Ungkapan ini merupakan ungkapan keramat bagi setiap pasangan suami isteri lebih-lebih lagi yang telah lama menunggu saat-saat tersebut. Anak merupakan anugerah terindah bagi setiap pasangan suami isteri. Kehadiran anak menyerikan lagi kehidupan berumah tangga. Walaubagaimanapun, ada beberapa keadaan yang berlaku semasa kehamilan menimbulkan rasa tidak selesa dan kerisauan dikalangan bakal ibu. Diantaranya ialah masalah uri di bawah atau istilah perubatannya Placenta Previa.
Uri atau placenta adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal berada di tengah atau bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim. Masalah uri di bawah adalah sesuatu yang normal pada awal kehamilan tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP).
Tahap keseriusan Placenta Previa dibahagikan kepada empat jenis iaitu jenis pertama, uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim. Jenis kedua, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim. Jenis ketiga, uri menutupi sebahagian pintu rahim dan jenis keempat, uri menutupi keseluruhan pintu rahim. Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Pendarahan boleh menjadi terlalu banyak dan membahayakan nyawa ibu dan bayi yang dikandung.
Punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP iaitu wanita yang mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur 20 tahun, merokok semasa hamil dan kandungan kembar. Wanita yang mengalami PP kebiasaannya mengalami kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik).
Rawatan untuk masalah PP hanyalah rehat yang secukupnya dan di bawah pemantauan doktor terutama PP jenis tiga dan empat di hospital. Hal ini kerana PP jenis tiga dan empat mempunyai risiko yang tinggi mengalami pendarahan. Seterusnya kaedah bersalin yang paling selamat bagi wanita PP adalah pembedahan dan boleh dilakukan seawal kandungan 37 minggu. Sekiranya berlaku pendarahan dalam tempoh sebelum 37 minggu, kebiasaannya doktor akan melakukan pembedahan bagi menyelamatkan nyawa ibu terlebih dahulu.
Kesimpulannya, permasalahan yang berlaku sepanjang proses kehamilan insan yang bergelar ibu berbeza-beza. Permasalahan ini merupakan pengalaman yang paling indah dan tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Permasalahan ini juga memberikan ilmu pengetahuan yang baru bagi bakal-bakal ibu. Placenta Previa merupakan permasalahan yang berlaku di kalangan bakal ibu dan permasalahan ini boleh menjadi permasalahan serius sekiranya bakal ibu tidak mengambil berat tentang permasalahan tersebut.
Disediakan oleh,
Lina Binti Kiam,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia
Kolej UNITI Port Dickson.
0 comments:
Post a Comment