Pages

Wednesday, 17 January 2018

Kaedah dan Teknik Pembelajaran Berkesan untuk Remaja- Asyraf Azeman

Ihsan imej: pinterest.com
Alam remaja seringkali dikaitkan dengan jiwa yang 'rebellious'. Ini merupakan antara cabaran bergelar remaja yang mengalami situasi kritikal dalam penentuan 'stail' dan pembawaan dirinya dalam masyarakat.


Istilah remaja merujuk kepada individu sekitar umur 13 tahun hingga 25 tahun. Mereka sedang mempersiapkan diri menuju kematangan. Dengan perkataan lain, mereka ini adalah 'budak baru nak up'. '


Kenapa tempoh remaja sangat kritikal?

"Remaja sedang mengalami perubahan secara biologi secara drastik yang mempengaruhi emosi dan fizikal diri mereka. Mereka diapit oleh dua zaman iaitu zaman sebagai seorang kanak-kanak dan zaman menuju kedewasaan. Tempoh peralihan dalam zaman remaja inilah mereka cenderung mengalami situasi 'storm and stress' yang agak kompleks. Tempoh ini kritikal kerana mereka sedang berusaha membentuk identiti diri dalam menyerlahkan keterlibatannya dalam masyarakat." Jelas Asyraf Azeman, selaku pensyarah bidang kauseling Kolej UNITI Port Dickson.


"Justeru, seorang pendidik perlu memahami ciri-ciri remaja untuk menyesuaikan dengan pendekatan pengajaran agar pembelajaran untuk mereka berkesan. Ini kerana setiap pelajar adalah unik. Pembelajaran akan berkesan apabila memahami gaya belajar pelajar." Tambah beliau lagi.



Mahu tahu apa yang perlu ada untuk menjadi pensyarah yang disayangi remaja?

Ihsan imej: Pinterest.com
1. Bina Hubungan Hati:

Selain daripada menyesuaikan gaya pembelajaran anak didik, pensyarah juga perlu berkemahiran untuk menyentuh hati pelajar. Apabila telah terbina hubungan hati antara pendidik dan anak didik, maka timbul kepercayaan yang akan mendorong remaja ini berubah dengan lebih positif.


2. Bersikap Jujur:

Selain hubungan hati, pensyarah juga perlu berlaku jujur dengan pelajar iaitu bersikap neutral, terbuka dan spontan kerana perwatakan itu menjadikan hubungan pensyarah dan anak didiknya lebih rapat.

3. Bersikap Mesra

Remaja menyukai sekiranya mereka dianggap sebagai kawan. Justeru, pendidik remaja perlu juga mengamalkan sikap mesra agar golongan remaja tidak terasa jurang. Namun, kemesraan itu mestilah tidak melangkaui batas hubungan formal sebagai pensyarah dan pelajar.


Kesimpulannya, bukan soal pendekatan dan teknik pembelajaran dan pengajaran pensyarah yang salah tetapi ia tentang bagaimana kita menyesuaikan teknik dan gaya pembelajaran mengikut anak didik kita yang rencam supaya pembelajaran berjalan dengan efektif.




Tuesday, 16 January 2018

Slot Bersama Ustazah Sara- '“SAYA TAK PANDAI SANGAT AGAMA NI….”

Sekarang ni banyak sangat isu dan masalah yang berkaitan dengan moral.

Kadang-kadang rasa macam tak masuk akal macamana manusia boleh buat perkara yang tidak berperikemanusiaan.

Tiba-tiba teringat pada seorang pelajar Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR) Kolej UNITI Port Dickson...pelajar baru ambilan September …

Namanya Erisshah..sedap namanya selembut orangnya.

Hari pertama kelas berlangsung dimulakan dengan sesi ta’aruf. Almaklumlah tak kenal maka tak sayang kan? Ewah!!!

Jadi macam biasa soalan wajib ustazah pada semua pelajar saya yang nak ambil bidang ini,

“Erisshah..boleh saya tahu kenapa awak nak ambil bidang agama ni?” Tanyaku kepadanya.

“Erm… ustazah sebenarnya saya tak berapa pandai dalam bidang agama…tapi saya suka tengok orang yang belajar agama…”. Balasnya.

Alhamdulillah...

Lapang hati rasanya dengar bila masih ada orang yang berminat dengan bidang agama ni.


Bukan apa…ramai yang fikir bila ambil bidang agama je mesti jadi ustaz dan ustazah sedangkan sebenarnya banyak sangat ruang dan manfaat lebih-lebih lagi untuk diri sendiri dan keluarga.


Tahun 2018, Erisshah akan berada di semester dua. 

Alhamdulillah keputusan peperiksaan akhirnya sangat baik. 

Semoga Erisshah akan terus bersemangat untuk mencari ilmu dunia dan akhirat ini.

Moralnya,ustazah nak simpulkan, ‘biar tidak pandai tapi mahu belajar’. Kerana keazaman untuk belajar menjadikan pelajar ini seperti mutiara di lautan. Terbenam tapi bernilai. Tugas ustazah untuk mengenal dan menggilap potensi pelajar-pelajar dibawah kelolaan ustazah agar dapat menjadi seumpama mutiara. 




Nak tahu apa manfaat lain dalam bidang DPISR ni…

Jom hubungi ustazah Sara sekarang di talian: 016-556 2784 (HP) atau emel: nursara@uniti.edu.my


(Ustazah Nursara Yaacob merupakan Ketua Program bagi Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR) Kolej UNITI Port Dickson. Berkelulusan dalam bidang ijazah sarjana muda Usuluddin Tafsir Hadis, Universiti IAIN Sumatera Utara, Medan Indonesia. Berpengalaman mengajar lebih tujuh tahun di kolej ini.)

Monday, 15 January 2018

Tinta Dekan: 'Basmi Jenayah Seksual Kanak-Kanak Tanggungjawab Bersama"- Puan Hidayah Tokiman





Ini FAKTA yang menakutkan!!!!


22 234 kes penderaan seksual kanak-kanak telah direkodkan sepanjang tahun 2010 hingga Mei 2017? (Statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)).




Pecahan statistik  merekodkan jenayah rogol adalah yang tertinggi iaitu 13 272 kes, diikuti oleh cabul 6014 kes, sumbang mahram 1796 dan perbuatan luar tabii 1152 kes.


Apa itu penderaan seksual ke atas kanak-kanak?



Menurut Akta Kanak-Kanak 2001; penderaan seksual “terjadi apabila seorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud/ eksploitasi seks bagi apa-apa maksud/ eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu / orang lain”


Penderaan seksual memberi kesan besar kepada perkembangan kanak-kanak samada jantina lelaki dan perempuan.  Ia mempengaruhi perubahan besar dan traumatik dalam kehidupan mangsa penderaan ini. Antara kesan penderaan adalah:


1.     Rasa rendah diri dan tidak yakin yang kronik.
2.     Perasaan bersalah dan rasa diri tidak berharga.
3.     Menjadi seorang yang perahsia / mengalami kemurungan.
4.     Pertuturan tidak sepadan dengan umur.
5.     Kecenderungan kepada berlakunya gangguan personality.
6.     Cenderung menjadi ganas/ liar/ agresif.
7.     Berkecenderungan untuk menjadi seorang pelacur.


Demikian itu, menjadi tanggungjawab setiap individu, komuniti, masyarakat dan agensi berkaitan bersama menjaga kepentingan perkembangan kanak-kanak tanpa mendedahkan mereka kepada sebarang risiko mahupun bahaya.




Konsep “kepentingan perkembangan kanak-kanak” menjadi tanggungjawab setiap individu demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup kanak-kanak dalam mendapat hak mereka.



Disediakan oleh:


Puan Hidayah Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,

Kolej UNITI Port Dickson.

Thursday, 11 January 2018

Travelog Aku Seorang Mahasiswa Kolej UNITI Port Dickson (Bhgn 2): Mengapa Diploma Pendidikan Prasekolah?- Syaza Haziqah (DPS)


Antara hasil sepanjang aku belajar DPS di Kolej UNITI Port Dickson.

****

Entri yang lepas, aku berhadapan konflik apabila gagal mengawal perasaan ‘kecewa’ kerana belajar di Kolej UNITI Port Dickson. 

Tapi, aku silap.


Belajar di Kolej UNITI Port Dickson adalah sebahagian takdirku.  Siapa pula aku untuk tidak redha dengan aturan Tuhan Yang Maha Mulia yang tahu segala terbaik untukku?


Kali ini, aku ingin menceritakan mengapa aku memilih bidang pendidikan prasekolah untuk pengajian diploma selama tiga tahun ini.


Begini permulaan ceritaku.


Aku seringkali ditanya orang, “Kenapa guru?” “Kenapa mesti cikgu tadika?”

Sudahlah gaji tak seberapa.  Kerjanya pula penat melayan kanak-kanak.

Apalah sangat cikgu tadika ni dan bla blaa blaaa.

Begitulah seterusnya.

Jujurnya, ‘mama’ku yang tercinta yang menasihatkan agar aku mendaftar diri dalam bidang pendidikan pra sekolah.

Sebagai anak yang baik (ehem), aku percaya apa yang ‘mama’ lakukan adalah yang terbaik. ‘Mama’ lebih mengenali aku berbanding diriku sendiri. Aku ikut sahaja.

Tapi, (nanti dulu…)

Bukan sepenuhnya keputusan ‘mama’ku.

Yes!!!! Sejak kecil aku sudah berangan ingin bergelar seorang guru.

Jap, meh aku nak ‘throwback’ sikit kenapa aku cakap aku bercita-cita menjadi cikgu.


“Waktu kecil aku suka main cikgu-cikgu dengan sedara mara. Aku suka pergi kedai RM1.99 beli pen ‘marker’ banyak-banyak (sambil mendepakan tangan). Konon-konon macam cikgu la ni. Cita-cita nak jadi cikgu matematik di sekolah menengah.Guru sekolah rendah aku yang bernama Cikgu Izzah menjadi inspirasiku. Dialah idola matematik aku.”


Jadi, mungkin dari situ, “mama” merasakan bidang pendidikan pra sekolah yang ditawarkan oleh Kolej UNITI Port Dickson adalah yang cocok untukku. ‘Mama’ memintaku terima tawaran Kolej UNITI Port Dickson melalui ‘SMS’.


Kenapa tak mohon UPU dulu? Mesti korang nak tanya soalan ni kan… Jangan tipulah, semua yang masuk kolej mesti ditanya soalan ini.


Begini, bukan aku tak mohon UPU. Aku dah mohon. Cuma bila check online katanya permohonan ditolak kerana maklumat tidak lengkap.

Macam kena panah halilintar aku rasa. Sedih buka kepalang kot. Hmmm….(Apa nak buat, tak ada rezeki)

Semua permohonan UPU dulu adalah berkaitan dengan bidang akaun. Kahkah… Nampak tak lari dari cikgu dan akauntan? Dua dunia yang berbeza.

Sebelum itu, ‘mama’ tak percaya aku boleh teruskan dalam bidang akaun.

Banyak kali mama tanya,

 “Betul ke jaja (nama panggilan aku dekat rumah) nak ambil bidang akaun ni? 
“Jaja boleh bawa ke?”
“Jangan pandang gaji bila kerja, tapi jaja yakin jaja boleh bawa?”Bertalu mamaku tanya.

Jujur cakaplah, aku sendiri tak yakin yang aku boleh bawa bidang akaun ni. Mungkin sebab aku pandang gaji sebagai akauntan ni tinggi. Sebab tu aku nak terjun ke bidang ni.

Tapi Allah Maha Hebat dan Maha Mengetahui segalanya, bukan takdir aku untuk menceburi bidang akaun ini.

Jadi mama suruh aku ambil Kos Diploma Pendidikan Prasekolah di Kolej UNITI Port Dickson. 

 “Mama tak mahulah jadi cikgu tadika, Aja mana pernah ada jiwa kesitu. Aja nak cikgu sekolah menengah”, aku  merungut dengan mama.

Mama pun memujukku, dengan sabar.

 “ Jaja, kalau Jaja jadi cikgu tadika. Jaja masih boleh jadi cikgu sekolah menengah. Tengok kawan mama, dulu dia ambil kos prasekolah tapi sekarang jadi cikgu pendidikan khas untuk sekolah menengah. Jaja jangan pandang gaji, tapi Jaja kena yakin. Mama yakin Jaja boleh jadi cikgu. Sambung belajar lepas habis diploma. Sambung belajar macam mama ayah buat dulu.” 


Aku akui, aku malu untuk duduk dalam ‘course’ ni ketika itu, tetapi kata-kata mama buat aku kuat.


Aku terima tawaran sambul belajar diploma di Kolej UNITI Port Dickson.


Alhamdulillah, aku kini di semester 4 pada 23.1.2018 ini (tak lama je lagi). Aku masih bertahan dalam jalan ini. Bila aku fikirkan semula, kata-kata ‘mama’ itulah sebenarnya buat aku kuat. Buat aku bertahan.

Ramai je yang perlekehkan bidang ini, tapi aku pekakkan telinga butakan mata. Peduli dengan kata-kata itu.

Jadi langkah dengan yakin, in shaa Allah kerana seorang perlekehkan kita, masih ramai yang menyokong kita dibelakang..(Ewah…gitu Jaja.)

Tiba-tiba aku teringat satu situasi.

Aku ikut ayah ke sekolah tempatnya mengajar. Aku ikut dia masuk ke kelas. Lalu air mataku mengalir serta merta.

Aku tertunduk dan istighfar.

Aku berkata dalam hati, “ Ya Allah, kau berkatilah hidup ayah aku ini Ya Allah.”

Sungguh bukan senang untuk didik anak istimewa tetapi dia la Engkau pilih ya Allah. Ayahku hebat dan tabah.

Ketika itu, anak muridnya seoarang autism menunjukkan hasil mewarnanya. Ayahku memuji hasil anak itu dengan penuh gembira. Memang ayahku memang pendidik yang tabah.

Melihat ayah buat aku semakin semangat meneruskan pengajian dalam pendidikan pra sekolah di Kolej UNITI Port Dickson ini. Ini yang aku pilih. Bukan lagi ‘mama’. Tapi ini adalah pilihanku sendiri.

Ini barang-barang wajib ada untuk aku hasilkan tugasan kursus yang menarik.

Aku berkeyakinan suatu hari nanti, aku bakal ajar anak yang akan menjadi pemuda dan pemudi harapan bangsa, agama dan negara.

Mengapa aku perlu malu?

Mengapa aku perlu takut dan tunduk dengan kata-kata yang menjatuhkan aku?

Segala langkah yang aku ambil ada hikmah dari-Nya.

Jadi, jangan kita takut dengan mereka yang menjatuhkan, ingat itu juga adalah ujian kasih sayang dari Allah.

Dia mahu lihat samaada kita akan terus melangkah dan yakin akan takdir dari-Nya, atau menoleh dan mengalah begitu saja. Jadilah pendidik kerana-Nya. Maka segala langkah kita kearah itu akan dibantu oleh-Nya . in shaa Allah!

Doakan aku kawan-kawan.

Aku tanam azam didalam hatiku, aku mahu jadi pendidik yang berjaya!

Aku mahu jadi pendidik seperti mama dan ayahku!

Aku mahu buktikan pada semua bahawa bidang ini, bukanlah bidang biasa-biasa tetapi luar biasa.

Bidang ini bukanlah perkara yang terburuk yang aku pilih. Doakan aku moga aku dapat buka cawangan tadika sendiri satu hari nanti! Tadika untuk kanak-kanak normal dan istimewa. In shaa Allah!

Aku sebahagian daripada Diploma Pendidikan Pra Sekolah 

Bersambung….

(Korang pun 'share'lah story kenapa pilih bidang pengajian korang skrg...sporting ahh sikit. Boleh bina semangat ingin berjaya bersama-sama...)

Puisi "Kehidupan"- Syafirah Syafiqah (DPISR)


***

Kapas tak selalu putih,
Begitu juga Hatiku,


Air tak selalu jernih
Begitu juga ucapanku


Langit tak selalunya biru
Begitu juga hidupku


Menjalani kehidupan di dunia,
Adakalanya jatuh tersungkur
Adakalanya tersepit di lorong sepi,


Namun harus di ingati,
Bila nama Manusia, pasti akan diuji
Dunia memang pahit,
Kerana syurga itu manis


Tersenyumlah!
Antara berjuta, engkau yang dipilih


Oleh,

FiraFiqah 
DPISR Kolej UNITI Port Dickson

Wednesday, 10 January 2018

“Masuk cara baik,keluar pun cara baiklah!”- Ustazah Sara


SLOT CERITERA @ TAK KENAL MAKA TAK SAYANG BERSAMA USTAZAH SARA (KETUA PROGRAM DPISR)


“Masuk cara baik,keluar pun cara baiklah!”

2017.

Tahun pertama saya diamanahkan untuk menjaga pelajar –pelajar Diploma Pendidikan Islam Sekolah Rendah (DPISR) Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson.

Banyak cabarannya. Fuhhhh… Kus semangat!!! (Mak-mak sangat bunyinya)

Cerita kali ini, ustazah Sara ingin kongsikan kisah benar seorang pelajar.

“Namanya???” (mesti korang baru nak bertanya kan..kan..kan???)

Nama sebenar biarlah rahsia.  Mr. F jelah Ustazah gelarkan.

Begini ceritanya...(Sila FOKUS)

 Masa sedang Ustazah sibuk menguruskan beberapa perkara, tiba-tiba ustazah dikejutkan dengan satu mesej wasapp…

Terpancar di skrin teks,

“Puan Sara, tolong update dengan pelajar DPISR namanya Mr. F.katanya nak berhenti. Saya dapat makluman dari HEP dan EA!”

Tegas sekali arahan yang diterima. Tapi jiwa ustazah #kental.

Sudah tentu sebagai ketua program ustazah bertanggungjawab terhadap segala hal ehwal pelajar-pelajar saya. Ehem…

Termenung sekejap memikirkan apa yang perlu ustazah buat.

Terus ustazah capai handphone dan wasapp ke nombor Mr. F.

“Assalamualaikum Mr. F. Saya nak tanya, betul ke awak nak berhenti? Kalau nak berhenti kenapa tak maklumkan pada saya sendiri.”

“ waalaikumussalam ustazah, maaf ustazah, memang saya ada terfikir untuk berhenti tapi belum pun maklumkan untuk berhenti…Baru je terfikir…” Balasnya.

“Baiklah…kalau betul nak berhenti maklumkan kepada ustazah, jangan lari macam tu sahaja…kena ikut prosedur yang betul yee....”


Kalau ustazah muda remaja macam kamu, mungkin ustazah akan cakap begini… “Masuk  Cara Baik, Keluar Pun Cara Baiklah…” Sambil tepuk bahu kamu.

****

Apa yang terjadi kepada Mr. F?

Memang dia hanya terfikir sahaja mahu berhenti.

Sekarang ni haa elok je dah berada di Semester 3. 

Setakat ini prestasi pencapaian akademik Mr. F amat baik dan tidak mengecewakan malahan nampak lebih berkeyakinan sekarang.

Alhamdulillah.

Pesan ustazah, jiwa kena #kental. 

Jangan mudah dipengaruhi rakan-rakan yang cabut lari kerana masa depan anda adalah pilihan diri pada hari ini. Kenalah beradab kelak kau menanggung masalah. 

Ustazah Sara doakan Mr. F, agar terus istiqomah berusaha menjadi insan yang mampu memberi manfaat kepada orang lain.InsyAllah. Biiznillah.


(Coretan dan laras bahasa ini diolah oleh admin sesuai dengan target pembaca di kalangan remaja lepasan SPM).


#sayasukaDPISR
#ADABKITAAKHLAKKITA

#KOLEJUNITIPILIHANTERBAIKANDA

Tuesday, 9 January 2018

Tugas Mendidik, Tugas Mulia- Faridah Mohd Tap


“Risalah dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w sarat dengan ilmu. Tugas paling dasar seorang guru pula dari perspektif Islam ialah mentarbiyyah manusia ke jalan Allah S.W.T. Jadi guru adalah pembawa ilmu dan penyambung dakwah Islam kepada manusia. Tugas mendidik ini sudah tentu tugas mulia.” Ujar Al-Fadhil Ustaz Mohd Nafis Berhan dalam sebuah Bengkel Pengajaran, Pembelajaran dan Pemudahcara bersama barisan pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson baru-baru ini.


Al-Fadhil Ustaz Nafis yang juga merupakan pengasas Diploma Pengajian Islam Kolej UNITI Port Dickson 1997, telah mengupas tajuk ‘Matlamat Pendidikan Islam-Tugas dan Peranan Seorang Guru” dengan penuh hikmah yang mencelikkan semula tenaga pengajar FPPM, Kolej UNITI Port Dickson bahawasanya tugas kependidikan yang digalas merupakan amanah yang berat.


Antara yang menarik dalam perkongsian Al-Fadhil Ustaz Nafis ialah peranan seorang guru sebagai pembawa ilmu.


LIMA ASAS PEMBAWA ILMU WAJIB MILIKI ialah:-


1)      Guru perlu sedar bahawa ilmu yang dimiliki adalah milik Allah Ta’ala. Maka, seorang guru wajar sentiasa memperbaharui niat menyampaikan ilmu untuk mendapat redha Allah dan keberkatan semata-mata. Pengkhianatan kepada ilmu merupakan suatu perkara yang lebih dasyat daripada khianat terhadap harta benda. Justeru, seorang guru itu perlu sentiasa jujur dengan kata-katanya bersandarkan kepada batasan  ilmu pengetahuan yang diketahuinya sahaja.

2)      Seorang guru tidak patut sama sekali mengaibkan anak murid. Kerana tugas guru adalah mengeluarkan anak murid dari kebodohan kepada cahaya ilmu yang akan mengangkat martabat mereka sebagai seorang insan dan khalifah Allah. Justeru, jangan bersedih dan berputus asa walau mendapat anak murid yang bodoh dan lemah serba serbi.

3)      Seorang guru mestilah sentiasa tawadhuk dengan ilmunya. Ibarat resmi padi, semakin berisi semakin menunduk ke bumi. Ia kerana segala ilmu yang dimiliki adalah anugerah Ilahi. Jika buka keranaNya, mana mungkin kita mulia.

4)      Seorang guru tidak wajar merasa rendah diri sehingga membenarkan kezaliman bermaharajalela. Kerana sifat ilmu itu ialah mulia dimana-mana.  Justeru, tidak ada sesuatu pun yang lebih mulia melainkan dengan ilmu. Menjadi ulama’ merupakan penyuluh kepada pemerintah. Menjadi guru, menjadi penyuluh kepada manusia.

5)      Guru sebagai pembawa ilmu perlu lebih dulu mengamalkan ilmu yang dimilikinya. Sungguh celakalah seorang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Bagi memastikan ilmu sentiasa diamal, seorang guru perlu beriltizam meninggalkan segala maksiat kecil dan besar, berasa khauf (takut) kepada Allah, Istiqomah dan berlaku amanah kepada hak Allah, diri dan manusia lainnya.



Oleh itu, teruslah menggilap hati agar terpancar jiwa pendidik dalam diri. Ustaz juga berpesan,apabila hati diisi dengan mengharapkan kebendaan, maka redha Allah juga semakin menjauh. Marilah kita perbaharui niat mencintai tugas mendidik sebagai seorang guru, kerana tugas itu merupakan kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T selaku pembawa ilmu dan risalah nabi. 




Disediakan oleh, 


Puan Faridah Mohd Tap
Unit Media, 
FPPM, Kolej UNITI Port Dickson

Monday, 8 January 2018

Slot Ceritera: 'Selagi ada kanak-kanak selagi itu ada prospek kerjaya'- Noor Yasmin Mohd Yatim

Dr. Bustamam di hadapan kedai pengusaha lulusan awal kanak-kanak.


Pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia sudah mendapat tempat di dalam masyarakat. Pendedahan yang berterusan dan kesedaran tentang pentingnya pendidikan seawal usia telah dilakukan oleh banyak pihak.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat, dari pihak kerajaan, swasta, individu berpengaruh, badan-badan oraganisasi sosial dan banyak lagi.

Pendidikan awal kanak-kanak memberikan peluang kerjaya yang sangat luas kepada graduan. Ini kerana pasaran kanak-kanak berada di mana-mana dan bayi dilahirkn setiap jam di Malaysia. Ini membuktikan peratusan kanak-kanak di Malayia adalah ramai dan berterusan.

 Graduan tidak perlu risau mengenai prospek kerjaya kerana bidang ini menjanjikan peluang kerjaya yang sangat luas dari pelbagai sudut.

Kerjaya di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak bukan hanya akan berakhir sebagai guru atau pengasuh sahaja.

 Graduan pendidikan awal kanak-kanak seharusnya lebih berbangga kerana peluang kerjaya tidak akan surut dan susut walaupun ekonomi merudum. Selain menjadi pengasuh dan guru, graduan juga boleh menceburkan diri dalam bidang nyanyian kanak-kanak, penulisan buku, penerbitan buku, penulisan skrip drama kanak-kanak, bekerja di taman tema seperti Legoland, Universal Studio, Kidzania, Maps, pengiklanan, penghasilan produk permainan dan kraf.

Selain menjadi pengusaha taska dan tadika, graduan juga boleh menjadi usahawan dalam pelbagai bidang perniagaan seperti menjadi konsultan, pengasuh peribadi dan membuka pusat permainan. Malah, sektor pelancongan, perubatan, hiasan dalaman juga memerlukan sentuhan pendidikan awal kanak-kanak dan pelbagai lagi.

Gabungan perniagaan dan pendidikan, dalam bahasa Inggeris di sebut ‘edutainment’ juga semakin menjadi trend di Malaysia. Tidak salah sekiranya graduan mencuba di dalam bidang ini.


Pokoknya, graduan haruslah lebih kreatif dan berdaya saing, kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Semuanya memerlukan usaha, semangat ingin mencuba dan mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang baru.

Tambahan pula, graduan juga boleh mencuba nasib untuk bekerja di luar negara kerana silibus pendidkan awal kanak-kanak adalah setanding antarabangsa dan pendidikan awal kanak-kanak adalah bersifat global!


Maka, usah risau dan ‘stress’ untuk memilih dan meneruskan pengajian di dalam bidang ini. Anda telah membuat pilihan yang bijak. Bukan hanya anda akan aplikasikan kepada anak orang lain, tetapi juga untuk keluarga anda sendiri.


Secara tidak langsung, lahirlah generasi yang lebih baik dan hebat kerana masyarakat yang hebat lahirnya dari institusi kekeluargaan yang utuh.


Saranan saya kepada para graduan adalah untuk terus mendokong dan menyokong segala yang berkaitan bidang pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia mahupun antarabangsa. Selamat maju jaya dan teruskan menuntut ilmu, kerana menuntut ilmu itu jalan ke syurga.



Disediakan oleh,

Noor Yasmin Binti Mohd Yatim

  • Pengusaha Taska Citra Alam, 2014 hingga kini.
  • Pengusaha Busy Kids Centre, 2017 hingga kini.
  • Graduan Diploma Pendidkan Awal kanak-kanak, Kolej Islam Antarabangsa
  • Sarjana Muda Pendidkan Awal kanak-kanak, Management & Science University
  • Sedang melanjutkan pelajaran Sarjana  Pendidikan Awal Kanak-kanak, Open University Malaysia. 


Wednesday, 3 January 2018

Puisi "Makna Tahun Baru"- Syafirah Syafiqah

Dataran Ibn Sina, Uniti Village, Kolej UNITI Port Dickson


***

Masa semakin berlalu pantas
Moga kita tidak terhanyut lemas
Umat semakin lemah mudah dipintas

Tahun baru ini bukan untuk bersuka ria,
Tahun baru ini bukan untuk bergelak tawa,
Tahun baru ini seharusnya mengenang semula,
Apa yang telah diri lakukan sepanjang usia

Jangan kau kotori lagi tanganmu dengan dosa,
Sebaliknya mohonlah ampun dariNya,
Sebarkanlah sayapmu dengan kebaikan
Jangan kau hancurkan apa yang telah dibangunkan

Dunia sudah Tua,
Usia juga sudah berangka,
Tahun baru ini bukan untuk sia-sia,
Sebaliknya untuk mengenang dosa kita

Tahun baru,
Semoga Hati juga Baru
Tahun baru,
Moga Amal meningkat selalu

***


Salam sayang, 

FiraFiqah
DPISR Kolej UNITI Port Dickson

SIRI TRAVELOG: "AKU SEORANG MAHASISWA KOLEJ UNITI PORT DICKSON" (Bahagian1)- Syaza Haziqah

Rasa marah dan kecewa itu hanya sementara...



29.03.2016.

Tarikh aku mendaftar diri di Kolej UNITI Port Dickson.

Tarikh keramat ini aku digelar sebagai Mahasiswa di sebuah IPTS.

Seperti kebanyakkan kawan-kawan sebayaku, kami begitu teruja memasuki IPT kerana ia menjadi lambang kemegahan bagi semua pelajar lepasan SPM.

Selepas keputusan SPM diumumkan, aku mula berangan-angan sambung belajar dalam bidang yang aku suka di tempat yang megah.

Aku membayangkan tempat belajarku pasti selesa, cantik, gah dan hebat.

Tetapi angan-anganku mati. Aku seolah-olah terperanjat dengan apa yang kulihat.

Kolej UNITI Port Dickson bukanlah satu kolej yang se gah yang dibayangkan tetapi sekadar biasa-biasa sahaja.


Aku bersedih.

“Mengapa aku dicampakkan disini?” Tangisku setiap hari.

Aku sering menanyakan soalan itu pada diri seolah-olah mempersoalkan takdir dari-Nya.

Allahu.

Dua minggu awal menjejaki Kolej Uniti Port Dickson, air mata tidak henti mengalir.
Tiap-tiap malam mata ini mengeluarkan tangisan.

Tangis kerana rindu akan keluarga, rindu mama dan ayah. Almaklumlah aku tidak pernah berjauhan dari mama ayah.

“Sampai bila aku akan menangisi nasib diri?” Monologku didalam hati.

Maka, suatu hari aku memaksa diri untuk turun ke surau mencari niat dan cita-cita yang telah aku tanam sebelum memasuki Kolej UNITI Port Dickson.

Sebelum memasuki Kolej UNITI Port Dickson, ayah telah membawa aku melihat Kolej UNITI Port Dickson ini terlebih dahulu.

Kolej ini berdekatan dengan rumah nenek.

Reaksi pertama kali tengok kolej ini adalah sedih sebab tidak gah langsung kolej ini.

Sudahlah berada di hujung kampung dan agak jauh dari pekan mahupun bandar.

Dalam hati, aku memberontak tidak suka.

Balik rumah termenung mengenang nasib diri.

Beberapa hari kemudian, hati tergerak nak buat sedikit pembacaan tentang Kolej UNITI Port Dickson ini melalui google.

Terbit rasa bahagia sedikit sebab kolej ini kolej yang agak Islamik.

Jadi aku berdoa setiap hari kepada Allah agar dipertemukan dengan seorang insan yang akan mengajar diriku makna Islam dan Al-Quran.

Alhamdulillah, Allah Maha Mendengar akan doa hamba-Nya.

Disini, aku belajar akan powernya kuasa doa itu. Allah dengar akan doa aku sebagai hambaNya yang lemah.

Pada hari pertama aku masuk ke Kolej UNITI Port Dickson, rakan serumah telah mengajakku ke surau untuk menunaikan solat maghrib disana.

Aku ikutkan sahaja.

Seusai solat maghrib, aku melaksanakan solat hajat.

Habis sahaja solat hajat, aku menangis kerana rindu akan mama dan terkenangkan dosa-dosa yang lalu. Lalu, Allah gerakkan hati untuk pandang kekanan. 


Terus diri ini terlihat  seorang hamba Allah yang memakai telekung berwarna merah.

Tanpa segan silu, aku  menarik dia,

“ Boleh saya pinjam akak sekejap?”, aku memulakan bicara walaupun tanpa mengenali dia.

Akak tersebut kehairanan melihat aku kerana menangis teresak-esak.

Tanpa berselindung, aku menceritakan kepada akak tersebut siapa diriku dan mengapa aku menangis.

Punyalah hebat kuasa Allah, aku bercerita segalanya kepada akak itu seolah-olah kami sudah mengenali untuk tempoh yang lama.

Dialah orang pertama di Kolej UNITI Port Dickson yang aku percaya dan tahu dilema aku.

Aku menyatakan betapa aku merindui ibubapaku.

 “Akak lagi jauh dik, akak duduk Sabah”. Katanya ringkas sambil tersenyum.

Tergamam aku dibuatnya, macam manalah dia boleh setabah dan sekuat ini.

Aku  tidak mengenali diri dia, siapa dia, nama dan kursus yang diambil, tetapi hati ini kuat mengatakan bahawa “ aku sudah ketemu dengan orang yang aku cari. Terima kasih Allah”.

Hari demi hari aku berjumpa dengannya di surau perempuan Uniti Village. Kami membina ukhhuwwah.

Banyak ilmu yang aku peroleh dari dia. Dia ambil kursus Diploma Pengajian Islam di Kolej UNITI Port Dickson ini.

Sekali lagi, aku kagum akan kuasa doa kerana dipertemukan dengan orang yang benar.

“Akak, saya sedihlah kenapa Kolej UNITI Port Dickson ni tak macam kolej lain?
“Belajar dalam kabin dan biasa-biasa je. Tak kelihatan macam kolej atau universiti pun.” Aku mengeluh kepadanya.

Akak itu tersenyum lalu dia menjawab,

Syaza, kita kena bersyukur kerana punya tempat untuk belajar. Tak kisahlah tempat itu hebat atau tidak, kita tetap kena bersyukur. Kita datang sini dengan niat nak belajar kan? Jadi kenapa kita perlu merungut hanya kerana kolej ini tidak seperti univerisiti lain.”
Dia menjawab sambil senyum dan berkata lagi.


 “Cuba syaza bayangkan, anak-anak sekolah pondok yang belajar Al-Quran atap mereka bocor. Tidur pun dalam keadaan yang tidak selesa seperti kita yang punya katil. Kita harus bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Jangan pandang mereka yang diatas kita, maka susah untuk kita mengucap syukur kepada-Nya. Tetapi pandanglah mereka yang dibawah kita, sesungguhnya kita akan rasa kitalah manusia yang paling beruntung”. Mendengar jawapan akak ini buat aku termenung jauh.


Hari pertama Allah dah tunjukkan dekat diri ini bahawa Dia menyayangiku. Dia menggerakkan hati ini untuk menjejak kaki ke surau.

Mencari makna disebalik niat yang sering disebut oleh mama, ayah dan sanak-saudaraku apabila diri ini sudah masuk ke kolej dan bergelar mahasiswa.

Aku bersyukur ke hadrat Illahi kerana menjawab segala pertanyaan dan keinginan diri yang hina ini.

‘Adakah aku sedia bergelar Mahasiswa?’ persoalan ini hanya diri kita boleh jawab sekiranya niat yang kita bawa ke Kolej itu adalah benar dan kerana-Nya.

Ingatlah, walau dimana kita belajar kita harus perbaiki niat kita dan ikhlas hati untuk menuntut ilmu. Tidak kisahlah dimana sekali pun kita belajar, agama jangan sesekali dilupakan. Biarlah seimbang dunia dan akhirat.

Lalu bermulalah pengembaraanku sebagai mahasiswa Kolej UNITI Port Dickson dengan semangat dan azam baru.




Bersambung….