Sebagai ibu bapa, memang seronok apabila dapat melihat anak-anak membesar dengan sihat dan bijak. Daripada mereka lahir sehinggalah umur mereka empat tahun, pelbagai kerenah dan telatah yang dapat diperhatikan. Ada sesetengah tingkah laku yang mencuit hati dan adakalanya membuatkan kita berasa bangga menjadi ibu bapa mereka. Sebolehnya sebagai ibu bapa kita mahu berada disisi mereka, dapat melihat sendiri perkembangan mereka serta menjadi orang pertama apabila mereka melakukan sesuatu perkara pada pertama kali seperti ketawa, menggangkat kepala, berdiri sendiri memanggil ibu atau ayah dan sebagainya.
Kebiasaan perkembangan awal kanak-kanak dapat diukur daripada pertumbuhan dan perkembangan fizikalnya. Bayi yang baru lahir akan diukur dengan berat dan tinggi untuk dicatatkan dalam carta supaya boleh dijadikan rujukan. Carta yang sama ini digunakan untuk mengetahui sama ada seseorang bayi itu membesar secara normal ataupun tidak.
Menurut Crow dan Crow, perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta cenderung ke arah lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Manakala menurut Karl, E. Garisson, perkembangan adalah penghasilan daripada tindakan yang paling berkaitan di antara perkembangan jasmani dan proses pembelajaran.
Perkembangan kanak-kanak ini merangkumi lima asas utama iaitu perkembangan kognitif , fizikal, bahasa, sosial emosi dan estetika serta daya kreatif:
a) PERKEMBANGAN KOGNITIF
Pada peringkat ini kanak-kanak berupaya mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia. Interaksi dan komunikasi antara orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu dan digalakkan. Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah melakukan pengumpulan maklumat.
b) PERKEMBANGAN FIZIKAL
Kanak-kanak mengalami perubahan dari segi bentuk dan saiz, kebolehan mengawal pergerakan motor halus dan motor kasar serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti melakar dan melukis
c) PERKEMBANGAN BAHASA
Kanak-kanak akan mengalami perubahan daripada tahap mengeluarkan bunyi-bunyi kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada rangsangan. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibacakan, menonton television dan mendengar radio.
d) PERKEMBANGAN SOSIO EMOSI
Kanak-kanak akan mula belajar bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Mereka semakin membesar dan pastinya perkembangan emosi berbeza seperti gembira dan marah. Asuh kanak-kanak dengan mendengar segala luahan perasaan mereka dan membimbing mereka ke arah emosi yang positif. Jangan biarkan mereka menangis secara berterusan tanpa mengambil berat emosinya. Tenangkan mereka supaya tidak berterusan menangis. Minta mereka meluahkan masalah dan berikan dorongan serta pujian sekiranya mereka boleh menguasai emosinya.
e) PERKEMBANGN ESTETIKA DAN KREATIVITI
Lihat kemampuan kanak-kanak dalam mengembangkan daya kreativiti mereka. Kemahiran ini diperolehi menerusi aktiviti dan projek berkaitan seni visual yang mengutamakan proses, berbanding dengan pengakhiran hasilnya. Proses ini mengaktifkan pemikiran kritikal kanak-kanak dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Selain itu, aktiviti pendidikan seni ini menggalakkan kanak-kanak melakukan eksplorasi dan eksperimen dalam kehidupan seharian
Akhirnya, pengetahuan berkaitan perkembangan kanak-kanak banyak memberi manfaat kepada guru dan ibu bapa itu sendiri dalam membuat keputusan mengenai pembelajaran dan persepsi yang perlu ditegaskan. Oleh itu, kita perlu mengenali semua aspek agar dapat mengetahui kesannya ke atas perkembangan kanak-kanak.
Disediakan oleh,
Syarah Atiqah Binti Sudarma
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej Uniti Port Dickson
0 comments:
Post a Comment