Pages

Thursday 7 March 2013

PELAJAR KOLEJ UNITI PORT DICKSON CIPTA PRODUK PERMAINAN KREATIF DI KARNIVAL UNITI & KARANGKRAF

Monalisa Haron Chong (kiri) bersama pelajar dengan produk kreatif mereka.


Kolej UNITI, Port Dickson 2 Mac 2013- Pelajar Diploma Pendidikan Pra- Sekolah (DPS) di bawah Fakulti Pendidikan Pra- Sekolah tidak melepaskan peluang pamer kreativiti dalam 30 buah rekacipta dan produk kreatif alat bantu mengajar untuk kanak-kanak  bersempena Karnival Uniti dan Karangkraf berjaya menarik perhatian pengunjung awam.


Rekacipta produk permainan  tersebut  adalah bagi memenuhi keperluan tugasan untuk salah satu subjek bagi pelajar semester 5 bagi pelajar DPS. Para pelajar diberi pendedahan dan pendidikan dalam menghasilkan produk permainan yang memberi fokus dan membantu kanak-kanak lelaki dalam pendidikan. Ini selaras dengan konsep ‘Helping Boys, Nurturing Girls; Boys create learning in their games and girls create games for their learning” yang didokong oleh fakulti ini.


“Kanak-kanak lelaki mewujudkan pembelajaran dalam permainan mereka dan kanak-kanak perempuan mencipta permainan untuk pembelajaran mereka. Konsep ini membantu para pelajar untuk menghargai dan menghormati perbezaan kanak-kanak lelaki serta mengetahui kaedah yang tepat untuk membantu kanak-kanak lelaki belajar secara aktif dan menyeronokan,” terang Monalisa, penasihat aktiviti permainan kreatif ini.


Permainan yang direka oleh para pelajar yang mengambil kursus DPP 3103 bukan hanya membantu pembelajaran kanak-kanak lelaki tetapi mengikut fitrah dan keperluan kanak-kanak lelaki yang selama ini seringkali terlepas pandang. “Permainan yang direka khas ini membantu kanak-kanak lelaki belajar melalui bermain secara aktif dan berkesan,” tambah Monalisa lagi.


Paling dijadikan keutamaan adalah permainan yang direka berpandukan kisah haiwan dalam Al-Quran dan kisah- kisah haiwan teladan. Ini bukan sahaja membantu kanak-kanak lelaki belajar dengan gembira malah dapat memupuk peribadi mulia serta mencintai para rasul, khususnya baginda Rasullulah SAW.


Aktiviti sebegini sebenarnya adalah ruang dan peluang kepada para pelajar bagi mengembangkan bakat mereka secara holistik dan kreatif iaitu yang merangkumi aspek potensi berdasarkan perkembangan moral dan kerohanian, kognitif, sosioemosi , bahasa dan fizikal.


Para pelajar yang terlibat dengan tugasan ini berupaya mengaplikasikan daya kreativiti dalam menerbitkan idea dan menghasilkan sesuatu inovasi hanya dengan menggunakan bahan-bahan terbuang dan terpakai . Dengan menggunakan bahan kos rendah atau tanpa kos, permainan yang tercipta boleh digunakan oleh guru prasekolah untuk dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran supaya lebih menarik dan berkesan.


Akhirnya, salah satu kemahiran yang diperlukan oleh para pelajar bagi menjamin kebolehanpasaran mereka selepas bergraduat adalah mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi. Kebolehan ini termasuk pemikiran kreatif dan kritis serta keusahawanan.

Justeru itu, kelebihan yang dapat dicapai oleh para pelajar ini adalah mereka mampu mencipta sesuatu inovasi yang mampu membantu kanak-kanak lelaki untuk bergerak aktif dan seronok untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran terutama bagi mata pelajaran pendidikan Islam dan Moral yang merupakan keunikan DPS, FPPM Kolej UNITI Port Dickson berbanding di tempat lain. Semoga akiviti sebegini mampu mengembangkan lagi gagasan ‘Helping Boys Nurturing Girls.’


Disediakan oleh
Monalisa Haron Chong
Penasihat aktiviti dan pengurus Tadika BondaMama.

0 comments:

Post a Comment