Pages

Tuesday, 18 June 2013

KELAHIRAN GENERASI BARU MANUSIA: GENERASI ALPHA 2010


Generasi X, generasi Y dan generasi Z mungkin tidak asing kedengaran di kalangan masyarakat berbanding generasi Alpha (Alpha generation) dalam ilmu sosiologi masa kini. Ini kerana generasi alpha adalah generasi baru manusia yang lahir pada tahun 2010. Menurut Mark McCrindle (2009) dalam ‘Babies born from 2010 to form Generation Alpha’, para saintis sosial menamakan generasi alpha iaitu huruf pertama Greek kerana berakhirnya huruf latin yang merujuk kepada generasi Z. 

Menurut pengkaji sosial dan ahli sosiologi, keunikan bayi-bayi yang lahir sebagai generasi alpha ini dikatakan generasi yang paling mendapat pendidikan secara formal dalam sejarah. Kanak-kanak ini telah dihantar ke sekolah dengan lebih awal. Ini telah didorong oleh kesedaran ibu bapa mereka tentang peri pentingnya pendidikan sebagai jaminan masa depan yang cerah. Malah kedua ibubapa generasi alpha ini adalah majoritinya generasi X dan Y yang telah mendapat pendidikan formal yang baik sehingga ke peringkat tertinggi.

Kita juga boleh menyaksikan perkembangan pesat dimana pengajian di peringkat tertiari seperti diploma dan ijazah di institusi pengajian awam dan swasta telah menawarkan bidang pendidikan dan asuhan awal kanak-kanak kepada masyarakat. Ini adalah sebagai memenuhi tuntutan generasi milenia dan kehendak ibu bapa kepada generasi alpha yang mahukan pendidikan awal kanak-kanak yang terbaik. Ini juga menjadi sebab kepada para pengkaji yang mengatakan generasi baru alpha adalah generasi kanak-kanak paling terpelajar dalam sejarah sosiologi manusia.

Antara ciri generasi alpha yang paling menyerlah ialah mereka dijangka lebih materialistik dan fokus kepada teknologi tinggi berbanding generasi sebelumnya. Ini diukur berdasarkan banyakkan permainan digital dan permainan yang memerlukan bateri yang sudah tentu nilainya agak mahal di pasaran dasawarsa ini. Malah, kanak-kanak ini sudah lebih awal mengenali kegunaan Ipad, iPod, telefon bimbit, laptop dan lain2.


Secara ringkasnya, antara ciri-ciri Generasi Alpha yang diramalkan oleh para pengkaji sosiologi adalah:-

  • ·        Mewarisi kemewahan material dari Generasi X dan Y iaitu ibu bapa mereka.
  • ·        Berpelajaran tinggi
  • ·        Hidup dibantu oleh gajet-gajet berteknologi tinggi.
  • ·     Tidak mempunyai skill atau kemahiran yang banyak dan tidak berminat untuk menambah kemahiran dari yang sediada.
  • ·   Taksub dengan benda/alat/produk baru dan apabila sudah bosan akan membuangya dan digantikan dengan yang lebih baru.
  • ·       Diramalkan yang kebanyakan mereka adalah obes atau mengalami berat badan yang berlebihan akibat kurang pergerakan kerana hidup di dalam dunia teknologi yang semuanya berada di hujung jari tanpa perlu keluar dari rumah.
  • ·        Kurangnya semangat sosial dan kejiranan sehingga tidak mengenali jiran dan juga rakan sepejabat.
  • ·       Generasi Alpha juga diramalkn akan mempunya peluang pekerjaan yang sangat tinggi di masa hadapan kerana menjelang tahun 2020, populasi tua telah mencapai puncaknya dan meninggalkan alam pekerjaan yang bakal diambilalih oleh generasi ini. (Khairulabdullah.com, April 2012)



Walaupun apa jua jangkaan ke atas generasi ini, semua pihak khususnya institusi keluarga dan institusi pendidikan harus memberikan penekanan yang serius kepada pembentukan peribadi beradab dan berakhlak mulia yang berpaksikan kepada ajaran agama yang utuh. 

Jika hari ini kita telah menyaksikan kemerosotan nilai yang kritikal, maka kita harus lakukan sesuatu dan bersungguh-sungguh supaya generasi alpha tidak mewarisi keadaan itu. Sesungguhya, kita harus  memberikan perhatian kepada firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka.” (An-Nisa’ [4]: 9)

Akhirnya, FPPM menggalas tanggungjawab yang berat bagi melahirkan golongan pendidik yang mampu memenuhi tuntutan generasi alpha melalui pendidikan berteraskan gender 'Helping Boys Nurturing Girls' supaya kedua-dua kanak-kanak alpha lelaki dan perempuan terbangun dengan fitrahnya yang benar. Wallahu'alam.






Disediakan oleh,

Puan Faridah Mohd Tap
Ketua Jabatan Pengajian Umum, FPPM, Kolej UNITI, PD.



Monday, 10 June 2013

KERANA CINTA, KELUARGA DISISIHKAN


 
Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (Kosmo Online, 21 November 2010).




“Biarlah dia pilih jalan hidup sendiri. Kami dah penat!”, itulah luahan seorang ahli keluarga kepada seorang remaja wanita yang lari mengikut teman lelakinya.

Tiada ibu bapa didunia ini yang mahukan anak-anaknya menjalani kehidupan yang susah. Semua ibubapa mengharapkan anak-anaknya menikmati kehidupan yang bermakna, bahagia dan seiring redhoNya. Lantaran itu, ibubapa akan kerap menasihati, memberi bimbingan supaya anak-anak tidak tersilap pilih jalan.

Namun, semua impian hancur bila anak gadis mula mengenali dunia cinta. Kekadang semua pesanan dan nasihat ibubapa dilupakan begitu sahaja. Kerana mengejar cinta seorang lelaki yang terbukti tidak jujur, keluarga disisihkan, ibubapa diabaikan, perasaan keduanya dilukai.  Habis puas dinasihati oleh ibubapa dan ahli keluarga, namun semuanya ibarat mencurah air di daun keladi, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sudahnya, remaja wanita tersebut mengambil keputusan melarikan diri walau diri telah didera, dilukai oleh lelaki yang kononya cinta sejatinya.


KERANA CINTA ITU, MATA HATI BUTA.


Lantaran kuasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada si lelaki, maruah diri diserahkan tanpa segan silu walau tiada sebarang ikatan yang menghalalkan persetubuhan. Daripada penzinaan tersebut, terhasil seorang janin yang sedang membesar di rahim si remaja wanita tadi. Diri dipukul, dikurung, duit ditipu, tidak sekalipun memberi keinsafan kepada remaja wanita tersebut. Cinta terhadap sang lelaki tetap utuh disanubari. Kerana cinta itu, mata hatinya buta untuk menilai antara kaca dan permata.

Ini merupakan satu kejadian benar yang menceritakan kepada kita gejala gadis melarikan diri kerana cinta. Mengikut sebuah laporan, setiap hari dua orang gadis lari ikut kekasih. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (Kosmo Online, 21 November 2010).


Tambahan lagi, remaja wanita Melayu lingkungan 14 hingga 17 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada satistik gadis hilang di Malaysia pada tahun 2000 hingga 2006. Gadis hilang demi cinta merupakan faktor utama kehilangan di Negara ini sejak kebelakangan ini. Ini sudah tentu merupakan perangkaan yang merisaukan kerana gadis hilang kerana cinta tersebut mungkin terpedaya dengan tipu muslihat kekasih hati yang ingin menjerat mereka ke lembah pelacuran, jenayah rogol, bersekedudukan dan lain-lain.

KELEMAHAN JATI DIRI SEBAGAI PUNCA UTAMA

Bukan sedikit jumlah remaja wanita yang tertipu dengan pujukan manis sang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dimana silapnya? Walau dibentang puluhan sebab-musabab sekalipun, pokok pangkal kepada gejala ini adalah kelemahan jati diri sebagai Muslimah khususnya.

Jati diri sebagai Muslimah berdiri diatas asas yang rapuh. Iman senipis kulit bawang terus-terusan dibiar sehingga mudah sekali dirobek dengan satu kali sentuhan. Kewajipan dan tuntutan agama diabaikan. Putus asa, kecewa dan tidak yakin menghiasi pembinaan karekter diri. Akibatnya, hidup dipandu dengan emosi dan nafsu yang menghancurkan diri. Maka apabila dihujani dengan pujuk rayu cinta duniawi, diri tersungkur menyembah bumi dan kerana diturutkan kata hati, badan binasa habis dilukai.


Berbahagialah menjadi muslimah sejati. Menutup aurat, tuntutan rukun iman dan Islam dilaksana dengan penuh keikhlasan. Diri dihiasi adab sopan yang tinggi, yakin diri, rajin menuntut ilmu barulah akan terlahir jati diri yang kuat. Walau ditiup angin kencang dugaan dan pujuk rayu, semuanya mampu ditepis dengan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Rabbul ‘izzati. Hati tetap teguh, “AKU MAHUKAN REDHO ALLAH DALAM KEHIDUPAN SINGKAT INI.” wallahu’alam. 




Puan Faridah Mohd Tap
Ketua Jabatan Pengajian Umum,
FPPM, Kolej UNITI, PD.

(Boleh dihubungi di faridah@uniti.edu.my)

Wednesday, 22 May 2013

MENGHARMONIKAN PENDIDIKAN AL-HIKMAH KE DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

"Pelajar dimomokkan dengan kecemerlangan akademik dengan kerjaya yang bagus-bagus dengan gaji beribu-raban. Yang ketinggalan pula, dimomokkan sebagai tiada masa hadapan dan hidup melarat. Justeru, kepincangan ini telah melahirkan generasi yang taksub material serta miskin rohani yang memakan diri." (Faridah Mohd Tap)



                      
Sebagai pendidik, sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita. Bukan sahaja terbaik dalam bidang akademik, tetapi turut juga cemerlang akhlak diri.

Mengajar kanak-kanak menuntut kesabaran yang diselangi senyum kebahagiaan. Mengajar dan mendidik remaja yang baru menginjak ke alam dewasa pula menuntut kesabaran tidak berbelah bahagi yang diselangi duka dan air mata. Namun itulah tugas dan cabaran sebagai insan bergelar pendidik kepada generasi muda yang semakin terhakis adab.

Setiap cabaran perlu ditempuh dengan semangat dan ketabahan. Remaja hari ini pula penuh dengan karenah yang perlu dihadapi dengan hikmah. Ibarat batu dan air. Batu yang keras sekalipun boleh berubah bentuk dengan titisan-titisan air yang menitis tenang ke atas permukaan batu.

Begitulah remaja. Sekeras manapun hati mereka, setinggi manapun ego diri, akhirnya tetap tunduk dengan pendekatan pendidikan yang penuh hikmah. Seperti yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab sebelum keIslamannya.

Walaupun terkenal dengan ketegasan, kebengisan, serta kebenciannya kepada Islam, namun akhirnya lunak jua kepada keteguhan dan keberanian adiknya, Fatimah demi menyatakan kebenaran dengan hikmah kalamullah. Sungguh besar hikmah pendidikan Qur’ani sehingga sebengis manusia yang digeruni para syaitan boleh lunak dengan Kalam Allah.


PENDIDIKAN AL-HIKMAH


Mungkin ada segelintir kita pertama kali dengar pendidikan al-hikmah ini. Secara umum, pendidikan al-hikmah merupakan lontaran idea penjenamaan pendidikan alternatif keislaman oleh Yang Berbahagia, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil iaitu mantan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang ke-empat. Berbicara tentang al-hikmah, teringat penulis kepada sebuah hadith, dimana Rasulullah telah bersabda mafhumnya, “hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka dimana sahaja ia didapati, dia adalah orang yang berhak terhadapnya.” (Riwayat At- Tirmidzi)

Dan lagi, bila disebut tentang hikmah, tidak boleh tidak kita pasti mengaitkannya dengan seorang sosok individu yang Allah telah muliakan dengan hikmah kebijaksanaan iaitu Luqmanul Hakim. Kebijaksanaan Luqman diabadikan dalam Al-Kitab (surah Luqman). 

Terdapat beberapa mesej sarat dengan makna dan nilai didikan sepertimana yang dipesan Luqman kepada anaknya seperti tercatat dalam surah Luqman, ayat 12 hingga 19, mafhumnya;

12)  Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman,    iaitu:  "Bersyukurlah kepada Allah.  Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan  barangsiapa  yang  tidak  bersyukur,   maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."


13)        Dan  (ingatlah)  ketika Luqman  berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi   pelajaran   kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan     Allah,     sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".


14)         Dan  Kami  perintahkan  kepada  manusia   (berbuat baik)  kepada dua orang   ibu-bapanya; ibunya telah  mengandungnya dalam    keadaan  lemah  yang  bertambah-tambah,   dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah  kepada-Ku  dan kepada  dua orang ibu-bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.


 15)        Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu  yang   tidak ada pengetahuanmu tentang itu,  maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.


 16)        (Luqman berkata):    "Hai anakku,  sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu, atau di langit, atau   di dalam  bumi,    nescaya  Allah  akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya  Allah   Maha  Halus   lagi Maha Mengetahui.

 17)        Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah  (manusia)  mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).


18)        Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia ((kerana sombong)   dan   janganlah  kamu  berjalan  di muka  bumi  dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.


19)        Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya  seburuk-buruk suara adalah suara keldai.


Dari mafhum Kalamullah di atas, dapat kita simpulkan pendidikan al-hikmah adalah yang berteraskan kepada faham ketawhidan yang tuntas. Seorang pendidik haruslah menyemai nilai-nilai murni insaniah sepertimana yang digarap dalam surah di atas iaitu bersyukur, tidak berbuat syirik, berbuat baik kepada ibu bapa, mendirikan solat, amar makruf dan nahi munkar, bersabar, rendah hati, besederhana dan berlemah-lembut dalam bicara ke dalam diri setiap pelajar.


Ironisnya, dilema pendidikan tinggi hari ini adalah terlalu mengejar nilai material sehingga nilai spiritual terus-terusan dibiar kering-kontang. Maka, tidak hairanlah jika kedengaran jenayah-jenayah kolar putih seperti rasuah yang melibatkan golongan cerdik pandai. Yang ketinggalan dalam pelajaran pula terjerat dalam kebejatan sosial. Yang bijak pandai memanipulasi kecerdikan untuk melakukan perkara mungkar dalam diam, yang lemah akal pula tidak segan silu menyatakan kejahilan dalam terang.


CEMERLANG INTELEK TAPI MISKIN ROHANI


Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang cemerlang jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) masih jauh dari realiti. Kejayaan pelajar hari ini diukur dengan pencapaian cemerlang dalam akademik semata-mata.


Pelajar dimomokkan dengan kecemerlangan akademik dengan kerjaya yang bagus-bagus dengan gaji beribu-raban. Yang ketinggalan pula, dimomokkan sebagai tiada masa hadapan dan hidup melarat. Justeru, kepincangan ini telah melahirkan generasi yang taksub material serta miskin rohani yang memakan diri.


Natijah akhirnya, institusi pendidikan akan gagal kerana hanya melahirkan manusia robot yang tiada belas ihsan kepada insan lain. Sifat insaniah semakin terhakis. Semakin tinggi ilmu semakin meninggi diri, semakin hilang hormat kepada yang lebih tua, semakin hilang kasih kepada yang muda, semakin tinggi suara tatkala berhujah, semakin mendabik dada, yang kaya dipuja, yang miskin dikeji, yang salah dibenarkan dan yang benar disalahkan. Itulah signifikans pesanan Abuya Luqmanul Hakim kepada anaknya untuk menjaga aspek kerohanian kerana ia sering dipinggirkan.

Disebabkan itu, pendidikan al-hikmah dengan mengambil intipati pesanan si bijaksana-Luqmanul Hakim-perlu dihidup suburkan dalam misi mencerahkan semula kewibawaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya sistem pendidikan ini mampu melahirkan generasi baru yang cemerlang akal dan budi yang merupakan teras keberlangsungan tamadun insaniah.

Kesimpulannya, generasi baru ini yang akan membawa kembali sinar tawhid dan sifat-sifat insaniah di tengah-tengah ancaman sekularisasi yang darinya telah lahir pelbagai –isme (pemikiran) yang membelakangkan fitrah manusiawi lalu hilang pedoman. Wallahu’alam.


Oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Jabatan Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.
Boleh dihubungi melalui emel, fa_mimosa@yahoo.com / faridah@uniti.edu.my

Wednesday, 24 April 2013

BENGKEL KEMAHIRAN MEMBACA DAN BEDAH BUKU



KOLEJ UNITI, 23 April- Sebuah Bengkel Kemahiran Membaca dan Bedah Buku telah dijalankan di Bilik Kuliah 12 UNITI Village untuk para pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM) khususnya pensyarah pendidikan bersama Read Dynamics Consultant anjuran Unit Penyelidikan, FPPM Kolej UNITI. 

Unit Penyelidikan di bawah fakulti ini  kini sedang memberi fokus kepada pembangunan gagasan fakulti iaitu ‘Helping Boys Nurturing Girls (HBNG)’. HBNG ini adalah inisiatif yang dicetuskan oleh mantan Dekan FPPM iaitu Encik Ahmad Shafiai Uda Jaffar dan kini diteruskan oleh kepimpinan dekan baru, Encik Zakri bin Mohd Zain dan Institusi HBNG UNITI.

Bengkel yang telah berlangsung pada 9:00 pagi dan berakhir pada jam 1:00 petang itu mensasarkan beberapa objektif iaitu:-


1.1   Mendedahkan kepentingan membaca ke arah menjadi individu yang berjaya.

1.2   Memberikan tips dan teknik penting kepada para pensyarah mengenai pembacaan buku yang efektif.

1.3   Memberikan pendedahan kepada para pensyarah teknik asas bedah buku dan ‘speed reading’ supaya aktiviti pembacaan tidak menjadi beban dan menyeronokkan.

1.4   Mendedahkan teknik dan kemahiran penulisan artikel ilmiah dan jurnal akademik yang baik.

1.5   Mengaplikasi dan mengajar teknik pembacaan dan penulisan ilmiah yang betul  kepada para pelajar. 



Sebagai permulaan, unit ini akan memulakan aktiviti bedah buku secara berkala di kalangan para pensyarah di bawah fakulti ini khususnya untuk program Diploma Pendidikan Pra-Sekolah. Justeru, menjadi keperluan bagi Unit Penyelidikan untuk mendedahkan teknik sebenar bedah buku dan kemahiran bacaan laju supaya peringkat pertama dapat berjalan dengan efektif terutama  jumlah jam atau beban mengajar yang mencengkam sebahagian besar waktu sebagai pendidik.

 Diharapkan, kerjasama dengan Konsultan professional luar iaitu Read Dynamics Consultant dapat membantu Unit Penyelidikan mencapai objekitf murni ini supaya aktiviti bedah buku dan penulisan artikel ilmiah dapat dijayakan.


SLOT 1: Encik Yusni Read Dynamics mengupas permasalahan kurang membaca di kalangan masyarakat dan kepentingan membaca dalam tasawwur Islam.


SLOT 3: Latihan 'Speed Reading' (bacaan pantas) oleh para pensyarah yang terlibat.


Dekan FPPM, En. Zakri menyampaikan cenderamata kepada En. Yusni, Read Dynamics Consultant.


Disediakan oleh;

Cik Faridah binti Mohd Tap
KJ Pengajian Umum
(Pemangku Ketua Unit Penyelidikan, FPPM)
  


Sunday, 21 April 2013

PELAN TINDAKAN PENDIDIKAN 'HELPING BOYS NURTURING GIRLS' KOLEJ UNITI









CARTA ORGANISASI INSTITUT HBNG



Disediakan oleh,

Ahmad Shafiai Uda Jaffar,
Pengarah Insitutusi Helping Boys Nurturing Girls,
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.













Thursday, 18 April 2013

SALAM JUMAAT: WAKTU DAN KEHIDUPAN.






Kuperhatikan jam didinding. Lama mataku terpaku ke arah jam itu. Berbentuk bulat sederhana, berwarna hitam, putih dan kelabu. Warna yang melambangkan professionalisme. Terdapat 12 nombor berwarna putih tersusun mengikut turutan membulat 1,2, 3, 4 dan seterusnya hingga 12 berlatarbelakangkan warna hitam.


Terdapat tiga jarum yang berbeza saiz yang berpusat ditengah-tengah bulatan jam. Jarum-jarum itulah yang menentukan masa. Jarum yang sedikit panjang, halus dan bergerak dengan kadar yang pantas ditugaskan untuk menentukan saat. Manakala, jarum panjang yang bergerak dengan kadar yang perlahan ditugaskan untuk menentukan minit. Jarum ketiga diciptakan pendek, sedikit besar dan bergerak dengan sangat-sangat perlahan. Ia ditugaskan untuk menentukan masa dalam ‘jam’.


Bateri digunakan untuk membolehkan jam serta komponen-komponennya berfungsi dengan baik. Jika ketiadaan bateri sebagai sumber kuasa, sebuah jam tidak memberikan apa-apa makna kepada si pemiliknya. Kerana pemilik jam tidak dapat mengetahui masa.


Jam atau masa yang paling penting?


Sudah tentu masa yang terpenting. Jam hanya berfungsi sebagai teknologi untuk menunjukkan masa. Ramai yang bersetuju mengatakan masa adalah yang paling signifikan. Namun berapa ramai yang tidak ambil peduli tentang kepentingan masa.


Kepentingan masa diperakui dalam Islam sepertimana firman-Nya dalam surah Al-‘Asr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud,

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”




Tatkala kurenung jam itu, masa seolah-olah berlalu begitu perlahan. Setiap saat dirasakan lama sekali. Namun hakikatnya masa berlari meninggalkan kita dengan begitu pantas. Buktinya, jika semalam kita adalah bayi kecil yang lemah, namun sekarang kita sudah dewasa, berumahtangga dan mengendong anak kecil pula. Ya, bila dikenang-kenang, setiap saat berlalu dengan sangat pantas. Amat singkat masa kehidupan kita didunia.


Justeru itu, Allah bersumpah dan mengingatkan kita tentang masa. Sudahlah masa itu singkat, namun masih lagi mengisinya dengan perbuatan-perbuatan ‘lagho’ (sia-sia) dan inilah sebabnya manusia itu sentiasa didalam kerugian. Kerugian kerana tidak banyak amalan baik yang dapat dilakukan semasa hayat dunia yang menjadi bekalan di alam akhirat yang abadi. Namun, Allah juga bertegas menyatakan orang yang menghargai masa dengan beramal soleh dan menyampaikan kebenaran dan kesabaran adalah golongan yang dikurnai Allah keberuntungan di dunia dan akhirat. 


Berbicara mengenai masa, kuteringat sebuah kisah di antara Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali dengan murid-muridnya. Dikisahkan suatu hari Imam Al-Ghazali  bertanya kepada murid-muridnya mengenai perkara/benda yang paling jauh dari diri kita didunia ini. Ada di antara murid-muridnya menjawab Negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Imam Al-Ghazali membenarkan semua jawapan-jawapan tersebut, NAMUN beliau menegaskan jawapan yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimana hebat dan sofistikated sekalipun kenderaan kita, mana mungkin kita mampu kembali ke masa lalu.


Ibrahnya, kita haruslah memanfaatkan masa kehidupan kita dengan perkara-perkara yang selaras dengan syariat agama. Ini kerana, kelalaian kita terhadap masa kini mengakibatkan kerugian hatta kita tiada peluang untuk kembali ke masa lalu untuk kita memperbetulkan kesilapan. Justeru, kehidupan yang berbaki ini perlu diteruskan bagi memperoleh redho-Nya. Sekarang fikir-fikirkanlah bagaimana kita mahu menghargai waktu yang singkat ini untuk kebahagiaan kita di akhirat kelak.  Wallahu’alam.



Salam hormat,

Faridah Mohd Tap
Ketua Jabatan Pengajian Umum, 
FPPM, Kolej UNITI, PD.

Monday, 1 April 2013

ISTIQOMAH: CIRI PENTING REMAJA MUSLIM BERWAWASAN




Artikel ini pernah diterbitkan di Majalah I.


Antara sifat mulia yang diberikan darjat tinggi dalam Islam adalah beristiqomah. Ya, alam remaja penuh dengan 1001 pesona menggoda dan onak duri yang memakan diri bila sekali terlalai. Dengan istiqomah, remaja muslim mampu menepis segala dugaan yang menguji keimanan supaya tetap di atas manhaj yang lurus menuju kehidupan yang diredhai Ilahi. InsyaAllah.


Istiqomah adalah satu ciri penting kearah membina jati diri remaja muslim berwawasan. Remaja berwawasan mempunyai tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam tentang perkembangan masa depannya atau dengan lain perkataan, remaja berwawasan adalah remaja yang tahu ke mana hala tuju kehidupannya.


Bagi remaja muslim, wawasan kehidupannya tidaklah terhad kepada duniawi semata-mata tetapi untuk alam yang lebih abadi iaitu alam akhirat. Disitulah penghidupan sebenarnya, sementalahan dunia ini diibaratkan sebagai ladang untuk kita menanam sebanyak-banyaknya benih amal supaya hasilnya dapat dikutip sebagai bekalan bertemu-Nya, Allah Rabbul ‘Izzati. InsyaAllah.  


Namunpun begitu, kehidupan di dunia ini tidak semudah yang di jangka. Pelbagai pesona yang menggoda syahwat menyebabkan ramai remaja muslim terjerumus  ke dalam lembah kehancuran dan kehinaan. Justeru itu, sedari awal Islam mementingkan untuk kita istiqomah di atas jalan-Nya. Untuk itu, Rasulullah sebagai pembawa risalah dari Allah S.A.W  telah bersabda, bermaksud,

Dari Abu Amr, -ada juga yang mengatakan- Abu ‘Amrah, Suufyan bin Abdillah Ats Tsaqofi radhiallahuanhu dia berkata, saya berkata : “ Wahai Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam, katakan kepada saya tentang Islam sebuah perkataan yang tidak saya tanyakan kepada seorangpun selainmu. Baginda bersabda: Katakanlah: saya beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah (istiqomahlah).(Riwayat Muslim).


LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SIFAT ISTIQOMAH


          Istiqomah senang dilafaz, tetapi sukar sekali dilaksanakan. Oleh itu penulis akan berkongsi beberapa hal utama yang boleh membantu kita untuk istiqomah seperti yang dipetik daripada Syarah Hadith Istiqomah oleh Syaikh Prof. Dr. Abdul Rozzaq Al-Badr di RadioRodja.com (sumber: us.kajian.net).


Pertamanya ialah doa. Doa sebagai kunci segala kebaikan adalah senjata untuk kita memohon kepada Allah agar sentiasa istiqomah dengan akidah yang benar hingga ke akhir hayat dunia. Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-‘Imran, ayat 8 yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami cenderung kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”.


Keduanya ialah mujahadah iaitu berjuang bersungguh-sungguh untuk mengamalkan perintah Allah Ta’ala dan menjauhi segala larangan-Nya. Remaja harus tabah dan istiqomah untuk membawa imej muslim sebenar walau di mana jua mereka berada. Dengan pelbagai ancaman ideologi yang cuba memesong akidah dan amalan mengikut syariah, remaja harus bulatkan tekad, tingkatkan iltizam beristiqomah dengan ajaran Islam yang syumul sebagai identiti diri.


 Ketiga ialah solat. Menurut Syaikh Prof. Dr. Abdul Rozzaq Al-Badr, solat adalah wasilah atau jalan supaya tetap teguh (thabat) di atas jalan Allah. Ini kerana setiap kali solat, kita akan membaca surah Al-Fatihah sebagai salah-satu rukun solat. Dalam bacaan Al-Fatihah, kita sebenarnya sedang berdoa untuk sentiasa istiqomah di jalan-Nya yang lurus. Remaja hari ini harus kembali menghidupkan ruh solat dalam jiwa dan raga kerana solat adalah perisai diri dari segala kejahatan dan kemaksiatan.


          Berikutnya ialah membaca Al-Qur’an. Al-Qur’an mestilah dijadikan wirid harian sebagai pengubat jiwa dan rohani yang ketandusan. Ia bukan sekadar dibaca, tetapi perlu diiringi dengan kefahaman terhadap intipati yang ingin disampaikan (tadabbur) melalui orang-orang soleh dan buku-buku agama yang benar. Remaja Muslim harus mendekatkan diri dengan Al-Qur’an kerana ia adalah petunjuk jalan yang benar. Zikr Al-Ma’thurat juga yang dibaca waktu pagi dan petang juga penting sebagai pelindung sehari-hari kita dalam menjalani kehidupan dunia.


          Selain itu, hal lain yang boleh memperkukuh diri untuk beristiqomah ialah dengan menjauhi segala sumber fitnah iaitu tempat tersebarnya segala syahwat seperti pusat hiburan, pusat judi dan sebagainya. Islam melarang kita menjerumuskan diri ke tempat-tempat sedemikian kerana ia akan merosakkan kepercayaan (thiqah) diri kerana kita gagal istiqomah untuk kekal di atas manhaj Islam. Walaupun begitu, Allah memberi peluang untuk kita kembali kepada-Nya melalui pintu taubat kepada yang terlanjur derhaka kerana manusia itu sifatnya lupa dan lalai.


          Seterusnya ialah memilih sahabat-sahabat yang baik lagi soleh. Pada peringkat umur remaja, rakan sebaya adalah agen sosialisasi terpenting selepas keluarga. Justeru, pemilihan rakan yang soleh membantu seseorang remaja untuk kekal istiqomah sebagai muslim yang taat dan berwawasan. Sahabat yang baik diibaratkan sebagai penjual minyak wangi dimana kita akan mendapat tempias wangiannya, dan sahabat yang jahat diibaratkan sebagai pembuat besi dimana kita mendapat tempias bau tengik besi tersebut.


          Menjaga diri dari tipu-daya syaitan juga antara hal yang perlu dititik-beratkan untuk setiap remaja istiqomah dengan wawasan dan jati diri muslim. Segala kesukaan syaitan seperti lalai mendirikan solat, malas, berhibur, berangan-angan, bermewah-mewah dan leka dengan pelbagai alatan teknologi merupakan antara ruang dan peluang untuk syaitan laknatullah menipu daya manusia ke jalan yang dimurkai Tuhan. Justeru itu, menjadi tanggungjawab setiap remaja muslim menutup segala pintu-pintu yang menggoyahkan identiti sebagai remaja muslim yang berwawasan dengan bersederhana (wasatiyyah) dalam semua perkara.


          Akhirnya ialah mengingati hari akhirat sebagai motivasi untuk remaja muslim sentiasa beristiqomah. Tiada yang lebih indah bagi seseorang Muslim apabila di akhir hayat dunianya dikurniakan husnul khatimah dan berbahagia di alam abadi. Pada umur muda remajalah, kita digalakkan menggunakan segala kekuatan kurniaan Tuhan dari aspek intelek, idealism, tenaga dan jiwa untuk membuat sebanyak-banyak amal kebajikan untuk hari kemudian yang lebih abadi.


          Kesimpulannya, remaja berwawasan adalah remaja yang sentiasa istiqomah dengan keimanan kepada Allah ‘Azza Wa Jalla. Sifat istiqomah ini perlu dibajai dengan doa, usaha, ikhtiar dan tawakal (D.U.I.T) supaya kekal subur di dalam diri dan menaikkan thiqah (kepercayaan) remaja muslim tatkala ramai yang kecundang. Semoga adik-adik remaja muslimku di luar sana menjadi remaja mu’min yang sentiasa berwawasan selari dengan ajaran Islam. Amin Ya Rabb. Wallahu’alam. 



Oleh, 

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum, 
FPPM, Kolej UNITI, PD.