Pages

Monday 11 December 2017

Pensyarah Kolej UNITI Port Dickson Ambil Peduli Banteras Jenayah Seksual Kanak-kanak- Faridah Mohd Tap

Peserta bergambar bersama panel (tengah) di akhir kursus.
30 November-  Sekitar 50 orang pensyarah dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM) dan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (FTK) telah mengikuti kursus Pengurusan Emosi dan Literasi Undang-undang Kekeluargaan dan Kanak-kanak anjuran kerjasama kedua-dua fakulti tersebut sebagai wahana pencerdasan dalam pengukuhan institusi kekeluargaan dan masyarakat mendepani cabaran semasa yang semakin rencam.

Tiga orang panel telah diundang khas bagi menjayakan kursus terdiri daripada Ustazah Zawiah binti Hassan, penceramah bebas yang tidak asing lagi di Malaysia, Puan Norazla binti Abdul Wahab, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Saudara Khairul Anuar bin Abdul Manap, mewakili Pertubuhan Pemerkasaan Keluarga (FAME) selaku setiausaha. Ketiga-tiga panel memberi penekanan kepada pengurusan emosi dan pencerdasaan undang-undang melibatkan keluarga dan kanak-kanak.

Ustazah Zawiah Hassan yang juga merangkap mantan Ketua Pendaftar JAWI menyentuh tentang peri pentingnya pengurusan emosi dengan berkongsi realiti kes-kes keretakan rumahtangga akibat desakan emosi yang tidak stabil berdasarkan pengalaman beliau sepanjang 29 tahun berkhidmat.

Ustazah Zawiah Hassan berkongsi tips membahagiakan keluarga
Beliau turut berkongsi bagaimana membina motivasi dalaman untuk menjadi seorang pekerja yang baik dengan menekankan konsep syukur dan kerjaya sebagai ibadah.  "Apabila keluarga bahagia secara tidak langsung terjelma dalam kerjaya yang berjaya. Itulah kehidupan yang barakah." Rumus beliau pada sesi pertama kursus tersebut.

Berikutnya, para pensyarah juga telah diberikan pendedahan terkini berkaitan Akta Kanak-kanak 2001 dan Jenayah Seksual serta langkah pencegahannya oleh gandingan ahli akademik dan aktivis kanak-kanak, Puan Norazla dan Saudara Khairul Anuar.

Gandingan Puan Norazla dan Sdr Khairul Anuar 
Beberapa terma baru juga didedahkan kepada peserta kursus seperti 'Kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-udang' bagi merujuk kepada kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam perlakuan jenayah serta peri penting masyarakat melaporkan kes-kes kepada kepada pihak berkuasan agar jenayah terhadap kanak-kanak dapat dibanteras oleh Puan Norazla.

Peserta juga didedahkan dengan kewujudan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak yang telah beroperasi sepenuhnya di Putrajaya pada 1 Julai 2017 yang lalu.

Manakala, Saudara Khairul Anuar mewakili Badan Bukan Kerajaan berkongsi beberapa kes jenayah seksual dan pengabaian kanak-kanak. Beliau memberi penekanan agar ibubapa dan pendidik kanak-kanak sentiasa cakna dengan persekitaran dan individu di sekeliling mereka. Beliau turut menegaskan bahawa kanak-kanak perlu dinasihat agar sentiasa berhati-hati dengan semua orang bukan lagi kepada orang asing kerana banyak kes rogol yang berlaku melibatkan pelaku yang dikenali mangsa kanak-kanak tersebut.


"Penganjuran kursus ini sebenarnya merupakan usaha fakulti bagi mendedahkan kepada peserta tentang pengurusan emosi yang baik agar dapat mencipta persekitaran keluarga dan kerjaya yang bahagia dan berjaya. 

Selain itu, sesuai dengan gagasan FPPM yang menawarkan program-program diploma pendidikan pra sekolah dan asuhan awal kanak-kanak, pendidikan Islam sekolah rendah dan psikologi kaunseling, maka slot literasi undang-undang berkaitan kanak-kanak dan jenayah terhadap mereka juga diberikan. Seterusnya, perkongsian daripada kursus ini mereka turunkan pula kepada pelajar-pelajar dan anak-anak taska dan tadika agar jenayah seksual kanak-kanak dapat dibanteras dengan keterlibatan semua pihak. Ia juga bertepatan dengan komitmen kerajaan dalam menangani isu kanak-kanak ini." Jelas penganjur.



Disediakan oleh,


Puan Faridah Mohd Tap
Setiausaha,
Kursus Pengurusan Emosi dan Literasi Undang-undang Kekeluargaan,
Kolej UNITI Port Dickson.


Galeri Foto:



















0 comments:

Post a Comment