Pages

Sunday, 27 November 2016

KENALI CIRI-CIRI KANAK-KANAK AUTISME- Syazwani Binti Abd Jalani

Filem 'redha' mengisahkan perjuangan membesarkan seorang kanak-kanak pengidap autisme. 
Autisme merupakan salah satu kategori bagi Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah kategori bermasalah dalam pembelajaran. Kanak-kanak atau individu yang menghadapi masalah ini cenderung menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri. Seorang ahli psikologi iaitu Leo Kenner (1943), menghuraikan autisme sebagai satu sindrom kumpulan tingkah laku yang unik. Menurut beliau lagi, autisme ini sebagai masalah dalam gangguan afektif, perspektif, persepsi, linguistik, kognitif dan komunikasi. Menurut Hallahan dan Kauffman (1997), autisme merupakan satu kecelaruan yang bercirikan pengasingan diri, tingkah laku mencederakan diri, masalah kognitif, masalah bahasa dan boleh dilihat sebelum berumur 30 bulan (Jamila K. A. Mohamed 2005).


Kanak-kanak yang menghadapi masalah autisme sering menimbulkan kekeliruan kepada penjaganya, kerana kanak-kanak ini kelihatan normal (tidak mempunyai kecacatan fizikal) tetapi dalam masa yang sama memaparkan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza. Salah fahaman terhadap keadaan ini membawa kepada kelewatan perkembangan yang serius dalam semua bidang perkembangan terutama dalam bidang kemahiran sosial dan komunikasi (Jamila K. A. Mohamed 2005).


Antara punca-punca yang menyebabkan berlakunya masalah ini adalah masalah keturunan atau genetik dan keadaan perubatan ibu semasa bersalin (contoh seperti jangkitan rubella). Pengaruh ubat-ubatan (seperti ubat untuk mencegah rasa mual), kerosakan otak, saiz serebelum yang kecil turut menjadi punca berlakunya masalah autisme (Jamila K. A. Mohamed 2005).


Ciri-ciri bagi kanak-kanak atau individu yang mengalami masalah autisme adalah seperti sukar diajak bercakap dan meniru perbualan atau perkataan lain (ekolalia). Selain itu, mereka suka menarik tangan individu lain apabila ingin meminta sesuatu. Individu dengan masalah autisme ini juga suka bersendirian, bermain secara bersendirian dan tidak wujud kontak mata dan sentiasa mengelak daripada memandang muka orang lain.


       Ciri-ciri lain bagi autisme adalah tidak suka dipegang atau dipeluk (kadangkala termasuk pelukan daripada ibu bapa dan keluarga mereka sendiri) dan kurang sensitif pada rasa sakit atau takut (adakala mereka mencederakan diri sendiri). Tingkah laku bagi individu yang menghadapi masalah ini sama ada hiperaktif atau hipoaktif. Individu ini juga suka melakukan pergerakan atau perbuatan yang sama berulang-ulang kali seperti menggoyangkan dan menepuk tangan. Mereka sering marah, ketawa dan menangis tanpa sebab. Selain itu, jika kemahuan mereka tidak dituruti atau dilarang daripada melakukan sesuatu yang diingininya, mereka akan mengamuk tanpa dapat dikawal (Jamila K. A. Mohamed 2005).


Jika kanak-kanak menunjukkan simptom-simptom atau ciri seperti yang dinyatakan maka segeralah untuk membawa mereka berjumpa dengan pakar bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan. Rawatan awal amat perlu untuk mengelakkan masalah yang dihadapi bertambah serius dan seterusnya langkah intervensi dapat diambil bagi membantu dalam memperkembangkan kemahiran dan keupayaan mereka.


       Kanak-kanak autisme boleh berjaya dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana terdapat tokoh-tokoh terkemuka yang berjaya seperti Albert Einstein (saintis), Temple Grandin (pakar haiwan), Satoshi Tajiri (pelopor kartun pokemon) turut menghadapi masalah autisme. Galakan dan dorongan daripada keluarga, guru dan rakan-rakan amat diperlukan oleh kanak-kanak atau individu yang menghadapi masalah ini supaya berjaya dalam kehidupan mereka (Sekolah Pulau Aman 2013).


Disediakan oleh,


Syazwani Binti Abd Jalani,
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson


0 comments:

Post a Comment