Pages

Tuesday, 23 January 2018

Tinta Dekan- “Cikgu huru-hara, ibu bapa tidak tenang".

Ihsan imej: Pinterest.com
Tiga minggu berlalu, guru kelas agak tenang.

Ibu bapa boleh meneruskan kerja rumah manakala yang bekerja mampu bekerja dengan tenang. Hanya sesekali menjeling telefon untuk melihat whatapps group tadika/ taska sekolah anak.


Begitulah debaran cerita di awal tahun 2018 bagi kebanyakan emak-emak.

Tahun ini saya tidak terkecuali melalui fasa anak mula bersekolah tadika pada usia 5 tahun. Hari pertama persekolahan pelbagai ragam anak dapat saya perhatikan. Ada yang gembira, ada yang menangis, ada yang merajuk, ada yang meragam dan selebihnya bersemangat dan berkeyakinan melangkah masuk ke dalam kelas.


Indahnya kehidupan di zaman kanak-kanak. Di sekolah mereka mula dilatih tentang rutin harian, mula belajar tentang konsep peraturan, disiplin, konsep hormat-menghormati, bertolak- ansur dan pengurusan diri. Ibu bapa turut sama teruja apabila anak mula memasuki dunia persekolahan. Begitulah juga saya.


Disini anak mula melalui perkembangan sosial dari ruang yang lebih luas. Kanak-kanak mula berinteraksi dengan orang lain mengikut cara yang boleh diterima oleh sesuatu masyarakat.


Apabila anak-anak mula bersosial, mereka akan mula belajar tentang penyesuaian sosial seperti proses peniruan, identifikasi kemahiran bermain, perkembangan sosial persahabatan dan perhubungan rakan sebaya.


Kerana itu kita melihat pelbagai ragam anak terutamanya yang buat kali pertama menjejaki alam persekolahan, mereka diibaratkan dicampak keluar dari zon kehidupan sosialisasi selesa mereka.


Disinilah peranan orang dewasa terutamanya ibu bapa dan guru dalam membantu perkembangan sosial anak-anak secara sihat.


Tiga persediaan saya pada hari pertama persekolahan adalah pertama berikan anak masa, kedua berikan kepercayaan dan ketiga selepas berjaya berikan anak penghargaan.

Maka tidak hairanlah pemandangan lazim saban tahun apabila kelas bermula ada ibu bapa yang masih mengintai di balik tingkap, menunggu di pintu pagar sekolah dan ramainya ibu bapa duduk di kantin sekolah.

Jujurnya, saya mencabar diri saya untuk mengelak dari terlibat sama dalam situasi ini.
Pengalaman tahun ini saya “berjaya” melepaskan anak saya ketika hari pertama persekolahnnya dengan memberikannya masa untuk dia selesa duduk di dalam kelas, berikan dia kepercayaan dan yakin bahawa dia mampu beradaptasi pada suasana kelas baru dan tamat sesi persekolahan hari pertama berikan anak penghargaan walaupun hanya dengan sekotak air kegemarannya dan pujilah dia.


Harus difahami perkembangan kanak-kanak berlaku secara semulajadi. Walaubagaimanapun dengan bantuan daripada orang dewasa, perkembangan anak-anak akan mampu lebih baik dan dapat mencapai potensi yang dijangkakan.

Tidak hanya menyentuh aspek sosial sahaja, malahan perkembangan fizikal, bahasa, kognitif, rohani juga emosi masih memerlukan pantauan dari orang dewasa. Bagaimanapun, harus diingat jangan sesekali samakan setiap dari anak kita dengan orang lain mahupun membeza-bezakan anak dengan abang dan kakaknya kerana setiap anak adalah unik. Maka bersyukur dan bergembiralah memiliki anak seperti mereka. Hargai anak anda!



Disediakan oleh:

Hidayah Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

0 comments:

Post a Comment