Ketua Penolong Pengarah bahagian itu, Marzita Omar berkata, kegagalan mereka berbuat demikian adalah satu kesalahan.
“Mengikut Akta Pendidikan 1996, semua institusi pendidikan swasta termasuk untuk pendidikan prasekolah hendaklah didaftarkan bagi mengelakkan daripada dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden ECCE, Dr. Azhar Md Adnan.

Marzita berkata, ibu bapa yang hendak menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti pendidikan prasekolah boleh membuat aduan kepada Jabatan Pendidikan daerah atau negeri jika mendapati tadika swasta anak mereka itu tidak berdaftar dengan pihak kementerian.

“Jika ibu bapa mahu tadika anak mereka itu diiktiraf oleh kerajaan walaupun dikendalikan oleh pihak swasta, mereka perlu membuat aduan supaya pihak kementerian mengambil tindakan terhadap pengusaha tadika terbabit.

“Ini supaya tadika berkenaan dapat dipantau dan kita dapat mengenalpasti segala kelebihan dan kekurangan tadika tersebut yang menjadi sebahagian dari sistem pendidikan yang penting di negara ini,” katanya.

Menurutnya, sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 31 tadika swasta di negara ini telah diambil tindakan dan dikenakan kompaun oleh kementerian atas pelbagai kesalahan termasuk tidak berdaftar dengan kementerian.

Sementara itu Dr. Azhar berkata, Forum Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan 2016 akan diadakan di seluruh negara bermula 26 Mac ini.

Forum julung-julung kali diadakan itu bagi meningkatkan lagi tahap dan kualiti pendidikan prasekolah di negara ini termasuk kesemua pengendali dan guru-guru tadika swasta mesti mempunyai kelayakan dan kelulusan sekurang-kurangnya diploma menjelang tahun 2020.

“Forum turut melibatkan isu-isu aspek pengurusan, perguruan, kualiti program pendidikan, kerjasama antara sekolah dan para ibu bapa serta aspek kualiti keselamatan, kesihatan dan nutrisi yang tinggi.

“Selain bagi mengumpulkan seramai mungkin kesemua pengusaha dan pengendali sekolah-sekolah tadika di negara ini diharapkan dengan adanya siri jelajah forum ini akan memberikan banyak manfaat kepada semua pihak terutama para pelajar itu sendiri,” katanya.


(Sumber: Astro Awani)