Pages

Sunday 10 December 2017

Ucapan Khas Timbalan Dekan bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia- Puan Hidayah Tokiman

Konvensyen Hak Kanak-Kanak mengesahkan keperluan bagi perlindungan undang-undang dan perlindungan yang lain kepada kanak-kanak sebelum dan selepas lahir, kepentingan hormat kepada nilai kebudayaan komuniti kanak-kanak dalam menjamin hak kanak-kanak. Di Malaysia konvensyen ini telah diterima pakai pada 17 Februari 1995 yang telah ditandatangi oleh Perdana Menteri pada 28 Disember 1994 yang merupakan sebuah perjanjian antarabangsa yang bertunjangkan kepada kepentingan dan hak asasi kanak-kanak.
ihsan imej: google


Rentetan itu sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia buat kali pertama oleh UNICEF (United Nations Children’s Fund) pada tahun 1954 dan pada tahun 1959 Hari Kanak-Kanak Sedunia telah diistiharkan dan disambut pada tiap-tiap tahun pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober di Malaysia. Sambutan ini sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan kepada golongan kanak-kanak yang diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat secara keseluruhannya akan peranan dan tanggungjawab dalam memelihara hak serta masa depan kanak-kanak.



Sementara Hari Kanak-Kanak Universal pula disambut pada 20 November pada setiap tahun bagi memperbaharui komitmen terhadap Pengistiharan Hak Kanak-Kanak dan Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak seterusnya memberi ruang kepada perbincangan masyarakat antarabangsa akan kepentingan kefahaman generasi kanak-kanak.



Terkini, menerusi perutusan khas sempena Hari Kanak-Kanak Universal menyentuh isu kanak-kanak menerusi Pertubuhan-pertubuhan Negara Islam (OIC), kanak-kanak perlu mendapat pendidikan berkualiti dan persekitaran yang baik, menanamkan nilai tolerasi sesama manusia bagi memenuhi keperluan kesihatan mental dan fizikal mereka. Tambahan membincangkan isu kanak-kanak di dunia Islam sejajar dengan matlamat dan visi keseluruh serta menyeru negara yang mengiktiraf hak universal kanak-kanak agar menyertainya demi kepentingan dan kesejahteraan kanak-kanak.



Terdahulu Persidangan Menteri-Menteri Islam pada 2013 telah menerima pakai pelan tindakan untuk menangani isu berkaitan hak pendidikan dan penjagaan kesihatan kanak-kanak, perlindungan terhadap penderaan, keganasan, buruh paksa dan pemerdagangan kanak-kanak. Selain itu persidangan turut menyentuh berkaitan hak kanak-kanak dalam pembangunan fizikal, intelektual psikologi termasuk penjagaan perubatan serta psikologi khasnya bagi kanak-kanak yang tinggal di zon perang dan konflik.



Demikian, jelaslah bahawa hak dan kepentingan kanak-kanak sangat mempengaruhi sesuatu keputusan. Dengan adanya Hari Kanak-Kanak Sedunia dapat memberi semangat dan inspirasi di seluruh dunia bagi kanak-kanak menyuarakan perkara-perkara penting tanpa menidakkan hak-hak mereka kerana generasi inilah yang akan menerajui negara bila tiba masanya nanti. Justeru, pelihara dan sokonglah dalam setiap perkembangan mereka kerana kanak-kanak adalah jaminan masa depan negara.


Disediakan oleh:

Puan Hidayah Binti Tokiman,
Timbalan Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia
Kolej UNITI Port Dickson.


0 comments:

Post a Comment