Pages

Thursday, 19 May 2016

MENCAMBAH ILMU DI MASJID : TRADISI DAN REALITI SEMASA- Badrul Hisham Ithnin

Secara umumnya, fungsi masjid di negara kita, samada di kampung, taman dan kota adalah sebagai tempat menunaikan solat secara berjamaah dan tempat rasmi bacaan yasin dan tahlil pada setiap malam Jumaat. Ini adalah bentuk ibadat dan sebahagiannya menjadi adat turun temurun masyarakat kita di masjid.

Sumber: Ihsan google imej

Di sepanjang kewujudannya, dari sudut kerohanian, masjid menjadi tempat sujud kepada semua ahli kariah sebagai tanda menjadi hamba yang patuh dan taat kepada Allah. Ini dinyatakan oleh Nabi sendiri dalam sebuah hadith riwayat Muslim “Saat-saat seseorang hamba paling dekat dengan Rabbnya adalah ketika dia sujud”.

Di masjid ini jugalah jugalah kuliah-kuliah agama disampaikan. Dahulu hanya ada kuliah maghrib dan kuliah suboh sahaja. Kini kuliah agama diadakan atas berbagai landasan dan tema.

Selain kuliah dhuha, dan ceramah khusus bersempena dengan hari kebesaran Islam seperti Mawlid ar Rasul dan Maal Hijrah, jadual aktiviti masjid – dengan sokongan dana kariah – dipenuhkan dengan ceramah tokoh atau forum khas untuk mencelik dan mencerahkan minda ahli kariah mengenai isu-isu semasa yang menimpa umat.

Sebahagian daripada perubahan cara hidup dan kefahaman tentang Islam sebagai ad deen dalam kalangan masyarakat Islam tentunya berpunca daripada program-program masjid ini. Acara-acara ini telah berjaya mendekatkan lagi masyarakat dengan agamanya.

Tulisan ringkas ini walaubagaimanapun ingin melihat sisi-sisi lain yang boleh digerakkan untuk mengoptimumkan fungsi masjid sebagai pusat percambahan ilmu dalam erti kata yang lebih luas dalam masyarakat.

Pandangan ini didorong oleh kenyataan bahawa ruang masjid hanya digunakan untuk kegiatan rutin ceramah atau kuliah yang berligar kepada ilmu dan isu sekitar aqidah, feqah dan ruhiyyah yang semuanya berwajah agama. Kita mungkin tidak sedar atau perasan bahawa ilmu Islam yang luas telah tersekat dalam bingkai dan set minda orang masjid.

Ada pendapat yang kelihatan ‘kasar’ bunyinya mendakwa masjid juga menjadi sekular kerana menyempit dan membataskan makna agama yang asalnya luas, inklusif dan holistik.

Oleh itu agama dalam pengertian dan konteks ad deen wajar disampaikan dengan maknanya yang holistik dan mendalam agar keindahan dan keluasan makna Islam itu sampai kepada masyarakat.

Justeru tulisan ini mencadangkan agar ruang ceramah atau kuliah diberikan juga kepada para ilmuan atau profesional dalam bidang bukan agama yang mempunyai fikrah dan jiwa Islam.

Golongan ini tentunya pakar dan mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman di lapangan yang boleh memberikan sudut pandang baharu atau kritis dan segar terhadap realiti dalam masyarakat mengikut bidang dan profesionalisme masing-masing.

Kesempatan antara waktu maghrib-isyak atau waktu lain yang lebih sesuai boleh dikongsi dengan pengisian yang bukan tema agama tetapi penting yang diperlukan masyarakat oleh mereka yang telah dinyatakan tadi. Fikrah dan jiwa Islam mereka tentunya akan membawa roh agama dalam perkongsian yang mereka berikan.

Pendekatan ini akan mewarnakan dan meluaskan lagi tema dan horizon pemikiran masyarakat setempat. Ini kerana golongan ini dapat membawa isu semasa di luar masjid dan mengupasnya lebih-lebih lagi dengan pendekatan yang lebih kritis dan segar.

Memang telah ada peluang ini diberikan kepada ilmuan bukan dari disiplin agama tetapi kadarnya masih secara relatifnya agak kecil dan bersifat setempat. Mungkin di Bandar Baru Bangi yang berhampiran dengan UKM, atau bandar Johor Bahru yang ada kampus UTM dapat melakukannya.

Hal ini demikian kerana masyarakat di bandar ini juga menjadi kediaman para ilmuan dan profesional berjiwa Islam. Justeru, pentas ceramah atau ruang utama kuliah di masjid boleh dikongsi sama oleh golongan tadi dengan lebih mudah dan perancangan yang lebih tersusun.

Guru-guru juga boleh meluaskan khalayak pelajarnya dari bilik darjah ke ruang utama masjid bersama para jamaah masjid. Mereka adalah golongan yang ahli dalam bidang akademik masing-masing yang berupaya memahamkan masyarakat isu-isu pendidikan nasional termasuk membawa realiti yang terjadi di sekolah ke pengetahuan ibu bapa yang menjadi ahli kariah masjid.

Pendekatan kreatif guru-guru berjiwa Islam ini barangkali mampu ‘reaching out’ ke khalayak yang lebih luas terutamanya golongan muda termasuk pelajar-pelajar sekolahnya sendiri.

Kesempatan ini boleh membawa isu pendidikan di sekolah langsung ke pengetahuan masyarakat melalui wasilah masjid tanpa perlu menunggu mesyuarat rasmi PIBG sekolah. Melalui kerjasama ini hubungan terjalin antara sekolah dan pihak masjid dan memudahkan penyebaran maklumat berkaitan pendidikan.

Inisiatif ‘menaik taraf’ fungsi masjid ini bukanlah suatu bidaah atau pun sebagai satu percubaan untuk merampas atau mengubah fungsi tradisi masjid. Ia sebenarnya adalah usaha untuk mengembalikan masjid kepada fungsinya yang sebenar terutamanya dalam persekitaran moden hari ini yang penuh fitnah dan kecelaruan fikrah dalam kalangan umat.

Menurut Profesor Yusuf al Qaradhawiy dalam bukunya bertajuk ‘Masjid Parlimen Umat’ masjid mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada tempat menunaikan solat dan program kuliah ilmu. Masjid sebenarnya adalah parlimen umat.

Ulama tersohor ini menegaskan selain fungsi yang disenaraikan di atas, berdasarkan seerah Nabi masjid adalah tempat pertemuan dan mesyuarah antara nabi dan sahabatnya untuk mengatur rencanakan kehidupan sosial, politik dan ekonomi umat. Bahkan dalam mengatur strategi perang melawan musuh Islam pun masjid digunakan dan ia berubah menjadi pusat operasi perang.

Oleh itu, sewajarlah masjid menjadi milik umat bukan sahaja untuk beriktikaf, bersolat, bertaubat, memahami tauhid, feqah dan syariat, muamalat dan jinayat, serta tasawuf.

Namun ia juga boleh menjadi pusat percambahan ilmu Islam yang luas makna dan cakupannya. Ilmu Islam juga meliputi sains dan teknologi, matematik, biologi, fizik, kimia, sejarah, psikologi, geografi, perubatan, teknologi maklumat, pengurusan, perakauanan, pemasaran dan tentunya banyak lagi.

Majlis ilmu ini juga adalah majlis zikir dan fikir umat yang berkesan asalkan pemikiran masyarakat dipertajam dan diperhalusi melalui pendekatan penceramah yang menyajikan perbahasan ilmu secara kritis dan membina.

Fitnah dan berteraburnya mesej-mesej yang ‘tidak patuh syariah’ dalam media sosial yang kini ibarat wabak yang mudah berjangkit dan mempengaruhi pemikiran masyarakat boleh juga ditangani sebahagiannya melalui majlis ilmu ini.

Agenda dan risalah Nabi melalui masjid sebagai pusat perkembangan ilmu Islam yang holistik tidak akan dapat direalisasikan jika pihak berkuasa masjid terus selesa dengan kegiatan rutin mingguan, bulanan dan tahunan dalam bentuk dan format tradisinya.


Latar belakang penulis

BADRUL HISHAM BIN ITHNIN, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI PD.  

KERAMAT GELARAN MAHASISWA- Faridah Mohd Tap

Sumber: google imej

Penulis telah diundang  sebagai panel di Forum Mahasiswa: Dari Masyarakat kepada Masyarakat untuk acara Perkampungan Menara Gading’16 anjuran Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada bulan lepas. Turut hadir sebagai panel adalah saudara Jufitri Johar yang merupakan Tokoh Kebangsaan dan Tokoh Belia ASEAN tahun 2014 untuk bersama bakal- bakal lepasan pelajar SPM, STPM, dan STAM di peringkat Negeri Sembilan bagi memahami tanggungjawab sebagai mahasiswa. Perkongsian yang diberikan adalah sekitar peranan mahasiswa sebagai anggota masyarakat membawa mesej Rahmatan Lil ‘Alamin.


Mahasiswa merupakan golongan penting dan penentu masa depan citra masyarakat dan negara yang berjaya. Pelbagai cabaran dan kesukaran yang ditempuhi sepanjang pengajian menjadi asas kematangan seseorang individu sebelum melangkah ke dunia realiti pekerjaan dan menjadi pelapis kepimpinan masyarakat dan negara.  Penulis merasakan gelaran sebagai mahasiswa universiti merupakan suatu keramat kerana sejarah gerakan mahasiswa yang menggugat telah banyak melakar sejarah tersendiri dalam negara ini.

Sebagai mahasiswa, pelajar harus mengambil ruang masa untuk menelaah buku berjudul “ Mahasiswa Menggugat” (1973) yang merupakan karya penting mengenai gerakan mahasiswa oleh Profesor Muhammad Abu Bakar. Tidak dilupakan buku “Kalau Saya Mahasiswa” karangan Datuk Saifuddin Abdullah ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi. Dua buku ini akan memberikan definisi mahasiswa kepada bakal-bakal siswa atau mereka yang sudahpun bergelar mahasiswa IPT.

Istilah ‘jurubicara masyakarat’ agak sinonim dengan gelaran mahasiswa khususnya antara tahun 1960 hingga 1974. Peranan mahasiswa yang bertindak dalam bentuk gerakan aktif diukur  dengan penganjuran dan partisipasi golongan mahasiswa dalam seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial; mengeluarkan resolusi-resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan; penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka; demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka juga; sesetengah mahasiswa mengambil bahagian dengan memegang jawatan dalam parti-parti politik, seperti Parti Rakyat ketika zaman kegemilangan gerakan mahasiswa ini.

Kemudian, suara mahasiswa kelam seketika sebelum kembali ke persada dan mempengaruhi beberapa dasar-dasar penting negara melalui advokasi secara berterusan. Antaranya sumbangan mahasiswa dalam mencadangkan penubuhan Dasar Belia Negara (1985), penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Universiti Malaya, melontar idea penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), cadangan awal penubuhan UIAM dan Bank Islam, Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, pindaan AUKU 2009 dan penentangan kepada Dasar PPSMI yang menyalahi Perkara 152.

Manakala istilah ‘Mahasiswa Lesu’ adalah kata sinikal yang penulis dengar sejak penulis di alam mahasiswa universiti lagi. Perkataan ini mungkin ada benarnya apabila kebanyakan mahasiswa cenderung menghabiskan masa hanya ke bilik kuliah, kafeteria dan katil (sindrom 3’K) berbanding menambah kemahiran insaniah melalui keterlibatan dalam persatuan, program-program kesukarelawan apatah lagi untuk hadir ke majlis-majlis ilmu untuk diskusi ilmiah secara tekun. Mahasiswa yang aktif sangat kecil jumlahnya dan ia merupakan perkara biasa dalam sesuatu organisasi sekalipun. Zaman kegemilangan gerakan mahasiswa yang kuat satu ketika dahulu tenggelam akibat tekanan AUKU sehingga lahir generasi siswa yang seakan-akan ‘hilang punca’.

Justeru, pesanan penulis kepada golongan mahasiswa, kembalilah cakna dan peduli kepada masyarakat. Ambillah sedikit ruang dalam merancang perubahan diri untuk merancang perubahan masyarakat kita juga yang semakin hari semakin tenat dek kerana sikap individualistik yang semakin menebal dalam masyarakat hari ini. Peranan anda sebagai mahasiswa selepas tamat pengajian adalah menyalurkan idealisme, wawasan, ilmu, pengalaman, aktivisme, motivasi dan tenaga yang telah sedia miliki kepada pembangunan negara dan masyarakat yang sejahtera.


                   

Sehubungan dengan itu, gunakanlah seoptimum mungkin masa sepanjang bergelar mahasiswa untuk mencari butir-butir permata pengalaman untuk mempersiapkan diri untuk kembali berbudi dan membangunkan masyarakat dan negara yang terbilang. Selamat menempuh alam mahasiswa dengan jayanya.

Disediakan oleh,
Puan Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,

Kolej UNITI, Port Dickson.

Monday, 25 April 2016

GENERASI MUDA DAN MASA DEPAN PENDIDIKAN NEGARA- Badrul Hisham Ithnin

Latar Masalah

Masyarakat dibentuk oleh individu-individu yang berkongsi budaya, norma, cita-cita, aspirasi, matlamat hidup dan sebagainya. Tidak terkecuali yang menjadi perkongsian semua ahlinya - sebagai elemen yang lebih asas - ialah sejarah kelahiran negara, kepercayaan (anutan) hidup yang diwarisi dan bahasa pertuturan. 

Elemen-elemen ini menjadi social glue yang mengikat semua ahli masyarakat agar kekal bersatu dalam menghadapi cabaran semasa. 

Bagi masyarakat Malaysia, cabaran maha besarnya adalah menghapuskan jurang sosial dan ekonomi dalam kalangan ahli masyarakatnya. Ini adalah disebabkan masyarakat Malaysia bersifat heterogenus. Dalam bahasa lebih mudah, masyarakat negara ini bersifat majmuk yakni terdiri dari pelbagai lapisan bangsa atau kaum, keturunan, agama dan budaya. 

Keadaan ini jauh berbeza dengan masyarakat Jepun yang rata-ratanya sebangsa - bangsa Jepun. Masyarakat homogen ini tidaklah sulit untuk dibentuk atau diurus tadbir kerana tiada perbezaan jurang sosial yang luas dan ketara kerana perbezaan kaum atau budaya. Yang ada adalah perbezaan ekonomi - kaya miskin.  Ini bukanlah fenomena tempatan di Jepun sahaja. Ia adalah fenomena yang boleh kita temui dalam kalangan masyarakat homogenous di mana-mana sahaja.

Dalam sesebuah masyarakat heterogenous seperti masyarakat kita di tanah air wujud apa yang disebut sebagai kerencaman dan kompleksiti dalam latar budaya masyarakat majmuk ini. Maka ia menghadapi cabaran utama untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian. Ini kerana semua kaum baik majoriti atau minoiriti -  dan kini ditambah pula oleh golongan imigran - sentiasa bersaing untuk mendapatkan peluang dan hak yang sama terutamanya hak ekonomi bagi menyara kehidupan diri dan keluarga. Jurang yang kian melebar dalam ekonomi berupaya mencetus krisis sosial pula.

Biarpun ada peraturan sosial dan undang-undang bagi mengawal 'persaingan' ini, kadang-kadang terjadi juga pergeseran antara kaum hingga mencetus konflik kaum. Di Malaysia, Peristiwa 13 Mei 1969 dan Tragedi Kg. Medan 2001 adalah bukti kepada masalah hubungan antara kaum yang pernah wujud.

Peristiwa ini dan beberapa insiden lain beberapa tahun kebelakangan ini memberi isyarat yang tidak baik kepada kerajaan dan masyarakat kita. Bahaya sifat perkauman cukup besar untuk meruntuhkan sebuah negara jika tidak dibendung.

Ia boleh menjadi 'duri dalam daging' yang boleh merosakkan usaha kerajaan mewujudkan persefahaman antara kaum. Kita juga sedar memang wujud 'gunting dalam lipatan' dalam masyarakat kita.

Namun kegiatan dan anasir negatif ini boleh disamari oleh perjuangan menegakkan Hak Asasi Manusia (HAM), hak minoriti, kebebasan bersuara, hak berdasarkan perlembagaan dan lain-lain lagi.

Justeru untuk menanganinya bukanlah mudah. Bahkan ia sangat sukar kerana banyak faktor dan parameter yang terlibat, baik dari dalam mahu pun luar negara. Antara masalah besar yang melanda masyarakat kita mutakhir ini ialah masalah perkauman yang menjadi buah mulut ramai pihak. Oleh yang demikian pihak kerajaan kena berhati-hati dalam tindakannya berhadapan dengan mana-mana pihak yang mempunyai agenda perkauman ini.

Sebarang kesilapan di pihak kerajaan boleh mengundang padah yang lebih besar. Kita boleh menoleh ke belakang untuk memahami kenyataan ini. Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2012 dan kemudiannya digantikan oleh Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), SOSMA disambut baik oleh ramai pihak khususnya NGO dan parti politik yang telah lama menuntut pemansuhan akta yang dianggap draconian itu.

Namun, setelah 3 tahun pelaksanaannya kegiatan yang boleh mengocak ketentaraman awam terutamanya melalui media sosial makin galak sama ada oleh individu, ahli politik atau aktivis sosial. Maka timbullah seruan dikembalikan ISA dan menentang tindakan sama kerajaan untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948 yang diura-urakan sebelum ini.

Jika kerajaan gagal menangani isu ini maka harga yang perlu dibayar ialah perpaduan masyarakat itu sendiri. Menyelesaikan isu yang sedang membarah menjadi kemelut sosial ini ibarat 'menarik rambut dari tepung, rambut tak putus, tepung pula tidak berselerak'. 

Kerajaan yang diberi kuasa oleh perlembagaan perlu teliti dalam memutuskan tindakannya untuk kepentingan negara supaya tidak dilihat sebagai hanya untuk menjaga kepentingan parti pemerintah semata-mata.

Generasi Muda dan Masa Depan Negara

Generasi muda adalah golongan yang mudah terkesan dengan keputusan-keputusan dan sikap politik pemerintah dan pembangkang. Pendidikan di bangku sekolah dan universiti sahaja tidak mampu membentuk pemikiran dan jati diri remaja kerana sebahagian besar masa mereka ialah ‘bersama’ masyarakat dan persekitaran dunia luar sekolah dan kampus.
Menurut Montesquieu “We receive three educations. One from our parents, one from our school masters, and one from the world. The third contradicts all that the first two taught us.

Seluruh dunia yang sudah diglobalisasikan oleh paradigma dan acuan asing terutamanya dari Barat yang liberal dan sekular seakan telah menjadi sebahagian dunia Barat tersebut.
 Nilai dan perspektif baru Barat yang mempesona ini telah menakluk ruang yang besar dalam kehidupan golongan muda ini. Bahkan kita yang dewasa dan matang ini pun tidak terkecuali gara-gara kepesatan dalam teknologi maklumat yang ditakrifkan sebagai gelombang ketiga melanda dunia.

Gelombang ini begitu berkuasa sekali kerana ia menembusi ke ruang paling dalam diri kita secara halus dan tidak lagi perlahan seperti dahulu. Akibatnya ia mampu mengubah cara kita melihat diri, masyarakat, agama dan budaya hingga menjadikan ‘minda kita tertawan’.

Justeru cabaran maha besar pada masa ini ialah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menggunakan segala ruang dan masa yang masih ada di pusat pendidikan negara dari peringkat pra-sekolah, primer, sekunder dan tertier untuk memberi ilmu akademik keperluan global dan mendidik peribadi pelajar dengan suluhan agama secara praktikalnya agar anak-anak Malaysia benar-benar terbina secara sepadu dan seimbang Jasmani, Emosi, Rohani dan Inteleknya (JERI) sebagaimana yang digagaskan dalam Falfaha Pendidikan Kebangsaan.

KPM  wajib memberi penekanan kepada kurikulum bina jati diri seiring dengan penekanan besar yang diberikan kepada subjek berkepentingan tinggi seperti Sains dan Teknologi. Subjek bina jati diri merujuk semua subjek di bawah gugusan sains sosial seperti Sejarah, Tamadun, Agama dan Moral, Hubungan Etnik, pengajian Am, Pengajian Malaysia, dan sebagainya.

Subjek bina jati diri ini tidak boleh dianggap subjek sampingan atau pelengkap kurikulum terutamanya dari segi pelaksanaannya di dalam bilik darjah atau kuliah. Apatah lagi jika para pendidik benar-benar memahami bahawa subjek bina diri ini lebih menjurus kepada aspek afektif berbanding kognitif.

Seseorang itu menjadi warganegara yang baik atau sebaliknya bukan kerana keupayaan tinggi kognitifnya. Peranan ini hakikatnya dimainkan oleh keupayaan afektif. Oleh yang demikian peranan guru dalam pengajaran dan pembelajarannya (Pdp) sangat penting untuk mendidik sehingga boleh menyentuh dan menghidupkan potensi afektif pelajarnya agar jiwa dan nuraninya yang baik terbina dan mampu mengawal sikap dan tingkah lakunya dalam menjalani kehidupan sehariannya.

Subjek bina jati diri ini dan pendekatan mengajar yang lebih efektif iaitu Pembelajaran Berpusatkan Pelajar (Student Centered Learning, SCL) juga dilihat sangat penting dalam menyahut aspirasi kerajaan untuk menguja patriotisme dalam kalangan generasi muda hari ini.

Melalui subjek Sejarah, Hubungan Etnik dan  Kenegaraan Malaysia misalnya matlamat ini boleh dicapai kerana antara kandungan silibusnya ialah tentang asal usul kelahiran negara ini termasuk bagaimana permuafakatan antara kaum 1957 dicapai (kontrak sosial) secara concensus.

Hujahan di atas memberi mesej kepada kita bahawa pendidikan dalam pengertian hoslitiknya menduduki prioriti paling utama dalam membentuk pemikiran (kognitif) kebangsaan dan keperibadian (peranan afektif) tempatan yang seimbang dengan tuntutasan semasa. Agar ia at par dengan subjek S&T semua subjek ini patut menjadi subjek yang dirasakan penting dalam kurikulum dan pelaksanaannya di sekolah dan universiti.

Namun untuk ia kekal relevan dalam persada pendidikan kebangsaan ia wajib berubah menjadi subjek yang dinamik dan segar dengan idea-idea perpaduan, keharmonian, keadilan dan kesaksamaan, teologi yang bersih dari kehinaan dan pencemaran doktrin tidak mesra agama dan tradisi.

Subjek ini tidak boleh ‘dicorak dan digubal’ [baca : campur tangan] di tangan orang politik yang sentiasa berkepentingan. Biarlah ahli akademik yang objektif, jujur dan berhikmah melaksanakan tugas suci ini. Arah tuju masa depan sesebuah negara mesti dimulai dengan pemahaman jujur dan objektif sejarah bangsa dan negaranya. 

Kita mahu generasi moden hari ini sesekali menoleh kembali sejarah negara agar dapat memandu mereka sebelum memutuskan untung nasib negara ini baik dari politik, sosial dan ekonomi. Bak kata Pearl Buck “If you want to understand today, you have to search yesterday.”

Jika tidak, menurut lisan Derek Heather “To many of the modern generations, history, like God, is dead”. Kepada generasi muda hari ini yang diulit oleh kemewahan kebendaan dan berfikiran liberal marilah 'kembali ke pangkal jalan' iaitu jalan yang akan menyuluh semula perjalanan hidup untuk menemukan semula akar budaya dan warisan bangsa kita.

Dengan fikiran yang kritis tapi kekal objektifnya,  ilmu sejarah negara yang sebenar akan diperolehi. Masa depan negara bergantung kepada pemahaman sejarah yang benar. C.K.Chesterton menasihatkan kita “We can be almost certain of being wrong about the future, if we are wrong about the past.”
Masyarakat dan persekitaran (‘dunia’ menurut Montesquieu) yang kita orang dewasa, dan pemerintah sedang bentuk ini juga perlu memikul tanggungjawab mendidik secara non-formal dan informal kerana pengaruh sebagai pihak ketiga ini lebih besar dan tentunya lebih membekas selepas ibu bapa dan guru!

Sebagai jalan terakhir apabila langkah pendidikan dan pencegahan gagal berperanan, barulah penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan menggunakan Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas), SOSMA 2012 untuk membendung penularan dan perebakan fahaman perkauman, dan kini keganasan (terorisme).

Semoga tahun 2016 tidak dibiarkan menjadi tahun yang dikelami oleh suramnya ekonomi dunia dan cemarnya akibat pertelingkahan agama dan kaum. Sebaliknya ujian ekonomi dan sosial oleh Allah s.w.t. ini menjadi dorongan untuk kita terus menjadi bangsa yang cekal dan tekal dalam prinsip dan idealogi kebangsaannya mendepani arus zaman.

Pendidikanlah yang menentukan semua ini, dengan izin Allah Tuhan semesta alam.


Latar belakang penulis

BADRUL HISHAM BIN ITHNIN, telah menjadi guru dan pendidik semenjak 1995 lagi. Kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI PD. Bidang yang diminati ialah Kenegaraan Malaysia, Pengajian Peradaban, Perlembagaan dan Pemikiran Kritis.



ELAKKAN SI KECIL MAUT DIHEMPAP TELEVISYEN- Nur Akmar Binti Mohd Arif

Gambar adalah sekadar hiasan.
Malaysia pernah dikejutkan dengan beberapa kes melibatkan kematian kanak-kanak akibat dihempap oleh televisyen. Kemalangan ke atas kanak-kanak seperti dihempap televisyen boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak kira tempat dan masa. Menurut Fiedler (2004), bahaya tidak dapat dielakkan kerana bahaya terdapat di setiap tempat, setiap keputusan yang dilakukan dan pada setiap tindakan yang diambil. Maka, ibu bapa berperanan penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin sepanjang dalam pengawasan mereka. 


         Anak-anak merupakan insan kecil yang tidak mengerti tentang bahaya di sekeliling. Jadi, ibu bapa berperanan besar untuk memantau segala aktiviti anak seiring dengan perkembangan umur mereka yang ingin mencuba dan melakukan penerokaan. Menurut Erik Erikson, pada peringkat umur prasekolah, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi tanpa mengetahui bahaya di sekeliling mereka. Jadi, ibu bapa perlu peka bukan sahaja terhadap  setiap aktiviti anak tetapi terhadap persekitaran bagi menjamin keselamatan kanak-kanak. 

Laporan berita di dada-dada akhbar mengenai kes kematian kanak-kanak akibat dihempap televisyen adalah bukti bahawa kes ini pernah berlaku di Malaysia baik di rumah mahupun di Taman Asuhan semasa dalam jagaan pengasuh. Secara umumnya, adalah di luar jangkaan dan pemikiran kita untuk memikirkan kemalangan boleh berlaku di ruang tamu yang cantik dan selesa tetapi inilah yang telah terjadi seperti kes kematian kanak-kanak perempuan, Siti Noraian Maisarah, berusia dua tahun yang berlaku pada tahun 2014 akibat dihempap televisyen seberat 33 kg. 

Kes yang berlaku di Teluk Intan adalah disebabkan kanak-kanak itu tidur berhampiran rak televisyen yang tidak kukuh yang diletakkan di ruang tamu. Mengikut kes yang dilaporkan pada Disember 2014 ini, kabinet untuk meletak televisyen yang jatuh itu sudah reput di bahagian bawah selain turut dilapik dengan kayu pada kakinya kerana lantai rumah tidak rata. Hasil bedah siasat mendapati mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sehingga menyebabkan kematian.


Hasil dapatan kajian penulis, sepanjang tahun 2010-2014 telah berlaku beberapa kes seumpama kanak-kanak malang, Siti Noraian. Pada 19 Januari 2010, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun telah dilaporkan maut di rumahnya di Kulai, Johor akibat dihempap televisyen bersaiz 24 inchi. Diikuti dengan  berita yang dilaporkan pada 14 Oktober 2012 dimana seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun juga telah maut dihempap televisyen di rumahnya di Ampang Saujana, Ampang. Selain itu, laporan pada tahun 2013 juga menyaksikan kematian kanak-kanak lelaki yang berusia dua tahun yang maut dihempap televisyen bersaiz 29 inchi dimana kejadian ini berlaku rumahnya di Alor Setar.


Kemalangan dihempap televisyen ini juga pernah berlaku di Taman Asuhan. Pada September 2013, seorang bayi yang baru berusia setahun lapan bulan dilaporkan telah maut dihempap televisyen di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Rawang akibat kecuaian pengasuh. Pada Januari 2014, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, Chew Hii Zhen juga dilaporkan telah maut selepas dihempap televisyen bersaiz 29 inci di rumahnya di Butterworth. Pada November 2014, satu lagi kes kematian seorang kanak-kanak lelaki yang berusia empat tahun akibat mengalami pendarahan serius di bahagian kepala setelah dihempap televisyen. Kes ini dilaporkan berlaku apabila mangsa dikatakan memegang televisyen untuk menonton rancangan kartun di kediamannya di Teluk Intan sebelum televisyen berkenaan dikatakan telah jatuh dan menghempap mangsa. Kes-kes yang dilaporkan ini adalah sebagai bukti kejadian kanak-kanak maut dihempap televisyen pernah berlaku di Malaysia.


Anak-anak tidak boleh dibiarkan bermain bersendirian di ruang tamu yang menjadi tempat utama letaknya televisyen kerana mereka merupakan individu yang memerlukan sentuhan dan perdampingan orang dewasa untuk kelangsungan hidup yang sejahtera.. Seperti kata pepatah Inggeris, don’t’ leave a kid even a minute. Ibu bapa perlu bersama-sama bertanggungjawab terhadap keselamatan kanak-kanak yang memerlukan kawalan dan pemantauan orang dewasa bagi mengelak berlakunya kemalangan yang tidak diingini.


LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN DI RUMAH


Menurut Kournitis et.al (2001), kemalangan yang berlaku adalah disebabkan oleh kesilapan manusia. Kesilapan manusia Ini merujuk kepada kecuaian manusia yang mungkin disebabkan oleh kepenatan, kejahilan atau keadaan persekitaran. Bagi mengelak berlakunya kes kematian kanak-kanak disebabkan dihempap televisyen ini, ibu bapa perlu sentiasa memastikan televisyen berada dalam posisi yang selamat dan stabil serta dalam jangkaan ergonomik yang sesuai. 

Susun atur penyimpanan televisyen adalah perlu di tempat yang lebih stabil, kukuh dan jauh daripada kanak-kanak. Kreativiti ibu bapa dalam menempatkan susun atur kedudukan televisyen perlulah seiring dengan kepekaan pada aspek keselamatan untuk seisi rumah. Ibu bapa juga perlu lebih peka supaya tidak meletak barang atas televisyen yang boleh mendorong dan menarik minat kanak-kanak untuk memanjat dan mencapainya. Tali atau wayar yang berselirat berdekatan televisyen juga perlulah dikemaskan semula bagi mengelak risiko kanak-kanak bermain dengannya dan seterusnya boleh menyebabkan televisyen tersebut jatuh dan menghempap kanak-kanak.

Menurut Fye and Mumpower (2001), susun atur perabot yang selamat adalah penting bagi memudahkan pergerakan dan mengelak berlakunya kemalangan yang tidak diingini. Ibu bapa perlu sentiasa melakukan 'Senarai Semak Keselamatan Agar Barang Tidak Terjatuh' iaitu dalam tujuan memastikan televisyen sentiasa diletakkan dalam posisi yang betul di tempat yang stabil. Dalam memastikan televisyen tidak mudah terjatuh, perabot televisyen tersebut perlulah disandarkan ke dinding selain dipastikan berada di atas permukaan yang luas dan kukuh serta diletakkan jauh daripada ruang lingkup capaian kanak-kanak. Perabot yang rosak dan lusuh yang digunakan untuk penyimpanan televisyen atau televisyen yang lama, yang sudah rosak dan tidak berfungsi lagi juga perlu dikeluarkan atau diasingkan dalam rumah yang didiami oleh kanak-kanak bagi mengelak risiko tertumbang dan menghempap si kecil.

Ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka. Setiap pergerakan anak perlu dipantau demi menjamin keselamatan mereka. Prosedur keselamatan di rumah perlu diambil berat dan diamalkan oleh seisi rumah. Contohnya, ibu bapa perlu menerapkan disiplin dalam kalangan anak supaya tidak tidur atau bermain di kawasan berhampiran televisyen tanpa kawalan ibu bapa. Kita perlu lebih bersedia dalam menjangkakan risiko-risiko bahaya yang mungkin berlaku akibat kecuaian kita.

Persekitaran rumah yang tidak selamat seperti kabinet yang tidak kukuh dan hampir reput juga perlu dijauhkan daripada kanak-kanak demi keselamatan mereka. Ini bagi memberi peluang kepada anak untuk meneroka dan membesar dalam keadaan sejahtera dan selamat serta jauh daripada ancaman bahaya. Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Mencegah daripada berlakunya kemalangan itu pun tidak mudah tetapi untuk merawat kemalangan yang berlaku itu adalah lagi mahal, mendatangkan kos dan tidak menguntungkan. Malah, akan meninggalkan kesan yang mendalam dan trauma berpanjangan jika kecuaian kita menyebabkan kematian anak yang dikasihi. 



Diolah oleh,

Cik Nur Akmar Mohd Arif,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Diploma Pendidikan Pra Sekolah,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, 
Kolej UNITI, Port Dickson.

Sunday, 10 April 2016

PELAJAR FPPM TABUR BAKTI BANTU IBU TUNGGAL

PORT DICKSON- Seorang ibu tunggal sebak dalam senyum apabila rumah usang yang didiaminya telah dibaik pulih oleh kira-kira 40 orang pelajar Kolej UNITI di bawah Program Sumbangan Ihsan Masyarakat Miskin baru-baru ini.



Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Siti Zaleha Ahmad berkata, pelajar-pelajar dari fakulti itu telah bergabung tenaga untuk membaiki rumah ibu tunggal, Maryamah binti Sulong, 67, yang terletak di Kampung Sungai Raya.


 ‘’Kami mendapat maklumat tentang kesusahan ibu tunggal itu daripada ketua kampung dan pihak BaitulMal Daerah Port Dickson. ‘’ Ujar Siti Zaleha.


Maryamah Sulong ialah seorang ibu tunggal kematian suami yang mempunyai seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU), Junaidi bin Mohd Taufiq, 46, berpendapatan rendah dan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan.


“Program ini turut memberi pendedahan kepada pelajar untuk melihat keadaan masyarakat setempat terutamanya di luar bandar yang serba kekurangan dan menggalakkan mereka untuk melipatgandakan usaha membantu golongan yang memerlukan.”


“Usaha murni ini dilakukan atas rasa tanggungjawab yang dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan atau habuan. Antara aktiviti yang dilakukan adalah membersihkan kawasan luar rumah, mengecat dan menukar tikar getah rumah ibu tunggal tersebut.” Kata Siti Zaleha lagi.


Sehubungan itu, beliau mahu pelajar yang terlibat sentiasa menanam azam dan semangat untuk belajar sambil berbakti kepada masyarakat.


Aktiviti khidmat sosial yang dilakukan ini merupakan satu usaha yang murni dan dapat memberi sinar baru kepada kehidupan orang lain lebih-lebih lagi golongan yang kurang berkemampuan seperti keluarga ini.



“Harapan saya agar semua pelajar dapat menamatkan pembelajaran dengan cemerlang di Kolej UNITI dan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup yang lebih baik di masa hadapan.” Akhiri Dekan Fakulti itu. 



Galeri foto:










Thursday, 7 April 2016

JALINAN MESRA BERSAMA SAUDARA BARU DAN PENDUDUK KAMPUNG ORANG ASAL SUNGGALA ASAH KEMAHIRAN PELAJAR



PORT DICKSON, 2 APRIL- Baru-baru ini, seramai 37 orang pelajar Kolej UNITI terdiri daripada pelajar jurusan Diploma Industri Halal, Diploma Pengurusan Muamalat, Diploma Occupational in Safety and Health serta Diploma in Graphic Design tidak ketinggalan berbakti kepada masyarakat setempat apabila berjaya buat julung kalinya menganjurkan program ‘Jalinan Mesra Bersama Saudara Baru dan Penduduk di Perkampungan Orang Asal, Port Dickson, Negeri Sembilan.


Program yang dirancang di bawah subjek Khidmat Sosial ini merupakan peluang kepada pelajar untuk menyerlah kemahiran-kemahiran insaniyyah (softskills) sebagai persediaan untuk menjadi graduan yang trampil dan berkeyakinan selaras dengan PANCAKU UNITI.


Menurut saudara Zarif Reza Shah Zakaria, 19 ,selaku  pengarah program menyatakan program ini merupakan cabaran besar beliau sepanjang bergelar siswa hampir tiga tahun di Kolej UNITI ini apabila inilah pertama kalinya beliau dan rakan-rakan jawatankuasa lain dilibatkan secara langsung dan perlu berdikari untuk memastikan projek khidmat sosial yang melibatkan masyarakat orang asal berlangsung dengan jayanya.




“Pengalaman pengurusan program sebegini membantu saya dan rakan-rakan untuk melakukan persediaan menghadapi fasa seterusnya iaitu latihan industri dan lapangan kerja.” Jelas Rawaida Rusli, 19 tahun.


Antara objektif penganjuran program adalah untuk beramah-mesra bersama saudara baru dan penduduk KOA Sunggala dan menyalurkan sumbangan berbentuk bantuan asas makanan kepada keseluruhan ketua keluarga.


Antara aktiviti kemasyarakatan yang dijayakan oleh pelajar adalah membantu mengecat rumah usang, mebersihkan kawasan surau dan balai raya serta sukaneka bersama penduduk.


Slot ceramah “Indahnya Hidup dalam Islam” untuk saudara baru dan penduduk bukan Islam juga telah dijayakan oleh panel jemputan, Ustaz Shamsul Azhar Yahya, Pensyarah di Institut Islam Hadhari dan Pengerusi Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia. Di penghujung ceramah, beberapa saudara baru telah menerima sumbang berbentuk set telekog, sejadah, al-Qur’an, beras dan tepung.



Bagi menyampaikan kepentingan pendidikan kepada anak-anak KOA Sunggala, ustaz Ahmad Muzammil Muhd Hairi, Pegawai Hal Ehwal Pelajar telah menjadi panel slot motivasi “Seronoknya Belajar”.


Sambutan penduduk KOA Sunggala amat memberangsangkan untuk memastikan program ini lancar. Kehadiran dan keterlibatan penduduk sepanjang program berlangsung membantu jawatankuasa program mencapai objektif yang telah disasarkan.


“Selaku penganjur, kami mengucapkan kepada semua penyumbang yang telah menyumbang samaada berbentuk wang ringgit mahupun material sehingga program yang telah dirancang hampir tiga bulan dapat dijayakan walaupun berhadapan beberapa kekangan yang akhirnya dapat diatasi.” Jelas Zarif Reza Shah lagi.


Sementara itu, Puan Faridah Mohd Tap, penyelaras subjek Khidmat Sosial di bawah Jabatan Pengajian Umum sedang merangka program susulan dengan kerjasama daripada agensi-agensi terplih seperti Islamic Outreach, Farmasi Alpro, Perkim Malaysia dan lain-lain untuk terus mengadakan program berkala bersama penduduk kampung.


Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Kolej UNITI, Encik Ahmad Turmizi Mohd Khalil dan dihadiri bersama oleh Encik Azhari, wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Port Dickson, Ustaz Mohamad Fakharuddin Othman, Penggerak Masyarakat Orang Asli JAKIM Daerah Port Dickson, Encik Zamri Harun, Tok Batin KOA Sunggala, Encik Sauriman Ahkau, Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan KOA Sunggala, Puan Faridah Mohd Tap, Penasihat Program.




Program diakhiri dengan penyampaian sumbangan dan penyerahan cenderamata sebelum jamuan bersama penduduk kampung.

SIMULASI ISU KESELAMATAN KANAK-KANAK DAN PERLINDUNGANNYA- Nur Akmar Mohd Arif


Kolej UNITI melalui program Diploma Pendidikan Pra Sekolah sentiasa komited untuk memastikan pelajar memahami subjek antaranya ialah subjek "Keselamatan Kanak-kanak dan Perlindungannya' dengan baik melalui pendekatan aktiviti bermodul seperti debat, forum dan drama. 

Objektif setiap modul simulasi isu keselamatan kanak-kanak adalah untuk mencungkil kemahiran dan kreativiti bakal-bakal guru pra sekolah dalam simulasi pertolongan cemas melalui aktiviti forum dan drama seperti ‘Tersedak susu.Salah Siapa?’ , ‘Malang Tidak Berbau’ dan ‘Katakan Tidak Pada Penderaan Kanak-kanak’.

Selain itu, cetusan idea-idea baru, nilai dan pengajaran mengenai isu-isu keselamatan kanak-kanak adalah juga didorong oleh peningkatan yang semakin membimbangkan terhadap keselamatan kanak-kanak dalam masyarakat. 


Pendekatan simulasi melalui aktiviti debat, forum dan drama yang menarik dan kreatif memudahkan penyampaian mesej kepada kanak-kanak tentang penjagaan keselamatan diri. 











Disediakan oleh,



Cik Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan, 
Fakulti Pendidikan dan Pra Sekolah.


Galeri Foto: