Pages

Tuesday, 23 July 2013

ROGOL: PEMBUNUH KEGADISAN.


Banyak pula berita-berita mengenai rogol yang melibatkan pelajar ipt dan remaja perempuan. Ini saya kongsikan tips mengelak dari kejadian rogol. BERHATI-HATI YA!!!



Cara-cara mengelak dari kejadian rogol:

·   Mengawasi ahli keluarga yang kurang siuman atau kebodohan supaya tidak terbiar dan terdedah kepada bahaya rogol.

·   Memberi pendidikan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga tubuh badan mereka daripada dicerobohi.

·    Memberi pendidikan agama dan moral tentang dan kemudaratan perbuatan persetubuhan haram.

·    Mengawasi dan memantau pergaulan anak-anak dan memastikan mereka tidak melebihi batas.

·   Jangan mempercayai janji-janji oleh bomoh atau singseh. Telah terbukti persetubuhan bukan satu cara untuk berubat tetapi satu penipuan.

·    Tidak mudah mempercayai janji untuk berkahwin dengan menyerah kehormatan diri.

·   Tidak mudah menurut pelawaan orang-orang yang tidak atau baru dikenali untuk makan, minum, bersiar-siar atau pergi ke bilik/rumah mereka.

·   Terlebih dahulu minta dan semak kad kuasa orang yang mengaku sebagai penjawat awam seperti polis atau pegawai pencegah maksiat sebelum mengikut arahan mereka.

·   Elakkan dari berjalan bersendirian di tempat-tempat gelap, sunyi atau terpencil. Jika perlu pergi juga, pastikan anda berteman.

·    Membawa alat penggera peribadi amat disyorkan.

·   Sentiasa berwaspada dengan makanan dan minuman yang diberikan oleh orang yang tidak atau baru dikenali. Mungkin ia mengandungi dadah, bahan pelali atau perangsang nafsu.

·   Berwaspada apabila melihat orang yang mencurigakan di sekitar kawasan kemudahan awam seperti tandas, stesen bas, lif dan sebagainya.

·    Ketika hendak gunakan kenderaan awam, pastikan ada penumpang wanita lain bersama. 


Mengatasi Ancaman Rogol:



·   Undang-undang membenarkan hak untuk mempertahankan diri daripada dirogol dengan menggunakan kekerasan ke atas penyerang (perogol) sehingga boleh menyebabkan luka parah atau kematian ke atasnya.

·    Bertenang dan jangan kelam kabut jika diugut atau diserang.

·    Jangan lakukan tindakan yang terburu-buru.

·   Sekiranya anda membuat keputusan untuk melawan, pastikan anda benar-benar menguasai keadaan. Anda boleh gunakan tangan atau kaki atau sebarang benda yang ada pada anda seperti beg tangan, payung, kunci dan sebagainya untuk melawan.

·   Camkan muka dan tanda-tanda yang ada pada penjenayah itu serta pakaiannya dan juga nombor kenderaan yang digunakan.

·   Untuk membantu penyiasatan polis, anda dinasihatkan supaya tidak membasuh badan dan pakaian yang dipakai sewaktu kejadian sebelum membuat laporan polis.



Oleh, 

Jabatan Pengajian Umum, FPPM, Kolej UNITI.

Wednesday, 10 July 2013

Serlah Ketrampilan Mahasiswa IPT Melalui Etika Berpakaian Yang Tepat

Cara berpakaian di institusi pendidikan tinggi sememangnya berbeza ketika berada di alam persekolahan. Jika di sekolah semua pelajar terikat dengan uniform khas tetapi di IPT, pelajar diberi kebebasan dalam berpakaian.
Pakaian dan style begini tidak sesuai pergi ke kuliah, ok! :)

Walaupun begitu, kebebasan berpakaian bukanlah lesen untuk pelajar IPT melanggar etika berpakaian ketika hadir ke kelas atau kuliah. Etika berpakaian merujuk kepada berpakaian yang bersesuaian dengan majlis, acara dan tempat.

Ketika penulis menuntut di salah sebuah IPT awam dahulu, sebilangan pelajar-pelajar lelaki gemar hadir ke kelas hanya memakai selipar ‘jepun’ dan baju tidak berkolar sehingga di tegur sinis oleh pensyarah. Sebilangan pelajar perempuannya pula, suka mengenakan selendang tipis, berpakaian ketat penuh warna-warni dan kerlipan serta solekan tebal.

Kini, penulis berkhidmat sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej swasta di Negeri Sembilan. Penulis juga berhadapan dengan karenah pelajar yang gagal mematuhi etika berpakaian. Bukan tiada papan besar memaparkan etika berpakaian yang betul, tetapi para pelajar memandang enteng perkara tersebut.

Etika berpakaian yang betul di kalangan pelajar IPT adalah penting kerana ia mencerminkan sahsiah individu serta kecemerlangan sesebuah IPT itu. Kita semestinya sedih apabila melihat cara berpakaian pelajar IPT ke kelas ibarat mahu berlumba-lumba membuat pertunjukan fesyen. Malah tidak kurang, ada juga yang kelihatan selekeh sehingga membuatkan kita mengeluh.


Terserlah kewibawaan dan ketrampilan mahasiswa melalui pakaiannya. 
Lebih parah, apabila duit juga habis berbelanja untuk membeli barang kosmetik dan pakaian berjenama. Apabila diminta untuk membeli buku dengan harga yang sangat murah, masing-masing mengeluh mengatakan ketiadaan duit. Pelik. Tetapi inilah realiti yang penulis perlu hadapi. Sehinggakan penulis berfikir, adakah mereka berhabis duit untuk belajar atau shopping

Perlu diingatkan kepada pelajar IPT mereka adalah golongan yang berpendidikan tinggi. Maka penampilan diri terutama aspek berpakaian harus dipandang penting. Imej sebagai penuntut IPT harus dijaga supaya dapat

menjaga dan memartabatkan IPT sebagai tempat penting melahirkan manusia yang bijak menjaga penampilan dan pemakaian selari dengan imej individu yang berpelajaran tinggi dan sesuai pada tempatnya.

Penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan secara konsisten bagi memastikan pelajar mematuhi etika berpakaian. Begitu juga kerjasama pensyarah. Pensyarah perlu sedikit tegas dengan cara pemakaian para pelajar ketika menghadiri kelas atau kuliah ataupun urusan rasmi di pejabat.

Jika perkara ini dibiarkan berlarutan, kita khuatir ini akan mendatangkan masalah apabila mereka melangkah keluar dari institusi pengajian, mereka tidak dapat membezakan pakaian yang sesuai untuk urusan rasmi seperti temuduga.


Terserlah kehebatan pembentangan pelajar kejuruteraan ini melalui pakaiannya. 
Justeru, salah satu aspek penting dalam melahirkan mahasiswa berketrampilan adalah dengan mendidik mereka mengenai tatacara berpakaian yang betul sesuai dengan urusan, majlis atau acara rasmi atau tidak rasmi serta cocok dengan lunas-lunas agama. Penampilan yang kemas dan tidak berlebih-lebihan memaksimumkan lagi pandangan positif kepada golongan berpendidikan tinggi ini.  




Oleh, 

Puan Faridah Mohd Tap
Ketua Jabatan Pengajian Umum, FPPM,
Kolej UNITI, Port Dickson, N9.

Tuesday, 18 June 2013

KELAHIRAN GENERASI BARU MANUSIA: GENERASI ALPHA 2010


Generasi X, generasi Y dan generasi Z mungkin tidak asing kedengaran di kalangan masyarakat berbanding generasi Alpha (Alpha generation) dalam ilmu sosiologi masa kini. Ini kerana generasi alpha adalah generasi baru manusia yang lahir pada tahun 2010. Menurut Mark McCrindle (2009) dalam ‘Babies born from 2010 to form Generation Alpha’, para saintis sosial menamakan generasi alpha iaitu huruf pertama Greek kerana berakhirnya huruf latin yang merujuk kepada generasi Z. 

Menurut pengkaji sosial dan ahli sosiologi, keunikan bayi-bayi yang lahir sebagai generasi alpha ini dikatakan generasi yang paling mendapat pendidikan secara formal dalam sejarah. Kanak-kanak ini telah dihantar ke sekolah dengan lebih awal. Ini telah didorong oleh kesedaran ibu bapa mereka tentang peri pentingnya pendidikan sebagai jaminan masa depan yang cerah. Malah kedua ibubapa generasi alpha ini adalah majoritinya generasi X dan Y yang telah mendapat pendidikan formal yang baik sehingga ke peringkat tertinggi.

Kita juga boleh menyaksikan perkembangan pesat dimana pengajian di peringkat tertiari seperti diploma dan ijazah di institusi pengajian awam dan swasta telah menawarkan bidang pendidikan dan asuhan awal kanak-kanak kepada masyarakat. Ini adalah sebagai memenuhi tuntutan generasi milenia dan kehendak ibu bapa kepada generasi alpha yang mahukan pendidikan awal kanak-kanak yang terbaik. Ini juga menjadi sebab kepada para pengkaji yang mengatakan generasi baru alpha adalah generasi kanak-kanak paling terpelajar dalam sejarah sosiologi manusia.

Antara ciri generasi alpha yang paling menyerlah ialah mereka dijangka lebih materialistik dan fokus kepada teknologi tinggi berbanding generasi sebelumnya. Ini diukur berdasarkan banyakkan permainan digital dan permainan yang memerlukan bateri yang sudah tentu nilainya agak mahal di pasaran dasawarsa ini. Malah, kanak-kanak ini sudah lebih awal mengenali kegunaan Ipad, iPod, telefon bimbit, laptop dan lain2.


Secara ringkasnya, antara ciri-ciri Generasi Alpha yang diramalkan oleh para pengkaji sosiologi adalah:-

  • ·        Mewarisi kemewahan material dari Generasi X dan Y iaitu ibu bapa mereka.
  • ·        Berpelajaran tinggi
  • ·        Hidup dibantu oleh gajet-gajet berteknologi tinggi.
  • ·     Tidak mempunyai skill atau kemahiran yang banyak dan tidak berminat untuk menambah kemahiran dari yang sediada.
  • ·   Taksub dengan benda/alat/produk baru dan apabila sudah bosan akan membuangya dan digantikan dengan yang lebih baru.
  • ·       Diramalkan yang kebanyakan mereka adalah obes atau mengalami berat badan yang berlebihan akibat kurang pergerakan kerana hidup di dalam dunia teknologi yang semuanya berada di hujung jari tanpa perlu keluar dari rumah.
  • ·        Kurangnya semangat sosial dan kejiranan sehingga tidak mengenali jiran dan juga rakan sepejabat.
  • ·       Generasi Alpha juga diramalkn akan mempunya peluang pekerjaan yang sangat tinggi di masa hadapan kerana menjelang tahun 2020, populasi tua telah mencapai puncaknya dan meninggalkan alam pekerjaan yang bakal diambilalih oleh generasi ini. (Khairulabdullah.com, April 2012)



Walaupun apa jua jangkaan ke atas generasi ini, semua pihak khususnya institusi keluarga dan institusi pendidikan harus memberikan penekanan yang serius kepada pembentukan peribadi beradab dan berakhlak mulia yang berpaksikan kepada ajaran agama yang utuh. 

Jika hari ini kita telah menyaksikan kemerosotan nilai yang kritikal, maka kita harus lakukan sesuatu dan bersungguh-sungguh supaya generasi alpha tidak mewarisi keadaan itu. Sesungguhya, kita harus  memberikan perhatian kepada firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka.” (An-Nisa’ [4]: 9)

Akhirnya, FPPM menggalas tanggungjawab yang berat bagi melahirkan golongan pendidik yang mampu memenuhi tuntutan generasi alpha melalui pendidikan berteraskan gender 'Helping Boys Nurturing Girls' supaya kedua-dua kanak-kanak alpha lelaki dan perempuan terbangun dengan fitrahnya yang benar. Wallahu'alam.






Disediakan oleh,

Puan Faridah Mohd Tap
Ketua Jabatan Pengajian Umum, FPPM, Kolej UNITI, PD.



Monday, 10 June 2013

KERANA CINTA, KELUARGA DISISIHKAN


 
Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (Kosmo Online, 21 November 2010).




“Biarlah dia pilih jalan hidup sendiri. Kami dah penat!”, itulah luahan seorang ahli keluarga kepada seorang remaja wanita yang lari mengikut teman lelakinya.

Tiada ibu bapa didunia ini yang mahukan anak-anaknya menjalani kehidupan yang susah. Semua ibubapa mengharapkan anak-anaknya menikmati kehidupan yang bermakna, bahagia dan seiring redhoNya. Lantaran itu, ibubapa akan kerap menasihati, memberi bimbingan supaya anak-anak tidak tersilap pilih jalan.

Namun, semua impian hancur bila anak gadis mula mengenali dunia cinta. Kekadang semua pesanan dan nasihat ibubapa dilupakan begitu sahaja. Kerana mengejar cinta seorang lelaki yang terbukti tidak jujur, keluarga disisihkan, ibubapa diabaikan, perasaan keduanya dilukai.  Habis puas dinasihati oleh ibubapa dan ahli keluarga, namun semuanya ibarat mencurah air di daun keladi, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sudahnya, remaja wanita tersebut mengambil keputusan melarikan diri walau diri telah didera, dilukai oleh lelaki yang kononya cinta sejatinya.


KERANA CINTA ITU, MATA HATI BUTA.


Lantaran kuasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada si lelaki, maruah diri diserahkan tanpa segan silu walau tiada sebarang ikatan yang menghalalkan persetubuhan. Daripada penzinaan tersebut, terhasil seorang janin yang sedang membesar di rahim si remaja wanita tadi. Diri dipukul, dikurung, duit ditipu, tidak sekalipun memberi keinsafan kepada remaja wanita tersebut. Cinta terhadap sang lelaki tetap utuh disanubari. Kerana cinta itu, mata hatinya buta untuk menilai antara kaca dan permata.

Ini merupakan satu kejadian benar yang menceritakan kepada kita gejala gadis melarikan diri kerana cinta. Mengikut sebuah laporan, setiap hari dua orang gadis lari ikut kekasih. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (Kosmo Online, 21 November 2010).


Tambahan lagi, remaja wanita Melayu lingkungan 14 hingga 17 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada satistik gadis hilang di Malaysia pada tahun 2000 hingga 2006. Gadis hilang demi cinta merupakan faktor utama kehilangan di Negara ini sejak kebelakangan ini. Ini sudah tentu merupakan perangkaan yang merisaukan kerana gadis hilang kerana cinta tersebut mungkin terpedaya dengan tipu muslihat kekasih hati yang ingin menjerat mereka ke lembah pelacuran, jenayah rogol, bersekedudukan dan lain-lain.

KELEMAHAN JATI DIRI SEBAGAI PUNCA UTAMA

Bukan sedikit jumlah remaja wanita yang tertipu dengan pujukan manis sang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dimana silapnya? Walau dibentang puluhan sebab-musabab sekalipun, pokok pangkal kepada gejala ini adalah kelemahan jati diri sebagai Muslimah khususnya.

Jati diri sebagai Muslimah berdiri diatas asas yang rapuh. Iman senipis kulit bawang terus-terusan dibiar sehingga mudah sekali dirobek dengan satu kali sentuhan. Kewajipan dan tuntutan agama diabaikan. Putus asa, kecewa dan tidak yakin menghiasi pembinaan karekter diri. Akibatnya, hidup dipandu dengan emosi dan nafsu yang menghancurkan diri. Maka apabila dihujani dengan pujuk rayu cinta duniawi, diri tersungkur menyembah bumi dan kerana diturutkan kata hati, badan binasa habis dilukai.


Berbahagialah menjadi muslimah sejati. Menutup aurat, tuntutan rukun iman dan Islam dilaksana dengan penuh keikhlasan. Diri dihiasi adab sopan yang tinggi, yakin diri, rajin menuntut ilmu barulah akan terlahir jati diri yang kuat. Walau ditiup angin kencang dugaan dan pujuk rayu, semuanya mampu ditepis dengan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Rabbul ‘izzati. Hati tetap teguh, “AKU MAHUKAN REDHO ALLAH DALAM KEHIDUPAN SINGKAT INI.” wallahu’alam. 




Puan Faridah Mohd Tap
Ketua Jabatan Pengajian Umum,
FPPM, Kolej UNITI, PD.

(Boleh dihubungi di faridah@uniti.edu.my)

Wednesday, 22 May 2013

MENGHARMONIKAN PENDIDIKAN AL-HIKMAH KE DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

"Pelajar dimomokkan dengan kecemerlangan akademik dengan kerjaya yang bagus-bagus dengan gaji beribu-raban. Yang ketinggalan pula, dimomokkan sebagai tiada masa hadapan dan hidup melarat. Justeru, kepincangan ini telah melahirkan generasi yang taksub material serta miskin rohani yang memakan diri." (Faridah Mohd Tap)



                      
Sebagai pendidik, sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita. Bukan sahaja terbaik dalam bidang akademik, tetapi turut juga cemerlang akhlak diri.

Mengajar kanak-kanak menuntut kesabaran yang diselangi senyum kebahagiaan. Mengajar dan mendidik remaja yang baru menginjak ke alam dewasa pula menuntut kesabaran tidak berbelah bahagi yang diselangi duka dan air mata. Namun itulah tugas dan cabaran sebagai insan bergelar pendidik kepada generasi muda yang semakin terhakis adab.

Setiap cabaran perlu ditempuh dengan semangat dan ketabahan. Remaja hari ini pula penuh dengan karenah yang perlu dihadapi dengan hikmah. Ibarat batu dan air. Batu yang keras sekalipun boleh berubah bentuk dengan titisan-titisan air yang menitis tenang ke atas permukaan batu.

Begitulah remaja. Sekeras manapun hati mereka, setinggi manapun ego diri, akhirnya tetap tunduk dengan pendekatan pendidikan yang penuh hikmah. Seperti yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab sebelum keIslamannya.

Walaupun terkenal dengan ketegasan, kebengisan, serta kebenciannya kepada Islam, namun akhirnya lunak jua kepada keteguhan dan keberanian adiknya, Fatimah demi menyatakan kebenaran dengan hikmah kalamullah. Sungguh besar hikmah pendidikan Qur’ani sehingga sebengis manusia yang digeruni para syaitan boleh lunak dengan Kalam Allah.


PENDIDIKAN AL-HIKMAH


Mungkin ada segelintir kita pertama kali dengar pendidikan al-hikmah ini. Secara umum, pendidikan al-hikmah merupakan lontaran idea penjenamaan pendidikan alternatif keislaman oleh Yang Berbahagia, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil iaitu mantan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang ke-empat. Berbicara tentang al-hikmah, teringat penulis kepada sebuah hadith, dimana Rasulullah telah bersabda mafhumnya, “hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka dimana sahaja ia didapati, dia adalah orang yang berhak terhadapnya.” (Riwayat At- Tirmidzi)

Dan lagi, bila disebut tentang hikmah, tidak boleh tidak kita pasti mengaitkannya dengan seorang sosok individu yang Allah telah muliakan dengan hikmah kebijaksanaan iaitu Luqmanul Hakim. Kebijaksanaan Luqman diabadikan dalam Al-Kitab (surah Luqman). 

Terdapat beberapa mesej sarat dengan makna dan nilai didikan sepertimana yang dipesan Luqman kepada anaknya seperti tercatat dalam surah Luqman, ayat 12 hingga 19, mafhumnya;

12)  Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman,    iaitu:  "Bersyukurlah kepada Allah.  Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan  barangsiapa  yang  tidak  bersyukur,   maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."


13)        Dan  (ingatlah)  ketika Luqman  berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi   pelajaran   kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan     Allah,     sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".


14)         Dan  Kami  perintahkan  kepada  manusia   (berbuat baik)  kepada dua orang   ibu-bapanya; ibunya telah  mengandungnya dalam    keadaan  lemah  yang  bertambah-tambah,   dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah  kepada-Ku  dan kepada  dua orang ibu-bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.


 15)        Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu  yang   tidak ada pengetahuanmu tentang itu,  maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.


 16)        (Luqman berkata):    "Hai anakku,  sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu, atau di langit, atau   di dalam  bumi,    nescaya  Allah  akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya  Allah   Maha  Halus   lagi Maha Mengetahui.

 17)        Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah  (manusia)  mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).


18)        Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia ((kerana sombong)   dan   janganlah  kamu  berjalan  di muka  bumi  dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.


19)        Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya  seburuk-buruk suara adalah suara keldai.


Dari mafhum Kalamullah di atas, dapat kita simpulkan pendidikan al-hikmah adalah yang berteraskan kepada faham ketawhidan yang tuntas. Seorang pendidik haruslah menyemai nilai-nilai murni insaniah sepertimana yang digarap dalam surah di atas iaitu bersyukur, tidak berbuat syirik, berbuat baik kepada ibu bapa, mendirikan solat, amar makruf dan nahi munkar, bersabar, rendah hati, besederhana dan berlemah-lembut dalam bicara ke dalam diri setiap pelajar.


Ironisnya, dilema pendidikan tinggi hari ini adalah terlalu mengejar nilai material sehingga nilai spiritual terus-terusan dibiar kering-kontang. Maka, tidak hairanlah jika kedengaran jenayah-jenayah kolar putih seperti rasuah yang melibatkan golongan cerdik pandai. Yang ketinggalan dalam pelajaran pula terjerat dalam kebejatan sosial. Yang bijak pandai memanipulasi kecerdikan untuk melakukan perkara mungkar dalam diam, yang lemah akal pula tidak segan silu menyatakan kejahilan dalam terang.


CEMERLANG INTELEK TAPI MISKIN ROHANI


Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang cemerlang jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) masih jauh dari realiti. Kejayaan pelajar hari ini diukur dengan pencapaian cemerlang dalam akademik semata-mata.


Pelajar dimomokkan dengan kecemerlangan akademik dengan kerjaya yang bagus-bagus dengan gaji beribu-raban. Yang ketinggalan pula, dimomokkan sebagai tiada masa hadapan dan hidup melarat. Justeru, kepincangan ini telah melahirkan generasi yang taksub material serta miskin rohani yang memakan diri.


Natijah akhirnya, institusi pendidikan akan gagal kerana hanya melahirkan manusia robot yang tiada belas ihsan kepada insan lain. Sifat insaniah semakin terhakis. Semakin tinggi ilmu semakin meninggi diri, semakin hilang hormat kepada yang lebih tua, semakin hilang kasih kepada yang muda, semakin tinggi suara tatkala berhujah, semakin mendabik dada, yang kaya dipuja, yang miskin dikeji, yang salah dibenarkan dan yang benar disalahkan. Itulah signifikans pesanan Abuya Luqmanul Hakim kepada anaknya untuk menjaga aspek kerohanian kerana ia sering dipinggirkan.

Disebabkan itu, pendidikan al-hikmah dengan mengambil intipati pesanan si bijaksana-Luqmanul Hakim-perlu dihidup suburkan dalam misi mencerahkan semula kewibawaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya sistem pendidikan ini mampu melahirkan generasi baru yang cemerlang akal dan budi yang merupakan teras keberlangsungan tamadun insaniah.

Kesimpulannya, generasi baru ini yang akan membawa kembali sinar tawhid dan sifat-sifat insaniah di tengah-tengah ancaman sekularisasi yang darinya telah lahir pelbagai –isme (pemikiran) yang membelakangkan fitrah manusiawi lalu hilang pedoman. Wallahu’alam.


Oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Jabatan Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.
Boleh dihubungi melalui emel, fa_mimosa@yahoo.com / faridah@uniti.edu.my

Wednesday, 24 April 2013

BENGKEL KEMAHIRAN MEMBACA DAN BEDAH BUKU



KOLEJ UNITI, 23 April- Sebuah Bengkel Kemahiran Membaca dan Bedah Buku telah dijalankan di Bilik Kuliah 12 UNITI Village untuk para pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM) khususnya pensyarah pendidikan bersama Read Dynamics Consultant anjuran Unit Penyelidikan, FPPM Kolej UNITI. 

Unit Penyelidikan di bawah fakulti ini  kini sedang memberi fokus kepada pembangunan gagasan fakulti iaitu ‘Helping Boys Nurturing Girls (HBNG)’. HBNG ini adalah inisiatif yang dicetuskan oleh mantan Dekan FPPM iaitu Encik Ahmad Shafiai Uda Jaffar dan kini diteruskan oleh kepimpinan dekan baru, Encik Zakri bin Mohd Zain dan Institusi HBNG UNITI.

Bengkel yang telah berlangsung pada 9:00 pagi dan berakhir pada jam 1:00 petang itu mensasarkan beberapa objektif iaitu:-


1.1   Mendedahkan kepentingan membaca ke arah menjadi individu yang berjaya.

1.2   Memberikan tips dan teknik penting kepada para pensyarah mengenai pembacaan buku yang efektif.

1.3   Memberikan pendedahan kepada para pensyarah teknik asas bedah buku dan ‘speed reading’ supaya aktiviti pembacaan tidak menjadi beban dan menyeronokkan.

1.4   Mendedahkan teknik dan kemahiran penulisan artikel ilmiah dan jurnal akademik yang baik.

1.5   Mengaplikasi dan mengajar teknik pembacaan dan penulisan ilmiah yang betul  kepada para pelajar. 



Sebagai permulaan, unit ini akan memulakan aktiviti bedah buku secara berkala di kalangan para pensyarah di bawah fakulti ini khususnya untuk program Diploma Pendidikan Pra-Sekolah. Justeru, menjadi keperluan bagi Unit Penyelidikan untuk mendedahkan teknik sebenar bedah buku dan kemahiran bacaan laju supaya peringkat pertama dapat berjalan dengan efektif terutama  jumlah jam atau beban mengajar yang mencengkam sebahagian besar waktu sebagai pendidik.

 Diharapkan, kerjasama dengan Konsultan professional luar iaitu Read Dynamics Consultant dapat membantu Unit Penyelidikan mencapai objekitf murni ini supaya aktiviti bedah buku dan penulisan artikel ilmiah dapat dijayakan.


SLOT 1: Encik Yusni Read Dynamics mengupas permasalahan kurang membaca di kalangan masyarakat dan kepentingan membaca dalam tasawwur Islam.


SLOT 3: Latihan 'Speed Reading' (bacaan pantas) oleh para pensyarah yang terlibat.


Dekan FPPM, En. Zakri menyampaikan cenderamata kepada En. Yusni, Read Dynamics Consultant.


Disediakan oleh;

Cik Faridah binti Mohd Tap
KJ Pengajian Umum
(Pemangku Ketua Unit Penyelidikan, FPPM)