Ihsan imej: google |
Menerusi pembacaan atau pendedahan melalui program keibubapaan, Program playschool mula meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang pentingnya pendekatan bermain ini didedahkan kepada anak-anak sejurus mereka mula belajar, sekitar usia enam bulan ke atas dan kesannya terhadap perkembangan anak-anak.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat tentangan dari generasi-generasi tua tentang isu terlalu awal untuk anak-anak dihantarkan ke sekolah atau pun ianya satu pembaziran menghantar anak-anak ke sekolah dengan bayaran cuma untuk kanak-kanak ini menghabiskan masa untuk bermain. Tidak kurang juga yang memandang serong sesetengah ibu bapa yang menghantar anak mereka ke playschools sebagai golongan yang “gedik” kerana menginginkan prestasi anak mereka jauh lebih hebat dari anak orang lain. Bagi merungkai spekulasi yang semakin tular dalam masyarakat kita tentang keperluan playschools, mari kita rumuskan keperluan sebenar kanak-kanak dan sebab sebenar untuk ibu bapa memilih playschools.
1. Kanak-kanak belajar melalui bermain
Bermain dan kanak-kanak adalah fitrah yang tidak dapat dipisahkan. Kebanyakan ibu bapa lebih senang melihat anak-anak mereka menghabiskan masa dengan belajar tanpa mereka sedari dengan bermain sebenarnya kanak-kanak ini mendapat manfaat yang lebih dari pelbagai sudut perkembangan. Menurut Jean Piaget dalam kajiannya menegaskan bahawa main adalah ciri-ciri yang membantu kanak-kanak meningkatkan perkembangan mereka dan juga memperoleh pengalaman yang dikenali sebagai asimilasi dan akomodasi. Kebanyakan aktiviti yang dijalankan di bawah program playschool menggalakkan kanak-kanak untuk bermain secara pelbagai, termasuklah aktiviti seperti menyelesaikan masalah dan reka cipta. Menerusi bahan permainan pembelajaran Artera, kanak-kanak dapat meluaskan lagi imaginasi mereka dalam membina, mereka cipta dan bermain dengan baik menerusi kompenen-kompenen menarik yang disediakan.
2. Menggalakkan pendidikan interaktif sambil bermain.
Playschools, seperti yang digambarkan, ianya menggalakkan sepenuhnya pendekatan bermain. Tiada jadual yang ketat, pembelajaran yang berat serta memberi kebebasan untuk kanak-kanak belajar tentang persekitaran melalui interaksi yang aktif di kalangan rakan-rakan dan guru. Menerusi pendidikan ini, kanak-kanak dapat mempelajari perbezaan tentang warna-warna, bentuk serta objek-objek yang berada di persekitaran mereka.
3. Mengukuhkan kemahiran motor halus dan motor kasar.
Motor halus merupakan gerakan-gerakan kecil yang menggunakan anggota badan manakala motor kasar merupakan gerakan-gerakan besar seperti berjalan, berlari dan sebagainya. Melalui bermain, kanak-kanak dapat memaksimumkan pencapaian mereka dalam perkembangan fizikal. Gerakan-gerakan halus dan kasar ini merupakan titik tolak untuk kanak-kanak ini mengukuhkan kemahiran mereka untuk mencapai satu perkembangan yang lain.
4. Mengukuhkan perhatian dan tumpuan kanak-kanak.
Berdasarkan nisbah guru yang lebih besar berbanding sekolah-sekolah awam, guru mempunyai lebih ruang untuk menumpukan lebih perhatian kepada kanak-kanak. Guru dan kanak-kanak dapat menjalinkan satu perhubungan yang lebih rapat dan bermakna. Hubungan yang terjalin dapat membantu kanak-kanak lebih peka tentang sosio emosi antara rakan-rakan dan guru. Ini dapat membantu kanak-kanak lebih fokus dalam memainkan peranan sebagai rakan dan murid serta menerima arahan untuk tugasan-tugasan kecil sewaktu sesi bermain.
5. Membina keyakinan dan kemahiran komunikasi
Melalui aktiviti bermain juga, kanak-kanak akan melalui fasa berkomunikasi dengan rakan-rakan di sekitarnya. Aktiviti ini selalunya berlaku dalam proses tawar menawar barangan permainan, alatan tulis dan sebagainya. Semakin banyak patah kata yang dituturkan, semakin meningkat lah kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Selain dari sesi perbualan, kemahiran komunikasi juga dapat dilihat dari cara kanak-kanak bermain secara berkumpulan. Aktiviti-aktiviti menggunakan bahan seperti Artera banyak dapat membantu kanak-kanak untuk mengukuhkan kemahiran bermain secara kumpulan.
Berikut adalah serba sedikit perkongsian tentang program playschools yang ditawarkan kepada kanak-kanak di bawah usia 4 tahun. Sebagai ibu bapa, anda haruslah bijak dalam menentukan hala tuju buat anak-anak anda, tetapi harus juga di ingatkan, berilah peluang untuk anak-anak anda untuk menikmati usianya.
Disediakan Oleh,
Nurshaqila bt. Toha,
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.
0 comments:
Post a Comment