Pages

Tuesday 22 August 2017

6 Aktiviti Tingkatkan Semangat Patriotik Kanak-Kanak Sempena Bulan Kemerdekaan!- Nur Akmar Mohd Arif

Wahhhh Bulan Ogos datang lagi!

Bulan Ogos juga dikenali sebagai bulan kemerdekaan kerana negara kita saban tahun meraikan hari kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.


Jom kita lakukan enam aktiviti menarik untuk kanak-kanak di tadika bagi meningkatkan keterujaan dan semangat patriotik dalam diri mereka. Ayuh serlahkan jiwa kemerdekaan si cilik dengan aktiviti yang bermakna sepanjang Bulan Ogos ini!

Ihsan imej: google
Pertama, aktiviti melukis dan mewarnakan bendera Malaysia. Melalui aktiviti ini, kanak-kanak boleh mengenali warna-warna yang terdapat di Bendera Malaysia iaitu kuning, biru, putih dan merah. Sama ada menggunakan pensil warna, crayon atau warna air, kanak-kanak memang suka mewarna! Serlahkan bakat mereka dengan mewarnakan bendera Malaysia di kain rentang untuk sedia dikibarkan dengan bimbingan guru.


Kedua, aktiviti menyanyikan lagu Negaraku. Kanak-kanak perlu diajar berdiri tegak sebagai tanda hormat sepanjang berkumandangnya lagu Negaraku. Si cilik yang berdiri tegak sambil menyanyikan lagu ini dengan penuh semangat pastinya menyentuh hati bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya.


Ketiga, aktiviti menonton filem-filem bersejarah bersama guru juga boleh dilaksanakan di tadika seperti cerita Leftenan Adnan Dan Bukit Kepong. Aktiviti seperti ini boleh membangkitkan semangat patriotik dan sayangkan negara dalam kalangan kanak-kanak ini. Mesej daripada filem yang ditonton ini perlulah disampaikan oleh guru secara santai dan mudah difahami oleh kanak-kanak cilik ini.


Keempat, aktiviti bercerita juga boleh dijalankan di tadika sama ada menggunakan video, surat khabar atau big book. Guru boleh bercerita tentang Hari Kemerdekaan, Tokoh Kemerdekaan, Perdana Menteri Malaysia, Bendera Malaysia dan lain-lain lagi. Guru juga boleh bercerita tentang Bunga Kebangsaan iaitu bunga raya.


Kelima, kanak-kanak boleh dilibatkan dengan perarakan kemerdekaan dengan bimbingan guru. Berarak dengan memakai baju kebangsaan sambil mengibarkan bendera Malaysia dapat meningkatkan semangat patriotik dan perasaan cintakan Negara. Melalui aktiviti ini, kanak-kanak juga didedahkan dalam persekitaran sosial yang sihat dan harmoni.


Keenam, pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik dan sajak kemerdekaan pastinya meningkatkan keterujaan kanak-kanak. Selain menambah kosa kata dan meningkatkan perbendaharaan kata, aktiviti pertandingan seperti ini juga dapat membangkitkan perkembangan emosi yang positif dalam kalangan kanak-kanak.

Ayuh! Kobarkan semangat patriotik dan sayangkan negara pada si cilik melalui perancangan aktiviti yang menarik lagi bermakna di tadika.


Disediakan oleh,


Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah (Jabatan Pendidikan),
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson

0 comments:

Post a Comment