Secara umumnya, ramai antara kita pernah mendengar tentang Psikologi Kaunseling. Tetapi sejauh mana pengetahuan kita tentang bidang tersebut.
Psikologi Kaunseling adalah satu bidang khusus yang terbesar dalam bidang Psikologi. Ia memberi tumpuan kepada penyediaan rawatan terapeutik kepada klien yang mengalami pelbagai gejala seperti kesusahan atau kesukaran yang berkaitan dengan kehidupan, masalah membuat keputusan dalam kerja atau kehidupan dan juga masalah kesihatan fizikal/mental.
Menurut Patterson (1995), kaunseling adalah satu proses interaktif melalui satu perhubungan yang unik antara kaunselor dan klien yang mengarah kepada perubahan klien dalam aspek tingkah laku, kepercayaan dan kemahiran membuat keputusan.
Ahli psikologi kaunseling akan menggabungkan tiga peranan utama dalam penyediaan terapeutik iaitu :
a) Rawatan – melakukan aktiviti bersama klien bagi merawat masalah yang dihidapi
b) Pencegahan – merangkumi aktiviti pencegahan masalah klien sebelum ia berlaku
c) Perkembangan pendidikan – membantu klien untuk meningkatkan kemahiran diri
Berdasarkan Akta Kaunselor 1998, kaunseling merupakan satu proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor yang berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai suatu perubahan, kemajuan dan penyesuaian yang holistic, baik dan sukarela pada diri klien supaya perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat.
Secara ringkasnya, kaunseling adalah satu proses interaksi yang melibatkan seorang kaunselor yang terlatih dan kliennya dimana akhirnya klien tersebut akan mengalami satu perubahan tingkah laku yang positif dan berterusan sepanjang hayat.
Kesimpulannya, sesiapa yang mengambil bidang psikologi kaunseling ini akan terdedah dengan asas-asas kaunseling dan cara yang berkesan agar dapat membantu klien yang memerlukan pertolongan.
Disediakan oleh,
Puan Nurul Huda Musa,
Pensyarah,
Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.
0 comments:
Post a Comment