Pages

Sunday, 10 April 2016

PELAJAR FPPM TABUR BAKTI BANTU IBU TUNGGAL

PORT DICKSON- Seorang ibu tunggal sebak dalam senyum apabila rumah usang yang didiaminya telah dibaik pulih oleh kira-kira 40 orang pelajar Kolej UNITI di bawah Program Sumbangan Ihsan Masyarakat Miskin baru-baru ini.



Dekan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Siti Zaleha Ahmad berkata, pelajar-pelajar dari fakulti itu telah bergabung tenaga untuk membaiki rumah ibu tunggal, Maryamah binti Sulong, 67, yang terletak di Kampung Sungai Raya.


 ‘’Kami mendapat maklumat tentang kesusahan ibu tunggal itu daripada ketua kampung dan pihak BaitulMal Daerah Port Dickson. ‘’ Ujar Siti Zaleha.


Maryamah Sulong ialah seorang ibu tunggal kematian suami yang mempunyai seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU), Junaidi bin Mohd Taufiq, 46, berpendapatan rendah dan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan.


“Program ini turut memberi pendedahan kepada pelajar untuk melihat keadaan masyarakat setempat terutamanya di luar bandar yang serba kekurangan dan menggalakkan mereka untuk melipatgandakan usaha membantu golongan yang memerlukan.”


“Usaha murni ini dilakukan atas rasa tanggungjawab yang dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan atau habuan. Antara aktiviti yang dilakukan adalah membersihkan kawasan luar rumah, mengecat dan menukar tikar getah rumah ibu tunggal tersebut.” Kata Siti Zaleha lagi.


Sehubungan itu, beliau mahu pelajar yang terlibat sentiasa menanam azam dan semangat untuk belajar sambil berbakti kepada masyarakat.


Aktiviti khidmat sosial yang dilakukan ini merupakan satu usaha yang murni dan dapat memberi sinar baru kepada kehidupan orang lain lebih-lebih lagi golongan yang kurang berkemampuan seperti keluarga ini.



“Harapan saya agar semua pelajar dapat menamatkan pembelajaran dengan cemerlang di Kolej UNITI dan seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup yang lebih baik di masa hadapan.” Akhiri Dekan Fakulti itu. 



Galeri foto:










Thursday, 7 April 2016

JALINAN MESRA BERSAMA SAUDARA BARU DAN PENDUDUK KAMPUNG ORANG ASAL SUNGGALA ASAH KEMAHIRAN PELAJAR



PORT DICKSON, 2 APRIL- Baru-baru ini, seramai 37 orang pelajar Kolej UNITI terdiri daripada pelajar jurusan Diploma Industri Halal, Diploma Pengurusan Muamalat, Diploma Occupational in Safety and Health serta Diploma in Graphic Design tidak ketinggalan berbakti kepada masyarakat setempat apabila berjaya buat julung kalinya menganjurkan program ‘Jalinan Mesra Bersama Saudara Baru dan Penduduk di Perkampungan Orang Asal, Port Dickson, Negeri Sembilan.


Program yang dirancang di bawah subjek Khidmat Sosial ini merupakan peluang kepada pelajar untuk menyerlah kemahiran-kemahiran insaniyyah (softskills) sebagai persediaan untuk menjadi graduan yang trampil dan berkeyakinan selaras dengan PANCAKU UNITI.


Menurut saudara Zarif Reza Shah Zakaria, 19 ,selaku  pengarah program menyatakan program ini merupakan cabaran besar beliau sepanjang bergelar siswa hampir tiga tahun di Kolej UNITI ini apabila inilah pertama kalinya beliau dan rakan-rakan jawatankuasa lain dilibatkan secara langsung dan perlu berdikari untuk memastikan projek khidmat sosial yang melibatkan masyarakat orang asal berlangsung dengan jayanya.




“Pengalaman pengurusan program sebegini membantu saya dan rakan-rakan untuk melakukan persediaan menghadapi fasa seterusnya iaitu latihan industri dan lapangan kerja.” Jelas Rawaida Rusli, 19 tahun.


Antara objektif penganjuran program adalah untuk beramah-mesra bersama saudara baru dan penduduk KOA Sunggala dan menyalurkan sumbangan berbentuk bantuan asas makanan kepada keseluruhan ketua keluarga.


Antara aktiviti kemasyarakatan yang dijayakan oleh pelajar adalah membantu mengecat rumah usang, mebersihkan kawasan surau dan balai raya serta sukaneka bersama penduduk.


Slot ceramah “Indahnya Hidup dalam Islam” untuk saudara baru dan penduduk bukan Islam juga telah dijayakan oleh panel jemputan, Ustaz Shamsul Azhar Yahya, Pensyarah di Institut Islam Hadhari dan Pengerusi Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia. Di penghujung ceramah, beberapa saudara baru telah menerima sumbang berbentuk set telekog, sejadah, al-Qur’an, beras dan tepung.



Bagi menyampaikan kepentingan pendidikan kepada anak-anak KOA Sunggala, ustaz Ahmad Muzammil Muhd Hairi, Pegawai Hal Ehwal Pelajar telah menjadi panel slot motivasi “Seronoknya Belajar”.


Sambutan penduduk KOA Sunggala amat memberangsangkan untuk memastikan program ini lancar. Kehadiran dan keterlibatan penduduk sepanjang program berlangsung membantu jawatankuasa program mencapai objektif yang telah disasarkan.


“Selaku penganjur, kami mengucapkan kepada semua penyumbang yang telah menyumbang samaada berbentuk wang ringgit mahupun material sehingga program yang telah dirancang hampir tiga bulan dapat dijayakan walaupun berhadapan beberapa kekangan yang akhirnya dapat diatasi.” Jelas Zarif Reza Shah lagi.


Sementara itu, Puan Faridah Mohd Tap, penyelaras subjek Khidmat Sosial di bawah Jabatan Pengajian Umum sedang merangka program susulan dengan kerjasama daripada agensi-agensi terplih seperti Islamic Outreach, Farmasi Alpro, Perkim Malaysia dan lain-lain untuk terus mengadakan program berkala bersama penduduk kampung.


Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Kolej UNITI, Encik Ahmad Turmizi Mohd Khalil dan dihadiri bersama oleh Encik Azhari, wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Port Dickson, Ustaz Mohamad Fakharuddin Othman, Penggerak Masyarakat Orang Asli JAKIM Daerah Port Dickson, Encik Zamri Harun, Tok Batin KOA Sunggala, Encik Sauriman Ahkau, Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan KOA Sunggala, Puan Faridah Mohd Tap, Penasihat Program.




Program diakhiri dengan penyampaian sumbangan dan penyerahan cenderamata sebelum jamuan bersama penduduk kampung.

SIMULASI ISU KESELAMATAN KANAK-KANAK DAN PERLINDUNGANNYA- Nur Akmar Mohd Arif


Kolej UNITI melalui program Diploma Pendidikan Pra Sekolah sentiasa komited untuk memastikan pelajar memahami subjek antaranya ialah subjek "Keselamatan Kanak-kanak dan Perlindungannya' dengan baik melalui pendekatan aktiviti bermodul seperti debat, forum dan drama. 

Objektif setiap modul simulasi isu keselamatan kanak-kanak adalah untuk mencungkil kemahiran dan kreativiti bakal-bakal guru pra sekolah dalam simulasi pertolongan cemas melalui aktiviti forum dan drama seperti ‘Tersedak susu.Salah Siapa?’ , ‘Malang Tidak Berbau’ dan ‘Katakan Tidak Pada Penderaan Kanak-kanak’.

Selain itu, cetusan idea-idea baru, nilai dan pengajaran mengenai isu-isu keselamatan kanak-kanak adalah juga didorong oleh peningkatan yang semakin membimbangkan terhadap keselamatan kanak-kanak dalam masyarakat. 


Pendekatan simulasi melalui aktiviti debat, forum dan drama yang menarik dan kreatif memudahkan penyampaian mesej kepada kanak-kanak tentang penjagaan keselamatan diri. 











Disediakan oleh,



Cik Nur Akmar Binti Mohd Arif
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan, 
Fakulti Pendidikan dan Pra Sekolah.


Galeri Foto:












Sunday, 28 February 2016

SIMULASI PERTOLONGAN CEMAS PELAJAR DPS KOLEJ UNTI- Nur Akmar Mohd Arif

Pelajar Diploma Pendidikan Pra Sekolah (DPS) Kolej UNITI telah dilatih dengan kemahiran mengendalikan keselamatan kanak-kanak seperti pengendalian prinsip pertolongan cemas yang merupakan antara kriteria penting guru yang menjadi pilihan utama pemilihan taska mahupun tadika oleh pihak ibu bapa.


Latihan simulasi melibatkan pelajar DPS semester enam bertujuan mendedahkan pelajar kepada teknik dan prinsip pertolongan cemas yang menjadi keperluan guru prasekolah untuk diaplikasikan ketika berlakunya kecemasan di taska atau tadika.


Pertolongan cemas adalah suatu kaedah, perkara atau bantuan yang boleh dilakukan oleh seseorang yang berada di tempat kemalangan untuk merawat mangsa yang cedera atau sakit sementara menunggu ketibaan ambulans atau kakitangan paramedik.


Ia merupakan pertolongan pertama, sementara dan serta merta yang diberi kepada seseorang yang sedang sakit atau jatuh sakit secara tiba-tiba.


Antara teknik yang dilakukan oleh pelajar adalah ‘RICE- tindakan awal bagi kecederaan seperti terseliuh, dislokasi, retak dan kontusil’, ‘TOTAPS- tindakan awal bagi membuat penilaian terhadap kecederaan mangsa yang dapat dilihat seperti pendarahan, ‘DRABC- teknik yang diaplikasikan untuk CPR (hasil gabungan bantuan penafasan dan tekanan luar jantung.’. 











Kreativiti sebagai kemahiran hidup abad ke-21- Faridah Mohd Tap


Penganjur Jabatan Pengajian Umum Kolej UNITI bersama panel jemputan.




Semua manusia ada sifat kreatif. Coplay (2001) mengetengahkan konsep kreativiti kepada 2 tahap iaitu, kreativiti sehari-sehari atau kreativiti biasa dan kreativiti mengagumkan.

Justeru, tiada manusia sifar kreatif tetapi yang membezakan kreativiti seseorang individu adalah darjah kreativitinya sama ada rendah atau tinggi. Kreativiti biasa dimiliki oleh semua manusia manakala kreativiti mengagumkan adalah kreativiti yang mendapat pengiktirafan masyarakat. 

Secara umumnya, kreativiti merujuk kepada satu pemikiran yang berkebolehan untuk menjana idea baru, menghasilkan produk dan mampu menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang baik. Perkataan inovasi dan reka cipta selalu dikaitkan dengan bukti kreativiti seseorang individu dari sudut kuantitaf yang boleh dinilai daripada mata kasar.

Dari aspek pendidikan, sistem pendidikan negara ini menjadikan latihan kemahiran berfikir kreatif sebagai keutamaan bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga sebagai sebuah subjek wajib dipelajari di hampir semua institusi pendidikan tinggi. Ia sebagai tanda komitmen sistem pendidikan untuk menyediakan pelapis modal insan berdaya fikir kritis dan kreatif.

Komitmen tersebut diperkukuhkan lagi dengan perlaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sekolah-sekolah.

Walaupun begitu, tidak semua individu mempunyai darjah kreativiti yang sama. Penulis berhadapan dengan pelajar yang berbeza latar belakangnya. Bagi program tertentu yang syarat kemasukannya ke peringkat diploma lebih tinggi, pelajar mempunyai daya kreativiti yang tidak memerlukan bimbingan yang banyak.

Tidak pula bagi pelajar yang lemah dan syarat kemasukan untuk mengikuti satu-satu program hanya memerlukan kelayakan minima, daya kreativiti pelajar ini pada tahap rendah.  Justeru, ia menuntut dedikasi yang tinggi supaya mereka berkemahiran fikir secara kreatif yang menjadi keperluan asas pada abad ke-21 ini.

Bual bicara interaktif tentang kreativiti

Atas keprihatinan kreativiti sebagai salah satu kemahiran hidup abad kini, subjek kemahiran berfikir kritis dan kreatif digubal untuk pelajar di bawah naungan Jabatan Pengajian Umum, Kolej Uniti.
Jabatan juga menganjurkan sebuah program bual bicara bersama individu kreatif di Malaysia iaitu Muhammad Akmal Mohamad Dahlan (usahawan dan jutawan muda yang mengasaskan Ladang Alam Warisan) dan Ibrahim Anon atau Ujang (kartunis yang menjadi fenomena pada awal 80 dan 90-an dan kartunis tunggal diberi pengiktirafan melukis kartun di atas piring emas).


Kedua-dua panel berkongsi usaha-usaha menjadi kreatif untuk berjaya dalam hidup walaupun menempuh pelbagai halangan. Kedua-dua panel bersetuju usaha tanpa henti untuk membangunkan kreativiti dalam diri dan jangan sesekali putus asa. Pemikir kreatif juga perlu bijak mengambil peluang yang terbentang luas dan paling penting berilmu.

Daripada perspektif ekonomi dan sosiobudaya pula, industri kreatif penting kerana menjana pulangan yang lumayan kepada kemajuan ekonomi negara seperti yang dicatatkan dalam laporan Kementerian Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan keuntungan sebanyak RM9.6 bilion.

Atas kepentingan ini, Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) digubal sebagai dasar induk untuk menetapkan prinsip-prinsip asas pembangunan industri kreatif. Dasar ini akan menjurus dan memacu segala kegiatan kreatif secara lebih produktif dan ekonomik melalui sinergi sektor awam dan swasta.

Industri kreatif yang dimaksudkan adalah melibatkan beberapa skop iaitu, industri kreatif multimedia, industri kreatif seni budaya dan industri kreatif warisan budaya yang bukan sahaja mempunyai nilaian dari sudut wang ringgit tetapi paling penting ia berwawasan untuk memartabatkan bangsa Malaysia.

Sebagai kesimpulan, tidak dinafikan kreativiti merupakan keperluan yang sangat penting abad ini.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membangunkan daya kreativiti dengan cara memahami kreativiti itu terlebih dahulu. Inisiatif dan insentif dalam membangunkan modal insan dengan daya kreativiti mengagumkan akan mengeluarkan bangsa ini daripada bangsa pengguna kepada pengeluar.

Hasilnya, negara dipandang tinggi dan martabat bangsa Malaysia dapat dijulang ke persada dunia. – 18 Februari, 2016.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/renc
ana/article/kreativiti-sebagai-kemahiran-hidup-abad-ke-21-faridah-mohd-tap#sthash.L4lZG8we.dpuf

Wednesday, 3 February 2016

PROGRAM "CEPAT BACA" DAN "I CAN READ" BANTU MENANGANI BUTA HURUF DI KALANGAN KANAK-KANAK

Malaysia pernah dikejutkan dengan pendedahan kadar buta huruf yang tinggi di negara ini. Pada 2012, laporan berita menyatakan lapan peratus daripada 6, 667 pelatih PLKN adalah mereka yang tidak boleh membaca. Justeru, ia mencetuskan polemik apatah lagi negara ini merupakan negara yang sedang membangun.


Di peringkat antarabangsa, pada tahun 2006, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyatakan terdapat 800 juta penduduk berusia 15 tahun ke atas gagal untuk membaca mahupun menulis nama mereka sendiri. Namun begitu, kadar literasi di Malaysia semakin baik kerana statistik juga menunjukkan penurunan saban tahun.



Sebagai ibu bapa adalah menjadi harapan yang besar supaya anak-anak mereka boleh membaca seawal usianya. Oleh itu, ibu bapa berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan awal  terbaik agar  berkebolehan membaca lebih awal. Sehubungan dengan itu, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM) dengan kerjasama Institute Helping Boys and Nurturing Girls (IHBNG) Kolej UNITI telah menganjurkan Program “Cepat Baca dan I Can Read” sebagai keprihatinan kepada keperluan itu.



Program yang dijalankan secara bersiri telah dilangsungkan dengan jayanya melibatkan 75 orang pelajar semester enam Diploma Pendidikan Pra Sekolah (DPS) Kolej UNITI. Program yang memakan masa satu hari itu telah dibantu oleh tenaga pensyarah yang menjadi fasilitator supaya dapat membimbing pelajar mencapai objektif program.





Menurut Siti Zaleha Ahmad selaku dekan fakulti berkata, program ini 
bertujuan memberikan pendedahan kepada para pelajar semester enam DPS  kemahiran ‘Cepat Baca’ dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan menggunakan kaedah fonemik. 



Tambahan lagi, menurut beliau, penganjuran program tersebut adalah bagi meningkatkan kemahiran pengajaran 'Cepat Baca' dan 'I Can Read' di kalangan pelajar sebagai persediaan menjalani latihan mengajar atau praktikum pada bulan Mei 2016 ini.

Seorang siswa DPS sedang mengaplikasi kaedah  'Cepat Baca' dalam program 'Cepat Baca dan I Can Read'

Manakala, Zakri Mohd Zain merangkap Pengurus Institut HBNG berkata, inisiatif ini adalah bagi mendedahkan kepada pelajar contoh-contoh permainan dan aktiviti pengayaan perbendaharaan kata lalu meningkatkan kemahiran membaca dengan teknik pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan di tadika.




Keseluruhannya, program siri pertama yang dijalankan di Dewan Za’aba, Uniti Village telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar. Mereka juga telah memberi kerjasama bagi menjayakan segala aktiviti ‘Cepat Baca’  mengikut panduan modul dan dibantu oleh fasilitator terlatih. Penganjuran program ini adalah sebagai inisiatif FPPM  bagi memastikan graduan DPS Kolej UNITI mempunyai kualiti yang diperlukan industri pendidikan awal kanak-kanak iaitu berkebolehan mendidik dan membantu proses cepat baca di tadika-tadika dengan strategi P&P yang efektif. 









Tuesday, 2 February 2016

AMBIL TAHU: Polisi pengambilan kanak-kanak di tadika – Nur Akmar Mohd Ariff

PELUANG KEUSAHAWANAN BERSAMA UNITIMART.COM DI KOLEJ UNITI PORT DICKSON

KOLEJ UNITI, PORT DICKSON 29 JANUARI- Keusahawanan secara atas talian sebagai sebuah gaya perniagaan terkini memberi inspirasi kepada UNITIMART bagi mengadakan taklimat Ambassador Unitimart.com kepada 20 orang siswa-siswi terpilih daripada Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Kolej UNITI Port Dickson baru-baru ini.

Displaying IMG-20160130-WA0003.jpg

Program Ambassador Unitimart.com telah dikelolakan oleh Puan Norsa’adah Mohamad Bahri selaku Pengurus Operasi agensi di bawah Kolej UNITI Port Dickson bersama penggerak lainnya.

Puan Norsa'adah sedang memberikan taklimat Ambassador Unitimart.com kepada siswi FPPM







Antara objektif program tersebut adalah sebagai pendedahan kepada siswa/i FPPM Kolej UNITI Port Dickson tentang pasaran atas talian yang menjadi keperluan dan gaya perniagaan era ini untuk menjana pendapatan melalui komisyen dalam jualan.



Penganjurannya juga adalah sebagai usaha meningkatkan kemahiran, keyakinan dan minat pelajar FPPM dalam bidang keusahawanan atas talian selain dapat membantu pelajar membina kerjaya alternatif bagi mengelakkan graduan FPPM tersenarai dalam  statistik pengangguran yang kian meningkat saban tahun disebabkan oleh pelbagai faktor.




Taklimat yang dijalankan selama dua jam di Makmal Komputer Uniti Village mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta yang terpilih juga merupakan penggerak utama kepada program Ambassador Unitimart.com ini.