Pages

Wednesday, 27 March 2013

SOLAT DAN TAZKIRAH AGAMA: BINA JATI DIRI REMAJA




Penulis sedikit terkilan dengan fenomena segelintir pelajar hari ini terutama apabila menyentuh tentang budi pekerti ketika berurusan. Pernah suatu ketika di dalam kelas, pelajar mengeluarkan kata-kata dengan nada kasar apabila perbuatannya yang kerap datang lewat ke kelas ditegur.“Sukahati sayalah nak datang lewat, bapak saya yang bayar,” sedikit keras suara pelajar lelaki terbabit apabila ditegur mengenai kekerapan kelewatannya ke kelas.


 Pernah juga perkataan mencarut dan kesat seperti sial terkeluar dari pelajar perempuan yang manis bertudung dan berbaju kurung memarahi temannya kerana mengusiknya di dalam kelas walaupun di hadapan gurunya. Menceburi bidang pendidikan ini, penulis terasa sungguh berat amanah yang digalas untuk mendidik remaja yang serba-serbi penuh ‘kejutan’ ini.


Penulis juga yakin, rakan-rakan seangkatan di luar sana pernah berhadapan dengan situasi yang hampir sama. Mungkin bukan dengan pelajar di dalam bilik kuliah, tetapi remaja yang sedang meningkat umur ke alam dewasa di mana-manapun.   Budi pekerti di kalangan remaja hari ini semakin terhakis kerana merasakan diri sudah ‘dewasa’ untuk menentukan perjalanan hidup sendiri.


Pantun orang lama-lama, ‘buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan, kami budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan’ sudah tidak lagi relevan kepada segelintir mereka. Ibu bapa juga semakin hilang kawalan ke atas mereka lantaran sikap negatif segelintir pelajar yang kononnya ‘tahu serba-serbi’ berkaitan hidup. Pantang di tegur kesilapannya, cepat sahaja dia melenting! Justeru, bagaimana mahu menghadapi golongan remaja bersikap negatif seperti ini?


Menurut sebuah jurnal pendidikan Islam dan Bahasa Arab berjudul ‘ Pendekatan Islam dalam Menangani Masalah Disiplin Tegar Dalam Kalangan Pelajar Sekolah: Suatu Kajian Kes’ oleh Khalim Zainal dan Wan Zulkifli Wan Hassan (2009) menyatakan bahawa pemantapan pelajar melalui pendekatan Islam iaitu solat dan tazkirah agama mampu mengubah tingkahlaku pelajar bermasalah disiplin. Daripada kajian kes yang dibuat, terdapat perubahan ketara kepada para pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin. Program yang dibuat untuk pelajar tegar disiplin adalah seperti berikut,


Waktu (Isnin-Jumaat)
Pengisian

7:30- 10:30 pagi

-        Membaca Al-Qur’an
-        Menunaikan solat Dhuha
-        Tazkirah

1:30- 2:00 petang
Lapor diri kepada guru disiplin di bilik guru untuk berbincang dengan guru disiplin.


(Sumber: Khalim Zainal dan Wan Zulkifli Wan Hassan. (2009). Pendekatan Islam dalam Menangani Masalah Disiplin Tegar Dalam Kalangan Pelajar Sekolah: Suatu Kajian Kes. Dimuat turun di http://journalarticle.ukm.my/766/1/6_0.pdf)



Penulis bersetuju dengan pendekatan yang dibuat sebagai usaha pemantapan iman dan jati diri pelajar terbabit. Ini bertepatan dengan pendekatan Rasulullah S.A.W iaitu menyempurnakan akhlak manusia sepertimana maksud hadith sahih, ‘ sesungguhnya aku di utuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia.’


Pendekatan solat dan tazkirah agama yang berterusan kepada para pelajar yang bermasalah disiplin seperti biadap kepada guru adalah sebagai usaha mengembalikan mereka kepada fitrah kejadian manusia yang asal kejadiannya adalah baik. Personaliti muslim yang positif akan terbentuk daripada latihan-latihan melalui ibadat wajib dan sunat terutama solat yang khusyuk. Ini selari dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud, ‘sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.’ Ia seterusnya dimantapkan lagi dengan tazkirah-tazkirah agama sebagai peringatan kepada asal kejadian di dunia sebagai khalifah Allah.  


            Hasil kajian kes yang dibuat oleh dua orang pensyarah UKM tersebut juga menunjukkan terdapat peningkatan dalam prestasi akademik pelajar terbabit melalui program pemulihan tersebut. Dapatan ini menyokong falsafah dan intisari hukuman Islam sebagai suatu proses pendidikan bukannya menghukum.


               Kesimpulannya, kita tidak boleh putus asa dalam mendepani pelajar yang lemah budi pekerti ini. Jika mereka tidak dididik dari sekarang, mereka akan terus hanyut dan lemas dalam dunia sendiri. Pendekatan-pendekatan bersifat Islami seperti menghidupkan semula ruh solat dalam jiwa pelajar dan memberi tazkirah-tazkirah agama ringkas sebelum memulakan kuliah sebenarnya berkesan supaya hati sentiasa bersih dan beringat. Salam merdeka kepada semua remaja yang dikasihi. Wallahu’alam.



Oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson.

0 comments:

Post a Comment