Pages

Thursday, 15 February 2018

Tinta Dekan: "Adik minta maaf …'- Puan Hidayah Tokiman



“Langgar dan buat tak tahu je, hiss geram betul,” rungut ibu didalam hati.

Pernah ke ibu bapa mengalami situasi begini? Mahu diam atau ditegur?

Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Seorang kanak-kanak harus dibiasakan dan diajarkan untuk mengucapkan kata maaf setiap kali melakukan kesalahan sehingga ianya mampu menjadi kelaziman tanpa perlu disuruh-suruh.

“Alaaaa, biarkan je. Kecil lagi. Dah besar nanti tahulah tu.” Suara lain pula memujuk rasa.

Ibu-ibu pernah mengalami situasi ini?

Ingat!

Jika tingkah laku tidak dididik dari kecil maka akan terbawa hingga dewasa yang akan mempengaruhi perkembangan sosialnya tanpa kita sedari.

Selain itu, ia juga mempengaruhi emosinya hingga ke tahap merasakan diri mereka tidak bersalah dalam semua perkara.

Bahayakan?

Berikut tiga panduan asas mendidik anak kecil dengan ucapan maaf :


1.     Bahasa badan :

Lazimnya bila kita sedar yang kita telah melakukan kesalahan; ekspresi muka, kontrak mata dan postur badan boleh berubah. Demikian itu, gunakan bahasa badan ketika meminta maaf. Lazimi anak untuk meminta maaf sambil bersalaman sambil mengucapkan “adik minta maaf mama”.

Sebagai ibu, terimalah kemaafan itu dan tegaskan “janji, jangan buat lagi” sambil ibu atau bapa memeluk mahupun mencium anak. Di situlah terdidiknya perkembangan emosi kanak-kanak.
 
 
2.     Ibu bapa model anak :

Ibu bapa jangan malu atau berasa tidak perlu meminta maaf pada anak. Sebaliknya bersikap matang dan tidak ada salahnya jika benar ibu bapa yang salah maka mengaku dan ucapkanlah maaf kepada anak “mama minta maaf adik, mama lupa lah nak belikan barang yang adik kirim tu, nanti hujung minggu kita pergi beli yee”.
 
Jika ibu bapa bersikap begini tidak mustahil dalam persekitaran lazim anak-anak akan lebih mudah meminta dan menerima maaf tanpa perlu sebarang desakan.
 
 
3.     Berikan pujian dan terangkan :

 
Berikan pujian setelah anak meminta maaf juga terangkan mengapa tidak boleh bertingkah laku sebegitu.
 
Secara ringkas terangkan kepada anak-anak dalam bahasa yang mudah kesan kepada tingkah laku yang tidak baik “adik nakal-nakal tak ada orang nak kawan adik tau”.
 
Ingatkan juga supaya tidak mengulangi tingkah laku yang sama.


Justeru, latihlah anak untuk meminta maaf dari seawal usia mereka demi perkembangan masa depan anak yang positif. Ditegaskan juga ibu bapa adalah model terbaik bagi anak-anak, maka tunjukkanlah tingkah laku yang sebaiknya. Maaf tanpa perlu dipaksa-paksa.


Disediakan oleh:

Hidayah Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

0 comments:

Post a Comment