Pages

Sunday, 16 July 2017

Keperluan kaunselor kian mendesak- Utusan Malaysia

Tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang masih hilang hingga kini, dan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, telah membuka mata pelbagai pihak bahawa pentingnya keperluan kaunselor bagi memberi perkhidmatan sokongan ke arah kesejahteraan komuniti.


Keprihatinan kerajaan terhadap anggota keluarga mangsa penumpang dan kru pesawat, dengan memberikan khidmat kaunseling bagi menangani trauma, secara tidak langsung telah membawa kesan besar, yang menuntut masyarakat membuat penyesuaian dalam cara berfikir, bertindak, dan membuat keputusan agar ia diuruskan dalam cara terbaik.


Selama ini, ramai tidak menyedari peranan kaunselor, sedangkan saban waktu negara kita bergelut dengan permasalahan masyarakat yang melibatkan aspek-aspek psikologi dan emosi seperti kemurungan, tekanan perasaan, kesedihan, pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah dan gangsterisme.


Permasalahan ini sedikit sebanyak telah mengganggu produktiviti organisasi serta masyarakat.


Mengapakah gejala sosial seperti ini masih terus berleluasa? Adakah kerana kurangnya kesedaran dan rasa tanggungjawab individu serta masyarakat sendiri, atau masyarakat tidak mempercayai kemampuan kaunselor untuk memberi bantuan kepada mereka sekiranya tiada penyelesaian yang boleh dilakukan oleh ahli keluarga dan saudara terdekat?


Dalam konteks profesion kaunselor itu sendiri, mereka dilihat sebagai model sosial yang baik dan positif, yang memainkan peranan besar dalam menentukan kesejahteraan komuniti melalui perkhidmatan yang dihulurkan.


Walaupun diakui bahawa tidak mungkin kaunselor dapat menyelesaikan kesemua masalah yang dihadapi, tetapi sekurang-kurangnya mereka berkeupayaan untuk membantu masyarakat memilih arah serta sumber yang bersesuaian bagi mengubah corak kehidupan.


Ada juga dalam kalangan kita menganggap sesi kaunseling boleh diadakan walaupun hanya di kedai kopi bersama orang yang kita percayai tanpa sebarang kelulusan dalam bidang psikologi.


Hakikatnya, realitinya hanya kaunselor yang berdaftar sahaja mempunyai kelayakan tersebut.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim, ketika ditemui dalam Seminar Kaunseling Lembaga Kaunselor 2014 di Institut Sosial Malaysia baru-baru ini berkata, dalam suasana yang penuh dengan cabaran, kaunselor perlulah mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu yang khusus serta berkualiti.


“Hanya dengan cara tersebut, segala permasalahan dalam masyarakat akan dapat ditangani dengan baik dan berkesan. Kecekapan seorang kaunselor dalam mengendalikan profesionnya akan diadili oleh sesetengah individu secara keseluruhan terhadap profesion kaunselor itu sendiri.


“Begitu juga sebaliknya, apabila ketidakcekapan berlaku, maka seluruh profesion kaunselor akan dikaitkan dengan tanggapan negatif dan sudah pasti ia membentuk stereotaip yang tidak menggalakkan.


“Justeru, seluruh profesional dalam bidang ini perlu bersedia dan mencari jalan untuk memperbaiki pencapaian dan keberkesanan kaunseling bagi meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap profesion ini,” ujarnya,


Beliau menambah, setiap kaunselor perlu menerapkan pendekatan kebersamaan (togetherness) dalam urusan penyampaian perkhidmatan.


Ia boleh dicapai melalui kerjasama berpasukan dalam bentuk jaringan kerja yang produktif dan efektif antara pengamal kaunselor dengan pengamal dalam bidang kesihatan mental supaya dapat menangani pelbagai permasalahan yang dihadapi.


Menurutnya, kompetensi dan komitmen yang khusus dalam bidang kaunseling dari pelbagai organisasi dan pertubuhan sukarela, dapat digabungkan untuk memperoleh tenaga holistik dan berkesan dalam usaha membawa transformasi kepada masyarakat.

“Pendekatan ini merupakan cara terbaik untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan peranan kaunselor dalam membantu menangani permasalahan sosial masa kini.

“Ia juga bagi meningkatkan ketrampilan kaunselor dalam menyampaikan perkhidmatan kaunseling yang bersesuaian dengan konteks semasa di Malaysia,” katanya,

Menurut Rohani lagi, permasalahan lain seperti masalah perkahwinan, rumah tangga, hubungan suami isteri hinggalah kepada permasalahan dalam dunia pekerjaan meliputi masalah komunikasi di pejabat, motivasi pekerja, serta gangguan emosi, memerlukan khidmat mereka untuk memulihkan anggota masyarakat.

Bukan sahaja di sekolah dan hospital, malah khidmat mereka mendapat tempat dalam kebanyakan organisasi sebagai salah satu keperluan utama dalam melengkapkan penyaluran perkhidmatan kepada kumpulan sasar masing-masing.

Dalam pada itu, statistik sehingga akhir Julai tahun ini, hanya 5,445 orang kaunselor telah didaftarkan di bawah Akta Kaunselor 1998.


Lebih membimbangkan bilangan kaunselor tersebut dilihat tidak mampu menampung kes-kes yang berlaku dengan nisbah 700 penduduk bagi seorang kaunselor.


Taburan penempatan kaunselor berdaftar juga berlaku ketidakseimbangan sangat ketara kerana hampir 92 peratus daripadanya tertumpu kepada perkhidmatan awam dan sekolah, serta selebihnya dalam sektor swasta serta badan bukan kerajaan(NGO).


Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan kaunselor semakin diperlukan tetapi kerajaan masih mengawal dan memantau perkhidmatan itu supaya ianya dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar sahaja agar masyarakat tidak dimudaratkan dengan perkhidmatan kaunseling bukan profesional.


Dengan adanya, Lembaga Kaunselor Malaysia diharap berperanan sebagai pemangkin ke arah membantu kerajaan dalam usaha memberikan perkhidmatan kaunseling yang terbaik dan seterusnya melahirkan masyarakat yang sejahtera.



Oleh NURSYAMIMI SAIDI nursyamimi.saidi@utusan.com.my
11 November 2014 12:39 PM


0 comments:

Post a Comment