Pages

Monday 29 August 2016

PROJEK ‘JALUR GEMILANG GERGASI’ SIMBOLIK PERPADUAN WARGA FPPM KOLEJ UNITI PORT DICKSON- NUR AKMAR MOHD ARIF

Port Dickson- Sebuah projek khusus bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ sempena Bulan Kemerdekaan Ke-59 telah dijayakan di Kolej UNITI, Port Dickson pada 19 Ogos 2016. Projek ‘Jalur Gemilang Gergasi’ yang menjadi  simbolik kebanggaan Negara ini telah melibatkan penyertaan 104 orang para Pelajar Semester 3, Diploma Pendidikan Prasekolah dari Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson.


Projek ‘Jalur Gemilang Gergasi‘ yang dijayakan ini merupakan usaha dan simbolik kesepakatan para pelajar dan pensyarah Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson dalam menyiapkan dan merealisasikan Jalur Gemilang gergasi yang mempunyai kepanjangan 165 meter persegi (66m x 2.5m). Usaha murni ini merupakan lambang semangat perpaduan dan patriotik warga FPPM sempena meraikan Bulan Kemerdekaan yang ke 59 ini.


Menurut Noor Badriah Binti Zolkffree, selaku penyelaras subjek DPP2112: Aktiviti Fizikal Peringkat Awal Kanak-kanak, projek ini diadakan bagi menanamkan sifat patriotik dalam diri setiap pelajar yang terlibat dan mewujudkan hubungan baik antara pelajar-pelajar selain mengukuhkan perpaduan antara pelajar yang berbilang agama dan bangsa di Kolej UNITI Port Dickson.


 “Bakat dan kreativiti para pelajar Diploma Pendidikan Prasekolah yang diterjemah dalam Projek Jalur Gemilang Gergasi ini juga bagi memenuhi keperluan dalam subjek Aktiviti Fizikal Peringkat Awal Kanak-kanak. Kemahiran bakal-bakal guru ini dalam aktiviti melukis, mewarna dan kesepakatan mendirikan jalur gemilang ini diuji dalam projek tahunan ini yang merupakan simbolik perpaduan dan memenuhi tema Sehati Sejiwa‘’,  Jelas Noor Badriah, yang juga merupakan Penasihat bagi Projek Jalur Gemilang Gergasi ini.


Siti Zaleha Binti Ahmad, selaku Dekan Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia (FPPM) Kolej UNITI Port Dickson turut melahirkan rasa bangga dan syukur atas semangat perpaduan dan ukhwah yang berjaya dipupuk dalam projek ‘Jalur Gemilang Gergasi’ ini yang merupakan projek tahunan yang dijalankan di FPPM. Menurut beliau lagi, projek ini dapat melahirkan jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar dari sudut fizikal,emosi,rohani dan jasmani dalam usaha menyiapkan jalur gemilang ini yang merupakan simbolik kebanggaan rakyat Malaysia.


Selain mengeratkan ukhuwah sesama warga Fakulti Pendidikan Dan Pembangunaan Kolej UNITI Port Dickson, projek ini yang menjadi antara program yang wajib dijalankan setiap tahun sempena Bulan Kemerdekaan ini juga sebagai usaha melahirkan modal insan yang produktif, kreatif dan inovatif dalam menjayakan wawasan negara disamping mencungkil bakat terpendam para pelajar Diploma Pendidikan Prasekolah yang merupakan bakal-bakal pendidik yang akan berkhidmat dan berbakti untuk Negara pada masa akan datang.




DISEDIAKAN OLEH,

CIK NUR AKMAR BINTI MOHD ARIF
PENSYARAH/ KETUA UNIT MEDIA FAKULTI,
FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA,

KOLEJ UNITI PORT DICKSON

0 comments:

Post a Comment