Agama
pada satu sisi negatif telah digambarkan sebagai pencetus konflik sehingga
menyebabkan perang yang berpanjangan. Paling malang adalah agama Islam bilamana
hampir keseluruhan pertumpahan darah di dunia ini melibatkan perasaan prejudis
kepada umat Islam. Islam disalahkan dan dijenamakan oleh pihak Barat sebagai
agama pengganas dan teroris. Apa jua bentuk keganasan yang berlaku, dunia barat
khususnya terus menunding jari menyalahkan agama Islam. Maka dengan serta-merta
melaungkan ‘war on terror’ (perang
menentang keganasan) tetapi lebih menjurus kepada ‘war on Islam’ (perang ke atas Islam).
Samuel P.
Huntington dalam ‘magnum opus’nya The Clash of Civilizations menyatakan
salah satu pencetus konflik dan perang di dunia selepas era perang dingin
adalah perbezaan budaya dan agama.
Malangnya, beliau cenderung melihat Islam sebagai ‘bloody border’ (wilayah berdarah) dengan menyatakan hampir kesemua
konflik antara tamadun melibatkan agama Islam. Tesis beliau ini kemudiannya
dikritik oleh beberapa ahli akademik antaranya Amartya Sen yang mengatakan
kepelbagaian budaya dan agama adalah salah satu ciri utama hampir kesemua tamadun
termasuklah Tamadun Barat.
Begitu
juga kenyataan Peter Hain, seorang Menteri di Eropah pada tahun 2002 yang
menuduh umat Islam di England sebagai golongan pemisah (disinonimkan sebagai
ekstrimis agama) dikritik semula oleh editor majalah The Guardian sebagai suatu
tuduhan yang tidak objektif dan berat sebelah. Editor tersebut menyanggah kenyataan
Hain dalam kolumnya bertajuk, ‘Peter Hain
Mishits: Separatism is Not Just an Islam Issue’ dengan menyatakan,
“There
are fundamentalists in all religions, who rightly make liberals
uncomfortable. Similarly, the Muslim community is not the only immigrant groups
who have turned in on themselves. To
suggest this is confined to Muslims is damaging and wrong. We do need a
grown-up debate about integration - and the causes, such as white
discrimination, for the growth of separatism.”
(Isnin, 13 Mei 2002 17.18 BST di http://www.guardian.co.uk/world/2002/may/13/eu.immigrationandpublicservices.)
PERSAMAAN
DALAM KEPELBAGAIAN
Tidak
dinafikan banyak konflik berdarah di dunia ini dicetuskan oleh puak pelampau
dan fanatik agama. Sebagai contoh, pembunuhan tokoh politik Indra Ghandi oleh
pelampau Sikh, Rajiv Ghandi oleh pelampau ‘Tamil Tigers’ di Sri Lanka, Yitzak
Rabin oleh Ultra-Orthodoks Yahudi, pembersihan etnik Bosnia oleh pelampau
orthodoks Kristian Yugoslavia, rusuhan berdarah Hindu-Muslim di Gujerat India oleh
pelampau Hindu dan Islam. (Badrul Hisham Ithnin, Pengajian Malaysia , 2011).Sedang
berlangsung tanpa berkesudahan krisis kemanusiaan berbaur etnik dan agama di
Myanmar melibatkan etnik Muslim Rohingya, Selatan Thailand, Melayu Moro di
Filipina dan pembunuhan rakyat besar-besar polis pemerintah ke atas kumpulan
protes di Bangladesh akibat tidak puas hati kepada hukuman mati ke atas
beberapa pemimpin tertinggi Jamaat-i- Islami.
Menyaksikan
senario hari ini, terus penulis teringat kepada perbualan antara malaikat dan
Allah S.W.T yang dikisahkan di dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 30. Sedari awal penciptaan manusia lagi, para
Malaikat berasa khuatir mengenai pertumpahan darah yang dicetuskan oleh
golongan manusia. Allah Ta’ala berfirman, Dan tatkala Tuhanmu berfirman
kepada malaikat: "Aku hendak menciptakan khalifah pada bumi", mereka
berkata: "Adakah Engkau mahu jadikan padanya makhluk yang akan berbuat
bencana padanya dan akan menumpahkan darah? Padahal kami berbakti dengan memuji
Engkau dan memuliakan Engkau". Dia berfirman: "Aku mengetahui apa
yang kamu tidak ketahui". (Ayat 30 : Surah al-Baqarah ).
Begitulah penciptaan
manusia jika hilang sifat peri insaniahnya, maka huru-hara bumi ini dengan
pelbagai bencana dan pertumpahan darah. Namunpun begitu, tujuan utama
penciptaan manusia sebenarnya adalah untuk berperanan sebagai khalifah di
dunia. Taklifan sebagai khalifah itu sendiri merupakan suatu anugerah kepada
manusia. Bagi yang memahami tujuan itu, sudah tentu dunia ini akan sunyi dari
sebarang persengketaan pemusnah generasi manusia. Kerana itulah, Allah Ta’ala
berfirman maksudnya, …"Aku mengetahui apa yang kamu tidak
ketahui."
Manakala, tujuan utama
Allah Ta’ala menciptakan kepelbagaian rupa dan bangsa di kalangan manusia
adalah berdasarkan nas Al-Qur’an yang bermaksud,
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki
dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,
supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya
di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan
kamu). (Al-Hujurat: ayat 13).
Daripada maksud
Kalamullah di atas, kita dapat menemukan jawapan dan solusi kepada segala
persengketaan manusia di dunia iaitu saling menghormati setelah masing-masing
berta’aruf dan berkenal-kenalan. Iya, bukan mudah untuk mencipta perasaan
saling menghormati. Disebabkan itulah semulia-mulia manusia adalah yang paling
bertaqwa. Hormat-menghormati adalah terbit dari rasa taqwa yang tinggi dalam
diri. Iya, bukan senang mahu meletak tepi ego diri, merasa diri dan bangsa
sendiri sebagai terpuji. Oleh itu, kembalilah mengingati bahawa asal kejadian
manusia adalah dari tanah, maka kepada tanah jualah tempat kita akan kembali.
Jika agama tidak dapat menyatukan, apakah salah kita bersatu dan hidup aman
harmoni atas nama perikemanusiaan? Itulah solusi kepada kemelut yang
membelenggu kehidupan manusia hari ini.
Oleh,
FARIDAH
BINTI MOHD TAP
Ketua
Jabatan Pengajian Umum,
Kolej
UNITI Port Dickson,
Negeri
Sembilan.
0 comments:
Post a Comment