Ihsan imej: Google Pics |
Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan oleh tokoh-tokoh terkenal terdahulu mengenai aktiviti bermain ini, antaranya ialah Vygotsky. Beliau menyatakan bahawa bermain membantu perkembangan bahasa dan pemikiran kanak-kanak.
Selain itu kaedah bermain juga dapat memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk meluahkan tekanan dalam menghadapi dunia sebenar.
Bermain terdiri daripada beberapa jenis antaranya:
1) solitary play (bermain sendirian),
2) parallel play (bermain bersama-sama),
3) associative play (main gabungan) dan
4) cooperative play (bermain berkumpulan).
Bagi seseorang kanak-kanak, bermain adalah satu pekerjaan bagi mereka.
Secara kasarnya, kebanyakan orang melihat belajar sambil bermain ini hanya main semata-mata dan tidak mendatangkan faedah, akan tetapi, melalui pendekatan ini sebenarnya dapat meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak dari pelbagai aspek.
Sebagai contoh subjek Matematik mengira nombor, kebiasaannya belajar menggunakan latihan buku dan papan tulis boleh ditukarkan dalam bentuk permainan seperti permainan “Bowling Nombor”, dimana kanak-kanak boleh belajar bermain bowling sambil belajar mengira nombor mengikut jumlah pin yang jatuh.
Pendekatan tersebut merupakan pendekatan secara “child-centered” dan banyak aktiviti “hands-on”, dimana kanak-kanak melakukan sendiri dan guru hanya membimbing dalam aktiviti.
Apabila kanak-kanak sendiri yang melakukan dan menerokai sesuatu, pembelajaran tersebut lebih bermakna.
Jadi sebagai guru, perlulah bijak merancang dan menyediakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan tema atau tajuk yang ingin diajar dan peringkat umur kanak-kanak supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan objektif pembelajaran tercapai.
Selain itu, ibubapa juga telah semakin sedar tentang pendekatan bermain ini dapat membantu anak-anak mereka dan banyak hasil kerja tangan dan aktiviti yang dibuat sendiri seperti busyboard, busybook, kinetic sand dan sebagainya untuk anak-anak mereka main.
Melalui aktiviti tersebut, perkembangan motor halus, motor kasar, daya tumpuan dan kemahiran menyelesaikan masalah dapat ditingkatkan.
Tambahan lagi, dengan bermain, kanak-kanak dapat berimaginasi, berkreativiti, berdikari, meningkatkan tatabahasa dan pertuturan antara guru dan rakan sebaya, mendengar arahan, bekerjasama dalam aktiviti berkumpulan.
Kesimpulannya, bermain adalah fitrah kanak-kanak. Apabila pengajaran dan pembelajaran yang ingin disampaikan selari dengan fitrah mereka, maka pembelajaran itu lebih bermakna, seronok dan menjadi lebih mudah.
Disediakan Oleh:
PUAN NUR SHAFIQA BINTI MOHTAR
PENSYARAH,
JABATAN PENDIDIKAN,
FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA,
KOLEJ UNITI PORT DICKSON