Pages

Thursday, 7 March 2013

FPPM KOLEJ UNITI PORT DICKSON MENAWARKAN MAYS PELAJAR TERPILIH

Dekan FPPM, Encik Zakri sedang memberi ucapan alu-aluan kepada peserta MAYs.




KOLEJ UNITI, Port Dickson 23 Feb 2013- Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM)  telah menganjurkan sebuah program  “Masih ada Yang Sayang” (MAYs)  khusus untuk para pelajar Diploma Pendidikan Pra-Sekolah yang  terpilih.

MAYs merupakan satu usaha  inisiatif FPPM Kolej UNITI Port Dickson bagi membantu para pelajar meningkatkan keupayaan pencapaian akademik kepada yang lebih baik. Berdasarkan kajian  yang dibuat oleh para ahli akademik dan motivator, prestasi  akademik yang tinggi dikalangan pelajar didorong oleh beberapa faktor.

Antara faktor-faktor tersebut ialah kemampuan  dalam menentukan matlamat,  merancang jadual  akademik,  keyakinan diri, strategi belajar yang efektif, kemahiran dalam mengurus masa, adab dan taat kepada guru, ibubapa serta memelihara dan menunaikan kewajipan solat fardu lima waktu.

Hasil kajian juga telah menunjukkan hanya sekitar 40% pelajar sahaja di institusi pengajian tinggi yang membina matlamat dan membuat perancangan bagi mencapainya  sepanjang berada di institusi. Selebihnya, pelajar sekadar mengikuti kuliah dan menamatkan program diploma seadanya.

SOLAT KUNCI KEJAYAAN

Selain itu, faktor penting yang mempengaruhi kejayaan pelajar adalah kemampuan pelajar mendirikan solat sejurus selepas kedengaran laungan azan tanpa melengahkan waktu. Hubungan solat dan kejayaan secara mudahnya ia dapat difahami daripada seruan azan yang mengandungi lafaz Hayya ya a’las solah (marilah menunaikan solat) dan diikuti lafaz Hayya ya a’lal Falah (marilah menuju kejayaan).

Seruan ini sudah cukup membawa erti bahawa setiap individu yang memelihara dan mendirikan solat pasti diiringi dengan kejayaan bukan sahaja didunia tetapi jug akhirat, alam yang lebih abadi. Solat merupakan ‘sillah’ atau talian yang menghubungkan individu muslim kepada Penciptanya, Allah ‘Azza Wajalla. Melalui solat yang sempurna terhimpun pelbagai bentuk  pendidikan yang bermakna kepada diri.

Solat juga senjata yang cukup ampuh sebagai perisai  diri dari terjebak ke dalam perkara mungkar yang memesongkan fokus individu tersebut dalam mencapai matlamat untuk cemerlang di dunia dan akhirat.

Justeru itu FPPM, Kolej UNITI Port Dickson melalui Unit Pembangunan Pelajar telah menganjurkan program ini secara berkala sepanjang semester. Antara modul-modul yang telah dibangunkan secara konprehansif adalah Menggapai Impian, Bisa Sukses, Motivasi Solat, Pembelajaran Aktif, masa Efektif dan Role 3S. Justeru, para pelajar tersebut perlu mengikuti modul-modul ini sepanjang semester yang mengambil masa sekitar 14 jam. 

Paling penting, para pelajar yang terpilih perlu merasakan program ini sangat berharga dan sepatutnya tidak melepaskan peluang untuk mengikutinya demi menjamin kejayaan mereka di kolej bertuah ini.

Disediakan oleh
Encik Zakri b Md Zain
Dekan FPPM, Kolej UNITI Port Dickson

0 comments:

Post a Comment