Pages

Sunday, 28 February 2016

Kreativiti sebagai kemahiran hidup abad ke-21- Faridah Mohd Tap


Penganjur Jabatan Pengajian Umum Kolej UNITI bersama panel jemputan.




Semua manusia ada sifat kreatif. Coplay (2001) mengetengahkan konsep kreativiti kepada 2 tahap iaitu, kreativiti sehari-sehari atau kreativiti biasa dan kreativiti mengagumkan.

Justeru, tiada manusia sifar kreatif tetapi yang membezakan kreativiti seseorang individu adalah darjah kreativitinya sama ada rendah atau tinggi. Kreativiti biasa dimiliki oleh semua manusia manakala kreativiti mengagumkan adalah kreativiti yang mendapat pengiktirafan masyarakat. 

Secara umumnya, kreativiti merujuk kepada satu pemikiran yang berkebolehan untuk menjana idea baru, menghasilkan produk dan mampu menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang baik. Perkataan inovasi dan reka cipta selalu dikaitkan dengan bukti kreativiti seseorang individu dari sudut kuantitaf yang boleh dinilai daripada mata kasar.

Dari aspek pendidikan, sistem pendidikan negara ini menjadikan latihan kemahiran berfikir kreatif sebagai keutamaan bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga sebagai sebuah subjek wajib dipelajari di hampir semua institusi pendidikan tinggi. Ia sebagai tanda komitmen sistem pendidikan untuk menyediakan pelapis modal insan berdaya fikir kritis dan kreatif.

Komitmen tersebut diperkukuhkan lagi dengan perlaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sekolah-sekolah.

Walaupun begitu, tidak semua individu mempunyai darjah kreativiti yang sama. Penulis berhadapan dengan pelajar yang berbeza latar belakangnya. Bagi program tertentu yang syarat kemasukannya ke peringkat diploma lebih tinggi, pelajar mempunyai daya kreativiti yang tidak memerlukan bimbingan yang banyak.

Tidak pula bagi pelajar yang lemah dan syarat kemasukan untuk mengikuti satu-satu program hanya memerlukan kelayakan minima, daya kreativiti pelajar ini pada tahap rendah.  Justeru, ia menuntut dedikasi yang tinggi supaya mereka berkemahiran fikir secara kreatif yang menjadi keperluan asas pada abad ke-21 ini.

Bual bicara interaktif tentang kreativiti

Atas keprihatinan kreativiti sebagai salah satu kemahiran hidup abad kini, subjek kemahiran berfikir kritis dan kreatif digubal untuk pelajar di bawah naungan Jabatan Pengajian Umum, Kolej Uniti.
Jabatan juga menganjurkan sebuah program bual bicara bersama individu kreatif di Malaysia iaitu Muhammad Akmal Mohamad Dahlan (usahawan dan jutawan muda yang mengasaskan Ladang Alam Warisan) dan Ibrahim Anon atau Ujang (kartunis yang menjadi fenomena pada awal 80 dan 90-an dan kartunis tunggal diberi pengiktirafan melukis kartun di atas piring emas).


Kedua-dua panel berkongsi usaha-usaha menjadi kreatif untuk berjaya dalam hidup walaupun menempuh pelbagai halangan. Kedua-dua panel bersetuju usaha tanpa henti untuk membangunkan kreativiti dalam diri dan jangan sesekali putus asa. Pemikir kreatif juga perlu bijak mengambil peluang yang terbentang luas dan paling penting berilmu.

Daripada perspektif ekonomi dan sosiobudaya pula, industri kreatif penting kerana menjana pulangan yang lumayan kepada kemajuan ekonomi negara seperti yang dicatatkan dalam laporan Kementerian Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan keuntungan sebanyak RM9.6 bilion.

Atas kepentingan ini, Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) digubal sebagai dasar induk untuk menetapkan prinsip-prinsip asas pembangunan industri kreatif. Dasar ini akan menjurus dan memacu segala kegiatan kreatif secara lebih produktif dan ekonomik melalui sinergi sektor awam dan swasta.

Industri kreatif yang dimaksudkan adalah melibatkan beberapa skop iaitu, industri kreatif multimedia, industri kreatif seni budaya dan industri kreatif warisan budaya yang bukan sahaja mempunyai nilaian dari sudut wang ringgit tetapi paling penting ia berwawasan untuk memartabatkan bangsa Malaysia.

Sebagai kesimpulan, tidak dinafikan kreativiti merupakan keperluan yang sangat penting abad ini.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membangunkan daya kreativiti dengan cara memahami kreativiti itu terlebih dahulu. Inisiatif dan insentif dalam membangunkan modal insan dengan daya kreativiti mengagumkan akan mengeluarkan bangsa ini daripada bangsa pengguna kepada pengeluar.

Hasilnya, negara dipandang tinggi dan martabat bangsa Malaysia dapat dijulang ke persada dunia. – 18 Februari, 2016.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/renc
ana/article/kreativiti-sebagai-kemahiran-hidup-abad-ke-21-faridah-mohd-tap#sthash.L4lZG8we.dpuf

Wednesday, 3 February 2016

PROGRAM "CEPAT BACA" DAN "I CAN READ" BANTU MENANGANI BUTA HURUF DI KALANGAN KANAK-KANAK

Malaysia pernah dikejutkan dengan pendedahan kadar buta huruf yang tinggi di negara ini. Pada 2012, laporan berita menyatakan lapan peratus daripada 6, 667 pelatih PLKN adalah mereka yang tidak boleh membaca. Justeru, ia mencetuskan polemik apatah lagi negara ini merupakan negara yang sedang membangun.


Di peringkat antarabangsa, pada tahun 2006, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyatakan terdapat 800 juta penduduk berusia 15 tahun ke atas gagal untuk membaca mahupun menulis nama mereka sendiri. Namun begitu, kadar literasi di Malaysia semakin baik kerana statistik juga menunjukkan penurunan saban tahun.



Sebagai ibu bapa adalah menjadi harapan yang besar supaya anak-anak mereka boleh membaca seawal usianya. Oleh itu, ibu bapa berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan awal  terbaik agar  berkebolehan membaca lebih awal. Sehubungan dengan itu, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM) dengan kerjasama Institute Helping Boys and Nurturing Girls (IHBNG) Kolej UNITI telah menganjurkan Program “Cepat Baca dan I Can Read” sebagai keprihatinan kepada keperluan itu.



Program yang dijalankan secara bersiri telah dilangsungkan dengan jayanya melibatkan 75 orang pelajar semester enam Diploma Pendidikan Pra Sekolah (DPS) Kolej UNITI. Program yang memakan masa satu hari itu telah dibantu oleh tenaga pensyarah yang menjadi fasilitator supaya dapat membimbing pelajar mencapai objektif program.





Menurut Siti Zaleha Ahmad selaku dekan fakulti berkata, program ini 
bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar semester enam DPS  kemahiran ‘Cepat Baca’ dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan menggunakan kaedah fonemik. 



Tambahan lagi, menurut beliau, penganjuran program tersebut adalah bagi meningkatkan kemahiran pengajaran 'Cepat Baca' dan 'I Can Read' di kalangan pelajar sebagai persediaan menjalani latihan mengajar atau praktikum pada bulan Mei 2016 ini.

Seorang siswa DPS sedang mengaplikasi kaedah  'Cepat Baca' dalam program 'Cepat Baca dan I Can Read'

Manakala, Zakri Mohd Zain merangkap Pengurus Institut HBNG berkata, inisiatif ini adalah bagi mendedahkan kepada pelajar contoh-contoh permainan dan aktiviti pengayaan perbendaharaan kata lalu meningkatkan kemahiran membaca dengan teknik pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan di tadika.




Keseluruhannya, program siri pertama yang dijalankan di Dewan Za’aba, Uniti Village telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar. Mereka juga telah memberi kerjasama bagi menjayakan segala aktiviti ‘Cepat Baca’  mengikut panduan modul dan dibantu oleh fasilitator terlatih. Penganjuran program ini adalah sebagai inisiatif FPPM  bagi memastikan graduan DPS Kolej UNITI mempunyai kualiti yang diperlukan industri pendidikan awal kanak-kanak iaitu berkebolehan mendidik dan membantu proses cepat baca di tadika-tadika dengan strategi P&P yang efektif. 









Tuesday, 2 February 2016

AMBIL TAHU: Polisi pengambilan kanak-kanak di tadika – Nur Akmar Mohd Ariff

PELUANG KEUSAHAWANAN BERSAMA UNITIMART.COM DI KOLEJ UNITI PORT DICKSON

KOLEJ UNITI, PORT DICKSON 29 JANUARI- Keusahawanan secara atas talian sebagai sebuah gaya perniagaan terkini memberi inspirasi kepada UNITIMART bagi mengadakan taklimat Ambassador Unitimart.com kepada 20 orang siswa-siswi terpilih daripada Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI Port Dickson baru-baru ini.

Displaying IMG-20160130-WA0003.jpg

Program Ambassador Unitimart.com telah dikelolakan oleh Puan Norsa’adah Mohamad Bahri selaku Pengurus Operasi agensi di bawah Kolej UNITI Port Dickson bersama penggerak lainnya.

Puan Norsa'adah sedang memberikan taklimat Ambassador Unitimart.com kepada siswi FPPM







Antara objektif program tersebut adalah sebagai pendedahan kepada siswa/i FPPM Kolej UNITI Port Dickson tentang pasaran atas talian yang menjadi keperluan dan gaya perniagaan era ini untuk menjana pendapatan melalui komisyen dalam jualan.



Penganjurannya juga adalah sebagai usaha meningkatkan kemahiran, keyakinan dan minat pelajar FPPM dalam bidang keusahawanan atas talian selain dapat membantu pelajar membina kerjaya alternatif bagi mengelakkan graduan FPPM tersenarai dalam  statistik pengangguran yang kian meningkat saban tahun disebabkan oleh pelbagai faktor.




Taklimat yang dijalankan selama dua jam di Makmal Komputer Uniti Village mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta yang terpilih juga merupakan penggerak utama kepada program Ambassador Unitimart.com ini. 





Friday, 18 September 2015

SYEIKH AHMAD AL-FATHANI: PATRIOT KEBANGKITAN KEMERDEKAAN YANG DILUPAKAN


Sebuah program Bual Bicara Interaktif bersama Tuan Hasanuddin Mohd Yusof, Presiden Pertubuhan Pencinta Tamadun Islam Nusantara diadakan pada 9 September lalu telah dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Kolej UNITI dengan kerjasama Grup Penjejak Tamadun Dunia bersempena dengan sambutan Hari Ulangtahun Kemerdekaan Negara ke-58. 




        Perkongsian selama dua jam itu  telah disertai beberapa akademia Kolej UNITI dan 40 orang pelajar pelbagai program. Bual bicara selama lebih 2 jam membuka mata para hadirin. Siapa sangka, sejarah yang dipelajari di sekolah-sekolah banyak pincangnya kerana ditulis dari kaca mata penjajah British. Ini diakui sendiri oleh pakar-pakar sejarah namun kekangan kehendak politik (political will) menghalang untuk penulisan semula sejarah negara dari neraca yang adil dan benar.


        Penulis sendiri tersentuh kerana setelah hampir 30 tahun, baru disedarkan betapa sejarah negara yang diajarkan di sekolah-sekolah rupanya banyak menggelapkan ‘hero-hero’ bangsa dan peristiwa sebenar dalam menyemarakkan semangat perjuangan dalam peristiwa menuntut kemerdekaan di awal kebangkitannya. Justeru, artikel kali ini, JPU suka untuk berkongsi sosok pejuang alam Melayu yang tercicir dalam catatan mana-mana buku sejarah arus perdana tetapi peranannya sungguh agung dalam penceritaan sejarah sebenar negara ini. Sosok wira tersebut adalah seorang ulama’ watan iaitu Sheikh Ahmad Al-Fatani yang diikitiraf oleh seluruh dunia Islam ketika pentadbiran Khilafah Uthmaniyyah dipimpin oleh Khalifah Sultan Abdul Hamid II. Ironisnya, namanya sepi dari pengetahuan bangsa sendiri.  



Tuan Hasanuddin Mohd Yusof (kiri) merupakan panel Bual Bicara Interaktif: Peranan Ulama dalam Kebangkitan Kemerdekaan Kesultanan Melayu Melaka dimoderatorkan oleh Cikgu Badrul Hisham Ithnin (kanan) selaku pensyarah kanan Jabatan Pengajian Umum, FPPM, Kolej UNITI.


 Sheikh Ahmad Al-Fatani  dan Peranannya dalam Kebangkitan Kemerdekaan Alam Melayu dan Asia Tenggara.

          Sheikh Ahmad al-Fathani atau nama sebenarnya ialah Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zainal Abidin bin Datu Panglima Kaya Sheikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin (faqih Wan Musa al-Jambui as-Sanawi al-Fathani) bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi bin Ali al-Masyhur al-Laqihi telah dilahirkan pada malam Jumaat, bulan Syaaban tahun 1272 bersamaan dengan 10 April 1856

Tokoh Intelek Melayu Sepanjang Zaman, Syeikh Ahmad Al-Fathani

          Beliau bukan sahaja dikenali sebagai ulama tradisional semata-mata, tetapi juga merupakan ulama dan pemikir Melayu yang ulung di alam nusantara dan menguasai 47 disiplin ilmu dan boleh menjawab pelbagai persoalan termasuklah disiplin politik. Salah seorang anak muridnya Tok Kenali menguasi separuh disiplin ilmu tersebut daripadanya. Muridnya yang lain adalah seperti Raja Ali Haji (Kerabat Diraja Kepulauan Riau) dan Raja Haji Uthmans.


        Sheikh Ahmad Al-Fathani telah mengasaskan dan menjadi ketua kepada Persatuan Cendikiawan Melayu di Mekah dikenali sebagai Jam’iyah al-Fathaniyyah yang dianggotai oleh seluruh ulama alam Melayu. Menurut catatan sejarah, pertubuhan itu merupakan organisasi politik Melayu pertama yang diasaskan pada tahun 1290H. 1837M.


        Persatuan Al-Fathaniyyah ini bukan sahaja mencetak kitab-kitab Melayu dan menyebarkannya ke seluruh pelosok nusantara, tetapi juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para putera dunia Melayu agar berusaha membebaskan diri dan wilayah nusantara daripada cengkaman pihak penjajah Siam, Inggeris dan Belanda ketika itu.


        Sheikh Ahmad Al-Fathani telah menulis surat-surat politik kepada para Sultan (ketika itu, alam nusantara mengamalkan sistem monarki-kesultanan) di alam Melayu seperti Sultan Zainal Abidin III di Terengganu  Sultan Manshur di Kelantan (Sheikh berkhidmat sebagai penasihat Sultan ketika ini) dan juga menerima surat daripada Raja Muda Jambu memohon nasihat menghadapi serangan tentera Siam.


        Antara karya politik Sheikh Ahmad Al-Fathani adalah Hadiqah Al-Azhar, Faridah Faraid, Jumanah At-Tauhid Al- Fatawa Al- Fathaniyah.



Sheikh Ahmad Al-Fathani Penghubung Alam Melayu dan Kerajaan Uthmaniyyah/ Turki.


       Ramai juga tidak tahu tentang hubungan erat Kerajaan Uthmaniyyah dengan Alam Melayu khususnya apabila Kesultanan Melayu Melaka di serang Portugis. Ketika itu, Kerajaan Uthmaniyyah merupakan penaung kepada semua negara umat Islam tidak terkecuali Alam Melayu. Sheikh Al-Fathani telah dilantik sebagai wakil politik oleh Sultan Abdul Hamid II di bahagian timur.



        Syeikh Ahmad Al-Fathani bergerak aktif bersama-sama menjayakan misi kebangkitan menentang penjajah. Beliau menggesa umat Melayu di Nusantara untuk menuntut ilmu dan menguasai teknologi dalam ikhtiar mendepani kekuatan penjajah. Beliau juga secara langsung mendidik Raja Ali Kelana  dengan pendidikan Islam dan diberikan latihan khusus yang utuh sebagai mempersiapkan Raja Ali sebagai Yam Tuan Muda Riau.  Para wanita juga digesa untuk menuntut ilmu supaya dapat berjuang bersama-sama mempertahankan kedaulatan bangsa.



       Sebenarnya terlalu banyak untuk dinukilkan tentang patriot yang tidak didendang ini. Namun, dalam apa jua pertimbangan, beliau mempunyai peranan yang sangat besar dalam sejarah pemikiran Melayu. Pengaruh beliau meliputi pelbagai bidang penulisan kitab fiqah dan usuluddin, falak dan matematik, perubatan dan kimia, kemasyarakatan dan kesusasteraan, politik dan hubungan antarabangsa, diplomat dan sebagai wakil peribadi khalifah, penerbitan dan pentashihan, pemikiran dan kebangkitan umat, reformasi dan ketradisian, pembinaan jiwa dan jati diri, kesatuan umat dan penentangan imperialime. Sumbangan ini melayakkan beliau untuk dikenali sebagai tokoh intelek Melayu teragung sepanjang zaman. (Mat Rofa Ismail, 2015).  



Karya travelog Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail Cetakan 1 2015 mengisahkan perjalanan beliau mengenai hubungan erat Alam Melayu dengan Turki. Didalamnya terkandung peranan khusus Syeikh Ahmad Al-Fathani sebagai wakil peribadi Sultan Abdul Hamid II di bahagian timur.

        Sebagai penutup, ambillah masa mencari dan mengerti perjuangan kemerdekaan yang ditulis daripada neraca yang adil. Tidak dinafikan, penulisan buku-buku teks sejarah telah ditulis dari kaca mata para orientalis yang terbukti berniat jahat terhadap Alam Melayu di bawah kepimpinan Islam. Maka, nama Sheikh Ahmad Al-Fathani dengan sengaja digelapkan supaya kita lupa sosok inilah yang berusaha mempertahankan tanah air dengan melahirkan kader-kader pejuang yang akan mempertahankan negara dari disiat penjajah khususnya aqidah Islamiyyah umat Melayu dan mengabadikannya dalam karya-karya yang ditinggalkan. Justeru, tidak hairan, kenapa setelah 446 tahun dijajah Portugis, Belanda dan British alam Melayu masih kekal dengan aqidah Islamiyyah kecuali kepulauan Manila yang bertukar wajah.


Barisan Pensyarah Jabatan Pengajian Umum bergambar bersama panel dan rakan sinergi Grup Penjejak Tamadun Dunia.


Disediakan oleh,

Puan Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI, Port Dickson.


Thursday, 17 September 2015

PEMENTASAN 'BIG BOOK' KESELAMATAN BERSAMA KANAK-KANAK TABIKA KEMAS BISTARI KOLEJ UNITI PORT DICKSON

Kolej UNITI, Port Dickson- Pelajar semester enam Diploma Pendidikan Pra Sekolah Kolej UNITI Port Dickson menjayakan acara pementasan drama muzikal dan 'big book' untuk menyampaikan mesej keselamatan dan perlindungannya bersama guru dan kanak-kanak Tabika Kemas Bistari Kolej UNITI yang berlangsung pada 7 dan 8 September lalu di Kampus UNITI Village.

Antara judul 'Big Book' yang dihasilkan para pelajar DPS ini ialah; ‘Awasi Si Penculik’, ‘Keselamatan Di Jalan Raya’, ‘Aduh Sakitnya!’, ‘Kecil Kawan Besar Lawan’, dan ‘Renjatan Elektrik’.

Pendekatan ini merupakan salah satu medium interaktif dalam menyampaikan mesej keselamatan kepada kanak-kanak dengan cara yang menghiburkan. Kanak-kanak Tabika Kemas Bistari sebagai tetamu undangan menzahirkan rasa gembira mereka apabila pelajar-pelajar mula mementaskan drama muzikal mereka mengenai keselamatan dan perlindungannya.

Kolej UNITI Port Dickson sentiasa berikhtiar untuk memastikan produk DPS yang dihasilkan menepati piawaian pasaran semasa dalam mendepani generasi z dan alpha yang kian mencabar. Pendekatan tradisional seperti ceramah kurang sesuai untuk diaplikasi dalam era kini. Justeru, para pelajar DPS Kolej UNITI Port Dickson sentiasa disiap siagakan dengan pelbagai kebolehan seperti menghasilkan 'big book' yang menarik, teater dan lain-lain strategi interaktif sebelum keluar ke realiti perguruan pra sekolah.



Galeri foto:















SIMULASI MENARIK PELAJAR KOLEJ UNITI PORT DICKSON UNTUK MENINGKATKAN KEFAHAMAN KESELAMATAN KANAK-KANAK DAN PERLINDUNGANNYA

Kolej UNITI Port Dickson- Seramai 44 orang pelajar Diploma Pendidikan Pra Sekolah semester enam telah melakukan aktiviti simulasi berkaitan isu keselamatan kanak-kanak pada 17, 18, 24 dan 25 Ogos yang lalu bertempat di kampus Uniti Village.

Tujuan simulasi itu merupakan sebahagian tuntutan tugasan bagi subjek DPP3243- Keselamatan Kanak-kanak dan Perlindungannya. Selain itu, ia adalah medium latihan untuk menggilap kreativiti bakal guru pra sekolah yang dikeluarkan oleh Kolej UNITI Port Dickson supaya relevan dan berdaya saing kepada pasaran industri pra-sekolah di Malaysia.



Nur Akmar Md Ariff
Penyelaras DPP3243
Kolej UNITI
"Program ini bertujuan murni iaitu untuk mencungkil kreativiti bakal-bakal guru parasekolah kami dalam mengendalikan program keselamatan kanak-kanak melalui pengajaran dan pembelaran yang menggembirakan dan bermakna untuk kanak-kanak serta simulasi pertolongan cemas untuk guru, penghasilan alat bantu mengajar yang menarik daripada bahan-bahan terbuang serta pencetusan idea-idea baru, nilai dan pengajaran mengenai isu-isu keselamatan kanak-kanak yang semakin membimbangkan melalui aktiviti debat, forum dan drama yang menarik dan kreatif." Jelas Nur Akmar Md Ariff selaku penyelaras subjek ketika di Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson ke-14 baru-baru ini. 

Antara program yang telah dijalankan ialah ‘Peranan Guru Dalam Program keselamatan: Latihan Kebakaran Di Tadika', ‘Drama: Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak’,  ‘Debat: Anak – Anak Dirotan Untuk Didisiplinkan’, ‘Debat: Pengabaian Anak Kerap Berlaku Dalam Kalangan Ibu Bapa Yang Bekerjaya’, ‘Forum:  Tersedak Susu. Salah Siapa?’ dan ‘Simulasi Pertolongan Cemas : CPR dan Balutan’. 




Galeri Foto:-




Monday, 20 April 2015

RESPON ISU SALIB- ISLAM ITU INDAH TETAPI DIKEJI...

Sekali lagi isu berkaitan agama menerjah kehidupan aman rakyat Malaysia. Setelah 58 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat Malaysia masih belum merdeka bersepakat bahawa kebebasan agama dengan erti kata sebenar ‘agama kamu untuk kamu, agama kami untuk kami’ masih belum mengakar dalam hati rakyat yang berbilang kaum ini.


Tanda salib mencetuskan kontroversi dalam hubungan etnik di Malaysia baru-baru ini.

                                                     
Sedih kerana imej agama Islam tercalar lagi atas insiden yang tidak diingini ini. Hanya kerana lambang salib, lebih 50 orang penduduk Taman Medan berdemonstrasi kerana ketakutan iman akan tergugat kerana terpandangkan salib itu. Tinggalkanlah sikap paranoid kerana ia hanya memalukan keseluruhan umat Islam di Malaysia kerana segelintir kamu.


Sudah tiba masanya, kita sebagai rakyat Malaysia menjadi lebih praktikal dalam menanggapi isu-isu sensitif melibatkan hubungan antara kaum dan agama ini. Amalkan toleransi agama dan menghormati ‘spiritual privacy’ dengan lebih telus lagi.


Toleransi agama dan menghormati ‘spiritual privacy’ ini menyekat kita daripada campur tangan dalam hal ehwal kepercayaan agama lain. Setiap daripada kita dituntut untuk menghormati perasaan rakan yang berlainan fahaman agama dari kita. Malah, dalam Islam adalah jatuh berdosa jika kita dengan sengaja menghina dan memperlekehkan agama orang lain walaupun kita beriman dengan kebenaran mutlak agama kita.


Membina Negara Adalah Usaha Semua Pihak.


Cabaran terbesar sekali selepas kemerdekaan 1957 adalah mengekalkan kemerdekaan itu dengan citra masyarakatnya yang plural. Untuk itu, berpeganglah kepada prinsip membina negara adalah usaha semua pihak. Mahatma Ghandi pernah berucap mengenai persoalan ketika India menghadapi ketegangan antara penganut agama Hindu dan Islam pada 26 Mac 1930,

“ I never dreamed I could win merely through my effort or assisted only Hindus. I stand in need of assistance of Muslims, Parsis (Zoroastrians), Christians, Sikhs, Jews and all other Indians. I need even the assistance of Englishmen.”


Bagaimana muamalah Islam kepada bukan Islam?


Islam sendiri telah menggariskan panduan dan adab bagaimana untuk kita mendepani penganut bukan Islam (yang tidak memerangi umat Islam). Pertama, kita dilarang untuk menzalimi orang bukan Islam seperti mengganggu harta, darah dan keturunan. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah Azza Wajalla berfirman,

Dari Abu Dzarr Radhiyallahu 'anhu, dari Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam, beliau meriwayatkan dari Allah Tabâraka wa Ta’âla berfirman: “Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diri-Ku, dan Aku menjadikannya sesuatu yang diharamkan di tengah kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi”. [HR. Muslim, no. 2577].

Kedua, Islam menuntut penganutnya untuk saling mengasihi kepada sesama manusia tanpa mengira agama. Rasulullah S.A.W bersabda dengan maksud,

Kasihilah orang-orang yang berada di atas bumi, niscaya Dia (Allah) yang berada di atas langit akan mengasihi kamu. [HR. at-Tirmidzi, no. 1924].

Ketiga, Islam juga menggesa penganutnya untuk berlaku adil sepertimana firman Allah Azza Wajalla dalam Al-Qur’an yang bermaksud,


Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah/60: 8]

Justeru, insiden yang berlaku ini adalah suatu kesilapan yang sepatutnya tidak boleh berlaku jika umat Islam memahami agama ini dengan sebenarnya. Islam itu indah. Jangan kerana sikap segilintir kita yang melulu, agama Islam dikeji.



FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Jabatan Pengajian Umum,

Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Sunday, 5 April 2015

Selamatkah Anak Kita?




SABTU, 21 Mac  2015- Sebuah program 'Selamatkah Anak Kita?' bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Port Dickson telah dianjurkan oleh FPPM bertempat di Dewan Za'aba, Uniti Village selama dua jam bermula jam 8:30 pagi.



Seramai 300 orang pelajar terdiri daripada pelajar Diploma Pendidikan Pra Sekolah semester 6 juga 12 orang pensyarah FPPM telah hadir mendengar sesi ceramah bersama Puan Zulida binti Zulkifli, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Port Dickson (Bahagian Kanak-kanak). Beliau juga merupakan Pelindung dan Pegawai akhlak JKM PD.  

Cik Noradilla Abdul Ghafar, Timbalan Dekan FPPM sedang memberi ucapan pembuka kepada para pelajar yang terlibat.

"Penganjuran program ini adalah sebagai memenuhi keperluan dalam kurikulum bagi subjek Keselamatan Kanak-kanak dan Perlindungannya (DPP3243). Ia juga sebagai persediaan para pelajar sebelum melangkah sebagai guru praktikuk di tadika yang dijadualkan berlangsung bermula Mei 2015." Terang Cik Nur Akmar binti Mohd Arif mengenai objektif program.

Tambahan lagi, program ini juga menambahkan pengetahuan para pelajar yang terlibat mengenai keselamatan kanak-kanak serta perlindungannya daripada sebarang bentuk penderaan, pengabaian dan keganasan baik di rumah mahupun di taska/ tadika.

Diakhir ceramah, Puan Zulida juga menekankan peranan JKM dalam memberikan perlindungan kepada kanak-kanak yang didera dan diabaikan kepada para pelajar yang terlibat. 













Penyerahan cenderamata kepada penceramah, Puan Zulida oleh Timbalan Dekan, Cik Noradilla diiringi oleh Ketua Jabatan DPS, Puan Hidayah. 









\


DISEDIAKAN OLEH, 


CIK NUR AKMAR BINTI MOHD ARIF
(PENYELARAS SUBJEK DPP3243:KESELAMATAN KANAK-KANAK & PERLINDUNGANNYA)