Pages

Thursday, 25 January 2018

Slot Ceritera: "Siapa Kata Guru Tadika Mesti Perempuan? Cikgu Hisham berjaya buktikan Cikgu Tadika lelaki boleh berjaya dalam bidang yang didominasi perempuan ini..."


 "Untuk program terbesar Hari Potensi Kanak² Tahun 2017, saya telah menyertai Pertandingan Anugerah Pemaju Masyarakat Inovatif tanpa dirancang...Alhamdulillah rezeki Allah, saya telah merangkul Johan๐Ÿ†๐Ÿ†๐Ÿ† sehingga peringkat Kebangsaan Tahun 2017."
(Cikgu Hisham, Alumni Diploma Pendidikan Pra Sekolah Kolej UNITI Port Dickson)

Admin kongsikan ucapan beliau apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson kali ke-11 beberapa tahun lalu. 


****
Bismillahirrahmanirrahim 

Assalamu’alaikum wrm wbt 

Yang Berhormat
Dato’ Saifudin Abdullah
Perasmi Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson kali ke-11.

Yang Berbahagia,
Tuan Haji Jamal Mohd Amin,
Presiden Kolej UNITI Port Dickson,

Encik Amir Hamzah Md Isa,
Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson. 

Seterusnya semua tetamu kehormat, para jemputan khas, para pensyarah dan staf pentadbiran Kolej UNITI Port Dickson, para ibu bapa, dan yang dikasihi barisan rakan seperjuangan saya, para graduan Kolej UNITI Port Dickson pada hari ini.


Alhamdulillah syukur ke hadrat  Ilahi dengan limpah dan kurniaNya dapat saya bertemu dan berdiri megah di dalam majlis yang sangat istimewa bagi insan yang berusaha gigih demi menggapai segulung diploma dan bergelar seorang siswa. Pejam celik-pejam celik hari yang dinanti telah pun tiba dengan gemilangnya. Tiada ungkapan selain air mata mewakili bicara kata menghiasi hari yang penuh bermakna ini.


Kejayaan yang saya kecapi hari ini bukanlah merupakan usaha yang dilakukan dalam masa yang singkat. Ini kerana, pelbagai usaha dan cabaran yang mendatang tiada terkira termasuklah kenangan manis dan juga pahit bagaikan hempedu yang perlu ditempuhi dengan tabah. Kejayaan yang saya kecapi ini adalah hasil keberkatan kedua ibubapa saya yang banyak memberi kata-kata semangat dan perangsang takala saya hampir kecundang dek cabaran yang tiada kenal erti masa dan ketika.
***
“Mak dan ayah…Sham mahu ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana berpenat lelah untuk memberikan pendidikan terbaik kepada Sham. Anugerah ini adalah untuk mak dan ayah..tidak terbalas kasih dan budi kalian berdua. Tetapi Sham berjanji untuk menjadi anak soleh yang ibu dan ayah harapkan. Sham akan selalu ingat pesan ayah, ‘jika kamu tidak mengubah nasib kamu, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dapat mengubah nasib kamu. Terima kasih mak..terima kasih ayah..”

***
Tidak dilupakan terima kasih kepada semua tenaga pendidik dan semua kakitangan Kolej UNITI Port Dickson kerana bersabar mendidik diri ini sehingga mencapai kejayaan yang tidak pernah di duga ini. Sesungguhnya saya sangat bersyukur kerana berada di Kolej ini dan dipertemukan dengan insan-insan yang berjiwa besar mendidik tanpa kenal erti penat lelah.


Hadirin yang di rahmati Allah sekalian,

Menurut Prof. Mohamad Kamal Hassan, “pendidikan moden hari ini bersifat liberal dan sekular tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada aspek pembentukan akhlak dan rohani yang sihat.” Tetapi, sesungguhnya saya mewakili para graduan pada hari ini rasa amat bertuah kerana diberi peluang untuk belajar di Kolej UNITI Port Dickson ini lantaran sistem pendidikannya yang menekankan keseimbangan di antara aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya terbangun diri kami dengan akhlak terpuji dan seterusnya berbakti dalam menjayakan tranformasi diri ke arah yang lebih baik dan menyumbang kepada kemajuan negara, bangsa dan agama. InsyaAllah.

Kepada teman-teman seperjuangan, 

‘terkenang sebuah memori lalu,
Kisah persahabatan kita bersama,
Di dalam satu pengajian,
Menuntut ilmu dan pengalaman,
Mengingatkanku, pengorbananmu,
Terpahat padu di kalbuku…

Terima kasih wahai teman-teman yang amat saya kasihi sekalian. Semoga ukhuwwah yang terjalin di Kolej UNITI Port Dickson akan berpanjangan sehingga ke  alam ukhrawi. Saya mengasihi kalian kerana Allah Ta’ala.


Akhir kalam, sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada hari ini saya memohon ampun dan maaf sepanjang keberadaan saya menimba ilmu di Kolej UNITI Port Dickson terutama bahagian akademik, Hal Ehwal Pelajar, pentadbiran serta rakan taulan sekalian.  Sesungguhnya yang baik itu hadirnya dari Allah dan yang buruk  hadirnya dari kekurangan diri saya sendiri.

Permata jatuh ke rumput,
Jatuh ke rumput dibilang-bilang,
Dari mata tidak kan luput,
Dalam hati tidak kan hilang.

Wabillahi taufik wal Hidayah

Assalamu’alaikum.




***

Admin masih ingat lagi pelajar lelaki dalam bidang pendidikan pra sekolah amat kecil. Jika dinisbahkan, 1:30 ketika itu. Memang agak janggal apabila ada pelajar lelaki yang memilih bidang yang lazimnya didominasi oleh golongan perempuan. 

Walaubagaimanapun, Hisham (kini bergelar Cikgu Tadika Kemas) mengubah pandangan kita. Beliau mengejutkan apabila mendapatk Anugerah Tertinggi dalam Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson ke-11 meninggalkan golongan perempuan yang selalu disinonimkan dengan kanak-kanak.  

Malah. beliau juga berjaya mendapat kerja di Tadika Kemas seperti yang beliau idamkan. Paling menarik, beliau telah menjuarai Pertandingan Anugerah Pemaju Masyarakat Inovatif bersempena Hari Potensi Kanak-kanak bagi tahun 2017 lalu. 

Siapa kata guru tadika mesti perempuan? Cikgu Hisham telah membuktikan bahawasanya lelaki juga menyerlah dalam bidang pendidikan kanak-kanak. 





0 comments:

Post a Comment