Pada tahun 1850, Sultan Mansur Syah Aceh telah melakar peta Alam Melayu untuk diutuskan pada Sultan Abdul Majid Uthmaniyah (ayah Sultan Abdul Hamid II).
Pada peta tersebut, Semenanjung Tanah Melayu dinamakan sebagai “Anatol” (Anatolia). Seperti sedia maklum, Anatolia adalah sebuah wilayah Uthmaniyah yang terletak di Turki.
Apa yang tersurat, nama Anatol ini membawa maksud semenanjung walaupun makna asalnya bukanlah semenanjung. Ini kerana Anatolia itu adalah sebuah semenanjung di Turki. Sedangkan semenanjung dalam bahasa Turki ialah ‘yarimadasi’
Namun saya merasakan ada yang tersirat pada peta ini kenapa semananjung Tanah Melayu ditandakan dengan nama Anatol setelah membaca kandungan surat Sultan Mansur Syah kepada Sultan Abdul Majid yang ditulis dalam bahasa Melayu. Ini hanyalah andaian saya berdasarkan penelitian pada peta dan surat.
Dalam surat yang ditulis pada tahun 1849 itu, Sultan Mansur Syah Aceh seolah-olah memberikan isyarat pada Sultan Abdul Majid agar Uthmaniyah bertapak di Semenanjung Tanah Melayu dan menjadikannya 'Anatolia' kedua buat Uthmaniyah bagi menghadapi kejahatan Belanda di Alam Melayu. Pada ketika ini Semenanjung Tanah Melayu masih bebas dari penguasaan Inggeris memandangkan Perjanjian Pangkor mula ditandatangani pada tahun 1874.
Antara kandungan surat dalam bahasa Melayu yang diutuskan oleh Sultan Mansur Syah Aceh pada Sultan Abdul Majid I (Uthmaniyah) :-
1) Adapun kerana hal ehwal surat ini Patik mengirimkan ke bawah Dauli Hadrah kerana tatkala dahulu Negeri Jawi (Alam Melayu) sekiannya orang muslim kuatlah dengan berbuat ibadah dan tetaplah agama Islam dan senanglah kehidupan segala orang fakir dan miskin dan lainnya. Dan sekarang sudah lama binasa negeri kerana sudah masuk orang kafir Belanda…..
2) Adapun sekarang ini kita hendak berlawan perang dengan orang Belanda kerana Belanda itu adalah kepala perang….
3) Adapun kerana Patik sekarang ini sangatlah musykil dan kesukaran kerana Negeri Jawa dan Negeri Bugis dan Negeri Bali dan Negeri Burniu dan Negeri Palembang dan Negeri Minangkabau sudah lama dihukumkan oleh orang Belanda dan sangatlah susah segala orang muslim….
4) Sesudah itu maka Patik berfikirlah dengan segala hulubalang dan segala orang-orang besar bagaimanalah kita ini tiadalah datang perintah dan wasatah daripada Penghulu kita di Negeri Rum adapun kerana Negeri Rum terlalu sangat jauh…..
Wallahu ‘Alam
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Islam Nusantara
Maktab Penyelidikan
Tamadun Islam Nusantara