Pages

Sunday, 10 June 2018

TANGGUNGJAWAB MELAPORKAN BANTERAS JENAYAH DAN PENDERAAN TERHADAP KANAK-KANAK- Faridah Mohd Tap

Ihsan Imej: Pinterest.com




Beberapa kejadian menyayat hati melibatkan kematian dan kecederaan serius kanak-kanak akibat penderaan dan penderaan secara seksual yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini menuntut masyarakat amnya lebih prihatian terhadap tanggungjawab melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa agar jenayah ini dapat dibanteras.




Statistik Polis Diraja Malaysia menyatakan sebanyak 22, 234 kes penderaan seksual kanak-kanak telah direkodkan sepanjang tahun 2010 hingga Mei 2017 bukan jumlah yang boleh diambil ringan.




Daripada statistik tersebut, kes rogol 13, 272 mencatat angka tertinggi,diikuti 6,014 kes cabul, sumbang mahram, 1,796 dan perbuatan luar tabii, 1,152 kes. Lebih mengejutkan, 90 peratus pelaku jenayah dikenali oleh kanak-kanak yang menjadi mangsa.




Bertambah pilu, banyak kes penderaan seksual berulang apabila tiada pelaporan dibuat khususnya di kawasan-kawasan pedalaman. Ia juga dipengaruhi oleh faktor seperti mangsa kanak-kanak yang terlalu muda dan kanak-kanak yang mempunyai kelainan upaya. 




Justeru, apa yang masyakarat perlu tahu tentang kewajipan melaporkan agar jenayah penderaan seksual terhadap kanak-kanak ini dapat dibanteras dengan berkesan?



Tanggugjawab Melaporkan diberikan penekanan khusus dalam beberapa seksyen dibawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,   iaitu:


    a)  Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan: Pegawai perubatan atau pengamal perubatan, anggota keluarga dan pengasuh wajib untuk melaporkan sekiranya kanak-kanak didapati teraniaya, terabai, tercedera dari segi fizikal, emosi dan seks.

    b) Seksyen 19 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kewajipan melaporkan kepada ‘mana-mana orang.’ Hukuman: DENDA tidak melebihi RM 5,000.


    c)  Seksyen 19 telah meluaskan pemakaian kepada ‘guru, peguam, pekerja sosial, NGO, dan masyarakat secara keseluruhan.’

    d) Bahagian 4- Seksyen 16 (2): Orang yang punya hubungan amanah dengan kanak-kanak; ibu bapa, penjaga, saudara-mara, guru, pensyarah, warden, pengasuh, pemilik taska, jurulatih, orang yang menyediakan perkhidmatan kesihatan seperti jururawat dan lain-lain.




Oleh kerana, kanak-kanak banyak menghabiskan masa di sekolah, maka guru lebih berkewajipan untuk melaporkan sebarang perubahan tingkahlaku murid-muridnya kepada pihak bertanggungjawab. Ini menjadi salah satu tugas besar guru selain mendidik agar kanak-kanak di bawah jagaannya dapat diselamatkan daripada berterusan menjadi mangsa penderaan amnya, dan penderaan seksual khususnya.



Ironinya,  banyak kes yang tidak dilaporkan hanya terdedah apabila mangsa kanak-kanak tadi mungkin telah menemui ajal atau mengalami kemurungan yang serius.



Terdapat banyak faktor masyarakat am tidak melaporkan kes-kes sebegini antaranya risau dengan kesan negatif akibat laporan yang dibuat, ancaman dari pelaku jenayah, dilema kerana tinggal bersama atau bergantung hidup dengan pelaku jenayah seperti suami atau ayah, selain tidak berpengetahuan tentang undang-undang berkaitan penderaan seksual tersebut.



Ihsan imej: Pinterest.com
Demikian itu, masyarakat harus lebih prihatin dan peka tentang kewajipan melaporkan agar pelaku jenayah dapat dihukum, tidak berlaku pengulangan jenayah, tidak mendatangkan kecederaan serius kepada kanak-kanak dan kanak-kanak malang tersebut dapat diselamatkan dengan melalui proses pemulihan yang sepatutnya.



Malah, tindakan melaporkan ini jika dibuat secara bersama  dapat mencegah jenayah seksual ini dengan berkesan. Kita tidak mahu ramai lagi kanak-kanak menjadi mangsa dan tidak mendapat keadilan sewajarkan akibat ketidakpedulian kita terhadap tanggungjawab melaporkan ini.



Disusun oleh,

Puan Faridah Mohd Tap

Sumber asal:

Puan Norazla Abdul Wahab,
Pensyarah di Jabatan Undang-undang,
Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
(Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Hal Ehwal Wanita Islam ABIM dan aktivis siri literasi undang-undang dan advokasi hak kanak-kanak.)






Thursday, 7 June 2018

ARTERA DAN GENDER- Syarah Atiqah bt. Sudarma


 Kamu ni, asyik mahu main sahaja! Lihat Kakak kamu ini. Rajin baca buku!" Bebel si ibu kepada anak lelakinya yang berusia 9 tahun. 

Situasi ini boleh berlaku ke atas mana-mana keluarga.

Anak perempuan kelihatan lebih cekap membaca berbanding anak lelaki. Anak perempuan kelihatan lebih rajin belajar daripada anak lelaki yang asyik bermain.


Apa yang sebenarnya terjadi?


Kajian longitudinal (jangka panjang) terhadap perkembangan anatomi otak di National Institute of Mental Health di Amerika Syarikat menunjukkan perkembangan otak kanak-kanak lelaki adalah berbeza berbanding kanak-kanak perempuan. Malah, perkembangan otak kanak-kanak lelaki berlaku dalam urutan dan tempo yang berbeza berbanding kanak-kanak perempuan. Hanya apabila mereka mula akil baligh, baharulah perkembangan otak mereka kembali seiring sehingga ke alam dewasa awal.


Namun, dalam kemahiran 'visual spatial' dan kemahiran motor kasar, kanak-kanak lelaki jauh lebih matang berbanding perempuan. Kemahiran 'visual spatial' adalah keupayaan memproses dan mentafsir kedudukan objek dalam ruang dengan melihat menggunakan mata atau fikiran (mental imej). Sebab itulah kanak-kanak lelaki lebih banyak bermain berbanding kanak-kanak perempuan yang suka membaca buku.


Perkembangan bahasa kanak-kanak perempuan yang lebih pesat mendorong mereka suka meneroka buku. Mereka mahu memahami simbol-simbol percakapan di atas kertas iaitu, tulisan. Manakala kanak-kanak lelaki pula mengikut “fitrah” mereka yang gemar menggunakan kemahiran motor kasar dan ruang penglihatan melalui bermain bermacam jenis permainan.


Tunggu!


Keadaan ini tidak bermakna kanak-kanak perempuan lebih bijak atau kanak-kanak lelaki lebih hebat berbanding kanak-kanak perempuan. Umpama makan roti canai tidak bermakna lebih sedap berbanding makan nasi lemak. Kedua-duanya adalah sedap dengan rasanya yang tersendiri. Begitu juga dengan anak-anak kita.


Jika begitu, bagaimana caranya mendidik anak-anak sedangkan perkembangan otak mereka berbeza?. Kita raikan perbezaan ini dan pada masa yang sama, beri ruang kepada mereka untuk meneroka kemahiran baharu.


Berikan lagi ruang untuk anak lelaki ekspresikan kemahiran motor kasar dengan permainan lasak. Beri mereka ‘kenyang’ dengan permainan melibatkan 'visual spatial' seperti lego, binaan blok, jingsaw puzzle, permainan melibatkan peta, dan permainan meneka berkaitan ruang.


Konsep permainan atau ‘games’ kanak-kanak selalu dibezakan mengikut jantina apabila seseorang itu masih lagi di peringkat awal usia lagi. Secara umunya di Malaysia, kita dapat lihat pengkhususan jenis permainan dibeza-bezakan mengikut jantina.


Perbezaan gender dengan pengelasan permainan terhadap kanak-kanak dianggap suatu yang tidak berasas, kerana secara rasionalnya permainan adalah salah satu proses perkembangan interaksi kanak-kanak dengan persekitaran. Tujuan bermain adalah untuk meningkatkan daya perkembangan minda kanak-kanak, meningkatkan perkembangan sosial kanak-kanak. kanak-kanak yang banyak bermain akan lebih aktif dan lebih cepat peningkatan sosialnya.


Oleh itu dengan menerapkan aktiviti bermain kepada kanak-kanak dapat menerapkan perkembangan yang sekata antara kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan.


ALUMNI UNITI KINI GURU DI CHIlLDREN ISLAMIC CENTRE (CIC)

Nur Ain Binti Mohd Ali bersama anak-anak jagaanya di CIC Desa Pandan.

Admin nak cerita sedikit tentang bekas pelajar Diploma Pendidikan Dan Asuhan Awal Kanak-Kanak bernama Ain dari Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia Kolej UNITI. Ain yang berasal dari Negeri Sembilan ni dulu merupakan pelajar yang pendiam dalam kelas. Beliau ni seorang yang pemalu dan selalu rasa tidak yakin dengan diri, lagi-lagi masa pembentangan dalam kelas.



Admin ingat lagi, masa kali pertama buat amali di Taska Cahaya Tasneem kolej UNITI, beliau teragak-teragak dan tidak yakin untuk berinteraksi dengan kanak-kanak. Beliau hanya duduk diam memerhati telatah anak-anak.



"Kalau macam ni la gaya awak, macam mana la nak jadi cikgu...Nak jadi cikgu ni, awak kena yakin, ceria dan pandai ambil hati anak-anak.Takkan nak duduk diam perhati je anak-anak macam tu" Bising admin masa hari amali di Taska.


Tetapi berkat sokongan pensyarah dan rakan-rakan sekuliah masa tu, Ain jadi lebih yakin pada diri. Tiap kali tiba amali di Taska, nampak jelas perubahan pada Ain. Dia makin petah bercakap, teruja, ceria dan pandai melayan kanak-kanak.


"Miss..seronok la buat aktiviti dengan kanak-kanak ni..Nanti kita buat aktiviti di taska lagi ye miss..." Teringat admin luahan Ain pada admin dengan senyum sipunya.


Berkat usaha gigihnya, Ain berjaya menamatkan pengajian dan bergraduat tepat pada waktunya. Beliau telah mendapat penganugerahan 'Anugerah Cemerlang Akademik' masa Hari Konvokesyen.


Semangat dan bakatnya terus mekar hingga ke tempat kerja. Beliau yang kini merupakan guru di CIC, Desan Pandan, Ampang juga menjadi kesayangan pihak pengurusan dan anak-anak didiknya di sana.


Moga kisah Ain ini menjadi inspirasi buat para pelajar Kolej UNITI. Kami warga Kolej UNITI mendoakan agar Ain terus meraih kecemerlangan dalam kerjaya yang diceburinya ini.
Inginkan kerjaya pendidikan awal kanak-kanak seperti Ain? Jangan abaikan cita-cita anda.



Berminat membuat permohonan menyambung pengajian ke peringkat Diploma Pendidikan dan Asuhan Awal Kanak-kanak? 


Boleh terus isi borang di sini:http://bit.ly/BorangPermohonanOnline
📌Info segera: 06 6468 444
atau terus whatsapp di 011-1650 5162 (Puan Faridah)

Kami bersedia membantu adik-adik....


Info Kolej UNITI Port Dickson: www.uniti.edu.my

#EarlyChildhood
#DPS
#DPAKK
#FPPM
#SPM2017
#sambungbelajar
#sambungbelajarlepasSPM
#tawaransambungbelajar2018
#Yuranmurah
#Studentbest
#Lecturerbest
#SoaringUpwards
#UNITIPilihanTerbaikAnda
#20TahunUNITI
#6StarMyQuest2017
#IPTSdengansijilMQA
#KolejUNITI
#JomMasukUNITI

Tuesday, 5 June 2018

Siapa Sangka Noor Salinaa yang dulunya pendiam dan tiada keyakinan diri kini menjadi GURU PEMBIMBING kepada pelajar praktikum, junior beliau ketika belajar Diploma Pendidikan Pra Sekolah di Kolej UNITI, Port Dickson- Nur Akmar Mohd Arif



Salinaa bersama pengusaha tadika, Puan Juli 
Admin nak cerita sedikit tentang bekas pelajar dari Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia Kolej UNITI, bernama Noor Salinaa Binti Omar, anak kelahiran Negeri Sembilan.


Ciri-ciri Noor Salinaa dari perspektif para pensyarahnya ialah seorang yang tidak banyak cakap, pendiam, pemalu dan tiada keyakinan diri.


Admin ingat lagi, beliau sendiri selalu luah rasa tidak yakin dengan diri, lagi-lagi masa pembentangan dalam kelas walaupun sudah berada di tahun akhir pengajian. Pernah juga beliau mendengar bebelan admin dalam kelas. Mana tidaknya, tidak nampak sedikitpun kesungguhan dan komitmen semasa sesi pembentangan beliau! 

'Dah tahun akhir kan? Kena berubah, tak boleh main-main lagi dah!!!" Marah-marah sayang admin masa tu.


“Miss, saya risau la nak praktikum. Rasa tidak yakin, takut tak boleh buat dengan baik” Luah Salinaa pada admin.


"Nak jadi cikgu ni kena ‘versatile’ dan jadi ‘role model’ yang baik depan anak-anak. Sentiasa ceria dan pandai ambil hati anak-anak. Tak boleh takut-takut…Yang penting, awak kena yakin pada diri sendiri.InshaaAllah awak boleh buat dengan baik" Balas admin.


Berkat sokongan pensyarah dan rakan-rakan serta usaha gigihnya, Salinaa berusaha sehabis baik menyempurnakan Latihan Praktikumnya. Beliau berjaya menamatkan pengajian dan bergraduat tepat pada waktunya.


Demikian itu, kesungguhan dan komitmen yang telah ditunjukkan sepanjang menjalani Latihan Praktikum, Salinaa telah terpilih untuk diserap masuk sebagai guru di tempat beliau jalani Latihan Praktikum, iaitu Tadika Rumah Si Kecil di kawasan Negeri Sembilan. Kini beliau telah berkhidmat selama dua tahun di tadika tersebut.


Satu hari…


Salinaa bersama Puan Juli, guru dan pelajar praktikum.
Admin datang ke Tadika Rumah Si Kecil untuk menyelia lima orang pelajar praktikum dari Kolej UNITI. Sempat berborak panjang dengan Salinaa, admin tumpang gembira melihat kejayaan Salinaa sebagai guru di sana. Salinaa merupakan GURU PEMBIMBING kepada pelajar Kolej UNITI yang menjalani Latihan Praktikum di sana. 



“Miss…dulu saya pendiam kan, selalu je tidak yakin pada diri. Saya tidak sangka ada rezeki saya bergelar guru” Luah Salinaa.



“Alhamdulillah…Awak dah berubah. Awak dah berjaya hari ini Salinaa. Harap adik-adik awak di UNITI ini dapat jadikan awak sebagai contoh” Tambah admin sambil sempat admin menitipkan nasihat kepada pelajar-pelajar admin yang berpraktikum di sana.



Moga kisah Salinaa ini menjadi inspirasi buat para pelajar Kolej UNITI. Kami warga Kolej UNITI mendoakan agar Salinaa terus meraih kecemerlangan dalam kerjaya yang diceburinya ini.

Salinaa bersama rakan sekelas di tahun akhir pengajian di Kolej UNITI.

Inginkan kerjaya pendidikan awal kanak-kanak seperti Salinaa? Jangan abaikan cita-cita anda.


Berminat membuat permohonan menyambung pengajian ke peringkat Diploma Pendidikan dan Asuhan Awal Kanak-kanak?


Boleh terus isi borang di sini:http://bit.ly/BorangPermohonanOnline
📌Info segera: 06 6468 444
atau terus whatsapp kami di http://www.wasap.my/6011-16505162/Salam+saya+nak+Diploma+PendidikanAsuhan+AwalKanakKanak/

Kami bersedia membantu adik-adik....

Info Kolej UNITI Port Dickson: www.uniti.edu.my

#EarlyChildhood
#PendidikanAwalKanakKanak
#DPS
#DPAKK
#FPPM
#FPPMhebat
#SPM2017
#sambungbelajar
#sambungbelajarlepasSPM
#tawaransambungbelajar2018
#Yuranmurah
#Studentbest
#Lecturerbest
#SoaringUpwards
#UNITIPilihanTerbaikAnda
#20TahunUNITI
#6StarMyQuest2017
#IPTSdengansijilMQA
#KolejUNITI
#JomMasukUNITI


Tuesday, 15 May 2018

PERJUANGAN PENDIDIKAN MALALA YOUSAFZAI BUAT GENERASI MUDA- Faridah Mohd Tap

Pengenalan

Lembah Swat merupakan sebuah wilayah di Pakistan yang memiliki segala keindahan alam. Ironinya, keindahan itu mula hilang apabila wilayah itu diambil alih oleh puak militan Taliban. Perlaksaan undang-undang dan peraturan yang ketat oleh pengganas Taliban merenggut rasa damai penduduk wilayah itu. Kehidupan yang aman mula dihimpit rasa ketakutan apabila ia menjadi medan pertempuran antara puak Taliban dengan pihak ketenteraan Pakistan. Jika dahulunya, kanak-kanak bebas dan riang ria ke sekolah, tetapi kehadiran Taliban merampas segala-galanya. Pergi ke sekolah untuk kanak-kanak perempuan khususnya diisytihar sebagai satu jenayah! 



Berdasarkan pembacaan penulis, sekitar 400 buah sekolah telah ditutup sepanjang pentadbiran Taliban di Lembah Swat. Pergi ke sekolah adalah suatu rutin yang hampir menjadi mustahil di sana. Dalam keadaan yang getir itu, bangkit seorang kanak-kanak perempuan menentang kepada tindakan pengharaman kanak-kanak perempuan ke sekolah. Beliau menulis catatan harian kepada BBC tentang keperitan yang dialaminya dan penduduk yang kampung apabila pertempuran berlangsung.



Beliau menggunakan nama pena sebagai ‘Gul Makai’ dan meluahkan kekecewaan kerana impiannya untuk menamatkan pelajaran dalam jurusan MBA mungkin tidak kesampaian. Justeru, beliau berikrar akan berjuang dalam apa jua cara untuk pastikan hak pendidikan kanak-kanak perempuan dan lainnya dibela.   Ketika memulakan advokasi itu, beliau hanya seorang kanak-kanak yang masih berumur 12 tahun. 



Sehubungan dengan itu, makalah ini akan menelusuri latar belakang perjuangan Malala Yousafzai sebagai pemudi hebat yang bangkit selepas ‘mati’ sementara memperjuangkan hak pendidikan bagi kanak-kanak seantero dunia yang tercetus daripada pengharaman sekolah bagi kanak-kanak perempuan di wilayahnya.Penulisan ini juga akan mengupas cabaran-cabaran yang dihadapinya serta nilai pengajaran yang boleh dijadikan inspirasi dan pedoman bagi anak muda di negara ini. Penulis berkeyakinan, untuk menyelamatkan masa depan kanak-kanak yang memperoleh hak pendidikan yang baik, perjuangan Malala perlu disambut. Kerana ia bukan tugas individu semata-mata, tetapi dunia mahukan lebih ramai sosok belia bersemangat seperti ikon yang diketengahkan dalam makalah ini.  



Kelahiran Malala Yousafzai -tokoh pemudi yang mengubah dunia. 


Malala dilahirkan pada tanggal 12 Julai 1997 merupakan anak perempuan kepada pasangan suami isteri Ziauddin  Yousafzai dan Toor Pekai. Lahir dalam negara yang begitu mengagungkan budaya patriarki- mengutamakan anak lelaki dalam semua aspek- menjadi cabaran kepada ibubapanya. Figura hebat bapanya yang merupakan seorang guru dan pengasas sekolah bernama ‘Kushal’ dilihat melawan arus budaya masyarakatnya. Malala diberikan peluang untuk belajar dan menimba ilmu dan dibesarkan dalam budaya ilmu seperti terdedah kepada buku-buku. Seringkali juga ayahnya membacakan sajak dan bercerita tentang tokoh-tokoh besar negaranya. 



Nama Malala diberikan bersempena dengan seorang srikandi Afghanistan iaitu Malalai yang bangkit meniup api perjuangan tentera Afghanistan ketika menentang British. Walaupun begitu, maksud namanya beerti kedukaan lantaran itu datuknya tidak menggemari namanya itu. ‘Malala akan bebas seperti unggas’ itulah janji ayahnya kepada Malala. Ibunya, Toor Pekai pula sentiasa mendorong Malala agar nasib anak perempuannya itu tidak berakhir sepertinya. Ibunya tidak bersekolah dan hanya mengetahui hal-ehwal rumahtangganya sahaja.Justeru, ibunya menjadi seorang yang pendiam kerana tidak berkeyakinan untuk berkomunikasi.Ibunya menjadi gambaran kepada ramai wanita di sana. Itulah yang cuba diubah oleh bapanya agar kanak-kanak perempuan juga mempunyai hak yang sama dalam kependidikan. Kombinasi genetik ibubapanya menjadikan Malala memiliki semangat bapa dan kesabaran ibunya. 



Malala membesar dalam keadaan politik negaranya tidak stabil. Peralihan kuasa, kemiskinan, bencana alam dan paling kritikal ialah ancaman keganasan. Lembah SWAT yang dikenali juga sebagai “Switzerland Asia’ digambarkan sebagai syurga dunia dengan pohon-pohon yang segar menghijau, gunung-ganang yang memukau, air tasik yang sejernih kristal menjadikan sesiapa yang melihatnya pasti terpana. Militan Taliban mula memasuki Lembah Swat pada tahun 2004. Mereka melobi sokongan penduduk dengan mengatakan mereka akan menjadi mahkamah keadilan kedua yang akan menggantikan mahkamah rasmi sedia ada. Sistem kehakiman di Pakistan tidak mampu membawa keadilan kepada rakyat kerana banyak kes yang tertunggak dan tidak diselesaikan walaupun mangsa yang teraniaya telah mati. 



Militan Taliban mengatakan  perjuangan mereka bersendikan perjuangan agama, demi Allah S.W.T dan Rasulullah s.a.w dan berjaya mendapat peluang dan sokongan penduduk. Namun, pada tahun 2007, militant Taliban bertukar wajah. Mereka mula melancarkan keganasan sebenarnya.. Lebih 400 buah sekolah diletupkan. Setiap malam, dua ke tiga orang akan menjadi mangsa pembunuhan. Wanita dilarang sama sekali pergi ke pasar apatah lagi ke sekolah. Percampuran jantina di sekolah, dianggap melakukan maksiat. Untuk itu, kanak-kanak perempuan harus dipinggirkan daripada sistem pendidikan. 



Dalam keadaan sedemikian, kanak-kanak perempuan di Lembah Swat mula kecewa dan memutuskan untuk menggunakan segala ruang media yang ada agar mereka juga mendapatkan hak pendidikan. Tidak terkecuali yang paling lantang,ialah Malala Yousafzai seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menulis jurnal harian di British  Broad Casting (BBC) sebanyak 7 episod (bermula 3 Januari hingga 15 Januari 2004) sebagai Gul Makai menceritakan apa yang berlaku di tempatnya. Tujuannya hanya untuk melihat keamanan untuk penduduk Lembah Swat dan paling utama ialah beliau dan kanak-kanak perempuan lain ditempatnya mendapatkan hak pendidikan.



Kelantangan Malala dalam memperjuangkan pendidikan anak-anak perempuan menjadikan dia target utama militant Taliban selama bertahun-tahun. Namun, Malala tidak sedikitpun menyangka bahawa dia akan mejadi sasaran bunuh. 9 Oktober 2012 ketika beliau 14 tahun,  menjadi detik hitam buat Malala apabila diserang oleh dua lelaki bersenjata Taliban dan ditembak dari jarak dekat oleh salah seorang daripadanya ketika beliau di dalam bas pulang dari sekolah bersama teman-temannya. 



‘Siapa Malala?’


Itulah perkataan terakhir yang didengar Malalla sebelum ditembak di dahi, dan seterusnya terbenam dilehernya. Kecederaan beliau amat kritikal dan dikejarkan ke Saido Sharif di Swat. Beliau koma selama 10 hari dan dihantar pula ke Peshawar dan Rawalpindi untuk rawatan kecemasan. Beliau kemudiannya diterbangkan ke Hospital Queen Elizabeth, United Kingdom untuk dirawat rapi dan pada hari ke-11, Malala akhirnya sedar dari koma. 



Berpantang ajal sebelum maut. Malala Yousafzai bangkit dari keadaan yang amat kritikal dan sembuh sepenuhnya selepas beberapa bulan. Beliau mendapatkan kehidupan baru di United Kingdom dan menyambung semula persekolahannya yang terhenti disana. Namun, jauh disudut hatinya, Lembah Swat terlalu dirindui. Beliau tekad untuk terus memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan namun kali ini advokasi dan aktivisme beliau berskala global. 


Kini, beliau baru sahaja mendaftar (Oktober 2017) sebagai pelajar jurusan falsafah, politik dan ekonomi di Universiti Oxford yang terkemuka. Beliau membahagikan masa antara belajar dan tugas-tugas sosial dan advokasi berkaitan pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia. Ketahuilah, bahawa beliau tidak bergerak secara bersendirian kerana perjuangan beliau telah mula disambut oleh banyak pihak seluruh dunia.



Perjuangan Malala perlu disambut oleh generasi muda Malaysia.


Peristiwa berdarah ditembak Taliban itu menjadikan beliau memenangi Hadiah Nobel Keamanan 2014 oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu. Uniknya, ketika itu beliau berusia 16 tahun dan seterusnya penerima anugerah paling muda dalam sejarah PBB. Dalam ucapannya, beliau mendedikasikan penganugerahan itu kepada seluruh kanak-kanak yang mahukan pendidikan, keamanan dan perubahan. Tanggal 12 Julai setiap tahun seterusnya dideklarasikan sebagai ‘Hari Malala’ seluruh dunia dan disambut secara oleh lebih 50 buah negara termasuklah Pakistan dengan pelbagai program yang memperjuangkan pembangunan pendidikan untuk kanak-kanak. 



Malala dalam ucapan kemenangan itu juga menegaskan, 


“Saya di sini adalah untuk mempertahankan hak kanak-kanak, untuk menjadi jurubicara mereka…Ini bukannya masa untuk sekadar bersimpati kepada mereka, saya ulang, ini bukan masanya untuk mengasihani mereka. Ini adalah waktunya untuk kita mengambil tindakan justeru ia akan menjadi yang terakhir, yang terakhir, yang terakhir menyaksikan kanak-kanak dipinggirkan dalam mendapatkan pendidikan.”

‘Pendidikan ialah suatu rahmat kehidupan, dan salah satu keperluan paling asasi buat manusia.’

‘Kami terlalu dahagakan pendidikan, masa depan kami lebih baik dengan pendidikan di dalam kelas itu..’

‘Apabila pendidikan menjadi satu jenayah, anak-anak perempuan dilarang ke sekolah, dan apabila dunia saya tiba-tiba berubah, maka keutamaan saya juga berubah.

Saya ada dua pilihan; iaitu pertama seorang yang mendiamkan diri dan menunggu waktu untuk dibunuh atau, pilihan kedua ialah bercakap dan dibunuh.

Saya pilih yang kedua, saya akan bercakap mempertahankan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan.’


Dalam sesebuah wawancara The Daily Show with Jon Stewart-Extended Interview with Malala Yousafzai, pengacara progam bual bicara yang membicarakan buku terbaru , ‘I am Malala’ bertanyakan tentang motivasi yang mendorong kecintaan Malala terhadap pendidikan. Beliau mengatakan secara bersahaja, 

“Kita manusia, ia sebahagian daripada fitrah semulajadi manusia. Kita hanya akan belajar tentang bernilainya sesuatu itu apabila ia dirampas daripada kita. Di Pakistan apabila kami dilarang ke sekolah, baru kami sedar bahawa pendidikan adalah sesuatu yang sangat penting. Pendidikan merupakan kuasa kepada seorang perempuan; dan pengganas takut kepada pendidikan sebab itu mereka tidak mahu perempuan ke sekolah, pendidikan akan menjadikan perempuan lebih berkuasa.”



Malala juga menegaskan bahawa dia tidak bergerak seorang diri. Dia adalah suara seluruh anak-anak gadis yang tertinggal dalam kepesatan dunia dan kepantasan waktu. Dia ialah suara anak gadis yang mahukan kehidupan yang lebih baik; tidak dipaksa berkahwin ketika masih kanak-kanak, tidak dihalang ke sekolah untuk mencapai impian dan cita-cita, atau tidak dipaksa bekerja kerana hambatan kemiskinan. Hak asasi setiap kanak-kanak ialah hak untuk mendapatkan pendidikan.  



Perjuangan beliau tidak akan berhenti selagi masih ada kanak-kanak yang dilarang ke sekolah. Untuk itu, beliau dan ayahnya menubuhkan Yayasan Malala untuk membantu mencapai impiannya itu. Melalui Yayasan itu, Malala menggerakkan aktivisme dan program advokasi beliau dengan lebih terancang. Pada ulangtahun kelahiran ke-17, iaitu 12 Julai 2014 beliau telah ke Nigeria mendesak agar kanak-kanak sekolah perempuan yang diculik oleh ekstrimis Boko Haram dipulangkan ke pangkuan keluarga dengan selamat. Pada ulangtahun kelahiran ke-18 pula, bersamaan 12 Julai 2015, beliau membuka sekolah menengah untuk kanak-kanak perempuan yang menjadi pelarian di Lembah Bekaa, Lubnan. Pada 12 Julai 2016, Malala menyambut hari kelahirannya yang ke-19 di gadis pelarian yang berlindung di Dadaab dan Kakuma, Kenya serta perlindungan Mahama di Rwanda. 



Perjuangan dan advokasi beliau semakin bersifat global apabila sebuah dokumentari berjudul ‘He Named Me Malala’ memenangi Anugerah Akademi dipengarah oleh Davis Guggenheim, telah memasuki panggung teater dan membawakan kisah perjuangan beliau kepada 175 negara dengan 11 bahasa yang berlainan. Beliau juga mengadakan kempen #BooksNotBullets dan #YesAllGirls agar dunia bersama-sama dalam memperjuangkan pendidikan untuk anak-anak perempuan. 



Sebelum Malala Yousafzai memasuki universiti, beliau telah mengadakan pengembaraan program advokasi beliau iaitu ‘ Girl Power Trip’ bermula April hingga September 2017 ke Amerika Utara, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin untuk bertemu secara bersemuka semua gadis dan mendengar rintihan mereka yang menghalang anak-anak perempuan ke sekolah. Dalam lawatan itu, beliau juga telah mengaturkan belasan pertemuan dengan pemimpin tertinggi dan perdana menteri untuk mendesak mereka menyokong usaha memastikan hak persekolahan kanak-kanak perempuan diberikan salah-satu keutamaan dalam negara mereka. Lawatan ke pelbagai negara dan negeri itu adalah untuk menyelami faktor utama peminggiran kanak-kanak perempuan dalam persekolahan agar program yang akan direncana lebih fokus kepada masalah yang dihadapi. 




Walaupun Malala telah mendaftar diri di Universiti Oxford, keprihatinan dan komitmen beliau tetap diteruskan. Perjuangannya untuk mendapatkan keadilan pendidikan kepada 130 juta kanak-kanak perempuan seluruhh dunia telah disambut oleh pelbagai pihak dan telah mempunyai rangkaian antarabangsa melalui wakil-wakilnya di setiap negara. Advokasi beliau juga lebih pelbagai seperti melalui medium pembikinan filem, buku dan komik. Justeru itu, Malala Yousafzai selayaknya menjadi ikon contoh yang hidup untuk anak muda negara ini untuk dijadikan inspirasi. Beliau merupakan pemudi yang berani, berstrategi, dedikasi, komitd dan berwawasan jauh yang merupakan satu set sifat kepimpinan yang perlu ada pada setiap anak muda untuk keluarkan segala potensi diri sebagai agen pengubah dunia yang lebih baik. 


Kesimpulan

Di akhir ucapan Malala di Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, beliau menggesa semua pihak termasuk semua individu untuk menyumbang bakti, usaha, tenaga, masa dan material kerana ia merupakan tanggungjawab bersama untuk melihat keamanan dunia melalui pendidikan. Beliau mendesak agar semua anak muda yang mahukan kehidupan yang baik memainkan peranan dengan menjadi generasi pertama dan akhir yang menghentikan segala bentuk penindasan akibat kemiskinan, peperangan, keganasan yang membawa kepada keciciran kanak-kanak dalam pendidikan. 



Malala Yosafzai meyakini hanya pendidikan yang boleh menyelesaikan semua masalah yang ada. Peperangan dan senjata tidak akan memberikan apa-apa makna melainkan kesengsaraan kepada generasi manusia kemudiannya. Perjuangan ini mestilah melalui keamanan, dan untuk mencipta dunia yang lebih bermakna buat kanak-kanak ialah melalui dialog dan pendidikan. 


“One child, one teacher, one book and one pen can change the world. Education is the only solution. Education first.” 


Perjuangan Malala ini perlu disahut oleh anak muda Malaysia. Keterlibatan golongan remaja belia dalam perlakuan devian, aktiviti keganasan dan gejala sosial hanya merugikan masa depan negara. Perlu diingatkan bahawa waktu muda adalah waktu untuk bersusah-payah mengenal pasti dan membina segala potensi diri untuk kebaikan keluarga, masyarakat, agama, negara dan dunia. Benarlah kata pepatah, ‘pemudi tiang negara, pemuda harapan bangsa. Jika rosak pemuda negara, tunggulah kerosakan yang lebih dasyat lagi kepada masyarakat, agama dan negara. 



Jadi anak muda, jadilah yang berjasa! Pilih perjuangan anda, laksanakan hingga dunia turut terasa. Ayuh anak muda, hidup biar berjasa sepertimana Malala memberikan kita makna apa itu pemudi dan pemuda harapan dunia. 


Akhir sekali, FPPM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan SELAMAT HARI BELIA MALAYSIA dan SELAMAT HARI GURU kepada semua.