Pages

Wednesday, 31 January 2018

Jika Anda Ada TIGA Tanda Ini, Anda Sedang Mengalami Tekanan Emosi- Nurul Huda Musa

Ihsan imej: Pinterest.com
Tekanan didefinisikan sebagai satu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya (Dr. David B. Posen). 

Tekanan emosi pula merupakan sesuatu yang memang tidak asing lagi bagi orang yang kerap menghadapi masalah. Tekanan emosi boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia. 


Berikut adalah 3 tanda anda sedang mengalami tekanan emosi:

1.        Gangguan tidur

Tidur merupakan keperluan biologi badan yang normal bagi setiap individu. Orang dewasa memerlukan 6-8 jam tidur sehari. Kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang manakala golongan warga emas memerlukan masa yang lebih pendek antara 4-5 jam sehari. Apabila sesorang mengalami tekanan emosi, kitaran rutin tidurnya akan terganggu dan ada kalanya sampai susah untuk melelapkan mata.


2.        Kesukaran mengawal emosi negatif

Seseorang itu akan cenderung untuk memindahkan emosi yang tidak stabil terhadap orang sekeliling mereka. Contohnya, suami yang baru pulang dari kerja membawa emosi negatif seperti sifat marah dan mempamerkan emosi tersebut kepada anak-anak dan isteri. Apabila kita sukar untuk mengawal emosi negatif tersebut, itu menandakan kita sedang mempunyai bebanan perasaan yang berlebihan.


3.        Tingkah laku obsesif kompulsif

Perilaku obsesif merujuk kepada minda yang was-was dan disertai dengan perasaan bimbang. Tingkah laku kompulsif pula ialah tingkah laku yang cenderung di lakukan berulang-ulang. Contohnya, seseorang individu itu sentiasa berulang kali memeriksa sama ada pintu keretanya telah dikunci atau tidak dan tetap akan was-was sama ada telah melakukannya atau tidak.



Oleh itu, setiap individu perlu menjaga kesihatan bukan hanya fizikal semata-mata tetapi kesihatan mental juga perlu di ambil berat. Tekanan emosi yang ringan akan membuka ruang kepada masalah mental yang lebih berat.

Berjumpa dengan pakar psikologi kaunseling adalah salah satu cara agar kita dapat menikmati kehidupan yang positif dan terhindar dari tekanan.




Disediakan oleh, 

Puan Nurul Huda Musa, 
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

PSIKOLOGI MANUSIA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM- Siti Fatimah Kamaruddin

Ihsan imej: Pinterest.com
Manusia asal kejadiannya adalah serba sempurna.


"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya [taqwim].
Kemudian kami kembalikan dia serendah-rendah peringkat orang yang rendah [safilin]. (Surah AT-Tin ayat 4-5)

Asal kejadian manusia adalah sempurna baik dari segi rohani, mental mahupun fizikal.

Kemudian apabila manusia melalui tempoh kehidupan maka mereka telah lalai dan sedikit-sedikit merosakkan rohaninya."

Maka amatlah rugi bagi meraka yang sebegini seperti firman Allah dalam Surah ASy-Syams ayat 10 bermaksud, 

Dan sesungguhnya hampalah bagi mereka yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya”

Manusia memerlukan ketiga-tiga aspek ini iaitu ‘spirit’, ‘body’ dan ‘mind’ bagi melahirkan diri insan yang kamil.

Jika manusia hanya gabungan minda dan fizikal maka samalah seperti sebuah komputer sahaja.

Jika manusia terdiri dari gabungan minda dan rohani maka samalah seperti jin yang mana tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Jika manusia itu terdiri daripada fizikal dan rohani maka ternyata samalah meraka dengan haiwan kerana haiwan tidak mempunyai akal tetapi hanya mempunyai otak sahaja.

Maka beringatlah semua bahawa ramai manusia yang bermasalah berpunca dari hati yang tidak terdidik, dari hati yang dibiarkan dengan kekotoran serta sifat tidak mahu melihat pendidikan secara syumul bagi menjernihkan hati.



Disediakan oleh,

Puan Siti Fatimah Kamaruddin,
Pensyarah Jabatan Pendidikan,
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.


ARTERA buat rumah saya bersepah hingga tak nampak lantai rumah!- Asyraf Azeman

BERSEPAH!

Begitulah respons yang diterima daripada Puan Lisa, salah seorang penjaga kanak-kanak tadika.

 “Sejak tadika mengikuti program ARTERAToys learning system ini. Habis dilambakkan ARTERA itu di tengah-tengah ruang tamu. Sudah begitu, tidak pernah lagi saya nampak anak ini buat kerja sekolah. Apa yang dibekalkan dari tadika, suruh bina macam-macam model, rumah lah lori lah. Sudah tidak jadi orang anak saya ni. Dengan ayahnya sekali duduk jemaah bercinta dengan ARTERA”..
                                               
Mengapa jadi begitu?
Sayalah Mr.Artera

§  Ya memang ARTERA ialah program pembelajaran melalui bermain. Ini kerana ARTERA meraikan lumrah kanak-kanak iaitu bermain. Apa juga kerja mereka. Sudah tentu bukan bermesyuarat membincangkan kadar kenaikan sen minyak yang lebih kerap berbanding yang turun.

§  ARTERA mempunyai 124 biji komponen pelbagai warna, bentuk dan saiz. Jadi itu yang membuatkan kanak-kanak bangga dengan kekayaan mereka. Bila dah kaya, lambakkan lah harta. Kira satu-satu, susun cantik-cantik.

§  Berdasarkan buku manual yang dibekalkan di dalam set ARTERA, kanak-kanak boleh membina sehingga 20 model dalam satu-satu masa. Kalau berdasarkan imaginasi kanak-kanak sendiri, bukan setakat rumah dan lori malah istana pun mereka boleh persembahkan.

§  Program ARTERA berintegrasi dengan Kurikulum standard prasekolah kebangsaan. Apa maknanya? ARTERA bukan mainan, tetapi dibina khusus bagi memenuhi keperluan silibus prasekolah. Menjadi seolah-olah buku teks, kanak-kanak diberikan tugasan di rumah menggunakan set ARTERA untuk disiapkan dan akan dibincangkan bersama guru dan rakan di tadika.

§  Bagaikan roti yang boleh dimakan oleh setiap peringkat umur, set ARTERA boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja. Seorang ayah boleh meluangkan masa berkualiti bersama anaknya untuk menyiapkan binaan model ARTERA. Seorang Ketua Kampung pun boleh bermain set ARTERA jika ia adalah seorang ayah kepada kanak-kanak tadika yang menyertai program ini.

Nampak? 

Mahu bercinta lagi seperti suami Puan Lisa? Usah tersenyum sendiri. Mari sertai kami berARTERA di FPPM Kolej UNITI Port Dickson.

“Habis tu, hendak main sahaja? Bila mahu baca buku pula?” kata Puan Lisa bertalu-talu.

 Belum habis lagi rupanya.

 Nanti ya puan. Kami sedang bangunkan ARTERA TODD.

APA TODD?! – Puan Lisa


Kamu Kena Menurut Kehendak Saya untuk Lulus Praktikal.....- Asyraf Azeman


Ihsan imej: Pinterest.com

“Penat saya datang jauh-jauh, dengan melayan lukisan peta kamu  yang ke laut tu, buku log kosong sahaja yang kamu bagi dekat saya? Tidak mengapa, semua ini saya cuba untuk telan. Tetapi apabila kamu mula mengajar, kelas sudah macam hendak kiamat, ini memang keterlaluan. Saya  tidak boleh dan tidak dapat hendak hadam.” Marahku kepada Zila.

“Hati aku cukup-cukup tidak puas dan sakit. Suka hati engkaulah. Engkau yang praktikal, aku pensyarah cuma datang menyelia sahaja. Gaji aku tetap dibayar.” Marahku didalam hati.


“Sir, tolonglah marah saya, banyak perkara yang saya tidak tahu”. Begitulah jawapan Zila saat dimarah.

Zila sedang menitiskan air mata di hadapanku selepas selesai penyeliaan pertama. Dia benar-benar belajar.

“Adakah perlu aku terus marah? Tidak untung satu sen pun rasanya. Hati aku mula positif. Dia perlu disentuh.” Aku menenangkan diri.

Zila adalah seorang pelajar yang biasa-biasa. Aku sendiri pun ingat-ingat lupa pelajar ini dari kelas yang mana satu. Di dalam senarai pelajar gred A kursus-kursus yang aku ajar, macam tiada nama dia yang aku rekod. Tetapi kali ini aku betul-betul nampak yang dia ini boleh diurus.

Aku beri tahu, “kalau kamu boleh dan hendak dapat A daripada saya, ikut apa yang saya cakap”.


Ternyata Zila khusyuk mendengar satu-persatu apa yang aku khutbahkan percuma  kepadanya. Aku nampak pen di tangannya menari menulis sesuatu di atas buku log yang telah aku lanyak dengan pen merah penuh komen. Tersenyum kelat dia apabila aku doakan semoga berjaya.


Penyeliaan kedua, 180 darjah dunia aku terbalik. Tadika tempat Zila yang terakhir aku lawat, tetapi yang paling lama aku bertapa. Kelas meriah umpama berhari raya. Kanak-kanak gembira dengan aktiviti pembelajaran mereka. Buku log pula sudah seperti naskhah surat khabar penuh dengan tulisan.

“Kamu dah jumpa jalan!!!”, ringkas komen yang aku beri padanya.

Tidak lama selepas itu.

“Sir, terima kasih tau!” tiba-tiba aku disapa oleh suara.

“Eh, apa kamu buat di sini?” Ego nadaku bertanya menutup rasa terkejut.

“Pengurus hantar saya sebagai wakil daripada tadika untuk program ARTERA yang sir jalankan ni. Kenapa sir beri A pada saya? Saya sudah tidak terbayang pun A untuk praktikal ni. Tapi sekarang saya sudah jumpa dunia saya, mendidik kanak-kanak prasekolah ni”, panjang jawapan Zila.


“Ya”, jawabku ringkas.
 “Bukan saya yang beri, tapi kamu yang cari”. Tambahku lagi.


Hendak tahu apa yang Zila coretkan pada buku lognya ketika aku berkhutbah percuma? 

Cari jawapan itu di FPPM Kolej UNITI Port Dickson

Sekejap, ARTERA ITU APA PULA?

Tuesday, 30 January 2018

Anak Bijak Suka Bertanya- Puan Rohafizah Mohammad Nasir

Ibu, kenapa bulan sentiasa ada dimana-mana saja?” Ziyad bertanya kepada ibunya.

 “Bila Ziyad dirumah ibu bulan ada, bila dirumah nenek pun bulan ada.” “Bulan ikut Ziyad ye ibu?” Ibu…..oooo…ibu!!

 Wahai ibu-ibu jawablah!!


Sedar atau tidak, itulah anak-anak kecil yang pada azalinya memang suka bertanya tanpa rasa jemu dan penat. 

Sesuai dengan naluri ingin tahu yang tinggi, kanak-kanak seawal usia tiga atau empat tahun, mereka akan bertanya mengapa begitu, mengapa begini dan bermacam-macam soalan lagi.

 Wahai ibu-ibu, jangan cepat naik angin.

 Layanilah setiap pertanyaan anak-anak dengan jujur dan bahasa yang mudah difahami.

 Respon yang baik akan membantu proses berfikir dan pemahaman kanak-kanak.

Antara sebab anak-anak suka bertanya :

§  Minat terhadap peristiwa yang berlaku di sekitarnya
§  Anak-anak ingin memahami penjelasan yang diberikan
§  Ingin menarik perhatian dan tumpuan



Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita haruslah mempunyai beberapa kemahiran untuk melayani karenah anak-anak bijak yang suka bertanya.

Thursday, 25 January 2018

Slot Ceritera: "Siapa Kata Guru Tadika Mesti Perempuan? Cikgu Hisham berjaya buktikan Cikgu Tadika lelaki boleh berjaya dalam bidang yang didominasi perempuan ini..."


 "Untuk program terbesar Hari Potensi Kanak² Tahun 2017, saya telah menyertai Pertandingan Anugerah Pemaju Masyarakat Inovatif tanpa dirancang...Alhamdulillah rezeki Allah, saya telah merangkul Johan🏆🏆🏆 sehingga peringkat Kebangsaan Tahun 2017."
(Cikgu Hisham, Alumni Diploma Pendidikan Pra Sekolah Kolej UNITI Port Dickson)

Admin kongsikan ucapan beliau apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Presiden dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson kali ke-11 beberapa tahun lalu. 


****
Bismillahirrahmanirrahim 

Assalamu’alaikum wrm wbt 

Yang Berhormat
Dato’ Saifudin Abdullah
Perasmi Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson kali ke-11.

Yang Berbahagia,
Tuan Haji Jamal Mohd Amin,
Presiden Kolej UNITI Port Dickson,

Encik Amir Hamzah Md Isa,
Ketua Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson. 

Seterusnya semua tetamu kehormat, para jemputan khas, para pensyarah dan staf pentadbiran Kolej UNITI Port Dickson, para ibu bapa, dan yang dikasihi barisan rakan seperjuangan saya, para graduan Kolej UNITI Port Dickson pada hari ini.


Alhamdulillah syukur ke hadrat  Ilahi dengan limpah dan kurniaNya dapat saya bertemu dan berdiri megah di dalam majlis yang sangat istimewa bagi insan yang berusaha gigih demi menggapai segulung diploma dan bergelar seorang siswa. Pejam celik-pejam celik hari yang dinanti telah pun tiba dengan gemilangnya. Tiada ungkapan selain air mata mewakili bicara kata menghiasi hari yang penuh bermakna ini.


Kejayaan yang saya kecapi hari ini bukanlah merupakan usaha yang dilakukan dalam masa yang singkat. Ini kerana, pelbagai usaha dan cabaran yang mendatang tiada terkira termasuklah kenangan manis dan juga pahit bagaikan hempedu yang perlu ditempuhi dengan tabah. Kejayaan yang saya kecapi ini adalah hasil keberkatan kedua ibubapa saya yang banyak memberi kata-kata semangat dan perangsang takala saya hampir kecundang dek cabaran yang tiada kenal erti masa dan ketika.
***
“Mak dan ayah…Sham mahu ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kerana berpenat lelah untuk memberikan pendidikan terbaik kepada Sham. Anugerah ini adalah untuk mak dan ayah..tidak terbalas kasih dan budi kalian berdua. Tetapi Sham berjanji untuk menjadi anak soleh yang ibu dan ayah harapkan. Sham akan selalu ingat pesan ayah, ‘jika kamu tidak mengubah nasib kamu, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dapat mengubah nasib kamu. Terima kasih mak..terima kasih ayah..”

***
Tidak dilupakan terima kasih kepada semua tenaga pendidik dan semua kakitangan Kolej UNITI Port Dickson kerana bersabar mendidik diri ini sehingga mencapai kejayaan yang tidak pernah di duga ini. Sesungguhnya saya sangat bersyukur kerana berada di Kolej ini dan dipertemukan dengan insan-insan yang berjiwa besar mendidik tanpa kenal erti penat lelah.


Hadirin yang di rahmati Allah sekalian,

Menurut Prof. Mohamad Kamal Hassan, “pendidikan moden hari ini bersifat liberal dan sekular tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada aspek pembentukan akhlak dan rohani yang sihat.” Tetapi, sesungguhnya saya mewakili para graduan pada hari ini rasa amat bertuah kerana diberi peluang untuk belajar di Kolej UNITI Port Dickson ini lantaran sistem pendidikannya yang menekankan keseimbangan di antara aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya terbangun diri kami dengan akhlak terpuji dan seterusnya berbakti dalam menjayakan tranformasi diri ke arah yang lebih baik dan menyumbang kepada kemajuan negara, bangsa dan agama. InsyaAllah.

Kepada teman-teman seperjuangan, 

‘terkenang sebuah memori lalu,
Kisah persahabatan kita bersama,
Di dalam satu pengajian,
Menuntut ilmu dan pengalaman,
Mengingatkanku, pengorbananmu,
Terpahat padu di kalbuku…

Terima kasih wahai teman-teman yang amat saya kasihi sekalian. Semoga ukhuwwah yang terjalin di Kolej UNITI Port Dickson akan berpanjangan sehingga ke  alam ukhrawi. Saya mengasihi kalian kerana Allah Ta’ala.


Akhir kalam, sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada hari ini saya memohon ampun dan maaf sepanjang keberadaan saya menimba ilmu di Kolej UNITI Port Dickson terutama bahagian akademik, Hal Ehwal Pelajar, pentadbiran serta rakan taulan sekalian.  Sesungguhnya yang baik itu hadirnya dari Allah dan yang buruk  hadirnya dari kekurangan diri saya sendiri.

Permata jatuh ke rumput,
Jatuh ke rumput dibilang-bilang,
Dari mata tidak kan luput,
Dalam hati tidak kan hilang.

Wabillahi taufik wal Hidayah

Assalamu’alaikum.




***

Admin masih ingat lagi pelajar lelaki dalam bidang pendidikan pra sekolah amat kecil. Jika dinisbahkan, 1:30 ketika itu. Memang agak janggal apabila ada pelajar lelaki yang memilih bidang yang lazimnya didominasi oleh golongan perempuan. 

Walaubagaimanapun, Hisham (kini bergelar Cikgu Tadika Kemas) mengubah pandangan kita. Beliau mengejutkan apabila mendapatk Anugerah Tertinggi dalam Konvokesyen Kolej UNITI Port Dickson ke-11 meninggalkan golongan perempuan yang selalu disinonimkan dengan kanak-kanak.  

Malah. beliau juga berjaya mendapat kerja di Tadika Kemas seperti yang beliau idamkan. Paling menarik, beliau telah menjuarai Pertandingan Anugerah Pemaju Masyarakat Inovatif bersempena Hari Potensi Kanak-kanak bagi tahun 2017 lalu. 

Siapa kata guru tadika mesti perempuan? Cikgu Hisham telah membuktikan bahawasanya lelaki juga menyerlah dalam bidang pendidikan kanak-kanak. 





Slot Ceritera: "Belajar susah-susah jadi admin je!"

Menjadi antara pelajar first batch, rasa ragu-ragu yang sangat tinggi  “boleh percaya ke dengan kolej ni, student kursus ni pun 11 orang je” Itulah andaian awal Lyana alumni batch pertama bagi program Pendidikan dan Asuhan  Awal Kanak-Kanak, Kolej Uniti Port Dickson.


Semuanya berjalan lancar sehinggalah semester 4.

Ditukarkan kampus dan tempat kediaman, kesusahan mencari pusat latihan praktikum taska dan tadika terpaksa dilalui dengan penuh cabaran.


“Belajar susah-susah jadi admin je saya Madam”. Masej Lyana melalui  whatapps pada pensyarahnya.

 Empat bulan berlalu Lyana whatapps pensyarahnya kembali.

“Madam, 3 bulan saya jadi admin tadika, dah sebulan saya jadi guru. Rezeki saya Madam”. 

Berbeza pula bahasa whatapps Lyana kali ni.

 “Betul la Madam, pengalaman praktikum di taska dan tadika masa belajar dulu memang sangat-sangat membantu saya dalam tugas saya sekarang. Teringat dulu ada tugasan di Taska Cahaya Tasneem Kolej Uniti Port Dickson, tapi saya sekarang dah berada di dunia pendidikan kanak-kanak yang sebenar!”

Terkini Lyana menjawat jawatan sebagai guru di Tadika Little Caliphs. Semangatnya di dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak kian membara dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk membuka tadika sendiri. Moga Lyana terus berjaya!




Siti Nur Lyana Bt Jumaat (Alumni DPAKK Kolej UNITI Port Dickson)
017 9835244

Tadika Little Caliphs Muslim Kreatif, tingkat 1 Lorong Berjaya Permai 1 25150 Kuantan, Pahang

Slot Ceritera: "Hampir Gagal Latihan Praktikum, Tetapi...."

Ini kisah pelajar kami bernama Mashitah (bukan nama sebenar) dari Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Kolej UNITI Port Dickson. Mashitah merupakan seorang pelajar yang sangat ceria dari Utara Semenanjung Malaysia. Beliau merupakan pelajar tahun akhir yang sedang menjalani Latihan Praktikum di salah sebuah tadika di Negeri Sembilan.



Sepanjang menjalani Latihan Praktikum, prestasi yang ditunjukkan amatlah cemerlang sehingga guru pembimbingnya memuji hasil kerjanya. Mashitah juga disayangi oleh anak didiknya dan warga tadika tersebut.


Namun begitu, di pertengahan sesi Latihan Praktikum, prestasi Mashitah jatuh merundum sehingga menimbulkan kemarahan guru pembimbingnya. Guru pembimbing Mashitah menghubungi  pensyarahnya, Puan Juwita (bukan nama sebenar) untuk memberitahu ketidakpuasan hatinya terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh Mashitah. Mashitah tidak menyiapkan rancangan mengajar, tidak membuat alat bantu mengajar dan tidak fokus ketika mengajar.


Puan Juwita lantas menghubungi Mashitah dan bertanya akan hal yang berlaku.

 “Apa hal ni? Cikgu awak dah bising dengan saya…panas telinga saya!”.

Mashitah hanya mendiamkan diri sahaja.

Puan Juwita bertanya lagi.

”Kenapa awak diam? Betul ke awak tak siap rancangan mengajar?..Besar markah RM tu..awak tahu kan..ABM pun tak buat..pemalas!

Kalau perangai awak macam ni, saya gagalkan awak praktikum!”.

Marah sekali Puan Juwita kepada Mashitah. 

 Di hujung talian, terdengar tangisan Mashitah.

Madam…ayah saya baru sahaja meninggal dunia. Saya bukan tak nak bagitahu tetapi saya tak nak menyusahkan sesiapa. Mungkin kerana banyak sangat berfikir, saya hilang fokus. Lagipun, tinggal ibu saya sahaja di kampung. Saya nak tangguh praktikum…Boleh ke madam?” Terang Mashitah.


Puan Juwita terkejut mendengar penjelasan Mashitah.

Baru kini beliau mengerti permasalahan yang dihadapi Mashitah. 

Puan Juwita tidak mahu Mashitah gagal praktikal hanya kerana gagal mengawal emosi sedih akibat kematian ayahnya.Puan Juwita menjadi orang yang bertanggungjawab memotivasikan Mashitah untuk meneruskan Latihan Praktikum yang tinggal berbaki beberapa minggu lagi sebelum pulang menjaga ibunya.


Akhirnya berkat usaha gigihnya berserta sokongan rakan-rakan dan pensyarah, Mashitah berjaya menamatkan Latihan Praktikum dengan jayanya. Beliau mendapat pujian daripada guru pembimbingnya kerana kreativiti dan kesungguhannya mengajar anak didiknya di tadika tersebut. Alat bantu mengajar yang dihasilkan juga mendapat pujian daripada guru dan pensyarahnya, Puan Juwita.

Rancangan mengajar? Memang siap, tiada lopong lagi!

Suatu hari…

Puan Juwita terjumpa Mashitah di pejabat pentadbiran Kolej UNITI Port Dickson. Rupa-rupanya Mashitah datang untuk melapor diri sebagai guru di Pusat Perkembangan Awal Kanak-Kanak Kolej UNITI Port Dickson.

 Puan Juwita telah mendapat berita bahawa Mashitah telah lulus dan berjaya dalam sesi temuduga yang dijalankan oleh pihak Kolej UNITI Port Dickson. Dulu dia sebagai pelajar, dan kini menyumbang bakti sebagai guru di Pusat Perkembangan Awal Kolej UNITI!



 “Alhamdulillah..berjaya juga pelajar ini…”Bisik hati kecil Puan Juwita.

MENGAPA PELAJAR SERING TERTEKAN?- Hidayah Tokiman

Ihsan Imej: Pinterest.com
“Satu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.” 

Ia adalah definisi tekanan. 

Tekanan yang berpanjangan dan gagal mengurusnya akan bertukar menjadi satu keadaan melampau hingga individu mampu bertindak di luar kawalan. 

Mengapakah pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi selalu dilanda tekanan? 

Terdapat tiga punca yang mendorong situasi penggalak kepada tekanan antaranya adalah :

1. Konflik ibu bapa – anak :

Ibu bapa yang mengawal anak dengan arahan dan peraturan tanpa rasional hingga menyebabkan anak trauma misalnya meletakkan harapan dan kejayaan yang tidak mampu diukur terhadap pencapaian anak-anak. 

Selain itu konflik ibu bapa misalnya penceraian yang menyebabkan anak-anak tidak mendapat perhatian dan menyebabkan kurangnya kasih sayang sehingga anak-anak terabai dan mengalami tekanan perasaan.


2. Gangguan persekitaran :

Gagal beradaptasi dengan perubahan; pelajar tidak mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran misalnya bertukar ke sekolah baru. Seterusnya pencapaian akademik dan kokurikulum yang tidak seimbang. 

Situasi yang berlaku, pelajar hanya aktif aktiviti di luar kelas dan tidak minat dengan akademik. Keadaan ini harus ditangani segera kerana ia akan menjadi tekanan kepada pelajar.


3. Masalah diri :

Pelajar cenderung berfikiran negatif, tidak yakin dengan kemampuan diri, pasif dan merasa diri teruk dan lemah. Tekanan ini akan muncul secara senyap yang lama-kelamaan akan mengunadang kepada masalah lain.

Demikian, kita sebagai pihak dewasa diharap dapat membantu meringankan tekanan yang dihadapi oleh para pelajar dan kanak-kanak. Sentiasalah berfikiran rasional di dalam membuat keputusan. 

Belajarlah untuk bijak mengawal emosi bersesuaian dengan situasi dan keadaan. Segeralah berjumpa dengan guru kaunseling atau pihak professional seperti kaunselor di IPT bagi mendapatkan bantuan. 

Akhirnya, latihlah diri untuk mengurus masa dengan bijak dan hanya dengan pemikiran yang positif sahaja mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi.



Disediakan oleh:


Puan Hidayah Binti Tokiman,
Dekan, 
Fakulti Pendidikan dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI Port Dickson.

Wednesday, 24 January 2018

APAKAH PSIKOLOGI KAUNSELING?- Nurul Huda Musa

Secara umumnya, ramai antara kita pernah mendengar tentang Psikologi Kaunseling. Tetapi sejauh mana pengetahuan kita tentang bidang tersebut. 


Psikologi Kaunseling adalah satu bidang khusus yang terbesar dalam bidang Psikologi. Ia memberi tumpuan kepada penyediaan rawatan terapeutik kepada klien yang mengalami pelbagai gejala seperti kesusahan atau kesukaran yang berkaitan dengan kehidupan, masalah membuat keputusan dalam kerja atau kehidupan dan juga masalah kesihatan fizikal/mental. 


Menurut Patterson (1995), kaunseling adalah satu proses interaktif melalui satu perhubungan yang unik antara kaunselor dan klien yang mengarah kepada perubahan klien dalam aspek tingkah laku, kepercayaan dan kemahiran membuat keputusan.   

Ahli psikologi kaunseling akan menggabungkan tiga peranan utama dalam penyediaan terapeutik iaitu :

a) Rawatan – melakukan aktiviti bersama klien bagi merawat masalah yang dihidapi
b) Pencegahan – merangkumi aktiviti pencegahan masalah klien sebelum ia berlaku
c) Perkembangan pendidikan – membantu klien untuk meningkatkan kemahiran diri


Berdasarkan Akta Kaunselor 1998, kaunseling merupakan satu proses sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi yang dilaksanakan oleh kaunselor yang berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk mencapai suatu perubahan, kemajuan dan penyesuaian yang holistic, baik dan sukarela pada diri klien supaya perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat. 


Secara ringkasnya, kaunseling adalah satu proses interaksi yang melibatkan seorang kaunselor yang terlatih dan kliennya dimana akhirnya klien tersebut akan mengalami satu perubahan tingkah laku yang positif dan berterusan sepanjang hayat.


Kesimpulannya, sesiapa yang mengambil bidang psikologi kaunseling ini akan terdedah dengan asas-asas kaunseling dan cara yang berkesan agar dapat membantu klien yang memerlukan pertolongan. 



Disediakan oleh, 

Puan Nurul Huda Musa, 
Pensyarah, 
Jabatan Pendidikan, 
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia,
Kolej UNITI Port Dickson.

Tuesday, 23 January 2018

TAKKAN AWAK NAK CAKAP ‘SAYA TAK TAHU’ BILA BUDAK 6 TAHUN TANYA BILA TARIKH MALAYSIA MERDEKA??

Ini kisah Ira (bukan nama sebenar). Usianya baru sahaja 18 tahun sewaktu beliau ditawarkan untuk menyambung pengajian di Kolej UNITI Port Dickson. Minat  mendalam beliau dalam bidang Diploma Pendidikan Pra Sekolah, menjadikan beliau sangat teruja dan gembira untuk melangkah ke dunia baru di Port Dickson.


Kemesraan dan keselesaan yang ditonjolkan oleh rakan-rakan seperjuangan dan keprihatinan yang tiada tolok bandingan oleh para pensyarah sepanjang sesi kuliah telah menambahkan rencah hidup gembira sepanjang pengajiannya dari satu semester ke satu semester yang lain.

Hal ini mengakibatkan setahun awal beliau di Kolej UNITI Port Dickson tidak begitu terasa lamanya. Beliau sangat gembira dan berbangga dengan markah cemerlang yang diperolehnya di sepanjang semester.


Menjadi rutin setiap kali tamat cuti semester, perasaan teruja untuk kembali ke Kolej UNITI Port Dickson datang bertalu-talu. Namun, keterujaannya pada kali ini merundum apabila beliau mendengar berita  dari rakan-rakan sekelas bahawa salah satu subjek yang ditawarkan pada semester tersebut ialah ‘PENGAJIAN MALAYSIA’.


Ira mula resah. Resah kerana beliau sememangnya sangat tidak berminat dan langsung tidak suka dengan subjek sejarah semenjak di bangku sekolah lagi. Kerunsingan Ira juga semakin memuncak apabila beliau mengenang kembali bagaimana tidak bermaknanya sijil SPM beliau akibat markah corot dalam matapelajaran sejarah yang tertera di atas kertas berwarna putih tersebut.


Ira menjadi bertambah tidak keruan apabila dalam kelas pertama Pengajian Malaysia, Puan Maria dengan tegas sambil tersenyum sinis mengatakan Pengajian Malaysia adalah subjek wajib yang ditetapkan MQA dan tiada seorang pelajar pun yang akan bergraduat sekiranya tidak lulus subjek ini.
Walaubagaimanapun, minggu demi minggu telah merubah persepsi Ira tentang subjek berkenaan. Subjek Pengajian Malaysia yang difikirkannya membosankan dan susah selama ini adalah tidak tepat sama sekali.


Ira mula merubah cara berfikir dalam mendalami subjek ini. Sifat Ira yang pasif selama ini dan menjadikan pembelajarannya di kelas semata-mata hanya untuk lulus dalam peperiksaan telah diketepikan selepas Puan Maria berjaya menguasai mindanya untuk mengadakan transisi pandangan berbeza supaya merubah niat belajar beliau untuk mendapat ilmu bermanfaat sebagai pedoman hidup.


TAKKAN AWAK NAK CAKAP ‘SAYA TAK TAHU’ BILA BUDAK 6 TAHUN  TANYA TARIKH KEMERDEKAAN NEGARA?? AWAK TAK RASA SEGAN???


Itu antara kata-kata Puan Maria yang banyak menyedarkannya  untuk  mengenali negara dengan lebih mendalam. Puan Maria juga merupakan seorang pensyarah yang banyak memberikan inspirasi dan kesegaran dari sudut kaedah pengajarannya semasa dalam bilik kuliah. Hal ini seterusnya telah menjadikan subjek Pengajian Malaysia menjadi salah satu subjek kegemaran Ira.


Ira berubah menjadi sangat  fokus serta berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang ilmu-ilmu sejarah yang tidak diperolehi beliau sepanjang persekolahannya selama ini. Akhirnya Ira telah lulus cemerlang dalam subjek ini dan beliau sangat gembira dan tidak menyangka akan beroleh keputusan sebaik itu.