Pages

Tuesday, 4 October 2016

3 tips for your first interview in English- Akmal Hafiiz Abdul Rani

The thought of your first interview in English is daunting.  You might be worried about it even though you feel confident about speaking the language in other, less formal situations.  Don’t worry. Here are some ways to prepare for interviews in English.  With a little work and common sense you will exceed your own expectations and impress your interviewer.


1. Prepare set vocabulary

It’s a good idea to develop a strong vocabulary in relation to industry in which you work before the actual interview. This shows genuine interest in what you do as well as a desire to progress. For example, for somebody working in the education industry some good words and terms to incorporate into the interview are:

• Research
• Educational jargon 
• Teaching acronyms
• Academic standard
• Assessment
• Bilingual
• Brainstorming
• Constructivism
• Heterogeneous groups
• Methodology 
• Phonemic
• Taxonomy


2. Use suitable tenses.

When the interviewer asks you about your current position, answer in the present tense:
• I am working at…
• My current position involves…
• I have been working there for 4 years…

When the interviewer asks you about your past positions answer in the past tense:
• I worked at …
• My former role involved…
• I had been working there for 4 years…


3. Keep answers short and to the point.

There is a saying in English: Keep it short and simple (KISS) and nowhere is this more the case than in the interview situation. It is likely that questions during the interview will be direct and precise and your answers should be the same. Don’t over complicate things. Talking too much is called rambling in English and this should be avoided in interviews.


You only have 10-15 minutes to impress so make the most of the short time you have.


Written by,

Akmal Hafiiz Abdul Rani,
Lecturer,
Kolej UNITI Port Dickson

Bual Bicara Interaktif: Menyorot Kemerdekaan Bangsa Siri II di Kolej UNITI Port Dickson


Lawatan Sambil Belajar Kanak-kanak Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI ke Port Dickson- Nur Akmar Mohd Arif

Lawatan Sambil Belajar merupakan aktiviti luar kelas yang dapat memberi pengalaman pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna untuk kanak-kanak di tadika dimana mereka diberi peluang untuk meneroka dunia luar bersama guru dan rakan-rakan sebaya. Ini akan memberi pengalaman manis dan bermakna untuk mereka selain meningkatkan daya pembelajaran sambil bermain dalam meneroka dunia persekitaran luar.


Seramai 11 orang kanak-kanak di Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI Port Dickson telah mengikuti lawatan sambil belajar Ke Port Dickson pada 10 Ogos 2016 yang lepas. Lawatan ke Port Dickson ini telah mendapat kebenaran dan persetujuan daripada ibu bapa dan barisan Ahli Jawatankuasa Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI. Lawatan Sambil Belajar yang kebiasaannya diadakan dua kali dalam setahun ini telah diiringi oleh dua orang guru Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI.


Tempat-Tempat Lawatan


Tempat-tempat lawatan yang dipilih adalah bersesuaian dengan kanak-kanak untuk menggalakkan pembelajaran mereka selain selamat dan bersih untuk dilawati bagi mewujudkan kesan pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna untuk kanak-kanak ini. Antara tempat-tempat yang telah dilawati pada 10 Ogos tersebut adalah Pusat Ikan Hiasan Telok Kemang, Balai Bomba Telok Kemang, Muzium Tentera, Port Dickson Dream World (Pameran Dinasour), KFC dan lain-lain lagi. Untuk langkah keselamatan sepanjang lawatan luar ini diadakan, kanak-kanak ini berpakaian lengkap baju sukan Tabika KEMAS Bistari Kolej UNITI, memakai kad nama dan berkasut bagi memudahkan pergerakan selain untuk memudahkan kawalan dan pemantauan para guru. 


Kepentingan Lawatan Sambil Belajar 


Lawatan Sambil Belajar ini diadakan bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menambah pengetahuan sedia ada mereka tentang dunia luar. Pembelajaran di dalam kelas dibawa ke konteks luar kelas untuk mengayakan pembelajaran selain meningkatkan perasaan ingin tahu kanak-kanak. Pengetahuan sedia ada kanak-kanak akan diintegrasikan dengan pengetahuan baru yang akan dipelajari di luar konteks kelas. Tempat-tempat yang dilawati oleh mereka juga merangkumi pembelajaran bertema yang dipelajari dalam kelas seperti haiwan, keselamatan, pekerjaan, pakaian uniform dan lain-lain lagi. Pembelajaran bertema dapat memberi pengalaman yang bermakna dan menyeronokkan untuk kanak-kanak ini.




Selain itu, pembelajaran luar kelas ini dapat menarik minta kanak-kanak untuk belajar dan meneroka selain merangsang perkembangan mereka dari semua aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. Selain itu, lawatan luar ini dapat meningkatkan keyakinan diri mereka selain dapat mendidik mereka untuk berdikari dan berdisipilin sepanjang berada di luar tadika. Kanak-kanak ini juga didedahkan tentang peraturan dan keselamatan diri sepanjang mengikuti lawatan ini. Lawatan ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama guru dan kanak-kanak di Tabika ini.


Kesimpulannya, Lawatan Sambil Belajar adalah penting bagi meningkatkan perasaan ingin tahu dan merangsang perkembangan kanak-kanak seiring dengan pertambahan usia mereka. Pemantauan guru sepanjang lawatan sambil belajar ini adalah penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin sepanjang berada di luar tadika selain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka dunia luar dalam persekitaran yang selamat dan meyakinkan.


Disediakan oleh,

Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson

Monday, 29 August 2016

Cerpen: Kerana Aku Seorang Mahasiswa- Faridah Mohd Tap

“Ish, kamu ni Maryam, selalu sahaja sibuk. Jarang lekat kat bilik. Orang lain pun pelajar juga, tapi taklah macam kamu ni. Dah macam Perdana Menteri aku tengok. Silap-silap Perdana Menteri pun tak macam kamu tau.” Leter Salina tatkala melihat Maryam masuk ke bilik setelah hampir tiga hari tidak pulang.


Maryam hanya tersenyum mendengar luahan hati sahabat biliknya dari tahun pertama sehinggalah sudah menginjak ke tahun akhir semenjak mereka belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang tercinta ini. Sahabatnya itu seorang pelajar yang bijak. Selalu sahaja skor anugerah dekan saban semester. Siapa tidak kenal Salina Afifah Mohsen. Namanya tidak asing di kalangan para pensyarah dan pelajar sains politik lainnya.


“Salina, maafkanlah aku jarang di bilik. Aku ada komitmen luar akademik yang harus diijalankan sebaiknya.” Maryam mendekati Salina yang sedang duduk di compartment B bilik C.4.3 Mahalah Hafsa.


“Komitmen apanya Maryam sampai jarang-jarang kita dapat menghabiskan waktu bersama. Dapat jumpa pun dekat kelas, tapi itupun cepat-cepat kamu pergi sebab ada kelas subjek minor. Lepas tu kamu menghilang entah kemana perginya.” Luah Salina lagi.


Maryam senyum. Maryam kemudiannya duduk di hujung birai katil Salina sambil menghadapnya yang sedang menelaah pelajaran di meja studi.

“Salina, hujung minggu ni kamu lapang?” Tanya Maryam ringkas. Salina menoleh dan memandang Maryam dengan muka berkerut. Kenapa Maryam, nak bawa aku pergi jalan-jalan ke? Salina mengenyitkan mata kepada Maryam.


“Ya, tapi jalan-jalan yang ini lain sikit dan aku tak dapat pastikan samaada kamu suka atau tidak. Tapi aku akan pastikan kamu akan ada paradigma berbeza tentang apa itu gelaran mahasiswa. Lapang tak minggu ni? ” Tanya Maryam sekali lagi untuk tahu jawapan persetujuan kawan baiknya itu.



Salina mengerutkan dahi. Jari telunjuk menggaru-garu dagunya yang tidak gatal. “Hmm, macam menarik. Tidak pernah kamu ajak keluar bersama, tapi kali ini, buat pertama kalinya kamu mempelawa untuk aku ikut. Pelik bin ajaib ni. Aku akan ikut, tapi, untuk lakukan anjakan paradigma tu, we’ll wait and see.” Senyum Salina dengan anggukan tanda persetujuan.

***

Pagi Sabtu itu, Maryam dan Salina solat subuh berjemaah. Maryam menjadi imamah kepada Salina. Selepas wirid, Maryam membaca doa dengan suara sedikit perlahan, tetapi didengari jelas di cuping pendengaran Salina.


Kali ini, Maryam berdoa khusus untuk sahabatnya.

“ Bismillahir-rohman-ir-rahim…
Ya Allah, di pagi sabtu yang hening ini…
Kami memohon keampunan di atas kesalahan dan kelalaian kami samada kami sedar ataupun tidak. Ampunilah dosa kedua ibu bapa kami, keluarga kami, para pendidik kami, para sahabat kami dan seluruh kaum muslimin dan muslimat yang hidup mahupun yang telah mendahului kami menuju kepada-Mu.
Kami juga menyatakan rasa syukur Ya Allah kerana diberi peluang untuk menghirup udara sebagai nafas kami meneruskan kehidupan di bumi penuh pancaroba ini.
Ya Rabb,
Sesungguhnya, kami bersyukur kerana dihidupkan sebagai Muslim..
Peliharalah iman kami hingga akhir hayat kehidupan kami di dunia ini..
Golongkanlah kami dalam golongan yang diredhoi..
Ya Rabb,
Aku juga bersyukur dikurniakan sahabat seperti Salina,
Mengambil berat tentangku walau aku tidak punya masa untuknya,
Kau kasihilah dia, berkatilah perjalanan hidupnya,
Semoga suatu hari nanti, kawan baikku ini menjadi permata berharga kebanggan kami, yang berbakti untuk membangunkan umat.
Amin Ya Rabbal ‘Alamin.”

Doa Maryam dengan sendu yang halus.

Salina mengaminkan doa yang dibacakan oleh Maryam. Hatinya terharu, air matanya mengalir kerana Maryam mendoakannya.

Usai solat, mereka berpelukan.

“Terima kasih Salina, menjadi sahabat saya yang tidak jemu mengambil berat tentangku.” Bisik Maryam.

***

‘Wah, aku rasa tak sabar nak tahu kemana kamu nak bawa aku hari ini.” Laung Salina sambal bersiap-siap dalam bilik kecilnya.

“Jom! Kita pergi. Kita akan naik bas Metro 12 ke Chow Kit Road.” 
Ucap Maryam sambal tersenyum riang kerana dapat membawa Salina keluar dari biliknya untuk lakukan aktiviti yang berbeza selain hanya bergelumang dengan buku-buku dan nota pelajaran.


Mereka berdua menaiki bas tepat jam 10 pagi. Pagi sebegitu, seperti biasa bas dipenuhi dengan pelajar-pelajar UIA yang keluar hujung minggu mencari hiburan masing-masing. Setelah hampir 30 minit, mereka sampai ke destinasi yang dituju.

“Kita akan kemana ni Maryam?” Tanya Salina setelah turun dari bas di Jalan Chow Kit.

“Jom. Kita melintas. Tempat aku nak bawa ni depan sana tu.”Tunjuk Maryam sambil mereka berpimpinan melintas jalan yang mulai sesak.

***
Chow Kit adalah tempat yang sibuk kerana menjadi tumpuan warga kota di Bandaraya Kuala Lumpur. Ia menjadi tarikan kerana terdapat pasar basah harian terbesar di seluruh Wilayah Kuala Lumpur  selain pasar malamnya yang dikenali sebagai Bundle Chow Kit di sepanjang Lorong Haji Taib yang menjual pelbagai barangan dan aksesori. Ironinya, Chow Kit ini menjadi tumpuan warga Indonesia selain komuniti kecil warga Afrika.

***
“Inilah tempatnya.” Cetus Maryam di hadapan sebuah banggunan usang dua tingkat sebaris lot-lot kedai bersebelahannya.

“ Tempat apa ni Maryam” Takut pula aku sambil menggengam erat tangan Maryam.

“Janganlah takut, tempat ini adalah rumah perlindungan bagi kanak-kanak jalanan. Kasihan mereka.” Terang Maryam menenangkan Salina yang kelihatan sedikit gusar.


Maryam dan Salina bersalaman dengan pengurus rumah perlindungan tersebut, Puan Hidayah. Mereka beramah-mesra sebelum melakukan pelbagai aktiviti dengan sejumlah kanak-kanak malang yang ditempatkan di rumah tersebut.


Pada mulanya, Salina kelihatan kekok tetapi akhirnya beliau seronok melayan keletah anak-anak kecil berusia sekitar satu tahun hingga 12 tahun. Kanak-kanak juga ketawa riang dengan pelbagai aktiviti seperti bacaan buku cerita dan nyanyian.


“Itu Amin berusia setahun. Dialah penghuni paling muda di rumah ini. Dia ditemui bersama ayah dan abangnya yang baru lapan tahun setelah tinggal dibawah jambatan selama hampir sebulan. Dia dihantar kesini kerana ayahnya sedang menjalani pemulihan dari najis dadah. Ibunya pula sudah meninggal dunia. Ayah mereka membawa keluar dari kampung, dan sanak-keluarga tidak mempedulikan mereka kerana ayahnya adalah penagih tegar. Amin juga istimewa kerana dia tidak seperti kanak-kanak lain. Dia disahkan sebagai ‘sindrom down’. Kasihan anak syurga ini.” Terang Maryam kepada Salina dengan air mata bertakung menunggu masa untuk tumpah.


Salina juga kelihatan sedih dan memahami rasa yang dirasai oleh teman baiknya Maryam. Beliau memangku anak kecil malang itu lalu mencium dahinya.


“Tugas kita sebagai mahasiswa sebenarnya adalah sebuah amanah yang besar. Jika kita telusuri sejarah, mahasiswa adalah jurubicara masyarakat yang sangat disegani. Pada awal 1970-an, mahasiswa menjadi pendokong paling hadapan dalam membela masyarakat marhaen terdiri daripada petani, nelayan, penoreh getah dan lain-lain. Mahasiswa ketika itu sangat disegani kerana aura mahasiswa yang dibawanya.”  Maryam memulakan bicaranya tentang mahasiswa.


Salina mendengarnya dengan khusyuk sekali. Itulah kali pertama dia mendengar ayat ‘mahasiswa adalah jurubicara masyarakat. Beliau sangat tertarik untuk mendengar huraian Maryam lagi. Sesekali dia mencium pipi Amin yang terlena dipangkuannya selepas meminum susu botol. Kebetulan, itu adalah waktu rehat bagi anak-anak di rumah perlindungan tersebut.


“ Tetapi itu dulu. Mahasiswa hari ini dipandang sebagai tiada fungsi kepada masyarakat. Mahasiswa hari ini merasakan apabila sudah menjejakkan kaki ke menara gading, mereka perlu disanjung dan dipuja. Habiskan waktu ke kelas, kemudian balik hostel makan dan buat hal sendiri. Bila ada waktu terluang, pergi berjalan-jalan ‘window shopping’ atau apa sahaja aktiviti untuk kepuasan sendiri.” Sambung Maryam lagi.

Salina mengangguk tanda setuju dengan Maryam kerana itulah realiti kebanyakkan mahasiswa hari ini.

“Benar tu Maryam. Aku tak pernah terfikir tentang itu sebelum ini peranan mahasiswa kepada masyarakat. Pada aku, bila masuk sahaja universiti, maka aku harus belajar, belajar dan belajar untuk mencapai keputusan cemerlang. Akhirnya, dengan keputusan yang cemerlang itu, aku akan senang dapat kerja dan mencapai impian sendiri tanpa meletakkan kepentingan masyarakat dan umat dalam impian aku itu.” Terang Salina dengan sedikit kesal.

“Tak mengapa Salina, belum terlewat lagi untuk kamu lakukan anjakan paradigma tentang peranan sebagai mahasiswa. Aku bawa kamu ke sini dengan niat yang murni. Aku mahu tunjukkan kamu realiti masyarakat yang sangat memerlukan orang-orang bijak seperti kamu dalam memberikan jaminan kehidupan yang lebih baik. Sayang jika manusia sebijakmu tidak dimanfaatkan untuk umat. Aku sendiri mengagumimu kerana kecerdikanmu dalam pelajaran. Tapi, aku dan umat akan lebih berbangga, jika sahabat aku ini menjadi jurubicara masyarakat untuk menjadikan bangsa, agama dan negara yang lebih baik.” Bersungguh-sungguh Maryam meyakinkan Salina.


Salina tersenyum dalam rasa terharu sambil memandang wajah-wajah polos anak-anak kecil yang semuanya sedang lena tidur selepas penat beraktiviti.


Mereka menghabiskan masa lebih kurang enam jam di rumah perlindungan anak-anak jalanan sebelum singgah di Pasar Malam Chow Kit yang terkenal itu. Selepas itu, barulah mereka pulang ke Taman Ilmu dan Budi yang sinonim dengan UIAM.

***

Di Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ke-25, Salina Afifah binti Mohsen telah dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja dan telah dilantik untuk memberikan ucapan mewakili seluruh 3,300 mahasiwa pada Konvokesyen tahun itu.

“To all my fellow friends here in this convocation hall, I humbly ask you to be actively involving in nation building to bring triple IICE (Integration; Islamization; Internationalization; and Comprehensive Excellence) nationwide.

We’re IIUMans must aim to become a leading role player to bring Muslim Ummah at the greatest position…..


Sebelum menghabiskan ucapannya, Salina mengambil kesempatan mendedikasikan puisi tradisional Melayu ini kepada semua mahasiswa yang bergraduat.

***

 “Apa tanda si anak jantan?
Matinya di tengah gelanggang
Tidurnya di puncak gelombang
Makannya di tebing panjang
Langkahnya menghentam bumi
Lenggangnya mengipas semak
Tangisnya terbang ke langit
Esaknya di telan bumi
Yang tak kenal (kan) air mata
Yang tak kenal (kan) tunduk kulai…


Itulah bicara akhir penutup kata di hadapan para pensyarah, graduan dan ibu bapa yang berada di dalam dewan CAC.

Tepukan gemuruh menggamatkan suasana dewan selepas tamat ucapan dan Salina mengambil tempat duduknya semula.

Maryam Jameelah tersenyum bangga melihat Salina berada di atas pentas.
“Aku bangga denganmu sahabatku.” Bisiknya dalam hati.

***
(Selepas lima tahun)

Maryam sedang membaca berita secara online sebelum ke kelas bertemu pelajar-pelajarnya untuk subjek Pengenalan Sains Politik. Kini beliau menjawat jawatan pensyarah muda di Pusat Asasi UIAM dan sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah  Sains Politik Pengurusan Awam di Universiti Malaya.

Tiba-tiba, pandangannya tertarik kepada tajuk berita “MUJAHIDAH MALAYSIA DI GAZA”.

Maryam menekan pautan baca seterusnya untuk membaca laporan berita tersebut dengan lebih lanjut. Hatinya sungguh tertarik apabila melihat imej yang dipaparkan sangat dekat dengan hatinya.

“Salina Afifah Mohsen, 28  tahun merupakan rakyat kelahiran Malaysia yang mengambil keputusan untuk berkhidmat di Kem Perlindungan rakyat Gaza selepas perang meletus sejak beberapa tahun dahulu. Beliau yang merupakan Eksekutif sepenuh masa Mercy Malaysia merasakan tiba masanya untuk beliau kembali berbakti kepada umat…..”

“Wah, Salina Afifah. Saya bangga dengan kamu.” Bisik hatinya. Rupanya disini kamu setelah empat tahun lebih menghilang tanpa khabar berita.

Maryam terharu. Bergenang air matanya melihat wajah kawan baiknya di akhbar tersebut.

“Kamu pasti menjadi kebanggaan umat Islam dan rakyat Malaysia!” Bicara hati Maryam.

-Tamat-

(Cerpen ini telah disiarkan di dalam Portal Ilham Karangkraf)

PELAJAR, INTERNET DAN PLAGIAT- Badrul Hisham Ithnin

Dua minggu sebelum peperiksaan akhir semester bermula, pelajar-pelajar saya bertungkus lumus menyiapkan esei ilmiah Pengajian Malaysia. Kursus ini tidak ‘popular’ di kalangan pelajar kerana ia dianggap sebagai kursus sejarah dan menuntut pelajarnya membaca pelbagai bahan untuk memahami isi kandungan kursus ini sebelum dan selepas kuliah.
Setelah kira-kira 3 bulan lebih soalan diberi, masanya telah tiba untuk saya melihat hasilnya. Walaubagaimanapun sepanjang masa ini, hanya beberapa kerat sahaja kumpulan pelajar yang menemui saya untuk berbincang mengenai tajuk tugasan mereka. Saya mengharapkan lebih ramai lagi yang mencari suluhan atau petunjuk tentang proses memula, mencari dan menyudahkan tugasan kursus yang berat ini. Tapi ini tidak berlaku sebagaimana diharapkan.
Yang berjumpa saya pula dengan kerenah dan ragam masing-masing. Ada yang merungut ‘…tajuknya tidak ada dalam internet encik.’ Jelas nada kehampaan mereka kerana setelah lama meng‘goggle’ bahan-bahan internet yang dicari masih juga gagal ditemui. Internet seperti ‘tidak mesra’ kepada pelajar yang kelihatannya begitu beria-ia ini.

Sejak internet muncul dalam kamus hidup pelajar ia telah menjadi sumber primer untuk mereka mendapatkan maklumat dan data kajian. Perpustakaan maya terbesar dunia di internet cukup membantu pelajar saya. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kebanyakan hasil kerja pelajar sekarang sarat dengan ‘data’ atau ‘dalil-dalil’ yang diambil dari internet.
Barangkali ini bukan fenomena lokal di kolej saya. Ia juga adalah fenomena melanda sebahagian pelajar di IPT lain. Kini dengan prasana IT yang sangat canggih dan internet sudah menjadi sebahagian cara hidup pelajar di IPT untuk mendapatkan maklumat, kecenderungan ini semakin merebak dan meluas lagi. Betullah bahawa maklumat kini di hujung jari mereka.
Buku atau artikel majalah ilmiah tidak lagi menjadi rujukan utama. Begitulah hakikatnya, secara perlahan-lahan apa-apa yang bersifat tradisi atau amalan lazim mula ditinggalkan kerana ada cara atau kaedah baharu yang lebih cepat dan mudah untuk mendapatkan bahan yang dicari.

Ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh internet dalam kehidupan pelajar. Namun – di sebalik kecanggihan teknologi maklumat (IT) yang membolehkan capaian internet  di mana-mana sahaja dengan kelajuan yang kian pantas dan kini ditambah lagi dengan teknologi tanpa wayar – saya tetap runsing kerana sejak bertahun-tahun lamanya bahan internet telah diambil secara tidak bertanggungjawab dan tidak beretika hingga berlaku fenomena penciplakan idea atau hasil fikiran penulis asal. Dalam bahasa akademik gejala ini disebut plagiarisme.
Budaya negatif ini telah menarik perhatian Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi ketika berucap pada majlis perasmian 1 Megalab, di Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Likas pada 23 Mac 2009. Katanya “…penggunaan komputer dan internet untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan telah mencetuskan budaya kerja “cut and paste” dan sehingga mengabaikan proses penyelidikan untuk maju ke hadapan.”
Namun malangnya pelajar tidak menyedari bahawa perbuatan ‘cut and paste’ boleh disabitkan sebagai plagiat iaitu satu kesalahan akademik yang serius di sisi peraturan akademik IPT.

Besarnya kesalahan memplagiat digambarkan oleh laporan BERNAMA yang bertajuk ’Ijazah Pelajar UM dilucut Akibat Ciplak Tesis’, bertarikh 20 Jun 2007. Antara lain laporan itu menyatakan bahawa menurut Pengarah Perhubungan Korporat dan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Khoo Boo Teong, menggunakan Seksyen 56, Perlembagaan Universiti Malaya , status seorang graduan yang memegang ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Melayu yang dianugerahkan pada Istiadat Konvokesyen UM pada 4 Ogos 2004 telah dilucutkan kerana disabitkan kesalahan memplagiat dalam penulisan tesisnya. Menurut beliau lagi melalui pengalamannya kebanyakan kes penipuan dikenal pasti oleh pihak ketiga yang menggunakan kajian terdahulu sebagai rujukan.

Maksud Plagiat Secara Akademik

Menurut manual Study Guide : Plagiarism and How to Avoid It (http://www.essex.ac.uk/myskills/Plagiarism_and_how_to_avoid_it.pdf) yang dikeluarkan oleh University of Essex, plagiat berlaku apabila seseorang itu “..menggunakan atau menyalin idea atau perkataan orang lain – samada dalam bentuk tulisan, bercetak atau dalam bentuk-bentuk lain -  tanpa memaklumkan dengan cara yang sewajarnya dalam kerja-kerja kursus (ilmiah).”   

Dahulu kegiatan memplagiat berlaku ke atas ‘idea atau perkataan orang lain’ yang terdapat dalam sumber konvensional seperti buku, artikel, jurnal dan kertas kerja. Pelajar yang terdesak atau yang malas akan menyalinnya semula samada secara bulat-bulat atau mengolahnya semula dalam tugasan mereka tanpa menyatakan sumber asal di mana ia diambil.


Internet dan Plagiat

Memplagiat kini menjadi lebih mudah dengan adanya capaian internet untuk membawa pelajar ke Wikipedia, kamus atas talian (online), laman sesawang atau blog personal. Bahan-bahan yang serupa boleh diperolehi dengan lebih mudah di perpustakaan maya ini kerana internet hanya di hujung jari mereka sahaja.

Menginsafi fenomena yang tidak sihat ini, Andrew Keen dalam bukunya ‘The Cult of Amateur: How Today’s Internet is Killing Our Culture and Assaulting Our Economy’ di halaman 145 menyatakan :

“ The fact is that co-opting other people’s creative work – from music file sharing, to downloading movies and videos, to passing off others’ writing as one’s own – is not only illegal, in most cases, but immoral. Yet the widespread acceptance of such behaviour threatens to undermine a society that has been built on hard work, innovation, and the intelectual achievement of our writers, scientists, artists, composers, musicians, journalists, pundits and moviemakers.”
Di halaman 143 dalam buku yang sama Keen memetik laporan kajian Center for Academic Integrity pada Jun 2005 ke atas 50,000 siswa oleh di kalangan mahasiswa di Amerika Syarikat. Keputusan kajian itu cukup memeranjatkan.
“… 70% of college students admitted to engaging in some form of cheating; worse still, 77% of college students didn’t think that Internet plagiarism was a “serious” issue. This disturbing finding gets at a grave problem in terms of Internet and culture : The digital revolution is creating a generation of cut-and-paste burglars who view all content on the Internet as common property.”
Jelas sekali bahawa fenomena ini juga ‘menjangkiti’ siswa di negara maju. Oleh itu tidak hairanlah jika siswa di negara membangun bakal mengalami keparahan yang sama kerana biar pun kadar penembusan internet dan literasi IT semakin baik dari tahun ke tahun di negara membangun seperti Malaysia, mentaliti dan pengiktirafan pelajar dan masyarakat umum kepada nilai ilmu berada pada tahap yang relatifnya masih rendah lagi.

Ada beberapa sebab mengapa fenomena plagiat ini terjadi.
Pertama, pelajar tidak didedahkan dengan kemahiran mencari maklumat atau membuat ‘kajian kepustakaan’. Sepanjang pengetahuan saya kursus Penulisan Ilmiah hampir  tiada dalam senarai kursus wajib kolej atau universiti yang perlu ditawarkan kepada pelajar. Kursus ini sebagaimana kursus pengajian umum sepatutnya diajar merentasi program atau kurikulum. Ia melatih kemahiran menyelidik dan menjana minda menjadi objektif, kritis dalam mencari fakta dan akhirnya menemukan kebenaran perkara yang dikaji. Kualiti ini jarang ditekankan secara langsung dan tegas dalam program akademik.
Kedua, kegiatan ‘cut and paste‘ adalah kaedah mudah dan cepat untuk menyiapkan tugasan. Asalkan dapat bahan yang difikirkan sesuai, salin sahaja bulat-bulat dan adunkan dengan bahan-bahan lain maka siaplah tugasan. Mudahkan begitu!

Ketiga, pelajar memplagiat kerana kesuntukan masa dan bersikap ambil mudah (take things for granted). Bagi yang selalu buat kerja last minute amalan ini lebih menjadi-jadi kerana pada hujung semester biasanya banyak tugasan ilmiah perlu disiap dan dihantar kepada pensyarah.

Namun hakikat sebenar kepada gejala ini ialah sikap (attitude) pelajar terhadap budaya ilmu itu sendiri. Pengiktirafan dan ‘harga’ yang diletakkan kepada ilmu dan bahan-bahan ilmiah adalah rendah.

Mereka melakukan semua aktiviti akademik asalkan siap dan tidak mempunyai sasaran pencapaian yang tinggi dan berkualiti. Tanggapan pelajar penulisan esei ibarat menulis sebuah karangan semasa mereka di bangku sekolah menengah dahulu.

Tanggapan ini ternyata salah kerana penulisan sebuah naskah ilmiah seperti esei menuntut ketelitian dan keseriusan pemikiran pelajar yang ditunjukkan dalam pengolahan isi, pemilihan serta kewajaran data dan dalil yang diambil bagi membina hujah pelajar untuk menjawap persoalan atau permasalahan yang ditimbulkan dalam esei. Ia bukan penulisan sembarangan. Disiplin penulisan adalah ketat dan pelajar tentunya perlu patuh kepada format dan kaedah penulisan tertentu bagi menonjolkan ciri ilmiah esei.

Pelajar turut beranggapan kerja plagiat ini tidak akan dapat dikesan pensyarah. Namun anggapan ini juga ternyata silap kerana pensyarah masih boleh mengesan ciri-ciri tulisan yang diplagiat pelajar. Bak kata pepatah ‘ibarat sekilas ikan di air, dah tau jantan betinanya’.
Pelajar harus banyak belajar kemahiran untuk menghasilkan esei ilmiah yang baik. Seperti yang telah ditegaskan sebelum ini esei adalah naskah akademik yang mempunyai piawaian dan ciri-ciri pemikiran yang tinggi dan serius. Ia suatu kegiatan ilmiah yang sukar tetapi tidak pula mustahil untuk dihasilkan. Asalkan ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Alah bisa tegal biasalah nanti.
Sikap ‘dingin’ dan ambil mudah serta tidak begitu peduli terhadap ‘selok belok’ kegiatan ilmiah ini tidak akan banyak membantu pencapaian ilmu dan kualiti minda kelas pertama di kalangan pelajar IPT. Ini kerana ilmu dan minda kelas pertama ini tidak akan dicapai dan dikuasai tanpa didahului dengan kerja kuat, penelitian, ketekunan, kesabaran dan pengorbanan.
Justeru pra-syarat paling asas untuk berjaya menulis secara ilmiah ialah dengan mempunyai sikap yang betul terhadap budaya ilmu. Bagi sesetengah mazhab perubahan, sikap yang betul adalah penentu kepada setiap perubahan yang berlaku dalam hidup seseorang. Melalui sikap yang betul ini pelajar didorong oleh kesedaran dalam dirinya untuk ‘bergelumang’ dengan aktiviti keilmuan sebelum, semasa dan selepas kuliah. Proses ini berterusan sepanjang tempoh pengajian.
Kesannya, antara lain akan dilihat dalam penyediaan naskah ilmiah kelak di mana pelajar tahu amanah ilmu dan tanggungjawab menghargai sumbangan pengkaji asal dalam buku atau laman sesawang yang berwibawa dan mempunyai merit akademik. Melengkapkan proses dan disiplin ilmiah ini adalah kemahiran merekod bahan-bahan kajian dengan kaedah yang betul dan tepat sebagai catatan nota kaki dan kemudian ditulis semula sumber petikan itu di bahagian bibliografi sesebuah naskah ilmiah. 
Dengan cara ini disiplin dan amalan serta piawaian dalam penerbitan naskah ilmiah tetap akan dipertahan dan dikekalkan oleh pelajar yang menjadi sebahagian daripada komuniti akademik yang seharusnya bertanggungjawab terhadap ilmu yang dipelajarinya. Tradisi keilmuan dan perkembangannya masih tetap diakari oleh nilai dan integriti yang tinggi dalam jiwa pelajar. Ia sesekali tidak boleh dikompromi kerana pegangan inilah yang akan menjaga keaslian dan keutuhan ilmu itu sendiri.


 (Pernah disiarkan dalam Milenia Muslim Isu Disember 2012)


Disediakan oleh

Badrul Hisham Ithnin,
Jabatan Pengajian Umum, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.

PROJEK ‘JALUR GEMILANG GERGASI’ SIMBOLIK PERPADUAN WARGA FPPM KOLEJ UNITI PORT DICKSON- NUR AKMAR MOHD ARIF

Port Dickson- Sebuah projek khusus bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ sempena Bulan Kemerdekaan Ke-59 telah dijayakan di Kolej UNITI, Port Dickson pada 19 Ogos 2016. Projek ‘Jalur Gemilang Gergasi’ yang menjadi  simbolik kebanggaan Negara ini telah melibatkan penyertaan 104 orang para Pelajar Semester 3, Diploma Pendidikan Prasekolah dari Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson.


Projek ‘Jalur Gemilang Gergasi‘ yang dijayakan ini merupakan usaha dan simbolik kesepakatan para pelajar dan pensyarah Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson dalam menyiapkan dan merealisasikan Jalur Gemilang gergasi yang mempunyai kepanjangan 165 meter persegi (66m x 2.5m). Usaha murni ini merupakan lambang semangat perpaduan dan patriotik warga FPPM sempena meraikan Bulan Kemerdekaan yang ke 59 ini.


Menurut Noor Badriah Binti Zolkffree, selaku penyelaras subjek DPP2112: Aktiviti Fizikal Peringkat Awal Kanak-kanak, projek ini diadakan bagi menanamkan sifat patriotik dalam diri setiap pelajar yang terlibat dan mewujudkan hubungan baik antara pelajar-pelajar selain mengukuhkan perpaduan antara pelajar yang berbilang agama dan bangsa di Kolej UNITI Port Dickson.


 “Bakat dan kreativiti para pelajar Diploma Pendidikan Prasekolah yang diterjemah dalam Projek Jalur Gemilang Gergasi ini juga bagi memenuhi keperluan dalam subjek Aktiviti Fizikal Peringkat Awal Kanak-kanak. Kemahiran bakal-bakal guru ini dalam aktiviti melukis, mewarna dan kesepakatan mendirikan jalur gemilang ini diuji dalam projek tahunan ini yang merupakan simbolik perpaduan dan memenuhi tema Sehati Sejiwa‘’,  Jelas Noor Badriah, yang juga merupakan Penasihat bagi Projek Jalur Gemilang Gergasi ini.


Siti Zaleha Binti Ahmad, selaku Dekan Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia (FPPM) Kolej UNITI Port Dickson turut melahirkan rasa bangga dan syukur atas semangat perpaduan dan ukhwah yang berjaya dipupuk dalam projek ‘Jalur Gemilang Gergasi’ ini yang merupakan projek tahunan yang dijalankan di FPPM. Menurut beliau lagi, projek ini dapat melahirkan jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar dari sudut fizikal,emosi,rohani dan jasmani dalam usaha menyiapkan jalur gemilang ini yang merupakan simbolik kebanggaan rakyat Malaysia.


Selain mengeratkan ukhuwah sesama warga Fakulti Pendidikan Dan Pembangunaan Kolej UNITI Port Dickson, projek ini yang menjadi antara program yang wajib dijalankan setiap tahun sempena Bulan Kemerdekaan ini juga sebagai usaha melahirkan modal insan yang produktif, kreatif dan inovatif dalam menjayakan wawasan negara disamping mencungkil bakat terpendam para pelajar Diploma Pendidikan Prasekolah yang merupakan bakal-bakal pendidik yang akan berkhidmat dan berbakti untuk Negara pada masa akan datang.




DISEDIAKAN OLEH,

CIK NUR AKMAR BINTI MOHD ARIF
PENSYARAH/ KETUA UNIT MEDIA FAKULTI,
FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA,

KOLEJ UNITI PORT DICKSON

Merangsang Anak Bercakap, Kesan dan Tindakan- Hidayah Tokiman

Dewasa ini kegusaran ibu bapa terhadap anak yang masih belum boleh bertutur dengan baik atau anak lambat bercakap amat membimbangkan hingga timbul tekanan di kalangan ibu bapa. Kebimbingan ibu bapa ini banyak dipengaruhi oleh cerita-cerita negatif yang akhirnya memberi tekanan secara tidak langsung kepada perkembangan anak mereka sendiri tanpa mereka sedari.


Bagi ibu bapa yang berkemampuan, mereka mempunyai pelbagai pilihan yang lebih meyakinkan misalnya merujuk anak ke pakar-pakar yang lebih khusus di klinik atau hospital swasta. Kebimbangan ini amat dirasai oleh ibu bapa yang mempunyai pendapatan sederhana mahupun golongan tidak mampu dari segi ekonomi keluarga. Tambahan lagi ianya akan terkesan kepada ibu bapa yang tiada atau kurang dalam pengetahuan pendidikan perkembangan anak-anak. Oleh demikian, ini akan membawa kepada ketinggalan perkembangan berbahasa kanak-kanak dan jika kanak-kanak mampu bercakap di lewat usia 6 ke 7 tahun, maka akan berlakunya krisis keyakinan diri kanak-kanak di peringkat perkembangan yang seterusnya.


Justeru, penulis berpendapat, terdapat tiga cara bagi merangsang anak untuk bercakap. Pertama adalah langkah paling mudah yang mampu dikuasai oleh semua ibu bapa iaitu ajak anak untuk berbual. Teknik berbual atau bercerita ini boleh dipraktikkan sejak anak di dalam kandungan lagi seterusnya apabila anak lahir. Kekerapan ibu bapa untuk berbual dan melapangkan masa untuk anak-anak secara tidak langsung memberi kesan positif bukan sahaja dari perkembangan bahasa anak-anak malahan dapat merangsang emosi positif anak-anak. Kanak-kanak akan rasa dihargai dan diberi perhatian. Ketika ibu bapa berbual bersama anak, anak-anak akan melalui proses peniruan. Di dalam proses peniruan akan ada proses pengulangan, ketika inilah anak akan mengumpul perbendaharaan kata.


Langkah kedua adalah ajar anak-anak menggunakan perkataan positif. Langkah ini dapat dibentuk ketika proses berbual atau bercerita bersama anak tadi. Ibu bapa boleh mendorong anak untuk bercakap dengan bahasa yang mudah dan sopan misalnya ucapkan “terima kasih mama”, “minta maaf ayah”, “janji tak buat lagi” dan sebagainya. Mungkin pada mulanya anak-anak agak sukar untuk mengucapkannya tetapi apabila ada kelaziman, maka ucapan ini akan mudah digunakan dengan tindakan yang selaras dengan ucapan contohnya meminta maaf sambil bersalaman. Ini membawa kepada perkembangan nilai-nilai murni dalam diri anak. Disamping pengunaan perkataan positif, harus ada pemantauan bagi ucapan kata-kata negatif. Ibu bapa adalah cermin bagi anak, demikian anak akan bertingkah laku dan bertindak mengikut pantulan cermin itu. Tegak cermin itu, tegaklah pantulan itu dan sebaliknya.


Walaubagaimanapun, pendedahan di luar kawalan ibu bapa menyebabkan anak-anak mudah meresap dan meniru pertuturan kata yang tidak sesuai. Perkara pertama wajib dibuat oleh ibu bapa adalah tegur sejurus perkataan yang tidak sesuai diucapkan. Teguran ini dibuat bagi menyedarkan anak-anak bahawa ucapan yang digunakan adalah salah dan tidak sopan. Jika teguran di buat dalam masa yang sesuai, selitkan bersama nasihat dan nyatakan alasan mengapa tidak boleh menggunakan perkataan yang tidak sopan. Pastikan ibu bapa menasihati anak dalam keadaan yang waras. Jangan pula nasihat anak dalam keadaan emosi marah kerana apabila marah tidak mustahil ibu bapa akan menggunakan kata-kata negatif yang secara tidak langsung akan menurunkan motivasi anak. Ibu bapa juga perlu melatih diri untuk memberi nasihat secara berhikmah dan tidak berlebih-lebihan.


Seterusnya, langkah ketiga bagi merangsang anak untuk bercakap adalah dengan melatih anak untuk menggunakan sebutan yang betul. Situasi yang selalu kita lihat pada hari ini ialah ibu bapa pula yang berlebih-lebihan bercakap pelat di hadapan anak-anak. Ini akan menggalakkan anak-anak untuk meniru dan mengulang percakapan pelat. Tindakan awal yang dapat ibu b

apa buat adalah jangan terlalu melayan pelat anak, betulkan setiap kali anak bercakap pelat. Ajarkan perkataan yang betul dan minta anak mengulangnya kembali. Lama-kelamaan anak akan dapat bercakap dengan menggunakan perkataan yang betul dan boleh bercakap sesuai dengan keperluannya. Dalam masa yang sama, ketika proses merangsang anak untuk bercakap, jangan membanding-bandingkan anak dengan abang atau kakak mereka atau dengan orang lain kerana kita sendiri tidak suka dibandingkan. Oleh itu ibu bapa perlu lebih peka dan sensitif dalam setiap tindakan dan percakapan dengan anak-anak.


Ibu bapa berperanan sebagai model tingkah laku yang terbaik dalam usaha untuk menggalakkan anak bercakap. Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Tegasnya hanya kesedaran, kesabaran dan keprihatinan ibu bapa sahaja yang dapat membantu dalam proses perkembangan anak untuk bercakap dengan lebih lancar.



Disediakan oleh:


Hidayah Binti Tokiman,
Pensyarah (Jabatan Pendidikan)
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia

Kolej Uniti Port Dickson.