Pages

Sunday, 27 November 2016

MEMBANGUN EMPAT KEKUATAN MASA MUDA- Faridah Mohd Tap

Generasi muda merupakan aset berharga kepada sesebuah masyarakat dalam membangun ketamadunan bangsanya. Kepentingan generasi muda dapat dilihat menerusi Surah Ar-Rum, ayat 54 yang bermaksud,

“54. Allah-lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dan Dia Yang Maha Mengetahui lagi Mahakuasa.”

Kalamullah di atas menunjukkan bahawasanya Allah S.W.T dengan kebijaksanaanNya memperlihatkan kepada kita mengenai kekuatan (masa muda) yang diiringi oleh dua kelemahan iaitu; kelemahan ketika kecil dan ketika sudah tua tidak berdaya. Jika bukan kekuatan dari Allah S.W.T, tentu manusia tidak akan sampai pada usia kuatnya dan memiliki kemampuan. Ironinya, jika bertambah kekuatan manusia itu (mencapai usia muda), maka manusia cenderung untuk bersikap sombong dan melampaui batas serta berbuat sesuka hati.

Sehubungan dengan itu, generasi muda harus membangunkan empat kekuatan yang ada padanya untuk dimanfaatkan ke arah pembinaan sesebuah tamadun bangsa yang berjaya; kekuatan idealisme dan realisme, kekuatan intelektualisme, kekuatan spiritualisme, dan kekuatan aktivisme. Generasi muda muslim perlu menjadi manusia terbaik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w  yang bermaksud, “…..Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadith riwayat Thabrani dan Daruquthni).

Kekuatan idealisme dan realisme

Dengan segala cabaran yang semakin mencengkam generasi muda muslim khususnya cabaran globalisasi yang mengancam ideologi pemikiran, perkara terpenting yang perlu disiapkan adalah membangun keperibadian Muslim dengan idealisme yang berteraskan dengan pandangan hidup ‘Islam sebagai cara hidup yang syumul’.  Pandangan hidup berpaksikan kalimah tawhid ‘La Ila ha Illallah’ ini akan menjadi penggerak kepada segala bentuk aliran kecenderungan, keinginan dan tindakan seseorang pemuda pemudi Islam mengemudi seluruh aspek kehidupannya.

Kita dapat menyaksikan betapa parahnya generasi muda kini akibat serangan idea pemikiran-pemikiran yang lahir dari pemikiran sekularime-pemisahan agama daripada kehidupan manusia- yang menjadi anutan tanpa sedar kebanyakan anak muda kini. Kebejatan masalah sosial dan budaya hedonism merupakan antara kesan fahaman sekular ke atas generasi muda akibat gagal untuk memahami ajaran Islam dengan fahaman yang benar.

Menurut Prof. Dato’ Sidek Baba dalam makalahnya yang bertajuk, ‘Membina Idealisme, Memahami Realiti’, idealism itu dituntut dalam Islam dimana dalam konteks yang luas, idea-idea yang lahir adalah pedoman dari wahyu Allah dalam Al-Furqan. Menurut beliau lagi, idealism itu perlu berpijak di bumi nyata dan disebabkan itu perlu menjadi realis. Ini kerana gandingan kedua-dua ini mencetuskan kebijaksanaan akal dalam menanggapi realiti semasa.

Kekuatan Intelektualisme

Malaysia dihuni hampir 40 peratus generasi muda amat mendambakan generasi muda yang berilmu dan mempunyai keupayaan intelektual yang tinggi untuk meneruskan pembinaan sebuah tamadun bangsa yang gemilang. Sejarah mencatatkan sesebuah tamadun menempuh kegemilanganya apabila masyarakatnya berlumba-lumba membangunkan ilmu sebagai budaya hidup. Kegemilangan tamadun Islam sendiri diabadikan sebagai saksi bahawa ia bermula dengan revolusi keilmuan yang tercetus dari ayat mukjizat Iqra’ bi ‘smi rabbika ‘Iladhi khalaq…, transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan yang merubah penggembala unta menjadi ilmuwan cendekia, manusia badawi-jahili menjadi Muslim hadari-madani. (Siddiq Fadzil [2008], Budaya Ilmu Wahana Pemerkasaan Bangsa).

Kekuatan intelektual dan ilmu di kalangan generasi muda dapat membantu mereka untuk menepis segala anasir yang memesongkan peribadi dan jati diri mereka. Generasi muda berbudaya ilmu adalah generasi yang diharapkan mengangkat tinggi nilai ilmu dan menghormati para ilmuwan. Antara langkah untuk membina kekuatan intelektual dan ilmu adalah dengan membaca bahan-bahan ilmiah, mengupas, mengkaji, berbincang dan seterusnya menulis untuk perkembangan ilmu tersebut kepada massa.

Kekuatan Spiritualisme

Kebejatan masalah sosial di kalangan golongan muda sering dikaitkan oleh kelemahan iman seseorang itu. Adalah sangat rugi jika anak muda yang menjadi aset bernilai sesebuah bangsa menghabiskan masanya dengan melakukan perbuatan tidak senonoh. Generasi muda perlu dipersiapkan dengan kekuatan kerohanian sepertimana nukilan hikmah pujangga bangsa,

Bergantung kepada Yang Satu,
Berpegang kepada Yang Esa,
Tuah hidup sempurna hidup,
Hidup berakal, mati beriman,
Malang hidup celak hidup,
Hidup tak tahu halal-haram.

Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil mentafsirkan bait ‘Hidup berakal, mati beriman,’ tersebut sebagai rumusan panduan kualiti hidup seseorang Melayu-Muslim yang didasari oleh dua asas penting iaitu kekuatan ilmu dan ketertinggian komitmen keagamaan. Generasi muda harus kembali kepada akar umbi ajaran agama Islam (aqidah, ibadah, syariah dan akhlak) sebagai acuan jati diri dan juga sebagai matlamat akhir kehidupan iaitu husnul khatimah (pengakhiran hidup yang baik) supaya masa muda tidak sesekali disia-siakan.


Kekuatan Aktivisme

Pendekatan aktivisme dapat memanfaatkan tenaga dan masa muda untuk menangani pelbagai isu sosial, alam sekitar, ekonomi dan politik. Generasi muda sinonim dengan sifat ‘darah muda’ dan semangat yang perlu disalurkan kepada aktiviti-aktiviti bermanfaat. Keterlibatan generasi muda kepada program-program sangat diperlukan untuk menjayakan agenda pembinaan negara bangsa.

Dikhabarkan ada peristiwa menarik menjelang perang Yarmuk. Komandan sayap kiri pasukan Romawi, Darnajar mengirim mata-mata ke barisan umat Islam. Setelah tinggal selama satu malam, mata-mata itu melaporkan kepada komandannya, “saya telah bertemu satu kaum yang bangun malam untuk solat, siang hari mereka berpuasa, mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran, seperti rahib di malam hari dan singa di siang hari.  Tidak ada yang mencuri di antara mereka kecuali tangannya dipotong, jika ada yang berzina, mereka merejamnya kerana lebih mementingkan kebenaran.”

Maka Darnajar mengatakan, “jika benar yang kamu katakan, perut bumi lebih baik – bagi orang yang memerangi mereka – dibanding permukaannya.”

Perang Yarmouk itu telah dimenangi oleh umat Islam di atas berkat keimanan dan kesabaran mereka dalam menerima gempuran tentera Rowami yang sekali ganda dari tentera umat Islam yang hanya 36 ribu.

Peristiwa di atas dapat kita rumuskan betapa pentingnya keterlibatan dalam menyebarkan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin di awal dakwah Rasulullah s.a.w. Jika tiada kesungguhan aktivisme dakwah dari Rasulullah s.a.w dan para sahabat, para tabiin, dan pendakwah lainnya, sudah tentu kita tidak akan dapat merasai nikmat Islam di negara ini.

Akhirnya, generasi muda yang ideal ialah menjadi ‘manusia yang berguna’ seperti sabda nabawi yang dinyatakan di awal makalah ini. Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil menyatakan menjadi manusia berguna ialah menjadi “orang budiman”, iaitu orang yang berakal budi, berbudi pekerti, berbudi bahasa dan banyak berbudi kepada orang lain. Justeru, generasi muda yang terkumpul segala kekuatan kepadanya perlu menjadi seumpama pohon serba guna,

Bagaikan kayu besar di tengah padang,
Rimbun daunnya tempat berteduh,
Kuat dahannya tempat bergantung,
Kukuh batangnya tempat bersandar,
Besar akarnya tempat bersila.


Hidup Biar Berjasa. Wallahu’alam.


Disediakan oleh,

Faridah Mohd Tap,
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Prot Dickson.

0 comments:

Post a Comment