Pages

Wednesday, 7 February 2018

KERJA 'BIASA-BIASA' PUN BOLEH BERJAYA JIKA COCOK DENGAN PERSONALITI SESEORANG- Noor Badriah Zolkefree

Ada orang buat kerjaya yang tidak sesuai dengan personaliti dirinya. Kerana itu, kita boleh lihat mereka tidak atau kurang menyerlah kerana tidak ada 'passion' dalam diri melakukan kerja yang digalas. 

Lain pula, ada orang begitu 'passionate' buat sesuatu kerja yang diberikan kerana sesuai dengan personalitinya. Yang menariknya, mereka berjaya kerana kerjaya itu cocok dengannya.


Dalam institusi pendidikan termasuklah sekolah, terdapat kaunselor yang akan membantu pelajar untuk mengenalpasti personaliti yang kemudiaanya disesuaikan dengan kerjaya yang bersesuaian. Ia dipanggil bimbingan kerjaya.


Bidang yang mengkaji personaliti dan memberikan perkhidmatan rundingan dan nasihat ini dipanggil sebagai psikologi kaunseling. Ia boleh membantu bagaimana memahami diri sendiri agar kita mudah untuk memilih bidang kerjaya yang sesuai dengan diri kita.

Mengapa pakar psikologi kaunseling diperlukan dalam pemilihan kerjaya:

1) Setiap individu adalah berbeza dari segi sosioekonomi, aras motivasi dan sahsiah
2) Berbeza dari segi pergaulan dan penampilan
3) Berbeza dari segi minat dan kemampuan

Bagi memudahkan dan mencari jalan penyelesaian, individu akan merujuk kepada pakar psikologi kaunseling untuk memudahkan proses pemilihan kerjaya yang cocok dengan personalitinya. Kerana itu, untuk profesion perguruan dan kerjaya melalui Suruhanya Perkhidmatan Awam terdapat satu bahagian penilaian bagi mengenal personaliti seseorang pemohon samaada berkelayakan atau tidak. 


Pakar bidang psikologi kaunseling membantu individu tersebut dengan melalui proses-proses berikut sebelum memohon kerjaya yang sesuai:

1) Membuat sesi kaunseling
2) Membuat beberapa ujian psikologi seperti ujian personaliti dan ujian kerjaya
3) Perbincangan mencari jalan penyelesaian

Oleh itu, setiap individu perlu mengenal pasti apa yang diminati dan memahami diri agar mudah untuk membuat keputusan dalam pemilihan kerjaya.

Dengan berjumpa pakar psikologi kaunseling maka anda akan nampak dengan lebih jelas dalam membuat pemilihan kerjaya yang tepat. 


Disediakan oleh,

Cik Noor Badriah binti Zolkefree,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, 
Kolej UNITI Port Dickson.

Tuesday, 6 February 2018

SLOT BERSAMA USTAZAH SARA: ' Visi dan Misi Pendidikan Islam Menurut Rasulullah s.a.w'

“Bacalah dengan menyebut nama TuhanMu yang menciptakan . Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, bacalah, dan TuhanMulah yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui ( surah Al Alaq : 1-5 )





Seiring dengan tujuan  Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah ( DPISR ) Kolej UNITI Port Dickson diwujudkan supaya dapat melahirkan generasi yang maju ilmu dunia dan akhirat serta menzahirkan akhlak yang mulia dan terpuji .


Sedikit perkongsian berkaitan dengan visi dan misi pendidikan Islam mengikut Rasulullah s.a.w :

VISI PENDIDIKAN ISLAM  MENGIKUT RASULULLAH S.A.W


-        Mewujudkan rahmat bagi manusia seluruh alam.


10 MISI PENDIDIKAN ISLAM MENGIKUT RASULULLAH S.A.W

1.      Meningkatkan semangat pada seluruh manusia untuk terus belajar dan mengajar.
2.      Melaksanakan kegiatan belajar dan mengajar sepanjang hayat.
3.      Menuntut kefardhuan bagi setiap manusia untuk belajar.
4.      Melaksanakan didikan kepada anak-anak dari kecil.
5.      Mengeluarkan manusia dari kejahilan dan memimpin kearah kebenaran.
6.      Membanteras sikap jahiliyyah.
7.      Memperbaiki rohani dan jasmani setiap manusia.
8.      Memperbaiki keadaan masyarakat dalam semua bidang.
9.      Mengingatkan manusia agar tidak melakukan kerosakan di muka bumi.
10.   Mengangkat martabat dan darjat manusia.


Semoga kita sama- sama dapat mendidik diri menjadi lebih baik dan berusaha untuk menyampaikan kepada yang lain. Insyaallah.


Disedikan oleh,

Ustazah Nursara Yaacob,
Ketua Program DPISR,
Kolej UNITI Port Dickson.

Monday, 5 February 2018

Tips Bercakap Dengan Anak Perempuan Dan Anak Lelaki- Siti Fatimah Kamaruddin

Ihsan imej: Pinterest.com
Kebanyakkan ibu bapa hari ini berasa tertekan apabila berdepan dengan karenah anak-anak. Ada sahaja hal yang membuatkan ibu bapa berasa gatal untuk mencubit, tarik telinga atau pulas perut sebagai habuan buat anak yang tidak mendengar kata.

“Ni dah berapa kali dah ibu cakap tapi tak dengar-dengar nak ibu cakap bahasa apa lagi baru nak faham."

"Dah berbuih mulut ni bercakap tapi tak dengar-dengar juga." Marah si ibu.


Pada tanggapan ibu bapa, anak-anak ini memang tidak faham dan sengaja tidak mahu faham apa yang diperkatakan oleh mereka.

Maka daripada perkara inilah keluarnya segala bentuk suara daripada yang tinggi sehinggalah ke tahap bunyi petir. 


Tapi apa reaksi anak-anak?


Masih sama seperti itu. 

Jadi sebagai ibu bapa mahupun guru-guru perlu tahu apa teknik yang sesuai untuk anak-anak ini mendengar kata.

Teknik untuk anak-anak lelaki mendengar kata adalah dengan melebihkan bercakap ke arah “telinga kiri”.

Kenapa? 

Hal ini kerana kajian menunjukkan orang lelaki adalah jenis auditori dan mengguna sebelah telinga sahaja. 

Jadi perbetulkan teknik kita berkomunikasi dengan anak lelaki. Insya Allah setiap butir percakapan kita akan di dengar dengan baik.

Manakala dengan anak perempuan sebaiknya kita bercakap terus ke muka mereka. Mata kita perlu memandang tepat ke tengah kening kerana disitula terletaknya titik fokus mereka. 


Mengapa begitu?

Hal ini kerana kanak-kanak perempuan suka apabila orang yang bercakap dengan mereka saling berpandangan atau ada “eye contact”. 

Kajian juga menunjukkan orang perempuan lebih bersifat visual berbanding orang lelaki. 


Oleh itu ibu bapa mahupun guru-guru perlu pandai bermain dengan psikologi apabila berdepan dengan karenah anak-anak dengan mengubah cara kita berkomunikasi dengan mereka. 


Disediakan oleh,

Puan Siti Fatimah binti Kamaruddin,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.


Kenapa tidak cuba menjadi Usahawan Taska/ Tadika?- Syarah Atiqah Sudarma



Menjadi seorang guru selalu diimpikan oleh mereka yang mengambil bidang pendidikan awal kanak-kanak. Namun apa salahnya dalam menjadi seorang guru anda berusaha untuk menjadi seorang usahawan yang bergiat dalam perniagaan taska atau tadika.


“ SESUNGGUHNYA 9/10 DARIPADA SUMBER REZEKI TERDAPAT DI DALAM PERNIAGAAN" - RASULULLAH S.A.W.


Berikut merupakan ciri-ciri seorang usahawan yang berjaya:

1. Mempunyai keinginan dan kesungguhan yang tinggi.
2. Mempunyai niat yang betul.
3. Mempunyai ilmu dan kemahiran.
4. Bertanggungjawab.
5. Berjimat dalam menggunakan sumber.
6. Mahir membuat keputusan yang tepat.
7. Berfikir jauh ke hadapan.
8. Mahir berkomunikasi.
9. Bersyukur dengan kejayaan.
10. Sentiasa menilai tindakan.


Kesimpulannya, menjadi seorang usahawan adalah satu perjalanan yang memerlukan lebih daripada kemahiran. Ia memerlukan keberanian, sifat ingin tahu dan kebijaksanaan untuk mencapai visi yang anda miliki untuk perniagaan anda.


Adalah penting bagi setiap usahawan untuk mempunyai pemacu yang kuat untuk mendorong maju ke hadapan dalam banyak situasi yang pelbagai.


Adakah anda mempunyai ciri-ciri yang diperlukan?

 Jika YA, andalah yang kami cari.

Ayuh sertai kami di Kolej UNITI Port Dickson.  Anda akan dibantu untuk mengendalikan perniagaan  anda sendiri kelak dengan pelbagai program yang bersifat keusahawanan! 



Disediakan oleh, 

Puan Syarah Atiqah binti Sudarma,
Pensyarah, 
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Rambang Mata Nak Beli Permainan untuk Si Manja Anda? Rasa Macam Nak Borong Satu Kedai? Ikuti Tips Ini Bantu Anda Berbelanja Secara Berhemat- Syarfa' Husna Mohamad Semsudin

Sumber Imej: Pinterest.com


“Abang, comelnyaaaaaa mainan nie...nak beli la. Eh, eh... Yang nie pun comel jugak. ‘cute’nyaaa...arghhhhhh, semua comellll... ambik semua lahhh...”


Wahhh, seronoknya rasa bila kaki kita mula melangkah masuk ke kedai barangan baby kan? Semuanya nak beli, tapi ingat dulu yea ibu-ibu, berbaloi ke jika kita borong semua mainan baby yang comel-comel tu? Mahal tu satu hal la nak membayar, anak-anak kita nanti nak ke main semua mainan yang kita beli tu?...eeeeiiii, membazir jer taw!


Bermain bukan semata-mata aktiviti yang boleh memberikan keseronokan pada anak-anak, malah penting juga untuk para ibu fikirkan waktu yang berkualiti  untuk bermain bersama anak mengikut peringkat umur bagi perkembangan otak bayi tersebut.



Eh, mainan baby pun nak kene beli ikut peringkat umur jugak ke?”


Mestilah puan-puan... 

Dah beli mahal-mahal tapi baby tak pandai main. Mesti rasa ralat kan?

Mungkin mainan yang kita beli terlalu sukar untuk mereka mencuba, silap-silap nanti anak-anak akan berasa marah dan cepat putus asa. 

Begitulah sebaliknya jika kita tersilap beli mainan yang terlalu mudah dan tidak mencabar minda anak-anak menyebabkan mereka tidak berminat untuk menyentuhnya. 

Haaa, lagi satu. Kita juga perlu hati-hati dalam memilih mainan anak-anak yang sesuai dengan usia mereka. 

Kebiasaannya, bayi cenderung untuk menggigit dan menghisap apa sahaja yang dipegangnya. Jadi, pastikan mainan yang dipilih selamat dan bebas dari bahan kimia.

Jom, baca tips menarik untuk memilih mainan bayi yang sesuai:


BAYI 0-3 BULAN


Seelok-eloknya bayi di usia ini didedahkan dengan perkara-perkara yang merangsang stimulasi deria. Mainan yang paling sesuai adalah yang mempunyai warna terang serta memiliki pelbagai tekstur dan bunyi.
Contoh: Patung lembut yang bergantung pada katil, ‘rattle’  yang boleh dipakai pada kaki atau tangan. 


BAYI 3-6 BULAN


Bayi pada usia ini memiliki kemahiran memegang dan menarik objek. Jadi, permainan yang selamat dipegang, boleh ditarik, diputar, berbeza tekstur dan mengeluarkan bunyi tentulah menarik minat mereka.
Contoh: Itik getah yang berbunyi,  soft toysbaby gymrattle  jenis ringan dan kebanyakan mainan fabrik amat sesuai.


BAYI 6-12 BULAN


Pada usia ini, bayi lebih berminat terhadap ‘soft book’. Mereka mula belajar memegang objek dengan cara yang lebih tepat terutamanya apabila sudah pandai duduk sendiri. 

Kebanyakan bayi mula tumbuh gigi pada usia ini. Jadi, pastikan mainan tersebut selamat untuk digigit dan lebih baik jika ia direka khas untuk melegakan gusi mereka.

Contoh : ‘Activity playmat’, ‘teething ring’,  blok mainan jenis besar dan lembut serta mainan fabrik seperti bola berloceng.

BAYI 9-18 BULAN


Kebanyakan bayi pada usia ini sudah boleh  bergerak dengan laju, tidak kiralah sama ada mengengsot, merangkak atau bertatih. mereka lebih tertarik kepada sesuatu yang bersifat interaktif.Pada usia ini juga bayi sudah mula memahami konsep penyelesaian masalah dan mereka punyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi.
Contoh: Telefon mainan, blok mainan kayu, shape sorter dan buku kulit keras jenis interaktif (boleh ditarik, pelbagai tekstur).


BAYI 18-24 BULAN


Waktu ini, bayi lebih berdikari dan ingin meneroka alam di sekitar mereka seluas-luasnya! Lebih-lebih lagi bayi yang boleh berjalan dan berlari, hampir semua benda mahu disentuhnya.
Contoh: ‘Play house’ atau khemah mainan, ‘tea party’‘puzzle’ mudah, set kereta api, alat tulis yang selamat.

 

BAYI 24-30 BULAN


Apabila anak kecil sudah pandai bercakap, mereka akan mula mempelajari lebih banyak perkara dan imej yang sentiasa dilihat berulangkali. Oleh itu, mereka mampu mengkategorikan objek mengikut saiz, warna atau bentuk. Memori mereka juga sedang terbentuk dengan aktif. Maka, tidak hairanlah sesetengah anak kecil di usia ini sudah bijak mengenal huruf dan nombor.
Contoh: Blok mainan yang boleh diketap (seperti Lego), set alat muzik, alat tulis, bola, mainan tunggangan setempat seperti kuda dan alat tolak seperti wagon.


bayi 30-36 BULAN


Pada usia begini, anak kecil sudah mula menggemari sesuatu karakter dan cuba mengulangi aksi perbuatan mahupun percakapan mereka. Mereka juga lebih bijak berimaginasi dan melakonkan watak yang dilihat dalam buku atau televisyen. Disebabkan itu, mereka mula minat untuk ‘pretend play’  iaitu permainan lakonan seperti main ‘masak-masak’, ‘cikgu-cikgu’, jadi superhero dan sebagainya.
Contoh mainan: Set alat memasak mainan, topeng superhero, set pakaian atau alat dandanan (topi, cincin, mahkota) dan set ‘toolbox’. Mainan tunggangan seperti basikal roda tiga dan motosikal elektrik.


Mudahkan ibu-ibu jika kita  ikut tips yang diberikan ini? 

Pembelian barang mainan untuk anak-anak juga akan lebih terurus, jimat dan  paling penting bermanfaat untuk perkembangan otak anak-anak kita. 


Okey, bye-bye!



Disediakan oleh,

Syarfa' Husna Mohamad Semsudin,
Pensyarah, 
Jabatan Pendidikan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson. 




Wednesday, 31 January 2018

Jika Anda Ada TIGA Tanda Ini, Anda Sedang Mengalami Tekanan Emosi- Nurul Huda Musa

Ihsan imej: Pinterest.com
Tekanan didefinisikan sebagai satu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya (Dr. David B. Posen). 

Tekanan emosi pula merupakan sesuatu yang memang tidak asing lagi bagi orang yang kerap menghadapi masalah. Tekanan emosi boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia. 


Berikut adalah 3 tanda anda sedang mengalami tekanan emosi:

1.        Gangguan tidur

Tidur merupakan keperluan biologi badan yang normal bagi setiap individu. Orang dewasa memerlukan 6-8 jam tidur sehari. Kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang manakala golongan warga emas memerlukan masa yang lebih pendek antara 4-5 jam sehari. Apabila sesorang mengalami tekanan emosi, kitaran rutin tidurnya akan terganggu dan ada kalanya sampai susah untuk melelapkan mata.


2.        Kesukaran mengawal emosi negatif

Seseorang itu akan cenderung untuk memindahkan emosi yang tidak stabil terhadap orang sekeliling mereka. Contohnya, suami yang baru pulang dari kerja membawa emosi negatif seperti sifat marah dan mempamerkan emosi tersebut kepada anak-anak dan isteri. Apabila kita sukar untuk mengawal emosi negatif tersebut, itu menandakan kita sedang mempunyai bebanan perasaan yang berlebihan.


3.        Tingkah laku obsesif kompulsif

Perilaku obsesif merujuk kepada minda yang was-was dan disertai dengan perasaan bimbang. Tingkah laku kompulsif pula ialah tingkah laku yang cenderung di lakukan berulang-ulang. Contohnya, seseorang individu itu sentiasa berulang kali memeriksa sama ada pintu keretanya telah dikunci atau tidak dan tetap akan was-was sama ada telah melakukannya atau tidak.



Oleh itu, setiap individu perlu menjaga kesihatan bukan hanya fizikal semata-mata tetapi kesihatan mental juga perlu di ambil berat. Tekanan emosi yang ringan akan membuka ruang kepada masalah mental yang lebih berat.

Berjumpa dengan pakar psikologi kaunseling adalah salah satu cara agar kita dapat menikmati kehidupan yang positif dan terhindar dari tekanan.




Disediakan oleh, 

Puan Nurul Huda Musa, 
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

PSIKOLOGI MANUSIA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM- Siti Fatimah Kamaruddin

Ihsan imej: Pinterest.com
Manusia asal kejadiannya adalah serba sempurna.


"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya [taqwim].
Kemudian kami kembalikan dia serendah-rendah peringkat orang yang rendah [safilin]. (Surah AT-Tin ayat 4-5)

Asal kejadian manusia adalah sempurna baik dari segi rohani, mental mahupun fizikal.

Kemudian apabila manusia melalui tempoh kehidupan maka mereka telah lalai dan sedikit-sedikit merosakkan rohaninya."

Maka amatlah rugi bagi meraka yang sebegini seperti firman Allah dalam Surah ASy-Syams ayat 10 bermaksud, 

Dan sesungguhnya hampalah bagi mereka yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya”

Manusia memerlukan ketiga-tiga aspek ini iaitu ‘spirit’, ‘body’ dan ‘mind’ bagi melahirkan diri insan yang kamil.

Jika manusia hanya gabungan minda dan fizikal maka samalah seperti sebuah komputer sahaja.

Jika manusia terdiri dari gabungan minda dan rohani maka samalah seperti jin yang mana tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Jika manusia itu terdiri daripada fizikal dan rohani maka ternyata samalah meraka dengan haiwan kerana haiwan tidak mempunyai akal tetapi hanya mempunyai otak sahaja.

Maka beringatlah semua bahawa ramai manusia yang bermasalah berpunca dari hati yang tidak terdidik, dari hati yang dibiarkan dengan kekotoran serta sifat tidak mahu melihat pendidikan secara syumul bagi menjernihkan hati.



Disediakan oleh,

Puan Siti Fatimah Kamaruddin,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.


ARTERA buat rumah saya bersepah hingga tak nampak lantai rumah!- Asyraf Azeman

BERSEPAH!

Begitulah respons yang diterima daripada Puan Lisa, salah seorang penjaga kanak-kanak tadika.

 “Sejak tadika mengikuti program ARTERAToys learning system ini. Habis dilambakkan ARTERA itu di tengah-tengah ruang tamu. Sudah begitu, tidak pernah lagi saya nampak anak ini buat kerja sekolah. Apa yang dibekalkan dari tadika, suruh bina macam-macam model, rumah lah lori lah. Sudah tidak jadi orang anak saya ni. Dengan ayahnya sekali duduk jemaah bercinta dengan ARTERA”..
                                               
Mengapa jadi begitu?
Sayalah Mr.Artera

§  Ya memang ARTERA ialah program pembelajaran melalui bermain. Ini kerana ARTERA meraikan lumrah kanak-kanak iaitu bermain. Apa juga kerja mereka. Sudah tentu bukan bermesyuarat membincangkan kadar kenaikan sen minyak yang lebih kerap berbanding yang turun.

§  ARTERA mempunyai 124 biji komponen pelbagai warna, bentuk dan saiz. Jadi itu yang membuatkan kanak-kanak bangga dengan kekayaan mereka. Bila dah kaya, lambakkan lah harta. Kira satu-satu, susun cantik-cantik.

§  Berdasarkan buku manual yang dibekalkan di dalam set ARTERA, kanak-kanak boleh membina sehingga 20 model dalam satu-satu masa. Kalau berdasarkan imaginasi kanak-kanak sendiri, bukan setakat rumah dan lori malah istana pun mereka boleh persembahkan.

§  Program ARTERA berintegrasi dengan Kurikulum standard prasekolah kebangsaan. Apa maknanya? ARTERA bukan mainan, tetapi dibina khusus bagi memenuhi keperluan silibus prasekolah. Menjadi seolah-olah buku teks, kanak-kanak diberikan tugasan di rumah menggunakan set ARTERA untuk disiapkan dan akan dibincangkan bersama guru dan rakan di tadika.

§  Bagaikan roti yang boleh dimakan oleh setiap peringkat umur, set ARTERA boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja. Seorang ayah boleh meluangkan masa berkualiti bersama anaknya untuk menyiapkan binaan model ARTERA. Seorang Ketua Kampung pun boleh bermain set ARTERA jika ia adalah seorang ayah kepada kanak-kanak tadika yang menyertai program ini.

Nampak? 

Mahu bercinta lagi seperti suami Puan Lisa? Usah tersenyum sendiri. Mari sertai kami berARTERA di FPPM Kolej UNITI Port Dickson.

“Habis tu, hendak main sahaja? Bila mahu baca buku pula?” kata Puan Lisa bertalu-talu.

 Belum habis lagi rupanya.

 Nanti ya puan. Kami sedang bangunkan ARTERA TODD.

APA TODD?! – Puan Lisa


Kamu Kena Menurut Kehendak Saya untuk Lulus Praktikal.....- Asyraf Azeman


Ihsan imej: Pinterest.com

“Penat saya datang jauh-jauh, dengan melayan lukisan peta kamu  yang ke laut tu, buku log kosong sahaja yang kamu bagi dekat saya? Tidak mengapa, semua ini saya cuba untuk telan. Tetapi apabila kamu mula mengajar, kelas sudah macam hendak kiamat, ini memang keterlaluan. Saya  tidak boleh dan tidak dapat hendak hadam.” Marahku kepada Zila.

“Hati aku cukup-cukup tidak puas dan sakit. Suka hati engkaulah. Engkau yang praktikal, aku pensyarah cuma datang menyelia sahaja. Gaji aku tetap dibayar.” Marahku didalam hati.


“Sir, tolonglah marah saya, banyak perkara yang saya tidak tahu”. Begitulah jawapan Zila saat dimarah.

Zila sedang menitiskan air mata di hadapanku selepas selesai penyeliaan pertama. Dia benar-benar belajar.

“Adakah perlu aku terus marah? Tidak untung satu sen pun rasanya. Hati aku mula positif. Dia perlu disentuh.” Aku menenangkan diri.

Zila adalah seorang pelajar yang biasa-biasa. Aku sendiri pun ingat-ingat lupa pelajar ini dari kelas yang mana satu. Di dalam senarai pelajar gred A kursus-kursus yang aku ajar, macam tiada nama dia yang aku rekod. Tetapi kali ini aku betul-betul nampak yang dia ini boleh diurus.

Aku beri tahu, “kalau kamu boleh dan hendak dapat A daripada saya, ikut apa yang saya cakap”.


Ternyata Zila khusyuk mendengar satu-persatu apa yang aku khutbahkan percuma  kepadanya. Aku nampak pen di tangannya menari menulis sesuatu di atas buku log yang telah aku lanyak dengan pen merah penuh komen. Tersenyum kelat dia apabila aku doakan semoga berjaya.


Penyeliaan kedua, 180 darjah dunia aku terbalik. Tadika tempat Zila yang terakhir aku lawat, tetapi yang paling lama aku bertapa. Kelas meriah umpama berhari raya. Kanak-kanak gembira dengan aktiviti pembelajaran mereka. Buku log pula sudah seperti naskhah surat khabar penuh dengan tulisan.

“Kamu dah jumpa jalan!!!”, ringkas komen yang aku beri padanya.

Tidak lama selepas itu.

“Sir, terima kasih tau!” tiba-tiba aku disapa oleh suara.

“Eh, apa kamu buat di sini?” Ego nadaku bertanya menutup rasa terkejut.

“Pengurus hantar saya sebagai wakil daripada tadika untuk program ARTERA yang sir jalankan ni. Kenapa sir beri A pada saya? Saya sudah tidak terbayang pun A untuk praktikal ni. Tapi sekarang saya sudah jumpa dunia saya, mendidik kanak-kanak prasekolah ni”, panjang jawapan Zila.


“Ya”, jawabku ringkas.
 “Bukan saya yang beri, tapi kamu yang cari”. Tambahku lagi.


Hendak tahu apa yang Zila coretkan pada buku lognya ketika aku berkhutbah percuma? 

Cari jawapan itu di FPPM Kolej UNITI Port Dickson

Sekejap, ARTERA ITU APA PULA?

Tuesday, 30 January 2018

Anak Bijak Suka Bertanya- Puan Rohafizah Mohammad Nasir

Ibu, kenapa bulan sentiasa ada dimana-mana saja?” Ziyad bertanya kepada ibunya.

 “Bila Ziyad dirumah ibu bulan ada, bila dirumah nenek pun bulan ada.” “Bulan ikut Ziyad ye ibu?” Ibu…..oooo…ibu!!

 Wahai ibu-ibu jawablah!!


Sedar atau tidak, itulah anak-anak kecil yang pada azalinya memang suka bertanya tanpa rasa jemu dan penat. 

Sesuai dengan naluri ingin tahu yang tinggi, kanak-kanak seawal usia tiga atau empat tahun, mereka akan bertanya mengapa begitu, mengapa begini dan bermacam-macam soalan lagi.

 Wahai ibu-ibu, jangan cepat naik angin.

 Layanilah setiap pertanyaan anak-anak dengan jujur dan bahasa yang mudah difahami.

 Respon yang baik akan membantu proses berfikir dan pemahaman kanak-kanak.

Antara sebab anak-anak suka bertanya :

§  Minat terhadap peristiwa yang berlaku di sekitarnya
§  Anak-anak ingin memahami penjelasan yang diberikan
§  Ingin menarik perhatian dan tumpuan



Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita haruslah mempunyai beberapa kemahiran untuk melayani karenah anak-anak bijak yang suka bertanya.