Pages

Tuesday, 9 January 2018

Tugas Mendidik, Tugas Mulia- Faridah Mohd Tap


“Risalah dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w sarat dengan ilmu. Tugas paling dasar seorang guru pula dari perspektif Islam ialah mentarbiyyah manusia ke jalan Allah S.W.T. Jadi guru adalah pembawa ilmu dan penyambung dakwah Islam kepada manusia. Tugas mendidik ini sudah tentu tugas mulia.” Ujar Al-Fadhil Ustaz Mohd Nafis Berhan dalam sebuah Bengkel Pengajaran, Pembelajaran dan Pemudahcara bersama barisan pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson baru-baru ini.


Al-Fadhil Ustaz Nafis yang juga merupakan pengasas Diploma Pengajian Islam Kolej UNITI Port Dickson 1997, telah mengupas tajuk ‘Matlamat Pendidikan Islam-Tugas dan Peranan Seorang Guru” dengan penuh hikmah yang mencelikkan semula tenaga pengajar FPPM, Kolej UNITI Port Dickson bahawasanya tugas kependidikan yang digalas merupakan amanah yang berat.


Antara yang menarik dalam perkongsian Al-Fadhil Ustaz Nafis ialah peranan seorang guru sebagai pembawa ilmu.


LIMA ASAS PEMBAWA ILMU WAJIB MILIKI ialah:-


1)      Guru perlu sedar bahawa ilmu yang dimiliki adalah milik Allah Ta’ala. Maka, seorang guru wajar sentiasa memperbaharui niat menyampaikan ilmu untuk mendapat redha Allah dan keberkatan semata-mata. Pengkhianatan kepada ilmu merupakan suatu perkara yang lebih dasyat daripada khianat terhadap harta benda. Justeru, seorang guru itu perlu sentiasa jujur dengan kata-katanya bersandarkan kepada batasan  ilmu pengetahuan yang diketahuinya sahaja.

2)      Seorang guru tidak patut sama sekali mengaibkan anak murid. Kerana tugas guru adalah mengeluarkan anak murid dari kebodohan kepada cahaya ilmu yang akan mengangkat martabat mereka sebagai seorang insan dan khalifah Allah. Justeru, jangan bersedih dan berputus asa walau mendapat anak murid yang bodoh dan lemah serba serbi.

3)      Seorang guru mestilah sentiasa tawadhuk dengan ilmunya. Ibarat resmi padi, semakin berisi semakin menunduk ke bumi. Ia kerana segala ilmu yang dimiliki adalah anugerah Ilahi. Jika buka keranaNya, mana mungkin kita mulia.

4)      Seorang guru tidak wajar merasa rendah diri sehingga membenarkan kezaliman bermaharajalela. Kerana sifat ilmu itu ialah mulia dimana-mana.  Justeru, tidak ada sesuatu pun yang lebih mulia melainkan dengan ilmu. Menjadi ulama’ merupakan penyuluh kepada pemerintah. Menjadi guru, menjadi penyuluh kepada manusia.

5)      Guru sebagai pembawa ilmu perlu lebih dulu mengamalkan ilmu yang dimilikinya. Sungguh celakalah seorang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Bagi memastikan ilmu sentiasa diamal, seorang guru perlu beriltizam meninggalkan segala maksiat kecil dan besar, berasa khauf (takut) kepada Allah, Istiqomah dan berlaku amanah kepada hak Allah, diri dan manusia lainnya.



Oleh itu, teruslah menggilap hati agar terpancar jiwa pendidik dalam diri. Ustaz juga berpesan,apabila hati diisi dengan mengharapkan kebendaan, maka redha Allah juga semakin menjauh. Marilah kita perbaharui niat mencintai tugas mendidik sebagai seorang guru, kerana tugas itu merupakan kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T selaku pembawa ilmu dan risalah nabi. 




Disediakan oleh, 


Puan Faridah Mohd Tap
Unit Media, 
FPPM, Kolej UNITI Port Dickson

0 comments:

Post a Comment