Pages

Tuesday, 27 February 2018

Jenis-jenis permainan alternatif yang boleh anda buat bersama anak-anak tangani ketagihan terhadap gajet- Nurshaqila Toha


“Abang, saya risau la tengok Hadi anak kita tu, makin hari makin tak boleh renggang dengan ipad dia tu... langsung tak mahu bermain di luar., berkawan pun tak mahu..” rintih Rose.

 “Ya lah sayang, abang pun mula rasa menyesal beri Ipad tu pada dia dulu, abang harap abang tahu apa yang abang boleh bantu anak kita." Sahut si suami dengan nada kesal.


Kebanyakan ibu bapa yang berkerja cenderung membeli masa anak-anak dengan memberi telefon pintar, permainan video, ipad dan pelbagai lagi tanpa menyedari kesan negatif terhadap perkembangan anak-anak mereka. 


Lebih menyedihkan lagi, ibu bapa sendiri tidak menyedari ketagihan anak-anak mereka terhadap gajet hingga telah terlewat untuk mengubahnya. Memahami cara anak bermain dapat membantu anda mencari jalan terbaik untuk menyediakan persekitaran yang sihat kepada anak-anak anda. 


Berikut merupakan jenis-jenis permainan alternatif yang boleh anda buat bersama anak-anak anda:



Permainan olok-olok/lakonan


-       Merupakan permainan yang popular dikalangan kanak-kanak terutamanya ketika usia 2-6 tahun. Mereka gemar meniru aktiviti yang terdapat di persekitaran mereka seperti gaya ibu bersiap untuk ke pejabat, ayah membasuh kereta, berkebun dan sebagainya. Kanak-kanak cenderung malakonkan semula situasi berdasarkan kefahaman mereka.

·        Permainan Aktif/ Luar


-   Bawa anak-anak anda untuk bermain di luar rumah secara aktif. Disamping dapat membantu perkembangan fizikal dan motor mereka, ia juga dapat meransang kanak-kanak dalam perkembangan sosial mereka. Beri mereka peluang untuk meneroka persekitaran meraka.


·        Permainan Pasif


-   Mendengar perkataan pasif sedikit sebanyak membawa kegusaran kepada ibu bapa, bertenang, pasif disini tidak lah bermaksud buruk. Permainan pasif bermaksud permainan yang menggunakan tenaga yang minimum atau bahan lain untuk member hiburan. Selalunya di lakukan di kawasan dalam rumah. Antara aktivitinya adalah membaca, mengutai manik dan aktiviti-aktiviti yang kuang pergerakkannya. Permainan pasif dapat membantu kanak-kanak untuk lebih fokus dan tekun dalam penyelesaian masalah.


·        Permainan Kognitif


-      Permainan yang tergolong dalam ketegori ini adalah permainan yang memerlukan kanak-kanak untuk menggunakan kecerdasan minda untuk menyelasaikan masalah. Sebagai contoh, permainan seperti teka silang kata, puzzle dan teka teki. Ibu bapa juga boleh menengahkan permainan ini sebagai aktiviti keluarga sewaktu hujung minggu atau selingan sebelum anak-anak bersedia untuk tidur.

·        Permainan Bebas

-    Permaian bebas adalah permainan yang tidak formal, secara spontan dan bersifat tidak berstruktur. Permainan ini boleh terhasil dari persekitaran dan interaksi kanak-kanak dengan rakan-rakan dan orang sekeliling.


Ambil dan luangkah lah sedikit masa untuk bermain bersama anak-anak anda kerana kenangan yang dikecapai anak-anak seusia ini akan dibawa dan dijadikan sebagai  memori di masa hadapan.


Disediakan oleh,

Cik Nurshaqila Toha
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Monday, 26 February 2018

PENDIDIKAN ANAK-ANAK TANGGUNGJAWAB SIAPA? Jom BONGKAR mengapa ibu bapa perlu lebih peka akan pendidikan anak-anak.-Nurfilzahhanna Ramlee,


Kebanyakan ibu bapa menganggap bahawa tugas memberikan pendidikan ke atas anak-anak selesai setelah anak-anak di hantar ke sekolah. 

Sedarkah anda bahawa fahaman ini adalah salah sama sekali! 

Ibu bapa dan penjaga tidak seharusnya meletakkan segala beban kepada bahu guru atau pendidik di tabika atau taska tempat anak dihantar belajar.

Jom BONGKAR mengapa ibu bapa perlu lebih peka akan pendidikan anak-anak.


1. Kesinambungan

Sekiranya anak hanya mendapat pendidikan di sekolah sahaja, apa yang anak-anak pelajari di sekolah tidak akan berterusan dan bersifat jangka pendek sahaja. Sebenarnya dengan tambahan sedikit usaha, kita mampu melahirkan anak-anak yang cemerlang intelek dan gemilang keperibadiannya. 

Proses pembelajaran adalah sesuatu yang berterusan dan di rumah, kitalah yang menjadi guru kepada anak-anak. Pembelajaran secara 'informal' di rumah akan mengukuhkan pengetahuan yang diperolehi di sekolah. Ibubapa wajar menjadi inspirasi dan suri teladan kepada anak-anak melalui setiap perbuatan yang kita lakukan.


2. Sokongan

Tanpa sokongan dari ibu dan ayah, anak-anak akan merasakan mereka tidak dihargai dan tidak bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. Sokongan yang paling mudah dapat diberi adalah seperti galakan dan sokongan moral. 

Sekiranya anda tidak dapat memberikan sokongan ke atas anak, hatta hal yang sekecil ini, usahlah bermimpikan anak-anak mencapai prestasi pembelajaran yang cemerlang. Kecemerlangan anak-anak adalah berkat sokongan ibubapa juga.


3. Sedar tahap anak

Dengan penglibatan aktif ibu bapa di dalam pendidikan anak-anak di rumah mampu memberikan kesedaran kepada mereka di mana tahap anak-anak mereka di dalam pendidikan. 

Melaluinya, ibu bapa dapat mengetahui tahap pendidikan anak-anak mereka dan seterusnya dapat bersama-sama guru mencari jalan menyelesaian yang dapat membantu meningkatkan tahap pembelajaran anak-anak mereka. 

Manakala ibu bapa yang tidak mengambil tahu tentang tahap pembelajaran anak-anak, akan menyebabkan anak mereka ketinggalan berbanding dengan anak-anak yang mempunyai ibu bapa mahupun penjaga yang sentiasa bersama mereka di dalam aktiviti pembelajaran.


4. Meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak

Penglibatan ibu bapa dapat meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak terutama sekali dari aspek komunikasi, pergaulan dengan rakan-rakan dan interaksi dengan guru. Kanak-kanak yang berumur lima hingga enam tahun yang baru mengikuti pendidikan awal kanak-kanak kebanyakannya sukar menyesuaikan diri dengan suasana baru mereka. 

Oleh itu, dengan penglibatan ibu dan ayah mereka sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat dan keyakinan diri ke dalam diri mereka untuk perkembangan sosial anak-anak yang sihat.


5. Lebih memahami kurikulum


Ibu bapa yang terlibat dalam aktiviti pembelajaran kanak-kanak juga akan lebih memahami kurikulum dan aktiviti yang dijalani dan dipelajari oleh kanak-kanak. Melalui penyertaan ini, sedikit sebanyak ibu bapa dapat memahami kurikulum yang diajar di prasekolah kanak-kanak dan secara tidak langsung menyedari akan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak kepada mereka walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman.

 
Pendidikan awal kanak-kanak bertujuan membantu ibu bapa untuk membantu perkembangan kanak-kanak secara holistik. Sekiranya anda mahu anak anda bijak dan berjaya dalam pendidikan, libatkanlah diri anda di dalam dunia pendidikan anak-anak anda!

Jika anak anda terbangun segala potensi diri mereka, anda juga yang turut tumpang berbangga. Jadi, jangan malas-malas ya untuk kebaikan anak-anak anda. 


Disediakan oleh,

Cik Nurfilzahhanna Ramlee,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.


Wednesday, 21 February 2018

Kongsi Nota: Kaunseling Kerjaya- Cik Syazwani Jailani













Tuesday, 20 February 2018

Eh, betul ke ibu yang menyusu tidak boleh mengambil makanan yang pedas? - Syarfa' Husna Mohamad Semsudin


"Jangan makan pedas-pedas masa mengandung, nanti bila lahir, badan-badan baby ada bintik merah." Kata seorang kawan. 
Apabila sudah bersalin, masa menyusukan anak.
"Jangan makan pedas, nanti bayi sakit perut." Tambah lagi seorang kenalan. 
Eh, betul ke ibu yang menyusu tidak boleh mengambil makanan yang pedas? 
Yelah, takut tiba-tiba baby jadi panas dan rasa pedas pula bila menyusu badan dengan ibunya. 
*****

Haaaa, admin nak cerita sikit. 
Walaupun sesetengah artikel ada menyatakan ibu menyusu tidak boleh makan makanan pedas, namun beberapa pakar lain mempunyai pendapat yang berbeza.
Dr. Jennifer Wider, Penasihat Perubatan Persatuan Penyelidikan Kesihatan Masyarakat berkata, masih belum ada bukti ilmiah yang menyatakan makanan pedas akan memudaratkan atau memberi kesan buruk kepada ibu atau bayi yang menyusu. Menurut beliau, pola pemakanan ibu menyusu akan menentukan jenis pemakanan bagi bayi tersebut apabila besar nanti. 

Selain itu, ibu-ibu yang suka makan pelbagai jenis makanan termasuk makanan pedas juga boleh bantu meningkatkan deria rasa bayi mereka. Ini adalah salah satu cara untuk mengingatkan orang ramai bahawa susu ibu tidak dirumuskan secara langsung melalui saluran pencernaan tetapi daripada darah ibu itu sendiri.

Jadi, jika ibu bayi penggemar sayur-sayuran jenis cruciferous seperti lobak, brokoli, kobis dan taugeh yang kaya dengan asid folik, vitamin C, E dan K, nutrien itu akan ditarik kedalam susu ibu, tetapi komponen-komponen yang bergas tidak akan memberi kesan kepada bayi tersebut.

Selepas ibu membahagikan nutrien makanannya kepada beberapa bahagian seperti protin, lemak, karbohidrat, mineral dan air, ia akan dialihkan ke tempat lain dalam badan.  Sistem circulator badan kemudian membawa nutrien itu ke kelenjar susu bersama dengan rasa dan aromanya sekali.

Proses pengalihan nutrien ini juga berlaku semasa kehamilan. Walaupun bayi ketika itu berada di dalam rahim ibu, mereka masih menyerap apa yang ibunya makan melalui aliran darah dan cecair amniotik. Jadi, jika rutin diet ibu itu mengandungi makanan pedas semasa kehamilannya, kemungkinan besar bayi itu akan terbiasa dengan rasa yang kuat.

Bayi yang diberi susu ibu biasanya lebih mudah untuk diberi makan kerana mereka sudah melalui pengalaman merasakan pelbagai jenis rasa yang berbeza pada awal peringkat hidup mereka, sedangkan bayi yang hanya diberikan susu formula pula mempunyai rasa dan pengalaman yang tidak bervariasi.
Ibu yang menyusu secara tidak langsung telahpun mendedahkan bayi mereka kepada kepelbagaian rasa berbeza yang dapat dikendalikan dengan baik.
Jadi ibu-ibu, makanan pedas tidak salah. Tetapi berpada-padalah kalau tidak, anda sendiri yang berlari ke tandas....



Disediakan oleh, 

Puan Syarfa' Husna Mohamed Semsudin,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson. 

Monday, 19 February 2018

"Anak saya selalu buat saya sakit kepala! Dalam sehari dua mainan yang baru dibeli hancur dan diketepikan begitu sahaja walaupun mainan tersebut mahal. " Anda rasa, anda ada masa sakit kepala? Jom ikuti tips ini atasi karenah anak suka rosakkan barang.- Nur Filzahhanna Ramlee

"Anak saya selalu buat saya sakit kepala! Dalam sehari dua mainan yang baru dibeli hancur dan diketepikan begitu sahaja walaupun mainan tersebut mahal.


Bukan setakat itu sahaja, pantang saya hilang dari pandangan dia walaupun sekejap, habis rumah dikerjakan sampai macam kapal pecah! Semua benda nak dipunggahnya. " Mengeluh si ibu mengenangkan karenah anak. 


Ada tak jalan penyelesaian untuk saya? Admin, kongsikan tips di bawah ini untuk bantu ibu-ibu yang mengalami situasi serupa:-



  • Sentiasa selia


Diibaratkan seperti kucing dan tikus. Apabila kucing tertidur, tikus mula menari di depan kucing. Jadi kita sebagai ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak-anak kita dan menunggu sehingga anak-anak di tempat tidur. Seorang anak yang tidak diselia, pasti akan mencari pelbagai cara untuk menghiburkan dirinya sendiri. Oleh itu, penyeliaan adalah penting untuk menangkis tingkah laku yang suka merosakkan ni!


  • Akibat 


Hukum fizik ketiga Newton menyatakan bahawa setiap tindakan mempunyai reaksi yang sama dan bertentangan. Jadi, jika si anak menunjukkan tingkah laku yang merosakkan, kita perlu mencari hukuman yang bersesuaian untuk menyesuaikan diri anak dengan sikapnya. Sebagai contoh, si anak mengoyakkan kertas sehingga bertaburan di atas lantai, maka si anak perlu mengutip setiap sisa kertas di atas lantai sehingga betul-betul kemas di samping tiada lagi penawaran kertas pada hari berikutnya.



  • Aktiviti


Sebagai seorang kanak-kanak, ibu bapa saya tidak pernah menjadualkan kegiatan seharian saya dan adik beradik saya. Namun, bagi anak yang suka memusnahkan rumah ketika kita kurang pengawasan, maka ia adalah perlu jika kita mahu rumah kita masih dalam keadaan yang sama! Beberapa aktiviti hebat boleh kita masukkan di dalam jadual anak-anak termasuklah aktiviti bermain di luar mahupun di dalam rumah sahaja seperti melukis, mewarna ataupun aktiviti menyelesaikan masalah.


  • Kebosanan 


Anak yang bosan adalah anak yang suka merosakkan barang mahupun suasana. Bagi mengelakkan si anak kebosanan sehingga mereka mencari sesuatu untuk menghilangkan bosan mereka adalah melalui aktiviti berfaedah seperti contoh di atas.



  • Pemisahan 


Jika anda mempunyai anak berusia kurang dari tiga tahun, maka pintu keselamatan yang memisahkan bahagian rumah anda adalah cara yang terbaik untuk menetapkan sempadan untuk si kecil. Manakala bagi anak yang sudah lebih tiga tahun, mereka perlu ditegaskan tentang kawasan atau bahagian mana di dalam rumah yang mereka tidak dibenarkan bermain. Begitu juga dengan peralatan yang mereka mungkin akan main!


Anda rasa, saya ada masa sakit kepala?

Semoga tips di atas membantu anda mengawal anak-anak yang suka 'mengemas' rumah sehingga terbalik ini!



Disediakan oleh, 

Cik Nur Filzahhanna Ramlee,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson

Thursday, 15 February 2018

Tinta Dekan: "Adik minta maaf …'- Puan Hidayah Tokiman



“Langgar dan buat tak tahu je, hiss geram betul,” rungut ibu didalam hati.

Pernah ke ibu bapa mengalami situasi begini? Mahu diam atau ditegur?

Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Seorang kanak-kanak harus dibiasakan dan diajarkan untuk mengucapkan kata maaf setiap kali melakukan kesalahan sehingga ianya mampu menjadi kelaziman tanpa perlu disuruh-suruh.

“Alaaaa, biarkan je. Kecil lagi. Dah besar nanti tahulah tu.” Suara lain pula memujuk rasa.

Ibu-ibu pernah mengalami situasi ini?

Ingat!

Jika tingkah laku tidak dididik dari kecil maka akan terbawa hingga dewasa yang akan mempengaruhi perkembangan sosialnya tanpa kita sedari.

Selain itu, ia juga mempengaruhi emosinya hingga ke tahap merasakan diri mereka tidak bersalah dalam semua perkara.

Bahayakan?

Berikut tiga panduan asas mendidik anak kecil dengan ucapan maaf :


1.     Bahasa badan :

Lazimnya bila kita sedar yang kita telah melakukan kesalahan; ekspresi muka, kontrak mata dan postur badan boleh berubah. Demikian itu, gunakan bahasa badan ketika meminta maaf. Lazimi anak untuk meminta maaf sambil bersalaman sambil mengucapkan “adik minta maaf mama”.

Sebagai ibu, terimalah kemaafan itu dan tegaskan “janji, jangan buat lagi” sambil ibu atau bapa memeluk mahupun mencium anak. Di situlah terdidiknya perkembangan emosi kanak-kanak.
 
 
2.     Ibu bapa model anak :

Ibu bapa jangan malu atau berasa tidak perlu meminta maaf pada anak. Sebaliknya bersikap matang dan tidak ada salahnya jika benar ibu bapa yang salah maka mengaku dan ucapkanlah maaf kepada anak “mama minta maaf adik, mama lupa lah nak belikan barang yang adik kirim tu, nanti hujung minggu kita pergi beli yee”.
 
Jika ibu bapa bersikap begini tidak mustahil dalam persekitaran lazim anak-anak akan lebih mudah meminta dan menerima maaf tanpa perlu sebarang desakan.
 
 
3.     Berikan pujian dan terangkan :

 
Berikan pujian setelah anak meminta maaf juga terangkan mengapa tidak boleh bertingkah laku sebegitu.
 
Secara ringkas terangkan kepada anak-anak dalam bahasa yang mudah kesan kepada tingkah laku yang tidak baik “adik nakal-nakal tak ada orang nak kawan adik tau”.
 
Ingatkan juga supaya tidak mengulangi tingkah laku yang sama.


Justeru, latihlah anak untuk meminta maaf dari seawal usia mereka demi perkembangan masa depan anak yang positif. Ditegaskan juga ibu bapa adalah model terbaik bagi anak-anak, maka tunjukkanlah tingkah laku yang sebaiknya. Maaf tanpa perlu dipaksa-paksa.


Disediakan oleh:

Hidayah Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Wednesday, 14 February 2018

Lima (5) Hikmah Penglibatan Ibu Bapa Dalam Aktiviti Tadika Dan Taska- Nur Akmar Mohd Arif


Penglibatan boleh ditakrifkan sebagai usaha bersama-sama atau saling bantu membantu antara dua pihak atau beberapa pihak. Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan awal kanak-kanak dapat meneguhkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak serta membantu kejayaannya.


Ibubapa turut serta lawatan sambil belajar Taska Cahaya Tasnee di Pusat Ikan Hiasan


Jom ikuti lima hikmah penglibatan ibu bapa dalam aktiviti tadika dan taska:

  1. Kegembiraan kepada kanak-kanak

Pastinya kanak-kanak akan berasa gembira akan kehadiran dan penglibatan ibu bapa dalam apa sahaja aktiviti yang dianjurkan oleh pihak tadika dan taska. Kanak-kanak akan rasa dihargai dan selamat sepanjang penglibatan mereka dalam aktiviti tadika/taska kerana kehadiran orang yang mereka percaya dan sayangi  di sisi mereka selain guru. Menurut Harlow & Zimmmerman, kanak-kanak memerlukan sentuhan dan perdampingan orang dewasa. Jadi, kehadiran ibu bapa dalam aktiviti tadika/taska dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan diri mereka untuk meneroka dalam persekitaran yang selamat.


  1. Mengeratkan hubungan ibu bapa, guru dan kanak-kanak

Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti tadika/taska pastinya dapat mengeratkan hubungan kekeluaragaan antara ibu bapa, anak-anak dan guru. Secara tidak langsung, program yang dianjurkan oleh pihak tadika/taska memberi peluang kepada ibu bapa untuk mengetahui dan memahami perkembangan anak mereka di tadika/taska selain dapat beramah mesra dan mengenali pendidik anak mereka dengan lebih rapat. Melalui program tadika, ibu bapa dapat melihat sendiri pergaulan anak mereka dengan rakan sebaya dan serta menilai kualiti pengurusan pihak tadika/taska terhadap keperluan kanak-kanak sepanjang aktiviti dijalankan.


  1. Menambah pengetahuan dan kemahiran

Penglibatan ibu bapa secara tidak langsung memberi peluang ibu bapa dan guru saling berbincang dan berkongsi pendapat mengenai perkembangan anak-anak di tadika dan taska. Ibu bapa dan guru boleh bertukar pandangan yang membina bagi membantu dalam meningkatkan pencapaian kanak-kanak dan seterusnya penambahbaikan kualiti pengurusan tadika/taska.


  1. Mempromosi tadika/taska

Program yang dijalankan oleh pihak tadika secara tidak langsung dapat menarik perhatian masyarakat apabila dihebahkan di laman sosial baik melalui media cetak, media elektronik atau pun ‘mouth to mouth’ melalui peranan ibu bapa Sokongan dan kehadiran ibu bapa terhadap program yang dianjurkan juga dapat memberi pengaruh besar dan daya tarikan kepada pihak luar untuk mengetahui latar belakang tadika/taska serta secara tidak langsung merupakan strategi dalam mempromosikan tadika/taska tersebut.

  1. Motivasi kepada staf tadika/taska

Sokongan ibu bapa dalam aktiviti tadika/taska dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan guru terhadap terhadap ibu bapa serta pembangunan tadika/taska itu sendiri. Guru akan lebih bermotivasi dan seronok dalam mengendalikan kanak-kanak sepanjang berlangsungnya program, juga lebih berkreativiti dalam mengadakan program yang lebih menarik di masa akan datang!



Disediakan oleh,

Cik Nur Akmar binti Mohd Arif,
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, 
Kolej UNITI Port Dickson.



Monday, 12 February 2018

Slot Bersama Ustazah Sara- "Mak saya yang suruh……."


Seperti biasa, saya sering bertanyakan soalan kepada pelajar baru yang mendaftar program Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPSIR) Kolej UNITI Port Dickson.

"Masuk belajar atas kehendak sendiri atau terpaksa kerana pilihan orang lain?" Tanyaku kepada pelajar.

Mengapa saya bertanyakan soalan demikian?

Supaya saya dapat fikirkan  cara untuk bangkitkan semangat belajar mereka.


***

Menuntut ilmu adalah jihad
Ini kisah Syahidah.

Salah seorang pelajar Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah, Kolej UNITI Port Dickson.

Sekarang sudah di semester dua. Alhamdulillah. Syahidah pernah memaklumkan saya bahawa dia sangat meminati aktiviti lasak walaupun jika lihat pada penampilan,dia seorang yang sopan santun dan lemah lembut.


Pada mulanya kehadiran ke Kolej UNITI Port Dickson bukan atas kehendak sendiri.  

"Mak saya yang suruh ambil bidang pendidikan agama ni...." jawabnya. 


Namun, Alhamdulillah sehingga sekarang beliau masih terus berusaha menggali ilmu dan menunjukkan prestasi yang baik.


Semoga Syahidah terus bersemangat berusaha tanpa putus asa.

Jadilah seumpama Ainul Mardhiah sangat tegas sepanjang hidupnya tapi penuh dengan kelembutan dan kasih sayang.




Ustazah Nursara Yaacob merupakan Ketua Program bagi Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah Kolej UNITI Port Dickson. 

"BA-BA....TA-TA....BA-BA...TA-TA...." Wow! Seronoknya anak mama dah pandai bercakap. Ketahui perkembangan bahasa kanak-kanak dari 0 hingga12 bulan- Noor Badriah Zolkefree

Ihsan imej: Pinterest.com

Perkembangan bahasa kanak-kanak dapat dilihat daripada segi kemampuan menerima, memahami dan melahirkan semula. Melalui perkembangan bahasa yang semakin bertambah, kanak-kanak akan lebih cekap dalam perbualan.

Terdapat beberapa peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak, antaranya ialah:

  • PERINGKAT MEMBEBEL (MENGAGAH) 0-6 BULAN.


Bayi akan membunyikan semua bunyi yang terdapat dalam semua bahasa dunia.Bunyi-bunyi yang dikeluarkan adalah bunyi-bunyi linguistik nurani. Ini kerana bayi sedang bermain-main dengan alat-alat ucapannya.

  • 6 BULAN KE SETAHUN.


Mengatur pertuturannya menurut pola sukukata yang lebih teratur. Ucapan sukukata ini telah mula mempunyai intonasi menurun mahupun menaik.



Oleh yang demikian, ibu bapa harus memainkan peranan dan sentiasa peka dalam memastikan perkembangan bahasa kanak-kanak berkembang mengikut peringkat umur mereka.

Ibu bapa perlu bercakap dengan anak-anak walaupun anak-anak tidak dapat membalasnya dengan kata-kata tetapi mereka dapat memahaminya cuma mereka akan balas dengan cara mereka seperti senyuman dan lain-lain. 



Disediakan oleh,


Cik Noor Badriah binti Zolkefree, 
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Wednesday, 7 February 2018

Semua Orang Ada 24 Jam, Yang Membezakan Bagaimana Menguruskan Masa itu dengan Baik. Jom Ikuti Tips Ini untuk Bantu Pengurusan Waktu Anda sebagai Pelajar- Lina Kiam

Ihsan imej: Pinterest.com
MASA.
Masa Itu Emas. 
Pepatah Arab,yang berbunyi “Masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia   akan memotong kita!” 
Begitulah sifat masa, yang pantas berlalu, tajam potongannya, halus gerakannya dan seni kawalannya, ibarat sebilah pedang yang tajam, di tangan seorang pendekar yang hebat. 
Setiap orang mempunyai 24 jam sehari. Tidak terlebih atau terkurang walau sesaat. Namun begitu, masih ramai yang kecundang dalam mengurus masa sendiri. 
Golongan pelajar terutamanya.
Untuk itu,  saya  kongsikan kaedah pengurusan masa pelajar yang efektif dan yang lebih penting, praktikal. 
Secara umum, apabila kita perhatikan pelajar yang cemerlang, kebiasaannya mereka bijak mengurus masa dan aktiviti harian mereka.
B.Eugene Griessman, pengarang buku Time Tactics of Very Successful People mencadangkan beberapa taktik penting bagi mengurus masa. Antaranya;
  • Tentukan keutamaan.
-        Keutamaan pelajar adalah semua hal yang berkaitan dengan pelajaran.

-       Pelajar wajib mengetahui subjek yang diambil, setiap tugasan dan tarikh-tarikh penting seperti penghantaran tugasan, kuiz dan peperiksaan akhir.
  • Rancang masa hadapan dan tulis rancangan itu.
-        Apa yang perlu pelajar lakukan atau siapkan untuk hari esok, minggu depan dan bulan depan.
  • Kuasai jalan pintas. Sebagai contoh, kuasai kemahiran membaca dengan laju, menulis dengan cepat dan sebagainya.
  • Berikan tumpuan.
-        Fokus ketika pensyarah memberi penerangan di dalam kelas.

-        Sekiranya ‘Tidak Tahu’, ‘Tanya’. Buang ego.
  • Belajar berkata `maaf, tidak boleh' kepada jemputan atau pekerjaan yang tidak penting.
-  Bagi pelajar, hati-hati dengan godaan daripada kawan-kawan yang ajak melepak.

-        Godaan yang kedua : TELEFON (media sosial).
  • Jangan menangguhkan kerja.
-        Bertangguh itu PENCURI MASA.

Ramai orang yang boleh memiliki jam tangan yang tinggi harganya,
Tetapi tidak ramai yang boleh menepati MASA yang berharga. (Tun Dr Mahathir Mohamad)