Pages

Thursday, 11 August 2016

Mekanisme Kesalahan Ejaan Kanakkanak Disleksia- Anida Nasuka & Vijayaletchumy Subramaniam.

Anida Nasuka & Vijayaletchumy Subramaniam. Mekanisme Kesalahan 
Ejaan Kanakkanak Disleksia. “Bahasa dan Penyelidikan”. Dewan Bahasa. 

Jilid 14. Bil.6. 2014.1435H. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.



Ronaldi Salleh et. al (2011) melaporkan bahawa Kerajaan Malaysia mengharapkan rakyatnya akan dapat menguasai kecekapan literasi seratus peratus menjelang 2020. Walau bagaimanapun, kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira mungkin sukar diperoleh. Pendapat ini disokong oleh Julina Johan (2005) yang mengatakan bahawa, salah satu faktor penyumbang kepada masalah pelajar tidak berkemampuan menguasai kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira pada peringkat sekolah rendah ialah disebabkan oleh murid yang menghadapi kognitif yang berat seperti kanak-kanak disleksia. Kementerian Pelajaran Malaysia (2004), juga menerangkan bahawa salah satu daripada ciri kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran spesifik disleksia ialah mereka mengalami kesukaran dalam menguasai kemahiran membaca dan menulis. The International Dyslexia Association (2003) turut menyenaraikan antara ciri-ciri  masalah yang biasa berlaku pada seseorang yang mempunyai masalah disleksia bagi kemahiran menulis adalah seperti kesukaran menulis idea pada kertas, banyak kesalahan ejaan, dan kesukaran dalam melakukan pembetulan.


Disleksia berasal daripada gabungan perkataan Greek dys yang bermaksud ‘kesukaran’ dan lexis yang bermaksud ‘bahasa’. Secara literalnya, disleksia bermaksud “kesukaran dalam berbahasa” (Ott, 1997). Kanak-kanak disleksia bukan sahaja menghadapi masalah dalam pembacaan, tetapi juga ejaan, penulisan serta beberapa aspek bahasa yang lain (Sheila Devaraj dan Samsilah  Roslan, 2006: 11).Vicki Davidson (2002) et. al mengatakan bahawa kanak-kanak disleksia selalu mempunyai masalah dengan proses bahasa. Kebanyakan kanak-kanak disleksia ini mengalami kepayahan dalam membaca dan menyalin teks. Walaupun kini kecanggihan teknologi telah membolehkan aktiviti pemerosesan perkataan dilakukan dengan menggunakan komputer dan tulisan serta ejaan bukan lagi menjadi satu isu utama, tetapi keadaan di sekolah adalah berbeza kerana adalah amat penting bagi seseorang murid menulis dengan tulisan yang baik dan pada kadar kelajuan tertentu di samping dapat menggunakan ejaan yang betul. Tambahan pula, tulisan yang buruk sering dikaitkan dengan kerja yang tidak baik, tidak berkualiti dan seterusnya memberi kesan kepada konsep kendiri seseorang murid.


Mengikut Levinson (1994), kebolehan menulis dalam kalangan kanak-kanak disleksia agak lambat dan kelihatan seperti tidak ada koordinasi. Keadaan ini menggambarkan kesukaran kanak-kanak mengingat dan menggunakan kemahiran motor yang telah dipelajari. Bentuk tulisan, langkauan, dan aliran isi kandungan yang ditulis oleh murid-murid kerap kali tidak mempunyai sistem, bertaburan tanpa kesatuan, dan kualiti. Tulisan kanak-kanak disleksia adalah tidak tetap dan perkataan tidak ditulis di atas garisan. Kanak-kanak disleksia sering memerlukan usaha dan tumpuan yang lebih untuk mengingati kemahiran motor yang telah dipelajarinya.  Apabila kanak-kanak ini keletihan, pola tulisannya yang sama seperti lama muncul semula.


Selain itu terdapat kanak-kanak disleksia yang lebih suka mengecap tulisan pada kertas daripada menulis tulisan tersebut. Terdapat pula kanak-kanak disleksia lain yang dapat menulis tulisan dalam bentuk kaligrafik. Selebihnya, ada yang tidak dapat menulis dengan normal secara spontan dan cepat. Secara lazim, kebanyakan kanak-kanak disleksia belajar menulis dengan cara sengaja menulis lambat-lambat dan menggunakan mekanisme lukisan. Dengan cara ini, kualiti tulisan dan kepantasannya menulis akhirnya menjadi bertambah baik. Analisis yang dilakukan ke atas kesalahan tulisan dalam kalangan kanak-kanak disleksia menunjukkan mereka lebih suka mencetak perkataan daripada menulis perkataan. Kanak-kanak disleksia mengabaikan kerja menulis yang berterusan, iaitu yang memerlukan mereka untuk menghasilkan bahan bertulis seperti karangan pendek (Vijayaletchumy Subramaniam,  2003).


Majoriti murid-murid disleksia menghadapi masalah mengeja. Kebanyakan murid yang boleh membaca juga menghadapi masalah mengeja dan kebanyakan murid yang tidak pandai membaca juga menghadapi masalah mengeja. Janet W. Lerner (2003) menyatakan ejaan adalah “the invention of the devil” manakala keupayaan mengeja dengan baik adalah “a gift fromGod”. Hal ini kerana hanya ada satu bentuk penulisan ejaan yang diterima betul manakala penulisan ejaan yang hampir sama bentuk dan bunyinya tetap dianggap salah. Menurut British Psycology Society,  disleksia terbukti wujud apabila ketetapan dan kelancaran membaca atau mengeja perkataan berkembang secara tidak lengkap dan mengalami kesukaran yang amat ketara. Kelemahan mengeja pula akan memberi kesan yang lebih negatif daripada kelemahan membaca pada jangka waktu panjang (Payne & Turne, 1999). 


 Kelemahan mengeja akan mengehadkan kebolehan murid untuk belajar di dalam bilik darjah dan akan menyebabkan murid menghadapi masalah dalam melakukan latihan. Sekiranya masalah dalam aspek mengeja ini tidak ditangani, hal ini akan menyebabkan kanak-kanak disleksia tersebut terus melakukan kesilapan ejaan dan seterusnya akan menyebabkan mereka mendapat keputusan yang kurang baik dalam peperiksaan, terutamanya dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Hal ini kerana mata pelajaran ini memerlukan mereka untuk menulis seperti pada soalan karangan. Tambahan pula, kelemahan mengeja akan mengakibatkan kebolehan dalam menyampaikan pengetahuan yang diperoleh amat terhad. Kelemahan mengeja ini jika tidak diatasi dalam tempoh yang panjang akan memberi kesan yang mendalam, iaitu terhadap permasalahan membaca. Hal ini kerana kanak-kanak yang menghadapi masalah ingatan urutan visual biasanya menghadapi masalah serius dalam mengingat perkataan semasa membaca ataupun mengeja. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai kemahiran menyebut bunyi dan menggunakan strategi fonetik yang berkesan untuk menyahkod dan mengeja perkataan yang panjang (Sandra F. Rief, 2008: 315). Oleh itu, mekanisme kesalahan yang sering dilakukan oleh kanak-kanak disleksia ini perlu dikenal pasti terlebih dahulu agar tenaga pengajar atau pengkaji dapat mengambil langah untuk mengatasi masalah ini.


Mekanisme kesalahan ejaan


Untuk mengenal pasti mekanisme kesalahan ejaan dalam penulisan kanak-kanak  disleksia, Teori Sindrom Disleksia yang diutarakan oleh Levinson (1994) boleh dijadika garis panduan. Dalam teori ini Levinson menggariskan tujuh mekanisme kesalahan dalam aspek bacaan dan tulisan, iaitu pemindahan, penyisipan, penggantian, pengguguran, pemeluwapan, pembalikan dan agakan atau suka-suka. Mekanisme kesalahan ejaan yang dilakukan oleh kanak-kanak disleksia ini dapat dilihat melalui latihan penulisan, iaitu dengan meminta mereka menyalin petikan yang diberi. Walaupun dalam latihan ini mereka hanya diminta untuk melakukan peniruan, iaitu dengan menyalin semula petikan yang telah diberi, tetapi kesalahan ejaan dalam penulisan masih tetap berlaku. Keadaan ini dapat dilihat berdasarkan contoh tulisan sampel 1 di bawah.


Tulisan sampel 1


Berdasarkan pemerhatian, didapati bahawa sampel 1 kurang teliti dan agak terburu-buru semasa menyalin petikan yang diberi. Bentuk tulisan yang dihasilkan tidak sekata dan masih terdapat kesalahan ejaan yang dilakukan. Hal ini dapat dilihat dalam jadual 1 di bawah. Mekanisme kesalahan yang dilakukan oleh sampel 1 ini berdasarkan tujuh mekanisme kesalahan mengikut teori Levinson (1994) juga dapat dilihat pada jadual 1.


Perkataan asal
Tulisan kanak-kanak disleksia
Mekanisme kesalahan
berkelah
berkelak
Agakan/suka-suka    h      k
sungai
sugai
pengguguran huruf   n
Rahmah
Rad mah
Agakan/suka-suka    h      d
ibu
Itu
Agakan/suka-suka    b       t
melalui
mele lui
penggantian huruf     a      e
terdapat
terdapa
pengguguran huruf    t
dilarang
di lalang
Agakan/suka-suka     r      l














Jadual 1: Kesalahan ejaan dan mekanisme kesalahan sampel 1

Berdasarkan jadual 1, mekanisme kesalahan agakan/suka-suka paling ketara dilakukan oleh sampel 1 kajian ini. Bagi perkataan <berkelah> sampel ini telah mengeja perkataan ‘berkelah’ menjadi <berkelak>. Bagi kata nama khas<Rahmah>, sampel ini telah mengeja kata nama <Rahmah> tersebut menjadi <Rad mah>. Bagi perkataan <ibu>, sampel telah mengeja perkataan tersebut sebagai <itu>. Bagi perkataan <dilarang> pula sampel ini telah mengeja perkataan tersebut sebagai <di lalang>. Hal ini menunjukkan bahawa sampel ini tidak pasti ejaan sebenar keempat-empat perkataan tersebut dan ia telah melakukan mekanisme agakan atau suka-suka. Bagi perkataan <sungai>, sampel ini telah melakukan mekanisme pengguguran huruf konsonan /n/ dan bagi perkataan <terdapat> pula sampel ini telah menggugurkan huruf konsonan /t/. Bagi perkataan <melalui>, sampel telah melakukan mekanisme penggantian huruf vokal /a/ kepada huruf vokal /e/. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa sampel pertama kajian inilebih dominan melakukan mekanisme kesalahan agakan/suka-suka dan pengguguran huruf konsonan.




Tulisan sampel 2

Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, didapati sampel 2 kajian pula sangat berhati-hati dan mengambil masa yang agak lama untuk menyalin petikan yang diberi.Walau bagaimanapun, Spaffod dan Grosser (1999) telah melaporkan bahawa salah satu ciri-ciri kanak-kanak yang disyaki mengalami disleksia ialah kanak-kanak tersebut mengambil masa yang lama untuk menyalin sesuatu. Namun begitu, bentuk tulisannya lebih kemas jika dibandingkan dengan sampel kajian pertama. Pembahagian perenggannya juga lebih jelas. Sungguhpun sampel ini begitu berhati-hati dan mengambil masa yang agak lama untuk menyalin petikan yang diberi, tetapi masih terdapat kesalahan ejaan yang dilakukan oleh sampel ini. Kesalahan ejaan dan mekanisme kesalahan berdasarkan teori Levinson (1994) yang dilakukan oleh sampel ini dapat dilihat dalam jadual 2 di bawah.


Jadual 2: Kesalahan ejaan dan mekanisme kesalahan sampel 2

Perkataan asal
Tulisan kanak-kanak disleksia
Mekanisme kesalahan
mereka
merek
pengguguran huruf     a
merancang
marancang
penggantian huruf      e    a
makanan
makan
pengguguran huruf     a n
mereka
meraka
penggantian huruf      e    a
besi
beri
agakan/suka-suka       s    r
dengan
dangan
penggantian huruf      e    a
Rabu
Radu
pembalikan huruf       b    d
 Berdasarkan jadual 2, mekanisme kesalahan penggantian huruf pula paling ketara dilakukan oleh sampel 2 kajian ini. Bagi perkataan <merancang> sampel telah menggantikan huruf vokal /e/ kepada huruf vokal /a/. Bagi perkataan<mereka>, sampel juga telah menggantikan huruf vokal /e/ kepada huruf vokal /a/ dan bagi perkataan <dengan>, sampel turut menggantikan huruf vokal /e/ kepada huruf vokal /a/. Oleh itu, pengkaji mendapati bahawa mekanisme kesalahan ejaan yang dilakukan oleh sampel ini lebih kerap belaku pada penggantian antara huruf vokal dengan huruf vokal. Penggantian huruf vokal yang dilakukan tersebut merupakan penggantian huruf vokal /e/ kepada huruf vokal /a/. Bagi mekanisme kesalahan pengguguran, sampel ini juga cenderung untuk menggugurkan huruf vokal. Bagi perkataan <mereka>, sampel telah menggugurkan huruf vokal /a/ dan bagi perkataan <makanan>, sampel telah menggugurkan huruf vokal /a/ dan huruf konsonan /n/.Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa sampel kajian 2 ini lebih dominanmelakukan mekanisme kesalahan pengguguran dan penggantian huruf vokal jika dibandingkan dengan huruf konsonan. Hanya terdapat satu kesalahan bagi mekanisme agakan/suka-suka dan mekanisme pembalikan huruf.


Tulisan sampel 3

 
Berdasarkan pemerhatian, didapati bahawa sampel kajian 3 pantas dalam menyalin petikan yangdiberi, tetapi  hanya terdapat dua kesalahan ejaan yang dilakukan oleh sampel ini. Walau bagimanapun, sampel ini tidak dapat menulis mengikut perenggan seperti dalam petikan asal. Pembahagian antara perenggan juga tidak dapat dilihat dengan jelas. Keadaan ini menunjukkan sampel ini benar-benar menghadapi masalah pembelajaran spesifik disleksia kerana menurut Sheila Devaraj dan Samsilah Roslan (2006: 65), salah satu ciri yang dapat dilihat dalam tulisan kanak-kanak disleksia ialah mereka mempunyai masalah dalam menetukan ruang antara


perkataan serta kekeliruan antara huruf kecil dan huruf besar. Kesalahan ejaan dan mekanisme kesalahan berdasarkan teori Levinson (1994) yang dilakukan oleh sampel ini dapat dilihat dalam jadual 3 di bawah.


Jadual 3: Kesalahan ejaan dan mekanisme kesalahan sampel 3
  

Perkataan asal
Tulisan kanak-kanak disleksia
Mekanisme kesalahan
bangun
bagun
pengguguran huruf     n 
sungai
sungi
pengguguran huruf     a
Berdasarkan jadual 3, hanya mekanisme kesalahan pengguguran huruf sahaja yang telah dilakukan oleh sampel 3 kajian ini. Bagi perkataan <bangun> sampel telah menggugurkan huruf konsonan /n/ dan bagi perkataan <sungai>, sampel telah menggugurkan huruf vokal /a/. Oleh itu, pengkaji mendapati bahawa mekanisme kesalahan ejaan yang dilakukan oleh sampel ini setara antara pengguguran huruf konsonan dan pengguguran huruf vokal. Mekanisme kesalahan yang dilakukan oleh sampel ketiga ini juga lebih sedikit jika dibandingkan dengan sampel kajian yang pertama dan kedua. Hal ini menunjukkan bahawa sampel ketiga ini kurang menghadapi masalah dalam menyalin semula petikan yang diberi.



Tulisan sampel 4

Bentuk tulisan sampel kajian 4 mudah dibaca tetapi saiznya agak besar dan sampel kajian sukar untuk menentukan ruang antara perkataan. Semasa menyalin petikan ini, didapati subjek kajian sangat berhati-hati dan mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya.Keadaan ini serupa dengan sampel kedua, tetapi sampel kedua lebih banyak melakukan keaslahan ejaan dan sampel ini hanya melakukan satu kesalahan ejaan sahaja. Kesalahan ejaan yang dilakukan oleh sampel ini dan mekanisme kesalahannya mengikut teori Levinson (1994) dapat dilihat dalam jadual 4 di bawah. Namun begitu, terdapat juga kesalahan lain yang telah dilakukan oleh sampel ini. Kesalahan tersebutadalah meninggalkan tanda baca, iaitu tanda nokta dan menggugurkan  morfem ‘ke’ dalam ayat ‘...masuk ke kawasan renang...’.  


Jadual 4: Kesalahan ejaan dan mekanisme kesalahan sampel 4

Perkataan asal
Tulisan kanak-kanak disleksia
Mekanisme kesalahan
kawasan
kewasan
penggantian huruf   a     e

Berdasarkan jadual 4, terdapat satu sahaja mekanisme kesalahan yang dilakukan oleh sampel 4. Sampel ini hanya melakukan mekanisme kesalahan penggantian huruf bagi satu perkataan sahaja, iaitu perkataan ‘kawasan’. Bagi perkataan ‘kawasan’ ini, sampel telah menggantikan huruf vokal /a/ kepada huruf vokal /e/. Oleh itu, pengkaji mendapati bahawa sampel kajian 4 ini tidak cenderung untuk melakukan mekanisme kesalahan ejaan hasil daripada penulisan dengan penyalinan semula petikan yang diberi. Keadaan ini menggambarkan bahawa latihan menyalin semula petikan tidak menimbulkan masalah kepada sampel ini.


Kesimpulannya, walaupun kesemua sampel ini hanya diminta untuk menyalin semula petikan yang diberi, namun masih terdapat beberapa mekanisme kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Berdasarkan tujuh mekanisme kesalahan yang digariskan oleh Levinson (1994), didapati terdapat dua jenis kesalahan yang dominan dilakukan oleh sampel ini. Kesalahan tersebut ialah kesalahan penggantian huruf dan kesalahan pengguguran huruf. Sampel yang paling bermasalah dalam menyalin semula petikan yang diberi merupakan sampel 1 dan sampel 2. Hal ini dapat dilihat menerusi kekerapan mereka melakukan mekanisme kesalahan pengguguran huruf dan penggantian huruf yang menyebabkan kesalahan ejaan adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan sampel 3 dan sampel 4. Seterusnya mekanisme kesalahan penggantian huruf vokal /e/ kepada /a/ dan /a/ kepada /e/ juga kerap dilakukan oleh sampel.


Menurut Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad (2013),  hasil daripada dapatan kajian beliau terhadap permasalahan pembelajaran spesifik disleksia, iaitu masalah mengeja menunjukkan bahawa salah mengeja perkataan mencatat skor min tertinggi (4.11) dan sisihan piawai (0.698). Beliau menyatakan bahawa permasalahan salah mengeja perkataan ini terjadi akibat daripada fokus tumpuan mata tidak tertumpu pada perkataan asal. Kebanyakan pemprosesan perkataan berlaku semasa mata tertumpu pada sesuatu perkataan, atau sekiranya ia tidak berlaku pada ketika itu, maka ia berlaku semasa mata tertumpu pada perkataan sebelum atau selepasnya. Kenyataan ini disokong oleh Carpenter dan Just (1983), Hogaboam (1983), Rayner dan Pollatsek (1981) yang menyatakan bahawa perhatian yang difokuskan ke atas perkataan yang ditumpukan oleh mata mungkin sebahagian daripada proses pengenalpastian dan penyatupaduan antara satu perkataan dengan perkataan yang lain. Keadaan inilah yang telah menyebabkan sampel dalam kajian ini cenderung melakukan kesalahan ejaan walaupun mereka hanya diminta untuk menyalin semula petikan yang telah diberikan. Oleh itu, diharapkan tenaga pengajar atau kajian selanjutnya dapat dilakukan untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah yang telah dikenal pasti ini.



Rujukan


Carpenter, P. A. dan Just , M. A. (1983).What Eyes Do While Your Mind is   Reading, dalam K. Rayner (ed.).Eye      Movement in Reading:   Perception and Language             Processes.       New York:      Academic Press.


Catts, H. (1989) Defining Dyslexia As A      Developmental Language Disorder. Annals of Dyslexia. 39(1), pp. 50-          64.
Ott, P. (1997) How to Detect and Manage    Dyslexia. A Reference and     Resource Manual. London:          Heinemann Educational Publishers.


Nor Hasnizam Parman (1997). Satu kajian   mengenai cirri-ciri disleksia di         kalangan kanak-kanak berumur 7-        12 tahun. Disertasi Kajian     Ilmiah Sarjana Muda tidak             diterbitkan. Universiti Kebangsaan   Malaysia: Bangi.


Hogaboam, T. W. (1983). Reading Pattern   in Eye Movement Data, dalam K.      Rayner (ed.).   Eye Movement in        Reading: Perception and Language  Processes. New York:             Academic Press.


Janet W. Lerner (2003). Learning      Disabilities: Theories, Diagnosis,      And Teaching Strategies.       Boston: Houghton MifflinCollege     Division.


Julina Johan. (2005). Kementerian Rujuk     Aduan Masih Banyak Pelajar Gagal Menguasai 3M. Utusan     Malaysia, 14 Februari:14


Kamhi, A.G. (1992) Response to historical   perspective: A developmental           language             perspective. Journal   of Learning Disabilities. 25(1),pp.    48-52.


Kementerian Pelajaran Malaysia. (2004).     Garis panduan Pengoperasian          Program Rintis Bermasalah     Pembelajaran Spesifik Disleksia       2004.  Jabatan Pendidikan Khas,             Kementerian Pelajaran Malaysia.


Levinson, H.N. (1994)A Solution to the        Riddle Dyslexia. New York:              Springer-Verlag.           


Mercer, Ed.D., Cecil. (1997)Students with    Learning Disabilities.Columbus,       OH:             Prentice           Hall.


Musa Abdul Wahab. (2002)Tinjauan Ciri-   Ciri Disleksia Di Kalangan Murid-   Murid             Pemulihan di Zon Pudu,         Wilayah Persekutuan. Latihan          Ilmiah, Universiti            Kebangsaan    Malaysia.


Noor Hayati Che’ Mat (2007). Masalah        Pembelajaran Spesifik Disleksia       dalam Kalangan Murid Pemulihan   Yang Mengikuti Program       Pemulihan Khas. Disertasi Kajian             Ilmiah Sarjana tidak diterbitkan.       Serdang, Selangor: Universiti             Putra Malaysia.


Payne, T & Turner, E, (1999)Dyslexia. A      parents and teachers guide (3).        U.K: Multilingual   Matters Ltd.


Rayner, K. dan Pollatsek, A. (1981). Eye      Movement Control During                 Reading. Evidence for Direct     Control. Quarterly Journal of           Experimental Psychology, 33A,             351-373.


Ronaldi Saleh Umar, Fadilahwati Abdul       Rahman, Fattawi Mokhtar & Nor     


Aziah Alias. (2011). Menggunakan Animasi di dalam       Instruksi Khas untuk Kanak-kanak             Disleksia. Jurnal Teknologi   Pendidikan Malaysia, 1(2), 27-38.


Sandra F. Rief. (2008). Bagaimana   Mendekati dan Mendidik Kanak-       kanak ADD/ADHD. Kuala                Lumpur: Institut Terjemahan             Negara Malaysia Berhad.


Spafford, C.S., Spafford, C.A. & Grosser,     G.S. (1999). Dyslexia: research        and resource          guide.              Massachusetts: Allyn and Bacon.


Sheila Devaraj dan SamsilahRoslan (2006: 65)Apa itu Disleksia? Panduan         Untuk Ibu             Bapa,   Guru &            Kaunselor. Selangor, Malaysia:         PTS Professional Publishing Sdn.          Bhd.


The International Dyslexia Association.       (2003). ABCs of dyslexia. Diakses     pada 28             November 2013 dari   laman web:                 http://www.interdys.org/       


Ummi Hani Mohamed Zaid. (2008).             Masalah Ejaan dalam Kalangan       Murid-murid Bermasalah                   Pembelajaran Spesifik Disleksia.    Disertasi Kajian Ilmiah Sarjana            tidak    diterbitkan. Universiti Putra Malaysia: Serdang.


Vicki Davidson et al. (2002: 19).       Mississppi Dyslexia Handbook:        Guidelines and Prosedures      Concerning Dyslexia and Related     Disorder Revised.             Mississippi:Department of    Education, Washington, DC.


Vijayaletchumy a/p Subramaniam. (2003).   Disleksia dalam Aspek Bacaan          Bahasa Melayu. Disertasi       Tesis   Phd. Tidak diterbitkan. Universiti     Putra Malaysia, Serdang.


Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad          (2013). Pembinaan Diagnostik          Disleksia sebagai           Pengesanan    Awal Simptom Disleksia. Seminar     Penyelidikan Siawazah UniSZA           “Memperkasakan Penyelidikan         Siswazah”. 7-8 September. Kuala             Terengganu:    Universiti Sultan        Zainal Abidin Kampus Gong             Badak.



Zabidi A.M. Hussin (2000). Dyslexia            Kanak-Kanak Boleh Dirawat.            Utusan Malaysia, 20 November,        diakses pada 26 November 2013       dari laman web:             http://www.utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment