Pages

Tuesday, 30 January 2018

Anak Bijak Suka Bertanya- Puan Rohafizah Mohammad Nasir

“ Ibu, kenapa bulan sentiasa ada dimana-mana saja?” Ziyad bertanya kepada ibunya.

 “Bila Ziyad dirumah ibu bulan ada, bila dirumah nenek pun bulan ada.” “Bulan ikut Ziyad ye ibu?” Ibu…..oooo…ibu!!

 Wahai ibu-ibu jawablah!!


Sedar atau tidak, itulah anak-anak kecil yang pada azalinya memang suka bertanya tanpa rasa jemu dan penat. 

Sesuai dengan naluri ingin tahu yang tinggi, kanak-kanak seawal usia tiga atau empat tahun, mereka akan bertanya mengapa begitu, mengapa begini dan bermacam-macam soalan lagi.

 Wahai ibu-ibu, jangan cepat naik angin.

 Layanilah setiap pertanyaan anak-anak dengan jujur dan bahasa yang mudah difahami.

 Respon yang baik akan membantu proses berfikir dan pemahaman kanak-kanak.

Antara sebab anak-anak suka bertanya :

§  Minat terhadap peristiwa yang berlaku di sekitarnya
§  Anak-anak ingin memahami penjelasan yang diberikan
§  Ingin menarik perhatian dan tumpuan



Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita haruslah mempunyai beberapa kemahiran untuk melayani karenah anak-anak bijak yang suka bertanya.

Thursday, 25 January 2018

Slot Ceritera: "Siapa Kata Guru Tadika Mesti Perempuan? Cikgu Hisham berjaya buktikan Cikgu Tadika lelaki boleh berjaya dalam bidang yang didominasi perempuan ini..."


 "Untuk program terbesar Hari Potensi Kanak² Tahun 2017, saya telah menyertai Pertandingan Anugerah Pemaju Masyarakat Inovatif tanpa dirancang...Alhamdulillah rezeki Allah, saya telah merangkul Johan🏆🏆🏆 sehingga peringkat Kebangsaan Tahun 2017."
(Cikgu Hisham, Alumni Diploma Pendidikan Pra Sekolah Kolej UNITI Port Dickson)

Admin kongsikan ucapan beliau apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson kali ke-11 beberapa tahun lalu. 


****
Bismillahirrahmanirrahim 

Assalamu’alaikum wrm wbt 

Yang Berhormat
Dato’ Saifudin Abdullah
Perasmi Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson kali ke-11.

Yang Berbahagia,
Tuan Haji Jamal Mohd Amin,
Presiden Kolej UNITI Port Dickson,

Encik Amir Hamzah Md Isa,
Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson. 

Seterusnya semua tetamu kehormat, para jemputan khas, para pensyarah dan staf pentadbiran Kolej UNITI Port Dickson, para ibu bapa, dan yang dikasihi barisan rakan seperjuangan saya, para graduan Kolej UNITI Port Dickson pada hari ini.


Alhamdulillah syukur ke hadrat  Ilahi dengan limpah dan kurniaNya dapat saya bertemu dan berdiri megah di dalam majlis yang sangat istimewa bagi insan yang berusaha gigih demi menggapai segulung diploma dan bergelar seorang siswa. Pejam celik-pejam celik hari yang dinanti telah pun tiba dengan gemilangnya. Tiada ungkapan selain air mata mewakili bicara kata menghiasi hari yang penuh bermakna ini.


Kejayaan yang saya kecapi hari ini bukanlah merupakan usaha yang dilakukan dalam masa yang singkat. Ini kerana, pelbagai usaha dan cabaran yang mendatang tiada terkira termasuklah kenangan manis dan juga pahit bagaikan hempedu yang perlu ditempuhi dengan tabah. Kejayaan yang saya kecapi ini adalah hasil keberkatan kedua ibubapa saya yang banyak memberi kata-kata semangat dan perangsang takala saya hampir kecundang dek cabaran yang tiada kenal erti masa dan ketika.
***
“Mak dan ayah…Sham mahu ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana berpenat lelah untuk memberikan pendidikan terbaik kepada Sham. Anugerah ini adalah untuk mak dan ayah..tidak terbalas kasih dan budi kalian berdua. Tetapi Sham berjanji untuk menjadi anak soleh yang ibu dan ayah harapkan. Sham akan selalu ingat pesan ayah, ‘jika kamu tidak mengubah nasib kamu, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dapat mengubah nasib kamu. Terima kasih mak..terima kasih ayah..”

***
Tidak dilupakan terima kasih kepada semua tenaga pendidik dan semua kakitangan Kolej UNITI Port Dickson kerana bersabar mendidik diri ini sehingga mencapai kejayaan yang tidak pernah di duga ini. Sesungguhnya saya sangat bersyukur kerana berada di Kolej ini dan dipertemukan dengan insan-insan yang berjiwa besar mendidik tanpa kenal erti penat lelah.


Hadirin yang di rahmati Allah sekalian,

Menurut Prof. Mohamad Kamal Hassan, “pendidikan moden hari ini bersifat liberal dan sekular tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada aspek pembentukan akhlak dan rohani yang sihat.” Tetapi, sesungguhnya saya mewakili para graduan pada hari ini rasa amat bertuah kerana diberi peluang untuk belajar di Kolej UNITI Port Dickson ini lantaran sistem pendidikannya yang menekankan keseimbangan di antara aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya terbangun diri kami dengan akhlak terpuji dan seterusnya berbakti dalam menjayakan tranformasi diri ke arah yang lebih baik dan menyumbang kepada kemajuan negara, bangsa dan agama. InsyaAllah.

Kepada teman-teman seperjuangan, 

‘terkenang sebuah memori lalu,
Kisah persahabatan kita bersama,
Di dalam satu pengajian,
Menuntut ilmu dan pengalaman,
Mengingatkanku, pengorbananmu,
Terpahat padu di kalbuku…

Terima kasih wahai teman-teman yang amat saya kasihi sekalian. Semoga ukhuwwah yang terjalin di Kolej UNITI Port Dickson akan berpanjangan sehingga ke  alam ukhrawi. Saya mengasihi kalian kerana Allah Ta’ala.


Akhir kalam, sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada hari ini saya memohon ampun dan maaf sepanjang keberadaan saya menimba ilmu di Kolej UNITI Port Dickson terutama bahagian akademik, Hal Ehwal Pelajar, pentadbiran serta rakan taulan sekalian.  Sesungguhnya yang baik itu hadirnya dari Allah dan yang buruk  hadirnya dari kekurangan diri saya sendiri.

Permata jatuh ke rumput,
Jatuh ke rumput dibilang-bilang,
Dari mata tidak kan luput,
Dalam hati tidak kan hilang.

Wabillahi taufik wal Hidayah

Assalamu’alaikum.




***

Admin masih ingat lagi pelajar lelaki dalam bidang pendidikan pra sekolah amat kecil. Jika dinisbahkan, 1:30 ketika itu. Memang agak janggal apabila ada pelajar lelaki yang memilih bidang yang lazimnya didominasi oleh golongan perempuan. 

Walaubagaimanapun, Hisham (kini bergelar Cikgu Tadika Kemas) mengubah pandangan kita. Beliau mengejutkan apabila mendapatk Anugerah Tertinggi dalam Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson ke-11 meninggalkan golongan perempuan yang selalu disinonimkan dengan kanak-kanak.  

Malah. beliau juga berjaya mendapat kerja di Tadika Kemas seperti yang beliau idamkan. Paling menarik, beliau telah menjuarai Pertandingan Anugerah Pemaju Masyarakat Inovatif bersempena Hari Potensi Kanak-kanak bagi tahun 2017 lalu. 

Siapa kata guru tadika mesti perempuan? Cikgu Hisham telah membuktikan bahawasanya lelaki juga menyerlah dalam bidang pendidikan kanak-kanak. 





Slot Ceritera: "Belajar susah-susah jadi admin je!"

Menjadi antara pelajar first batch, rasa ragu-ragu yang sangat tinggi  “boleh percaya ke dengan kolej ni, student kursus ni pun 11 orang je” Itulah andaian awal Lyana alumni batch pertama bagi program Pendidikan dan Asuhan  Awal Kanak-Kanak, Kolej Uniti Port Dickson.


Semuanya berjalan lancar sehinggalah semester 4.

Ditukarkan kampus dan tempat kediaman, kesusahan mencari pusat latihan praktikum taska dan tadika terpaksa dilalui dengan penuh cabaran.


“Belajar susah-susah jadi admin je saya Madam”. Masej Lyana melalui  whatapps pada pensyarahnya.

 Empat bulan berlalu Lyana whatapps pensyarahnya kembali.

“Madam, 3 bulan saya jadi admin tadika, dah sebulan saya jadi guru. Rezeki saya Madam”. 

Berbeza pula bahasa whatapps Lyana kali ni.

 “Betul la Madam, pengalaman praktikum di taska dan tadika masa belajar dulu memang sangat-sangat membantu saya dalam tugas saya sekarang. Teringat dulu ada tugasan di Taska Cahaya Tasneem Kolej Uniti Port Dickson, tapi saya sekarang dah berada di dunia pendidikan kanak-kanak yang sebenar!”

Terkini Lyana menjawat jawatan sebagai guru di Tadika Little Caliphs. Semangatnya di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak kian membara dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk membuka tadika sendiri. Moga Lyana terus berjaya!




Siti Nur Lyana Bt Jumaat (Alumni DPAKK Kolej UNITI Port Dickson)
017 9835244

Tadika Little Caliphs Muslim Kreatif, tingkat 1 Lorong Berjaya Permai 1 25150 Kuantan, Pahang

Slot Ceritera: "Hampir Gagal Latihan Praktikum, Tetapi...."

Ini kisah pelajar kami bernama Mashitah (bukan nama sebenar) dari Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson. Mashitah merupakan seorang pelajar yang sangat ceria dari Utara Semenanjung Malaysia. Beliau merupakan pelajar tahun akhir yang sedang menjalani Latihan Praktikum di salah sebuah tadika di Negeri Sembilan.



Sepanjang menjalani Latihan Praktikum, prestasi yang ditunjukkan amatlah cemerlang sehingga guru pembimbingnya memuji hasil kerjanya. Mashitah juga disayangi oleh anak didiknya dan warga tadika tersebut.


Namun begitu, di pertengahan sesi Latihan Praktikum, prestasi Mashitah jatuh merundum sehingga menimbulkan kemarahan guru pembimbingnya. Guru pembimbing Mashitah menghubungi  pensyarahnya, Puan Juwita (bukan nama sebenar) untuk memberitahu ketidakpuasan hatinya terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh Mashitah. Mashitah tidak menyiapkan rancangan mengajar, tidak membuat alat bantu mengajar dan tidak fokus ketika mengajar.


Puan Juwita lantas menghubungi Mashitah dan bertanya akan hal yang berlaku.

 “Apa hal ni? Cikgu awak dah bising dengan saya…panas telinga saya!”.

Mashitah hanya mendiamkan diri sahaja.

Puan Juwita bertanya lagi.

”Kenapa awak diam? Betul ke awak tak siap rancangan mengajar?..Besar markah RM tu..awak tahu kan..ABM pun tak buat..pemalas!

Kalau perangai awak macam ni, saya gagalkan awak praktikum!”.

Marah sekali Puan Juwita kepada Mashitah. 

 Di hujung talian, terdengar tangisan Mashitah.

“Madam…ayah saya baru sahaja meninggal dunia. Saya bukan tak nak bagitahu tetapi saya tak nak menyusahkan sesiapa. Mungkin kerana banyak sangat berfikir, saya hilang fokus. Lagipun, tinggal ibu saya sahaja di kampung. Saya nak tangguh praktikum…Boleh ke madam?” Terang Mashitah.


Puan Juwita terkejut mendengar penjelasan Mashitah.

Baru kini beliau mengerti permasalahan yang dihadapi Mashitah. 

Puan Juwita tidak mahu Mashitah gagal praktikal hanya kerana gagal mengawal emosi sedih akibat kematian ayahnya.Puan Juwita menjadi orang yang bertanggungjawab memotivasikan Mashitah untuk meneruskan Latihan Praktikum yang tinggal berbaki beberapa minggu lagi sebelum pulang menjaga ibunya.


Akhirnya berkat usaha gigihnya berserta sokongan rakan-rakan dan pensyarah, Mashitah berjaya menamatkan Latihan Praktikum dengan jayanya. Beliau mendapat pujian daripada guru pembimbingnya kerana kreativiti dan kesungguhannya mengajar anak didiknya di tadika tersebut. Alat bantu mengajar yang dihasilkan juga mendapat pujian daripada guru dan pensyarahnya, Puan Juwita.

Rancangan mengajar? Memang siap, tiada lopong lagi!

Suatu hari…

Puan Juwita terjumpa Mashitah di pejabat pentadbiran Kolej UNITI Port Dickson. Rupa-rupanya Mashitah datang untuk melapor diri sebagai guru di Pusat Perkembangan Awal Kanak-Kanak Kolej UNITI Port Dickson.

 Puan Juwita telah mendapat berita bahawa Mashitah telah lulus dan berjaya dalam sesi temuduga yang dijalankan oleh pihak Kolej UNITI Port Dickson. Dulu dia sebagai pelajar, dan kini menyumbang bakti sebagai guru di Pusat Perkembangan Awal Kolej UNITI!



 “Alhamdulillah..berjaya juga pelajar ini…”Bisik hati kecil Puan Juwita.

MENGAPA PELAJAR SERING TERTEKAN?- Hidayah Tokiman

Ihsan Imej: Pinterest.com
“Satu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.” 

Ia adalah definisi tekanan. 

Tekanan yang berpanjangan dan gagal mengurusnya akan bertukar menjadi satu keadaan melampau hingga individu mampu bertindak di luar kawalan. 

Mengapakah pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi selalu dilanda tekanan? 

Terdapat tiga punca yang mendorong situasi penggalak kepada tekanan antaranya adalah :

1. Konflik ibu bapa – anak :

Ibu bapa yang mengawal anak dengan arahan dan peraturan tanpa rasional hingga menyebabkan anak trauma misalnya meletakkan harapan dan kejayaan yang tidak mampu diukur terhadap pencapaian anak-anak. 

Selain itu konflik ibu bapa misalnya penceraian yang menyebabkan anak-anak tidak mendapat perhatian dan menyebabkan kurangnya kasih sayang sehingga anak-anak terabai dan mengalami tekanan perasaan.


2. Gangguan persekitaran :

Gagal beradaptasi dengan perubahan; pelajar tidak mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran misalnya bertukar ke sekolah baru. Seterusnya pencapaian akademik dan kokurikulum yang tidak seimbang. 

Situasi yang berlaku, pelajar hanya aktif aktiviti di luar kelas dan tidak minat dengan akademik. Keadaan ini harus ditangani segera kerana ia akan menjadi tekanan kepada pelajar.


3. Masalah diri :

Pelajar cenderung berfikiran negatif, tidak yakin dengan kemampuan diri, pasif dan merasa diri teruk dan lemah. Tekanan ini akan muncul secara senyap yang lama-kelamaan akan mengunadang kepada masalah lain.

Demikian, kita sebagai pihak dewasa diharap dapat membantu meringankan tekanan yang dihadapi oleh para pelajar dan kanak-kanak. Sentiasalah berfikiran rasional di dalam membuat keputusan. 

Belajarlah untuk bijak mengawal emosi bersesuaian dengan situasi dan keadaan. Segeralah berjumpa dengan guru kaunseling atau pihak professional seperti kaunselor di IPT bagi mendapatkan bantuan. 

Akhirnya, latihlah diri untuk mengurus masa dengan bijak dan hanya dengan pemikiran yang positif sahaja mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi.



Disediakan oleh:


Puan Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI Port Dickson.

Wednesday, 24 January 2018

APAKAH PSIKOLOGI KAUNSELING?- Nurul Huda Musa

Secara umumnya, ramai antara kita pernah mendengar tentang Psikologi Kaunseling. Tetapi sejauh mana pengetahuan kita tentang bidang tersebut. 


Psikologi Kaunseling adalah satu bidang khusus yang terbesar dalam bidang Psikologi. Ia memberi tumpuan kepada penyediaan rawatan terapeutik kepada klien yang mengalami pelbagai gejala seperti kesusahan atau kesukaran yang berkaitan dengan kehidupan, masalah membuat keputusan dalam kerja atau kehidupan dan juga masalah kesihatan fizikal/mental. 


Menurut Patterson (1995), kaunseling adalah satu proses interaktif melalui satu perhubungan yang unik antara kaunselor dan klien yang mengarah kepada perubahan klien dalam aspek tingkah laku, kepercayaan dan kemahiran membuat keputusan.   

Ahli psikologi kaunseling akan menggabungkan tiga peranan utama dalam penyediaan terapeutik iaitu :

a) Rawatan – melakukan aktiviti bersama klien bagi merawat masalah yang dihidapi
b) Pencegahan – merangkumi aktiviti pencegahan masalah klien sebelum ia berlaku
c) Perkembangan pendidikan – membantu klien untuk meningkatkan kemahiran diri


Berdasarkan Akta Kaunselor 1998, kaunseling merupakan satu proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor yang berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai suatu perubahan, kemajuan dan penyesuaian yang holistic, baik dan sukarela pada diri klien supaya perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat. 


Secara ringkasnya, kaunseling adalah satu proses interaksi yang melibatkan seorang kaunselor yang terlatih dan kliennya dimana akhirnya klien tersebut akan mengalami satu perubahan tingkah laku yang positif dan berterusan sepanjang hayat.


Kesimpulannya, sesiapa yang mengambil bidang psikologi kaunseling ini akan terdedah dengan asas-asas kaunseling dan cara yang berkesan agar dapat membantu klien yang memerlukan pertolongan. 



Disediakan oleh, 

Puan Nurul Huda Musa, 
Pensyarah, 
Jabatan Pendidikan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Tuesday, 23 January 2018

TAKKAN AWAK NAK CAKAP ‘SAYA TAK TAHU’ BILA BUDAK 6 TAHUN TANYA BILA TARIKH MALAYSIA MERDEKA??

Ini kisah Ira (bukan nama sebenar). Usianya baru sahaja 18 tahun sewaktu beliau ditawarkan untuk menyambung pengajian di Kolej UNITI Port Dickson. Minat  mendalam beliau dalam bidang Diploma Pendidikan Pra Sekolah, menjadikan beliau sangat teruja dan gembira untuk melangkah ke dunia baru di Port Dickson.


Kemesraan dan keselesaan yang ditonjolkan oleh rakan-rakan seperjuangan dan keprihatinan yang tiada tolok bandingan oleh para pensyarah sepanjang sesi kuliah telah menambahkan rencah hidup gembira sepanjang pengajiannya dari satu semester ke satu semester yang lain.

Hal ini mengakibatkan setahun awal beliau di Kolej UNITI Port Dickson tidak begitu terasa lamanya. Beliau sangat gembira dan berbangga dengan markah cemerlang yang diperolehnya di sepanjang semester.


Menjadi rutin setiap kali tamat cuti semester, perasaan teruja untuk kembali ke Kolej UNITI Port Dickson datang bertalu-talu. Namun, keterujaannya pada kali ini merundum apabila beliau mendengar berita  dari rakan-rakan sekelas bahawa salah satu subjek yang ditawarkan pada semester tersebut ialah ‘PENGAJIAN MALAYSIA’.


Ira mula resah. Resah kerana beliau sememangnya sangat tidak berminat dan langsung tidak suka dengan subjek sejarah semenjak di bangku sekolah lagi. Kerunsingan Ira juga semakin memuncak apabila beliau mengenang kembali bagaimana tidak bermaknanya sijil SPM beliau akibat markah corot dalam matapelajaran sejarah yang tertera di atas kertas berwarna putih tersebut.


Ira menjadi bertambah tidak keruan apabila dalam kelas pertama Pengajian Malaysia, Puan Maria dengan tegas sambil tersenyum sinis mengatakan Pengajian Malaysia adalah subjek wajib yang ditetapkan MQA dan tiada seorang pelajar pun yang akan bergraduat sekiranya tidak lulus subjek ini.
Walaubagaimanapun, minggu demi minggu telah merubah persepsi Ira tentang subjek berkenaan. Subjek Pengajian Malaysia yang difikirkannya membosankan dan susah selama ini adalah tidak tepat sama sekali.


Ira mula merubah cara berfikir dalam mendalami subjek ini. Sifat Ira yang pasif selama ini dan menjadikan pembelajarannya di kelas semata-mata hanya untuk lulus dalam peperiksaan telah diketepikan selepas Puan Maria berjaya menguasai mindanya untuk mengadakan transisi pandangan berbeza supaya merubah niat belajar beliau untuk mendapat ilmu bermanfaat sebagai pedoman hidup.


TAKKAN AWAK NAK CAKAP ‘SAYA TAK TAHU’ BILA BUDAK 6 TAHUN  TANYA TARIKH KEMERDEKAAN NEGARA?? AWAK TAK RASA SEGAN???


Itu antara kata-kata Puan Maria yang banyak menyedarkannya  untuk  mengenali negara dengan lebih mendalam. Puan Maria juga merupakan seorang pensyarah yang banyak memberikan inspirasi dan kesegaran dari sudut kaedah pengajarannya semasa dalam bilik kuliah. Hal ini seterusnya telah menjadikan subjek Pengajian Malaysia menjadi salah satu subjek kegemaran Ira.


Ira berubah menjadi sangat  fokus serta berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang ilmu-ilmu sejarah yang tidak diperolehi beliau sepanjang persekolahannya selama ini. Akhirnya Ira telah lulus cemerlang dalam subjek ini dan beliau sangat gembira dan tidak menyangka akan beroleh keputusan sebaik itu.

Siri Jelajah Bahasa Kebangsaan- KESALAHAN PENGGUNAAN HUKUM D-M (Noor Hafiza Zamri)

Aspek kesalahan umum yang mana kerap kali dilakukan oleh kebanyakan penutur bahasa Melayu ingin diketengahkan dalam ruangan jelajah bahasa Melayu kali ini. Bentuk-bentuk kesalahan seumpama ini sememangnya menjadi kebiasaan oleh penutur-penutur bahasa Melayu tetapi salah dari segi tatabahasa. Kesalahan-kesalahan ini dapat kita tinjau dari beberapa sudut, misalnya kesalahan dari sudut hukum D-M.

Apa itu hukum D-M? 


Hukum D-M ialah peraturan menyusun kata nama majmuk dan ayat yang mendahulukan unsur yang diterangkan (diringkaskan sebagai D) dan mengemudiankan kata sifat yang menerangkan (diringkaskan sebagai M). Istilah Hukum D-M ini diperkenalkan oleh Prof. St. Takdir Alisjahbana di dalam bukunya, bertajuk Tatabahasa Baru Melayu Indonesia.


Kesalahan yang biasa berlaku, khususnya dalam kalangan penutur-penutur yang bertutur keinggerisan. Hal ini disebabkan oleh kekeliruan antara susunan kata nama majmuk dalam bahasa Melayu dengan kata nama majmuk dalam bahasa Inggeris. Sebilangan kesalahan yang sering berlaku adalah seperti berikut :

Kesalahan
Padanan bahasa Inggeris
Pembetulan
dalam lain perkataan
in other words
dengan kata lain
lain-lain perkara
other matters
perkara-perkara lain
Alif Restoran
Alif Restaurant
Restoran Alif
Dunlop tayar
Dunlop tyre
tayar Dunlop
goreng pisang
 Fried banana
pisang goreng
cili sos
chilli sauce
sos cili
Rosli Klinik
Rosli Clinic
Klinik Rosli
PD Kedai Pajak Gadai
PD Pawn Shop
Kedai Pajak Gadai PD


Tinta Dekan- “Cikgu huru-hara, ibu bapa tidak tenang".

Ihsan imej: Pinterest.com
Tiga minggu berlalu, guru kelas agak tenang.

Ibu bapa boleh meneruskan kerja rumah manakala yang bekerja mampu bekerja dengan tenang. Hanya sesekali menjeling telefon untuk melihat whatapps group tadika/ taska sekolah anak.


Begitulah debaran cerita di awal tahun 2018 bagi kebanyakan emak-emak.

Tahun ini saya tidak terkecuali melalui fasa anak mula bersekolah tadika pada usia 5 tahun. Hari pertama persekolahan pelbagai ragam anak dapat saya perhatikan. Ada yang gembira, ada yang menangis, ada yang merajuk, ada yang meragam dan selebihnya bersemangat dan berkeyakinan melangkah masuk ke dalam kelas.


Indahnya kehidupan di zaman kanak-kanak. Di sekolah mereka mula dilatih tentang rutin harian, mula belajar tentang konsep peraturan, disiplin, konsep hormat-menghormati, bertolak- ansur dan pengurusan diri. Ibu bapa turut sama teruja apabila anak mula memasuki dunia persekolahan. Begitulah juga saya.


Disini anak mula melalui perkembangan sosial dari ruang yang lebih luas. Kanak-kanak mula berinteraksi dengan orang lain mengikut cara yang boleh diterima oleh sesuatu masyarakat.


Apabila anak-anak mula bersosial, mereka akan mula belajar tentang penyesuaian sosial seperti proses peniruan, identifikasi kemahiran bermain, perkembangan sosial persahabatan dan perhubungan rakan sebaya.


Kerana itu kita melihat pelbagai ragam anak terutamanya yang buat kali pertama menjejaki alam persekolahan, mereka diibaratkan dicampak keluar dari zon kehidupan sosialisasi selesa mereka.


Disinilah peranan orang dewasa terutamanya ibu bapa dan guru dalam membantu perkembangan sosial anak-anak secara sihat.


Tiga persediaan saya pada hari pertama persekolahan adalah pertama berikan anak masa, kedua berikan kepercayaan dan ketiga selepas berjaya berikan anak penghargaan.

Maka tidak hairanlah pemandangan lazim saban tahun apabila kelas bermula ada ibu bapa yang masih mengintai di balik tingkap, menunggu di pintu pagar sekolah dan ramainya ibu bapa duduk di kantin sekolah.

Jujurnya, saya mencabar diri saya untuk mengelak dari terlibat sama dalam situasi ini.
Pengalaman tahun ini saya “berjaya” melepaskan anak saya ketika hari pertama persekolahnnya dengan memberikannya masa untuk dia selesa duduk di dalam kelas, berikan dia kepercayaan dan yakin bahawa dia mampu beradaptasi pada suasana kelas baru dan tamat sesi persekolahan hari pertama berikan anak penghargaan walaupun hanya dengan sekotak air kegemarannya dan pujilah dia.


Harus difahami perkembangan kanak-kanak berlaku secara semulajadi. Walaubagaimanapun dengan bantuan daripada orang dewasa, perkembangan anak-anak akan mampu lebih baik dan dapat mencapai potensi yang dijangkakan.

Tidak hanya menyentuh aspek sosial sahaja, malahan perkembangan fizikal, bahasa, kognitif, rohani juga emosi masih memerlukan pantauan dari orang dewasa. Bagaimanapun, harus diingat jangan sesekali samakan setiap dari anak kita dengan orang lain mahupun membeza-bezakan anak dengan abang dan kakaknya kerana setiap anak adalah unik. Maka bersyukur dan bergembiralah memiliki anak seperti mereka. Hargai anak anda!



Disediakan oleh:

Hidayah Binti Tokiman,
Dekan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Sunday, 21 January 2018

SIRI TRAVELOG; AKU MAHASISWA KOLEJ UNITI PORT DICKSON- 'ASSIGNMENT KENE REJECT'- Syaza Haziqah (DPS)

Sebelum aku sambung kisah aku sebagai mahasiswa di Kolej UNITI Port Dickson, ayuh kita selawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Moga kita menjadi ummat Nabi Muhammad yang Berjaya dunia akhirat untuk membantu agama Allah. In shaa Allah.


Banggunan belajar boleh dilihat dari asrama penginapan 
Okay, lifestyle sebagai student kolej ni, kita takkan lari dari macam-macam konflik. Buat assignment atau projek-projek untuk tugasan yang diberi pensyarah. Konflik besar yang aku rasa bagi impak pada diri aku adalah ketika aku sem 3.


Impak dia sampai aku menangis tiga hari berturut-turut. Ini bukan cerita tipu. Memang real!

Orang cuti midsem bahagia, aku pula cuti tenggelam dalam dilema dan sedih. Ini semua gara-gara  assignment aku ditolak. Aduh!!! Sakitnya tu disini (sambil penumbuk tangan didada). Inilah first time rasa sedih assignment ditolak. Termenung tiga hari balik rumah.


Aku sambung semula cerita patah hati aku. Sakitnya tugasan kena tolak ni lebih perit dari putus cinta (hohoho).

Sakit sebab selama belajar di Kolej UNITI Port Dickson tak pernah ditolak dengan rasa sedih macam ni. Ni la satu-satunya masalah yang aku rahsiakan dari mama ayah aku sebab aku takut mereka sedih dan kecewa dengan aku. (tapi sekarang dah bagitahu fuhh lega…Anak solehah sangat aku ni, huuu.)


Tugasan kena ‘reject’ buat aku dan kawan-kawan bergaduh sesama sendiri. Ni paling sakit sebab kami tak pernah bergaduh sampai macam ni sekali. Wallahi kawan-kawan rumah aku ibarat tulang belakang aku. Mereka sentiasa menyokong aku walaupun aku jatuh tersungkur macam mana pun.


Tapi Allah itu Maha Hebat, Dia mahu uji persahabatan kami ini. Alhamdulillah kami sedar akan kesilapan kami. Aku rasa serba-salah pada kawan-kawan sekiranya markah tugasan rendah. Namun begitu, kami tetap berbaik semula kerana dah macam famili.  Macam peribahasa orang Melayu tu, ‘air dicincang tak akan putus’. (Ewaahh..)

Siapa yang pernah emosi tugasan kena “reject”?

Sakit kan?

Ok, apa yang kami buat untuk pastikan kami dapat peluang kedua?

Aku dan kawan-kawan pergi memohon maaf kepada pensyarah. Ini ‘trick’ ya kawan-kawan. Boleh cuba.

Minta maaf dan janji buat lebih baik bagi memikat semula hati pensyarah itu. Lagipun, Mamaku pernah berpesan

“mohon maaf dekat guru kita kalau kita ada buat salah atau buat dia kecil hati. Jangan kita sombong dengan guru kita walaupun kita dah habis belajar. Dimana kita bertemu dengan dia, tegurlah dia. Dia tak jemu mencurahkan ilmu kepada kita walaupun time tu kita nakal, tak dengar cakap tapi dia bersabar mendidik kita”.

Kata-kata itulah aku pegang sehingga hari ini.

Selain itu,  jangan nak rapat dengan pensyarah semata-mata nak markah lebih atau nak dapat perhatian lebih. Jangan sekali-sekali niat begini (sambil geleng kepala). Berdendam lagi tak boleh.


Ikhlaskan hati dalam perhubungan bersama pensyarah kita. Kerana mereka ibarat ibubapa kita di tempat kita belajar. Jangan sombong dengan mereka, sentiasalah mendoakan mereka. Itulah yang aku pegang sehingga kini. In shaa Allah.Ini aku sangat-sangat syorkan korang buat. Berkat.


Bila dah kena reject assignment tu, jangan pula biarkan konflik menguasai diri, sebab akhirnya memudaratkan diri kita semula. Silap-silap boleh gagal subjek. Fuhhh…Ini paling ‘scary’ dan ‘worst’ dalam dunia mahasiswa.


Setiap masalah yang kita hadapi pasti ada jalan penyelesaian. Kalau disimpan dan dipendam ia mampu memakan hati. Jika ada masalah dengan pensyarah jumpa dengan pensyarah. Jika ada masalah dengan kawan cepat-cepat minta maaf. Kalau malu Whatsapp kan ada hihihi. Tapi sebaiknya kalau dengan pensyarah tu ‘face to face’ lah. ‘Act like a Woman, Be like a gentleman’ giteww. In shaa Allah pensyarah akan bagi peluang kedua.

Anggap sahaja ujian sewaktu belajar itu lumrah kehidupan mahasiswa. Kalau dalam drama pun ada waktu ‘up and down’ untuk jadikan plot cerita menarik inikah pula ceritera kehidupan mahasiswa. Baru real!!!


Daripada ujian yang diberi pada kitalah kita dapat mengambil pengajaran. Mana yang benar dijadikan tauladan dan mana yang salah dijadikan pengajaran.

Pesan akak yang dah menjengah semester empat ni di Kolej UNITI Port Dickson, sentiasalah kuat dalam menempuh dunia mahasiswa. Ni baru ujian kecil belum lagi yang lebih besar. Moga hati kita sentiasa kuat dalam menempuh ujian mahasiswa.


Sentiasalah meminta kata-kata semangat dari ibubapa, pensyarah dan sahabat sahabat yang kita percayai. Paling penting, jangan sesekali kita tinggalkan solat. Sesibuk mana pun kita dengan assignment solat jangan diabaikan.

Surau Perempuan Uniti Village, Kolej UNITI Port Dickson

Jika something wrong terjadi dalam hidup kita, check semula solat kita. Kerana disitulah segalanya bermula. ‘Hayya ‘AlalFallah’ Marilah menuju kejayaan!. In shaa Allah.


Syaza Haziqah
Diploma Pendidikan Pra Sekolah
Semester 4
Kolej UNITI Port Dickson

Thursday, 18 January 2018

Puisi 'HATI'- Syafirah Syafiqah/ DPISR