Kebanyakan ibu bapa menganggap bahawa
tugas memberikan pendidikan ke atas anak-anak selesai setelah anak-anak di
hantar ke sekolah.
Sedarkah anda bahawa fahaman ini adalah salah sama
sekali!
Ibu bapa dan penjaga tidak seharusnya meletakkan segala beban kepada
bahu guru atau pendidik di tabika atau taska tempat anak dihantar belajar.
Jom BONGKAR mengapa ibu bapa perlu lebih peka akan pendidikan anak-anak.
1. Kesinambungan
Sekiranya anak hanya mendapat pendidikan
di sekolah sahaja, apa yang anak-anak pelajari di sekolah tidak akan berterusan
dan bersifat jangka pendek sahaja. Sebenarnya dengan tambahan
sedikit usaha, kita mampu melahirkan anak-anak yang cemerlang intelek dan
gemilang keperibadiannya.
Proses pembelajaran adalah sesuatu yang berterusan
dan di rumah, kitalah yang menjadi guru kepada anak-anak. Pembelajaran secara 'informal' di rumah akan mengukuhkan pengetahuan yang diperolehi di sekolah. Ibubapa wajar menjadi inspirasi dan suri teladan kepada anak-anak melalui setiap perbuatan yang kita
lakukan.
2. Sokongan
Tanpa sokongan dari ibu dan ayah,
anak-anak akan merasakan mereka tidak dihargai dan tidak bersemangat untuk
meneruskan pembelajaran. Sokongan yang paling mudah dapat diberi adalah seperti
galakan dan sokongan moral.
Sekiranya anda tidak dapat memberikan sokongan ke
atas anak, hatta hal yang sekecil ini, usahlah bermimpikan anak-anak mencapai prestasi pembelajaran yang cemerlang. Kecemerlangan anak-anak adalah berkat sokongan ibubapa juga.
3. Sedar tahap anak
Dengan penglibatan aktif ibu bapa di
dalam pendidikan anak-anak di rumah mampu memberikan kesedaran kepada mereka di
mana tahap anak-anak mereka di dalam pendidikan.
Melaluinya, ibu bapa dapat
mengetahui tahap pendidikan anak-anak mereka dan seterusnya dapat bersama-sama
guru mencari jalan menyelesaian yang dapat membantu meningkatkan tahap
pembelajaran anak-anak mereka.
Manakala ibu bapa yang tidak mengambil tahu
tentang tahap pembelajaran anak-anak, akan menyebabkan anak mereka ketinggalan
berbanding dengan anak-anak yang mempunyai ibu bapa mahupun penjaga yang
sentiasa bersama mereka di dalam aktiviti pembelajaran.
4. Meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak
Penglibatan ibu bapa dapat meningkatkan
keyakinan diri kanak-kanak terutama sekali dari aspek komunikasi, pergaulan
dengan rakan-rakan dan interaksi dengan guru. Kanak-kanak yang berumur lima
hingga enam tahun yang baru mengikuti pendidikan awal kanak-kanak kebanyakannya
sukar menyesuaikan diri dengan suasana baru mereka.
Oleh itu, dengan
penglibatan ibu dan ayah mereka sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat dan
keyakinan diri ke dalam diri mereka untuk perkembangan sosial anak-anak yang sihat.
5. Lebih memahami kurikulum
Ibu bapa yang terlibat dalam aktiviti
pembelajaran kanak-kanak juga akan lebih memahami kurikulum dan aktiviti yang
dijalani dan dipelajari oleh kanak-kanak. Melalui penyertaan ini, sedikit
sebanyak ibu bapa dapat memahami kurikulum yang diajar di prasekolah kanak-kanak
dan secara tidak langsung menyedari akan kepentingan pendidikan awal
kanak-kanak kepada mereka walaupun mereka tinggal di kawasan
pedalaman.
Pendidikan awal kanak-kanak bertujuan
membantu ibu bapa untuk membantu perkembangan kanak-kanak secara holistik.
Sekiranya anda mahu anak anda bijak dan berjaya dalam pendidikan, libatkanlah
diri anda di dalam dunia pendidikan anak-anak anda!
Jika anak anda terbangun segala potensi diri mereka, anda juga yang turut tumpang berbangga. Jadi, jangan malas-malas ya untuk kebaikan anak-anak anda.
Disediakan oleh,
Cik Nurfilzahhanna Ramlee,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.
0 comments:
Post a Comment