Pages

Sunday 10 June 2018

TANGGUNGJAWAB MELAPORKAN BANTERAS JENAYAH DAN PENDERAAN TERHADAP KANAK-KANAK- Faridah Mohd Tap

Ihsan Imej: Pinterest.com




Beberapa kejadian menyayat hati melibatkan kematian dan kecederaan serius kanak-kanak akibat penderaan dan penderaan secara seksual yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini menuntut masyarakat amnya lebih prihatian terhadap tanggungjawab melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa agar jenayah ini dapat dibanteras.




Statistik Polis Diraja Malaysia menyatakan sebanyak 22, 234 kes penderaan seksual kanak-kanak telah direkodkan sepanjang tahun 2010 hingga Mei 2017 bukan jumlah yang boleh diambil ringan.




Daripada statistik tersebut, kes rogol 13, 272 mencatat angka tertinggi,diikuti 6,014 kes cabul, sumbang mahram, 1,796 dan perbuatan luar tabii, 1,152 kes. Lebih mengejutkan, 90 peratus pelaku jenayah dikenali oleh kanak-kanak yang menjadi mangsa.




Bertambah pilu, banyak kes penderaan seksual berulang apabila tiada pelaporan dibuat khususnya di kawasan-kawasan pedalaman. Ia juga dipengaruhi oleh faktor seperti mangsa kanak-kanak yang terlalu muda dan kanak-kanak yang mempunyai kelainan upaya. 




Justeru, apa yang masyakarat perlu tahu tentang kewajipan melaporkan agar jenayah penderaan seksual terhadap kanak-kanak ini dapat dibanteras dengan berkesan?



Tanggugjawab Melaporkan diberikan penekanan khusus dalam beberapa seksyen dibawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,   iaitu:


    a)  Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan: Pegawai perubatan atau pengamal perubatan, anggota keluarga dan pengasuh wajib untuk melaporkan sekiranya kanak-kanak didapati teraniaya, terabai, tercedera dari segi fizikal, emosi dan seks.

    b) Seksyen 19 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kewajipan melaporkan kepada ‘mana-mana orang.’ Hukuman: DENDA tidak melebihi RM 5,000.


    c)  Seksyen 19 telah meluaskan pemakaian kepada ‘guru, peguam, pekerja sosial, NGO, dan masyarakat secara keseluruhan.’

    d) Bahagian 4- Seksyen 16 (2): Orang yang punya hubungan amanah dengan kanak-kanak; ibu bapa, penjaga, saudara-mara, guru, pensyarah, warden, pengasuh, pemilik taska, jurulatih, orang yang menyediakan perkhidmatan kesihatan seperti jururawat dan lain-lain.




Oleh kerana, kanak-kanak banyak menghabiskan masa di sekolah, maka guru lebih berkewajipan untuk melaporkan sebarang perubahan tingkahlaku murid-muridnya kepada pihak bertanggungjawab. Ini menjadi salah satu tugas besar guru selain mendidik agar kanak-kanak di bawah jagaannya dapat diselamatkan daripada berterusan menjadi mangsa penderaan amnya, dan penderaan seksual khususnya.



Ironinya,  banyak kes yang tidak dilaporkan hanya terdedah apabila mangsa kanak-kanak tadi mungkin telah menemui ajal atau mengalami kemurungan yang serius.



Terdapat banyak faktor masyarakat am tidak melaporkan kes-kes sebegini antaranya risau dengan kesan negatif akibat laporan yang dibuat, ancaman dari pelaku jenayah, dilema kerana tinggal bersama atau bergantung hidup dengan pelaku jenayah seperti suami atau ayah, selain tidak berpengetahuan tentang undang-undang berkaitan penderaan seksual tersebut.



Ihsan imej: Pinterest.com
Demikian itu, masyarakat harus lebih prihatin dan peka tentang kewajipan melaporkan agar pelaku jenayah dapat dihukum, tidak berlaku pengulangan jenayah, tidak mendatangkan kecederaan serius kepada kanak-kanak dan kanak-kanak malang tersebut dapat diselamatkan dengan melalui proses pemulihan yang sepatutnya.



Malah, tindakan melaporkan ini jika dibuat secara bersama  dapat mencegah jenayah seksual ini dengan berkesan. Kita tidak mahu ramai lagi kanak-kanak menjadi mangsa dan tidak mendapat keadilan sewajarkan akibat ketidakpedulian kita terhadap tanggungjawab melaporkan ini.



Disusun oleh,

Puan Faridah Mohd Tap

Sumber asal:

Puan Norazla Abdul Wahab,
Pensyarah di Jabatan Undang-undang,
Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
(Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Hal Ehwal Wanita Islam ABIM dan aktivis siri literasi undang-undang dan advokasi hak kanak-kanak.)






0 comments:

Post a Comment