diterokai baik di rumah mahupun di TASKA serta dikelilingi oleh orang yang boleh memberikan respons kepada keperluan emosi dan intelek mereka. Ini menunjukkan betapa besarnya peranan pendidik dan pengasuh di TASKA selain ibu bapa dalam membantu merangsang perkembangan minda kanak-kanak.



Kanak-kanak yang membesar dengan persekitaran yang kaya dengan bahasa biasanya akan fasih berbahasa pada usia tiga tahun. Kajian otak telah menyatakan bahawa kanak-kanak kecil memerlukan kasih sayang, pendorong dalam kehidupan mereka yang akan menyanyikan lagu untuk mereka, memeluk mereka, berbual dengan mereka, membacakan buku untuk mereka dan berada di samping mereka. Seiring dengan pandangan Harlow & Zimmerman (1959), kanak- kanak memerlukan sentuhan dan perdampingan orang dewasa. Ini menunjukkan betapa pentingnya keprihatinan dan kasih sayang daripada ibu bapa, penjaga, pendidik atau pengasuh untuk kelangsungan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak baik di rumah mahupun di TASKA.


Selain itu, menurut pakar psikologi, personaliti kanak-kanak sudah terbentuk  sebelum usia mereka mencapai 5 tahun. Pengalaman awal dan persekitaran di mana kanak-kanak dibesarkan baik di rumah mahupun pembelajaran di TASKA adalah faktor utama yang mencorakkan personaliti mereka yang boleh berkekalan sehingga  dewasa. Oleh itu, jika ibu bapa inginkan anak-anak mereka mempunyai personaliti yang baik dan positif dalam perhubungan dan pengurusan diri, bijak berkomunikasi serta pandai menyesuaikan diri dalam apa sahaja keadaan, maka berikanlah mereka pendidikan dan pengalaman awal yang berkualiti. Hakikatnya, peringkat kanak-kanak merupakan peringkat utama yang paling kritikal dan pesat perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringkat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seseorang.


Kesimpulannya, pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti pada hari ini adalah penting untuk pembangunan potensi insan yang seimbang dan optimum merangkumi semua aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial dalam persekitaran yang selamat, sihat dan menyeronokkan. Setiap kanak-kanak mempunyai potensi yang perlu dibangunkan dan dikembangkan kerana mereka adalah modal insan dan generasi masa hadapan negara.



“Jika kamu menyentuh saya dengan lembut dan halus,
Jika kamu melihat ke arah saya dan tersenyum,
Jika kamu berbual dengan saya dan mendengar,
Saya akan terus membesar dan membesar!”

-Jackie Silberg-



Disediakan Oleh:

Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson




0 comments:

Post a Comment