Pages

Thursday 28 December 2017

TAHUKAH ANDA? Penduduk Lelaki lebih ramai daripada penduduk wanita di Malaysia.

Tahukah kalian bahawa jumlah penduduk lelaki masih lagi mendahului penduduk wanita di Malaysia? Menurut statistik bancian penduduk Malaysia 2010, 51.5 peratus adalah penduduk lelaki berbanding 48.5 peratus penduduk wanita. Penduduk lelaki dijangka berterusan mendahului penduduk perempuan hingga tahun 2040 dengan sedikit penurunan peratus kepada 50.8.

Persoalannya, sejauhmana para lelaki ini dibina potensi diri mereka seperti yang dimaksudkan didalam Al-Qur’an dimana Allah berfirman maksudnya, “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).

Justeru, kita perlu memandang serius kepada gejala keciciran lelaki dalam pendidikan dengan mengenal pasti dan membina potensi secara tepat dan efektif bersesuaian dengan fitrah sebenar mereka sebagai ‘pemimpin’. Ini ternyata benar apabila merujuk kepada kalamullah tentang perbezaan cara pendidikan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang bermaksud “maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).

Menurut Michael Gurian bersama Kathy Stevens (2011) dalam buku berjudul ‘Boys and girls learn differently: a guide for teachers and parents’, kanak-kanak lelaki perlu dibantu menjadi lelaki sebenar apabila dewasa dengan membantu mereka mencari anugerah semulajadi dan memanfaatkan anugerah berharga tersebut kepada masyarakat. Ia merupakan usaha murni bagi membantu memperkasa potensi ‘heroic’ lelaki seawal mereka kanak-kanak untuk tujuan yang lebih besar iaitu menjadi pemimpin kepada masyarakat dalam semua lapangan.

Pendedahan Tujuan

Untuk itu, kanak-kanak lelaki perlu diberikan pendedahan tentang tujuan mereka dicipta sebagai lelaki yang digariskan dalam Al-Qur’an iaitu sebagai pemimpin. Kesan daripada kehilangan tujuan dalam diri mereka akan menyebabkan tahap kematangan yang lambat, keciciran dalam pelajaran, tidak dapat membina perasaan yang jelas tentang kepentingan peranan mereka dalam pendidikan dan sosial, serta terlibat dalam keganasan.

Keterlibatan lelaki dalam aktiviti-aktiviti keganasan adalah manifestasi sifat kelakian mereka yang sukakan kepada aktiviti lasak, agresif,‘thrill’ dan mendominasi tetapi ia tersasar jauh daripada yang sepatutnya iaitu menjaga keluarga dan survival masyarakat daripada ancaman bahaya. Ini terjadi apabila mereka hilang tujuan kenapa mereka dijadikan sebagai lelaki di dunia ini.

Oleh itu, bagaimana mahu membangunkan kanak-kanak lelaki yang ada tujuan?  Menurut Gurian (2011), ibubapa dan guru perlu memandu biologi kanak-kanak lelaki untuk mengetahui dan memahami tujuan kejadian mereka, membantu mereka membina empati, dan mengurus kekuasaan secara sihat atau istilah lainnya ‘aggression nurturance’. Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki sering terlibat dengan pergelutan fizikal untuk menunjukkan kekuasaan dan kekuatan fizikal.

Kanak-kanak lelaki perlu dididik supaya menguruskan kekuasaan tersebut secara sihat seperti mengadakan pertandingan yang boleh menguji sifat ‘heroic’ mereka sebagai lelaki. Bagi yang kalah dalam pertandingan, ia juga sebenarnya boleh membantu kanak-kanak lelaki untuk membina kekentalan jiwa, kekuatan fizikal, mental dan emosi yang akan menjadi asas kepada masa depan yang berjaya, kecemerlangan prestasi, tujuan dan keterlibatan dalam kehidupan bermasyarakat.   

Kesimpulannya, kajian menunjukkan kanak-kanak lelaki banyak belajar melalui bermain. Pembelajaran melalui aktiviti bermain akan menjadi pengalaman kepada mereka dalam membangunkan sifat-sifat kepimpinan, menjadikan mereka lebih empati dan mempunyai tujuan dalam hidup. Oleh itu, ibu bapa dan institusi pendidikan khususnya perlu celik tentang keperluan kanak-kanak dan pelajar lelaki supaya potensi ‘heroic’ dalam diri mereka dapat dibangunkan untuk manfaat agama, masyarakat dan negara dan isu keciciran pelajar lelaki dalam pelajaran dapat diatasi.

Disediakan oleh,

PUAN FARIDAH BINTI MOHD TAP
Ketua Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI, Port Dickson.


0 comments:

Post a Comment