Pages

Monday, 29 August 2016

PELAJAR, INTERNET DAN PLAGIAT- Badrul Hisham Ithnin

Dua minggu sebelum peperiksaan akhir semester bermula, pelajar-pelajar saya bertungkus lumus menyiapkan esei ilmiah Pengajian Malaysia. Kursus ini tidak ‘popular’ di kalangan pelajar kerana ia dianggap sebagai kursus sejarah dan menuntut pelajarnya membaca pelbagai bahan untuk memahami isi kandungan kursus ini sebelum dan selepas kuliah.
Setelah kira-kira 3 bulan lebih soalan diberi, masanya telah tiba untuk saya melihat hasilnya. Walaubagaimanapun sepanjang masa ini, hanya beberapa kerat sahaja kumpulan pelajar yang menemui saya untuk berbincang mengenai tajuk tugasan mereka. Saya mengharapkan lebih ramai lagi yang mencari suluhan atau petunjuk tentang proses memula, mencari dan menyudahkan tugasan kursus yang berat ini. Tapi ini tidak berlaku sebagaimana diharapkan.
Yang berjumpa saya pula dengan kerenah dan ragam masing-masing. Ada yang merungut ‘…tajuknya tidak ada dalam internet encik.’ Jelas nada kehampaan mereka kerana setelah lama meng‘goggle’ bahan-bahan internet yang dicari masih juga gagal ditemui. Internet seperti ‘tidak mesra’ kepada pelajar yang kelihatannya begitu beria-ia ini.

Sejak internet muncul dalam kamus hidup pelajar ia telah menjadi sumber primer untuk mereka mendapatkan maklumat dan data kajian. Perpustakaan maya terbesar dunia di internet cukup membantu pelajar saya. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kebanyakan hasil kerja pelajar sekarang sarat dengan ‘data’ atau ‘dalil-dalil’ yang diambil dari internet.
Barangkali ini bukan fenomena lokal di kolej saya. Ia juga adalah fenomena melanda sebahagian pelajar di IPT lain. Kini dengan prasana IT yang sangat canggih dan internet sudah menjadi sebahagian cara hidup pelajar di IPT untuk mendapatkan maklumat, kecenderungan ini semakin merebak dan meluas lagi. Betullah bahawa maklumat kini di hujung jari mereka.
Buku atau artikel majalah ilmiah tidak lagi menjadi rujukan utama. Begitulah hakikatnya, secara perlahan-lahan apa-apa yang bersifat tradisi atau amalan lazim mula ditinggalkan kerana ada cara atau kaedah baharu yang lebih cepat dan mudah untuk mendapatkan bahan yang dicari.

Ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh internet dalam kehidupan pelajar. Namun – di sebalik kecanggihan teknologi maklumat (IT) yang membolehkan capaian internet  di mana-mana sahaja dengan kelajuan yang kian pantas dan kini ditambah lagi dengan teknologi tanpa wayar – saya tetap runsing kerana sejak bertahun-tahun lamanya bahan internet telah diambil secara tidak bertanggungjawab dan tidak beretika hingga berlaku fenomena penciplakan idea atau hasil fikiran penulis asal. Dalam bahasa akademik gejala ini disebut plagiarisme.
Budaya negatif ini telah menarik perhatian Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi ketika berucap pada majlis perasmian 1 Megalab, di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Likas pada 23 Mac 2009. Katanya “…penggunaan komputer dan internet untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan telah mencetuskan budaya kerja “cut and paste” dan sehingga mengabaikan proses penyelidikan untuk maju ke hadapan.”
Namun malangnya pelajar tidak menyedari bahawa perbuatan ‘cut and paste’ boleh disabitkan sebagai plagiat iaitu satu kesalahan akademik yang serius di sisi peraturan akademik IPT.

Besarnya kesalahan memplagiat digambarkan oleh laporan BERNAMA yang bertajuk ’Ijazah Pelajar UM dilucut Akibat Ciplak Tesis’, bertarikh 20 Jun 2007. Antara lain laporan itu menyatakan bahawa menurut Pengarah Perhubungan Korporat dan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Khoo Boo Teong, menggunakan Seksyen 56, Perlembagaan Universiti Malaya , status seorang graduan yang memegang ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Melayu yang dianugerahkan pada Istiadat Konvokesyen UM pada 4 Ogos 2004 telah dilucutkan kerana disabitkan kesalahan memplagiat dalam penulisan tesisnya. Menurut beliau lagi melalui pengalamannya kebanyakan kes penipuan dikenal pasti oleh pihak ketiga yang menggunakan kajian terdahulu sebagai rujukan.

Maksud Plagiat Secara Akademik

Menurut manual Study Guide : Plagiarism and How to Avoid It (http://www.essex.ac.uk/myskills/Plagiarism_and_how_to_avoid_it.pdf) yang dikeluarkan oleh University of Essex, plagiat berlaku apabila seseorang itu “..menggunakan atau menyalin idea atau perkataan orang lain – samada dalam bentuk tulisan, bercetak atau dalam bentuk-bentuk lain -  tanpa memaklumkan dengan cara yang sewajarnya dalam kerja-kerja kursus (ilmiah).”   

Dahulu kegiatan memplagiat berlaku ke atas ‘idea atau perkataan orang lain’ yang terdapat dalam sumber konvensional seperti buku, artikel, jurnal dan kertas kerja. Pelajar yang terdesak atau yang malas akan menyalinnya semula samada secara bulat-bulat atau mengolahnya semula dalam tugasan mereka tanpa menyatakan sumber asal di mana ia diambil.


Internet dan Plagiat

Memplagiat kini menjadi lebih mudah dengan adanya capaian internet untuk membawa pelajar ke Wikipedia, kamus atas talian (online), laman sesawang atau blog personal. Bahan-bahan yang serupa boleh diperolehi dengan lebih mudah di perpustakaan maya ini kerana internet hanya di hujung jari mereka sahaja.

Menginsafi fenomena yang tidak sihat ini, Andrew Keen dalam bukunya ‘The Cult of Amateur: How Today’s Internet is Killing Our Culture and Assaulting Our Economy’ di halaman 145 menyatakan :

The fact is that co-opting other people’s creative work – from music file sharing, to downloading movies and videos, to passing off others’ writing as one’s own – is not only illegal, in most cases, but immoral. Yet the widespread acceptance of such behaviour threatens to undermine a society that has been built on hard work, innovation, and the intelectual achievement of our writers, scientists, artists, composers, musicians, journalists, pundits and moviemakers.”
Di halaman 143 dalam buku yang sama Keen memetik laporan kajian Center for Academic Integrity pada Jun 2005 ke atas 50,000 siswa oleh di kalangan mahasiswa di Amerika Syarikat. Keputusan kajian itu cukup memeranjatkan.
“… 70% of college students admitted to engaging in some form of cheating; worse still, 77% of college students didn’t think that Internet plagiarism was a “serious” issue. This disturbing finding gets at a grave problem in terms of Internet and culture : The digital revolution is creating a generation of cut-and-paste burglars who view all content on the Internet as common property.”
Jelas sekali bahawa fenomena ini juga ‘menjangkiti’ siswa di negara maju. Oleh itu tidak hairanlah jika siswa di negara membangun bakal mengalami keparahan yang sama kerana biar pun kadar penembusan internet dan literasi IT semakin baik dari tahun ke tahun di negara membangun seperti Malaysia, mentaliti dan pengiktirafan pelajar dan masyarakat umum kepada nilai ilmu berada pada tahap yang relatifnya masih rendah lagi.

Ada beberapa sebab mengapa fenomena plagiat ini terjadi.
Pertama, pelajar tidak didedahkan dengan kemahiran mencari maklumat atau membuat ‘kajian kepustakaan’. Sepanjang pengetahuan saya kursus Penulisan Ilmiah hampir  tiada dalam senarai kursus wajib kolej atau universiti yang perlu ditawarkan kepada pelajar. Kursus ini sebagaimana kursus pengajian umum sepatutnya diajar merentasi program atau kurikulum. Ia melatih kemahiran menyelidik dan menjana minda menjadi objektif, kritis dalam mencari fakta dan akhirnya menemukan kebenaran perkara yang dikaji. Kualiti ini jarang ditekankan secara langsung dan tegas dalam program akademik.
Kedua, kegiatan ‘cut and paste‘ adalah kaedah mudah dan cepat untuk menyiapkan tugasan. Asalkan dapat bahan yang difikirkan sesuai, salin sahaja bulat-bulat dan adunkan dengan bahan-bahan lain maka siaplah tugasan. Mudahkan begitu!

Ketiga, pelajar memplagiat kerana kesuntukan masa dan bersikap ambil mudah (take things for granted). Bagi yang selalu buat kerja last minute amalan ini lebih menjadi-jadi kerana pada hujung semester biasanya banyak tugasan ilmiah perlu disiap dan dihantar kepada pensyarah.

Namun hakikat sebenar kepada gejala ini ialah sikap (attitude) pelajar terhadap budaya ilmu itu sendiri. Pengiktirafan dan ‘harga’ yang diletakkan kepada ilmu dan bahan-bahan ilmiah adalah rendah.

Mereka melakukan semua aktiviti akademik asalkan siap dan tidak mempunyai sasaran pencapaian yang tinggi dan berkualiti. Tanggapan pelajar penulisan esei ibarat menulis sebuah karangan semasa mereka di bangku sekolah menengah dahulu.

Tanggapan ini ternyata salah kerana penulisan sebuah naskah ilmiah seperti esei menuntut ketelitian dan keseriusan pemikiran pelajar yang ditunjukkan dalam pengolahan isi, pemilihan serta kewajaran data dan dalil yang diambil bagi membina hujah pelajar untuk menjawap persoalan atau permasalahan yang ditimbulkan dalam esei. Ia bukan penulisan sembarangan. Disiplin penulisan adalah ketat dan pelajar tentunya perlu patuh kepada format dan kaedah penulisan tertentu bagi menonjolkan ciri ilmiah esei.

Pelajar turut beranggapan kerja plagiat ini tidak akan dapat dikesan pensyarah. Namun anggapan ini juga ternyata silap kerana pensyarah masih boleh mengesan ciri-ciri tulisan yang diplagiat pelajar. Bak kata pepatah ‘ibarat sekilas ikan di air, dah tau jantan betinanya’.
Pelajar harus banyak belajar kemahiran untuk menghasilkan esei ilmiah yang baik. Seperti yang telah ditegaskan sebelum ini esei adalah naskah akademik yang mempunyai piawaian dan ciri-ciri pemikiran yang tinggi dan serius. Ia suatu kegiatan ilmiah yang sukar tetapi tidak pula mustahil untuk dihasilkan. Asalkan ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Alah bisa tegal biasalah nanti.
Sikap ‘dingin’ dan ambil mudah serta tidak begitu peduli terhadap ‘selok belok’ kegiatan ilmiah ini tidak akan banyak membantu pencapaian ilmu dan kualiti minda kelas pertama di kalangan pelajar IPT. Ini kerana ilmu dan minda kelas pertama ini tidak akan dicapai dan dikuasai tanpa didahului dengan kerja kuat, penelitian, ketekunan, kesabaran dan pengorbanan.
Justeru pra-syarat paling asas untuk berjaya menulis secara ilmiah ialah dengan mempunyai sikap yang betul terhadap budaya ilmu. Bagi sesetengah mazhab perubahan, sikap yang betul adalah penentu kepada setiap perubahan yang berlaku dalam hidup seseorang. Melalui sikap yang betul ini pelajar didorong oleh kesedaran dalam dirinya untuk ‘bergelumang’ dengan aktiviti keilmuan sebelum, semasa dan selepas kuliah. Proses ini berterusan sepanjang tempoh pengajian.
Kesannya, antara lain akan dilihat dalam penyediaan naskah ilmiah kelak di mana pelajar tahu amanah ilmu dan tanggungjawab menghargai sumbangan pengkaji asal dalam buku atau laman sesawang yang berwibawa dan mempunyai merit akademik. Melengkapkan proses dan disiplin ilmiah ini adalah kemahiran merekod bahan-bahan kajian dengan kaedah yang betul dan tepat sebagai catatan nota kaki dan kemudian ditulis semula sumber petikan itu di bahagian bibliografi sesebuah naskah ilmiah. 
Dengan cara ini disiplin dan amalan serta piawaian dalam penerbitan naskah ilmiah tetap akan dipertahan dan dikekalkan oleh pelajar yang menjadi sebahagian daripada komuniti akademik yang seharusnya bertanggungjawab terhadap ilmu yang dipelajarinya. Tradisi keilmuan dan perkembangannya masih tetap diakari oleh nilai dan integriti yang tinggi dalam jiwa pelajar. Ia sesekali tidak boleh dikompromi kerana pegangan inilah yang akan menjaga keaslian dan keutuhan ilmu itu sendiri.


 (Pernah disiarkan dalam Milenia Muslim Isu Disember 2012)


Disediakan oleh

Badrul Hisham Ithnin,
Jabatan Pengajian Umum, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.

0 comments:

Post a Comment